Top Ad 728x90

Sebenarnya Lebih Ramai Lelaki Kemalangan Berbanding Wanita - MIROS

by
Kajian yang dijalankan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati bilangan pemandu lelaki yang terlibat dalam nahas jalan raya adalah 2.4 kali lebih tinggi berbanding wanita.

Ketua Pengarah MIROS, Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah dalam satu kenyataana hari ini berkata, kajian itu turut disokong statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan sejumlah 244,336 kemalangan membabitkan pemandu lelaki berbanding 103,153 bagi wanita, pada 2009.

Mengambil kira bilangan penduduk, beliau berkata lelaki mempunyai purata kadar nahas jalan raya sebanyak 1,351.74 untuk setiap 100,000 penduduk berbanding 537.97 bagi wanita, dan ini membuktikan lelaki 2.5 kali lebih berisiko berbanding wanita.

Bagaimanapun, katanya, Miros mendapati wanita menunjukkan peningkatan kemalangan yang kurang sihat pada 2009 berbanding 2006.

"Jumlah pemandu wanita yang terlibat dalam kemalangan bertambah daripada 26.4 peratus pada 2006 (berbanding lelaki 73.6 peratus) dan telah meningkat kepada 29.7 peratus pada 2009," katanya ketika mengulas kenyataan Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin bahawa wanita memandu sambil lewa di jalan raya.

Kenyataan Bung Moktar pada persidangan Dewan Rakyat Isnin lalu telah mencetuskan perdebatan hangat dan membangkitkan kemarahan kaum wanita ke atas kenyataannya itu.

Dalam hubungan ini, Ahmad Farhan berkata, kajian itu juga menunjukkan lelaki dan wanita mempunyai ciri berbeza yang mempengaruhi pemanduan mereka seperti persepsi keselamatan dan keselesaan dalam kereta sendiri.

"Semasa memandu, seorang wanita akan memikirkan beberapa perkara, tetapi memandangkan pemanduan memerlukan gandingan aksi dan reaksi, ada kalanya, sesetengah wanita akan melakukan kesilapan," katanya.

Beliau berkata, dari sudut pemanduan, lelaki pula dikenal pasti memiliki kemahiran lebih tinggi berbanding wanita, dan ini menjadikan mereka lebih berkeyakinan dan seringkali juga "terlebih yakin" sehingga memandu di luar kawalan serta secara berbahaya.

Bagaimanapun, katanya, kes kemalangan jalan raya kini sering berlaku tanpa mengira jantina.

- MSTAR

Malaysia jumpa Taiwan kelayakan Piala Dunia 2014

by

MALAYSIA dilihat mampu melangkah ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 apabila diundi bertemu Taiwan pada pusingan pertama.

Malaysia akan menerima kunjungan Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 29 Jun sebelum bertandang ke negara itu untuk perlawanan timbal balik pada 3 Julai.

Sekiranya berjaya melepasi halangan Taiwan, skuad bimbingan K. Rajagobal itu akan menentang Singapura pada pusingan kedua dengan perlawanan pertama di republik tersebut pada 23 Julai.

Perlawanan timbal balik pula dijadual berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 28 Julai.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis undian yang berlangsung di Rumah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Bukit Jalil semalam, Rajagobal yakin skuad bimbingannya itu dapat melepasi Taiwan.

“Kita ada keyakinan yang lebih kuat apabila diundi bertemu dengan pasukan Taiwan yang dikira sebagai pasukan yang boleh kita atasi,” katanya.

Malaysia kini menduduki ranking ke-138 dunia manakala Taiwan berada di tangga ke-147.

Bagaimanapun, Rajagobal berkata, fokus utama skuad negara buat masa ini adalah pada perlawanan pertama menentang Taiwan di gelanggang sendiri.

“Kita perlu beri tumpuan satu perlawanan kepada satu perlawanan dan tidak terlampau ghairah dalam menghadapi saingan.

“Jika mampu mara ke pusingan kedua, ia akan menjadi satu rekod bagi Malaysia,” kata jurulatih yang membimbing skuad negara menjuarai Piala Suzuki AFF 2010.

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah mara ke pusingan akhir Piala Dunia sejak pertama kali beraksi dalam pusingan kelayakan pada 1974 di Jerman.

Pusingan akhir Piala Dunia 2014 akan berlangsung di Brazil.

- KOSMO!

TV Al Hijrah - Stesen TV HD pertama negara

by

Mula bersiaran pada 1 November tahun lalu, stesen televisyen Islam pertama negara, TV AlHijrah dilihat semakin mengembangkan sasaran para penonton yang semakin menunjukkan kematangan.

Bahkan, selaras dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat, TV AlHijrah turut diumumkan sebagai stesen televisyen pertama yang mengaplikasikan penggunaan teknologi berdefinisi tinggi (HD).

Sememangnya stesen TV Astro turut menayangkan program-program yang dihasilkan menerusi teknologi HD tetapi ia merupakan program-program yang diimport dari negara luar dan Astro tidak menerbitkan sendiri program-program berteknologi HD itu.

Sebaliknya, TV AlHijrah menghasilkan sendiri program-program tempatan berteknologi HD.

Perkara itu cukup membanggakan stesen TV yang mula bersiaran dengan 60 peratus daripada kandungannya adalah terbitan tempatan dan 40 peratus adalah kandungan asing, dengan 30 peratus daripada keseluruhan penerbitan tempatan diterbitkan sendiri oleh TV AlHijrah.

Menurut Pengurus Penerbitan Teknikal, Suffian Yahya, aspek penerbitan menggunakan teknologi HD jauh berbeza terutama dari segi penggunaan kamera mahupun dekoder.

“Segala-galanya kita menggunakan teknologi yang menggunakan format HD. Anjakan teknologi yang digunapakai sesuai dengan peredaran zaman apabila kita tidak lagi menggunakan pita rakaman untuk merakamkan sesuatu bahan.

“Apabila tidak guna pita rakaman, salinan fail yang dirakam secara automatik akan tersimpan di dalam sistem yang khaskan,” katanya ketika ditemui di stesen televisyen AlHijrah di Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menariknya, penggunaan teknologi terbabit tidak akan menyebabkan anda berasa panas akibat pancaran cahaya semasa menjalani penggambaran.

Ini kerana teknologi HD mengaplikasikan cahaya lampu yang tidak terang. Selain itu, sokongan cahaya juga tidak diperlukan dengan terlalu banyak.

Justeru, mereka yang berada di studio penggambaran terutamanya tidak akan berasa panas.

Daripada segi susun atur studio pula, TV AlHijrah mempunyai tiga set rancangan yang berbeza-beza.

Sesi rakaman pula tidak akan dijalankan serentak kerana ia akan mengganggu antara satu sama lain.

“Lensa kamera berformat HD sangat tajam. Apa sahaja bahan yang dirakam akan kelihatan sangat jelas.

“Jadi peranan penataan cahaya amat penting sebagai alat kawalan keseluruhan visual,” jelasnya.

Kecanggihan studio HD TV AlHijrah juga diperkukuhkan dengan penggunaan teknologi yang dipanggil chromarkey.

Ia dapat digunakan bagi rakaman rancangan tanpa memerlukan sesi penggambaran di luar studio.

Namun, idea yang ingin dipaparkan memerlukan visual sebagai latar belakang yang bersesuaian dengan rancangan diterbitkan.

Maka, kelebihan Chromarkey adalah ia boleh diguna pakai dengan cukup senang.

Bagaimanapun, asas latar belakang yang harus dititikberatkan ialah set yang berwarna hijau dan biru sahaja.

“Kita boleh lakukan sesi penggambaran di dalam studio sahaja.

“Namun, mahukan visual menarik di belakang tanpa rakaman di luar studio. Chromarkey dapat mengatasi masalah itu.

“Caranya mudah, kita hanya perlu memasukkan sahaja visual yang berkualiti HD.

“Boleh guna gambar yang tidak berteknologi HD tetapi ia akan nampak tidak semula jadi,” jelas Penerbit Kanan Teknikal, Yusof Bahari.

Jimat tenaga kerja

Biasanya stesen televisyen yang masih mengamalkan teknologi standard definition (SD) akan mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan sesuatu bahan sepenuhnya.

Tidak seperti TV AlHijrah kelebihan teknologi HD yang diaplikasikan sebenar mampu menjimatkan masa.

Misalnya, setiap wartawan yang pulang membuat liputan tidak perlu mengikut beberapa langkah yang banyak.

“Proses yang dijalankan berlaku dengan pantas. Hanya menggunakan satu mesin visual tersebut sudah siap melalui langkah-langkah yang wajib.

“Kalau kita tengok cara lama, anda memerlukan pita rakaman yang dimasukkan ke dalam mesin.

“Kemudian masa pula perlu dicatat satu persatu dengan cara mempercepat dan melambatkan.

“Sedangkan teknologi HD hanya perlu menarik sahaja ikon (imej) yang terpapar di skrin,” terang Jurutera Penyiaran, Wan Khairul Nizam Wan Hussin.

Jangka masa siap sepenuhnya hanya mengambil masa selama sejam bagi bahan yang berdurasi 30 minit.

Namun, kos bagi setiap penggunaan kad amat tinggi nilainya iaitu RM2,000 manakala setiap satu pita rakaman pula berharga RM30.

“Itulah perbezaannya tetapi sekarang kita mahukan kelancaran kerja yang pantas sekali gus dapat jimatkan tenaga kerja,” tambahnya.

Tambahan pemancar siaran

Mengambil masa yang agak singkat iaitu empat bulan untuk mengubah keseluruhan konti Pusat Penyiaran TV Al Hijrah dengan memuatkan segala kemudahan operasi yang diperlukan oleh sesebuah stesen TV.

Reka bentuk dalaman pejabat itu cukup bijak kerana studio diletakkan di bahagian tengah dengan struktur dindingnya berkaca.

Disebabkan mendapat permintaan yang tinggi sepanjang bersiaran, TV AlHijrah sebenarnya dalam proses permohonan penambahan 10 lokasi pemancar.

Pemilihan lokasi pastinya yang strategik dengan tarikan penonton iaitu di Kelantan, Kedah, Perlis, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan.

Isi kandungan rancangan TV AlHijrah adalah berbahasa Melayu.

Justeru, kawasan terbabit merupakan kelompok lokasi yang mendapat permintaan tinggi.

TV AlHijrah boleh diikuti siarannya di Lembah Klang melalui saluran UHF CH55 frekuensi MHz 743.25, Terengganu UHF CH41 (631.25 MHz), Johor UHF CH40 (623.25 MHz), Sarawak UHF CH37 (599.25 MHz) dan Sabah UHF CH37 (599.25 MHz).

Menggunakan slogan Segalanya Bermula Di Sini, ia merupakan stesen televisyen milik kerajaan yang memberi tumpuan kepada program keagamaan.

Program terbitan TV Alhijrah juga dijangka dapat ditonton di seluruh negara pada penghujung April ini apabila ia menjadi satu daripada saluran stesen televisyen berbayar Astro.

- KOSMO!

Objektif Penubuhan UiTM Berbeza Dengan Universiti Lain - NC

by
SUNGAI PETANI: Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak berminat dengan sistem ranking universiti kerana agenda penubuhannya adalah berbeza dengan universiti lain sama ada di dalam atau di luar negara, kata Naib Canselor, Prof Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Beliau berkata, UiTM tidak akan berlumba atau bersaing dengan institusi pengajian tinggi (IPT) lain untuk menjadi universiti terbilang.

"Matlamat penubuhan setiap IPT termasuk UiTM adalah berbeza. UiTM mengambil pelajar miskin yang tidak ada orang (IPT lain) yang hendak untuk menjadikan mereka yang terbaik. Oleh itu apa sebabnya kita mesti menyertai ranking dan bersaing dengan Harvard (Universiti Harvard di Amerika Syarikat).

"Universiti Harvard terima pelajar yang kaya, ada kuasa, anak-anak orang ternama dan mereka keluarkan siswazah terbaik untuk Amerika.

"Jadi, bersaing dengan mereka adalah kerja bodoh dan kita akan tersimpang jauh dari tanggungjawab dan tujuan asal kita," katanya kepada pemberita semasa melawat UiTM Kedah di Merbok dekat sini Rabu.

Beliau diminta mengulas tentang kenyataan Ketua II Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar yang menggesa Naib Canselor atau Rektor IPT yang ingin mengejar ranking sehingga meminggirkan pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan dalam bahasa Melayu, supaya melepaskan jawatan.

Dr Sahol berkata, sejak awal lagi beliau telah menyatakan pendiriannya tidak akan menyertai persaingan ranking.

Jelas beliau, dengan tidak menyertai sistem ranking, UiTM masih mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Beliau juga tidak mahu dilihat oleh pihak tertentu sebagai naib canselor yang "gila ranking."

Katanya, UiTM juga tidak bermasalah untuk memartabatkan bahasa kebangsaan meskipun menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

"Kita gunakan bahasa Inggeris tapi tidak pinggirkan bahasa Melayu. UiTM merupakan satu-satunya IPT yang mewajibkan pelajarnya mempelajari tulisan Jawi. Ini adalah usaha murni untuk martabatkan bahasa Melayu," tegasnya.

- MSTAR

Kalendar Aktiviti & Peristiwa Penting Bulan Mac 2011

by
6 Mac 2011 - Hari Pengundian Pilihanraya Kecil DUN Merlimau, Melaka dan DUN Kerdau, Pahang.

10 - 12 Mac 2011 - PIKOM PC Fair di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) Kuala Terengganu & Balai Islam Kelantan.

14 Mac 2011 - Tarikh Tutup Permohonan DPLI Ambilan Julai 2011

23 Mac 2011 - Keputusan Peperiksaan SPM 2010

25 Mac 2011 - Tarikh Tutup Permohonan KPLSPM Ambilan Jun 2011

26 Mac 2011 - Kempen Earth Hour

Panduan Peperiksaan Pegawai Hal Ehwal Islam (SPA) Gred SS41

by
Calon-calon Pegawai Hal Ehwal Islam Gred SS41 yang telah dipanggil ke
peperiksaan SPA, boleh muat turun Panduan Peperiksaan tersebut di:
http://www.ziddu.com/download/14396183/PanduanExamPegawaiHalEhwalIslamPHEISS41.p\
df.html


Selamat berjaya diucapkan kepada semua calon yang terlibat :)

Perak haramkan tarian poco-poco

by

Sumber : http://masrizalhardy.com/


IPOH – Tarian poco-poco yang popular sebagai aktiviti riadah dalam kalangan suri rumah dan penjawat awam ketika menghadiri kursus dan majlis keraian telah diputuskan sebagai haram oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak baru-baru ini.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tarian tersebut diharamkan kerana ia mempunyai unsur kepercayaan agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh.

Katanya, keputusan sebulat suara itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kali ke-186 yang bersidang dari 24 hingga 26 Januari lalu.

“Kajian mendapati tarian yang sering diamalkan di Jamaica itu bercirikan agama Kristian. Oleh itu haram bagi orang Islam mengamalkannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

- KOSMO!

'Spiderman' takluki Burj Khalifa

by

DUBAI - Pemanjat nekad dari Perancis, Alain Robert berdepan cabaran terhebatnya apabila memanjat binaan setinggi 828 meter yang merupakan bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa, semalam.

Halangan angin kencang menyebabkan Robert, 48, tiba di puncak Burj Khalifa lewat beberapa jam daripada jadual asalnya.

Mendapat jolokan Spiderman kerana kehebatannya memanjat, dia mengambil masa sekitar enam jam untuk memanjat bangunan setinggi lebih 160 tingkat itu dengan menggunakan tali dan abah-abah seperti yang ditetapkan oleh penganjur.

"Sebenarnya, saya berdepan tekanan yang besar kerana mereka memasang semuanya untuk saya di sini. Terdapat sebuah skrin gergasi setinggi 50 meter dan sepanjang 30 meter. Saya sedar saya menjadi tumpuan orang ramai dan faktor tersebut memberi tekanan kepada saya," kata Robert sebelum mula memanjat.

Dia memanjat bangunan seawal usia 12 tahun apabila terpaksa memanjat untuk masuk ke dalam apartmen setinggi lapan tingkat milik keluarganya selepas tertinggal kunci rumah.

Sejak itu, Robert telah memanjat lebih 80 buah bangunan pencakar langit di seluruh dunia termasuk Menara Sears di Chicago, Amerika Syarikat (AS) dan Taipei 101 di Taiwan.

- Reuters

‘Kehilangan wang’ libatkan kakitangan bank kes terpencil?

by
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI

Kejadian wang lesap secara tiba-tiba dari akaun simpanan milik individu tanpa disedari pemilik akaun atau melibatkan kecuaian pihak bank disifatkan sebagai kejadian terpencil.

Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Asisten Komisioner Kamarudin Md Din berkata, laporan melibatkan pecah amanah kakitangan bank yang memindahkan wang ke akaun lain dengan niat jahat juga diklasifikasikan sebagai jarang dilaporkan kepada pihak polis.

Kamarudin berkata, kejadian seperti ini jarang berlaku kerana sistem perbankan yang sistematik dan dikawal ketat menyebabkan kes seumpama itu dapat dikesan dengan cepat sekiranya dilaporkan.

“Kes-kes melibatkan kecuaian pihak bank dan melibatkan pecah amanah kakitangan mereka boleh dikatakan kes terpencil kerana sistem perbankan yang begitu ketat dan sistematik. Jadi dengan mudah kegiatan kecuaian atau pemindahan wang melibatkan kakitangan mereka akan cepat dikesan,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar baru-baru ini.

Bagaimanapun, menurutnya pihaknya ada menerima dua atau tiga kes melibatkan kecuaian pihak bank yang melibatkan kakitangan bank dan kesemua kes sama ada telah didakwa di mahkamah atau masih dalam siasatan pihak polis.

Dalam pada itu, Kamarudin berkata, jenayah siber menggunakan kaedah phishing iaitu maklumat perbankan milik individu dicuri secara online yang mana suspek akan mewujudkan satu laman web palsu bagi mendapatkan maklumat peribadi perbankan mangsa antara banyak dilaporkan.

“Modus operandi ini antara banyak dilaporkan dan kebanyakan mangsa tidak menyedari mereka telah tertipu dengan janji palsu sindiket yang menawarkan pelbagai hadiah lumayan dan menyerahkan maklumat perbankan mereka,” katanya.

Malah katanya, walaupun pelbagai usaha dijalankan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat, statistik dari 2008 hingga 2010 menunjukkan peningkatan ketara dari 32 kes pada 2008, 75 kes pada 2009 dan meningkat kepada 353 kes pada 2010 dengan jumlah kerugian mencecah RM1.2 juta.

“Kebanyakan mangsa akan terus menyalahkan pihak bank kerana panik wang simpanan mereka telah lesap. Tetapi setelah disiasat oleh pihak polis melalui bantuan pihak bank penglibatan sindiket sering menjadi punca kehilangan wang mereka,” katanya.

Sementara itu, Kamarudin berkata setiap laporan akan disiasat di bawah Akta Jenayah Komputer 1997 walaupun kes tersebut disebabkan kecuaian individu yang memberikan maklumat perbankan kepada pihak ketiga dan seterusnya menyebabkan mereka mengalami kecurian wang.

Menurutnya, Akta itu boleh digunakan kerana dalam apa jua situasi, perbuatan pihak ketiga mengambil wang mangsa tanpa kebenaran adalah salah dan boleh didakwa jika disabit kesalahan. Atas dasar tersebut juga, pihak polis katanya terutama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) sentiasa bergerak aktif dalam memberi pesanan kepada pengguna supaya terus berhati-hati dalam mendedahkan maklumat peribadi dan perbankan kepada pihak lain.

Terbaru katanya, selain giat memberi kesedaran kepada pengguna sama ada melalui media cetak dan elektronik, pihaknya juga telah mewujudkan PDRM Security E-mail yang berfungsi sebagai satu langkah untuk mendedahkan masyarakat mengenai bahaya penyebaran maklumat perbankan kepada pihak lain.

“Jika sindiket tidak bertanggungjawab ini boleh menghantar e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mangsa untuk memperdayakan mereka, kita juga akan lakukan perkara sama,” ujarnya.

Beliau juga berkata, sistem perbankan dalam talian di negara ini juga selamat digunakan tetapi mesti mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak bank.

- MSTAR

Akhir Umur Dunia

by
Hadith:

NABI SAW bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang mati pada masa ia dalam keadaan taatkan Allah, beramal soleh, maka ia dibangkitkan oleh Allah hidup kembali dengan keadaan yang menyukakannya; dan sesiapa yang mati pada masa ia dalam keadaan derhaka kepada Allah, berbuat jahat, maka ia dihidupkan kembali dengan keadaan yang mendukacitakannya."

Riwayat Jabir RA

Huraian Hadith:

Setiap perbuatan akan dibalas setimpal dengan segala perkara yang dilakukan. Sekiranya sewaktu hidup di dunia melakukan perkara yang baik dan meninggalkan perkara yang dilarang, pasti ganjaran pahala sedia menanti.

Sebaliknya, jika perbuatan-perbutan keji yang menjadi amalan hidupnya, catatan dosa pula sedia menanti. Ajal maut adalah ketentuan ilahi. Tidak terawal, atau terlewat, walaupun sedetik.

Insya-Allah pintu taubat masih terbuka, selagi nyawa belum sampai ke halkum. Sekiranya seseorang mati dalam keadaan beriman, dibangkitkan kelak dalam kedaan gembira.

Sebaliknya, apabila mati dalam keadaan derhaka, pasti dibangkitkan dalam keadaan mendukacitakan. Setiap orang dibangkitkan mengikut amalan masing-masing.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Berita Palsu Kematian Jackie Chan Tersebar di Twitter

by

Bintang filem legenda Hong Kong Jackie Chan, 56, menjadi mangsa terbaru laman sosial Twitter apabila berita mengenai kematiannya ekoran serangan jantung tersebar luas di Internet, Isnin.

Menurut laporan yang dipetik daripada ibnlive.com, khabar angin itu tersebar apabila sebuah artikel palsu yang menggunakan nama CNN telah dimuatnaik oleh seorang penulis blog bergelar Skiphopz.

Susulan artikel berjudul 'Jackie Chan Meninggal Akibat Serangan Jantung' itu, laman Twitter telah dibanjiri limpahan ucapan takziah daripada kalangan peminat.

Laporan itu turut memaparkan ucapan palsu Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berhubung kematian Chan yang berbunyi:

"Jackie Chan seorang lelaki berbakat besar dan begitu sinonim dengan imej kemanusiaan. Dia akan terus abadi dalam hati kita semua, seorang lelaki yang memberikan inspirasi kepada pelbagai generasi. Sebelum ini kita telah kehilangan Nate Dogg, kini Jackie Chan pula."

Chan yang masih hidup bagaimanapun dilaporkan bakal muncul dengan filem terbaru iaitu 1911, tahun ini.

- MSTAR

Radiasi dari Fukushima dikesan di Filipina

by

Seorang saintis menggunakan alat pengesan radiasi yang dipanggil SAM 935 untuk memantau tahap radiasi di ibu pejabat Institut Kajian Nuklear Filipina (PNRI) di Manila.


MANILA - Sejumlah kecil bahan radiasi bawaan udara dari loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi, Jepun telah dikesan di Filipina semalam, tetapi Institut Kajian Nuklear Filipina (PNRI) berkata, ia tidak akan membahayakan orang awam.

Agensi nuklear itu memberitahu, pihaknya menemui isotop radioaktif dari loji janakuasa nuklear Fukushima dalam kuantiti yang sangat kecil. "Tahap radiasi bahan tersebut sangat rendah dan ia tidak akan memberi mudarat kepada kesihatan," jelasnya.

Minggu lalu, PNRI juga telah menguji beberapa sampel makanan proses yang diimport dari Jepun sebelum bencana berlaku bagi menentukan asas tahap radiasi dalam produk makanan keluaran Jepun.

Setiausaha Kesihatan Filipina, Enrique Ona menyatakan import makanan dari Jepun tidak perlu diharamkan. Agensi dari Jabatan Pertanian Filipina bagaimanapun mencadangkan supaya penggantungan permit import produk-produk susu dari empat kawasan berhampiran loji nuklear Fukushima dilaksanakan.

Sementara itu, pihak berkuasa China menyatakan ia dapat mengesan kehadiran bahan radiasi di atmosfera di beberapa lokasi di China. China melaporkan bahan radioaktif, iodin-131 dikesan dalam udara di timur laut wilayah Heilongjiang sepanjang hujung minggu lalu.

Dalam amaran yang boleh dibaca dalam laman webnya, Kementerian Perlindungan Alam Sekitar China mengumumkan beberapa lagi kawasan di bahagian tenggara China seperti di Jiangsu, Shanghai, Zhejiang, Anhui, Guangdong dan Guangxi turut dikesan mempunyai bahan radiasi.

- Reuters

Lepasan SPM: Pilih kursus secara bijak, ikut minat

by
Ketika ini, ibu bapa dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sibuk membuat 'kerja rumah' untuk memilih kursus dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang menepati impian masing-masing sama ada di dalam atau di luar negara. Sama ada IPT awam atau swasta bergantung kepada keputusan SPM, kesesuaian kursus dan kemampuan kewangan.

Bagi 9,239 calon yang mendapat keputusan gred cemerlang (A+, A, A-) dalam semua mata pelajaran, tentunya tidak berdepan masalah untuk memilih kursus idaman di universiti pilihan hati masing-masing. Mereka ada keistimewaan dan kebebasan kerana menepati syarat kelayakan yang ditetapkan tetapi jangan rambang mata. Buat pilihan mengikut minat dan cita-cita. Jangan ikut kawan takut merana badan.

Luaskan skop dan buat kajian teliti. Usah bataskan pilihan kepada kerjaya 'popular' seperti doktor, jurutera dan peguam sahaja. Pertimbangkan juga opsyen untuk menceburi bidang yang niche tetapi berpotensi serta menjanjikan pulangan lumayan seperti industri maritim, aeroangkasa dan aviation. Kursus ini ditawarkan oleh IPT tempatan.

Paling utama, pastikan kursus yang ingin dipohon khususnya yang ditawarkan oleh IPT swasta diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan menerima akreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Sila rujuk laman sesawang rasmi untuk rujukan lanjut atau layari www.mohe.gov.my.

Perlu diingat bahawa bagi kursus kedoktoran dan kejuruteraan, ia perlu diiktiraf oleh pertubuhan profesional yang berkaitan. Begitu juga untuk kursus yang ditawarkan oleh universiti luar negara.

Kepada yang berhasrat ingin belajar di luar negara, sila pertimbangkan faktor keselamatan kerana ketika ini banyak negara yang sedang dilanda krisis. Negara-negara di Asia Barat seperti Mesir, Bahrain dan Yaman sedang berlaku pergolakan politik.

Manakala Jepun pula berdepan ancaman radiasi nuklear yang berada pada paras bahaya dan mencemari air serta makanan akibat bencana tsunami.

Sila ikuti perkembangan terkini dan dapatkan maklumat yang sahih daripada Kementerian Pengajian Tinggi di talian 03-88835000.

Dalam pada itu, peluang masih ada untuk yang kurang cemerlang dalam SPM. Sertai bidang kemahiran sama ada di politeknik atau di institusi latihan kemahiran.

Contohnya , Institut Latihan Perindustrian (ILP) di bawah kelolaan Kementerian Sumber Manusia, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Kemahiran Mara (IKM).

Pelajar yang tamat latihan akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 1, 2, 3, 4 dan 5. Mereka yang mendapat sijil berkenaan biasanya bekerja di sektor industri dan menerima gaji setanding dengan graduan lepasan universiti.

Pada masa sama, semak tawaran biasiswa dan pembiayaan pendidikan di akhbar untuk membantu mengurangkan tanggungan kewangan ibu bapa.

- UTUSAN

Ujian memandu guna transmisi auto

by
Pelatih yang mahu mendapatkan lesen memandu akan dibenarkan menjalani latihan dan ujian menggunakan kenderaan transmisi automatik tidak lama lagi selepas kerajaan meluluskan penambahbaikan silibus kurikulum latihan memandu sedia ada yang menggunakan kenderaan transmisi manual.

Berikutan itu, mereka yang lulus ujian menggunakan kenderaan gear automatik akan mendapat lesen yang mengandungi catatan khas sebagai lesen kenderaan automatik dan hanya dibenarkan memandu kenderaan jenis itu saja, manakala yang memilih ujian manual boleh memandu kedua-dua jenis kenderaan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata, kurikulum baru itu sudah siap sepenuhnya dan dijangka diperkenalkan tidak lama lagi selepas Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerima peruntukan daripada kerajaan.

“Pelaksanaan sistem itu selaras permintaan orang ramai, manakala penambahbaikan silibus kurikulum akan turut memasukkan elemen nilai tambah untuk melahirkan pemandu kompeten, berhemah dan berdisiplin.

“Melalui sistem terbaru itu, calon mempunyai pilihan untuk menjalani ujian memandu menggunakan kenderaan transmisi automatik, berbanding sekarang yang membenarkan mereka menggunakan kenderaan manual sahaja.

“Kerajaan mendengar permintaan orang ramai berikutan penggunaan kenderaan transmisi automatik semakin meluas di negara ini. Saya tidak menjangkakan institut memandu akan menghadapi masalah untuk menjayakan sistem baru itu nanti,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Abdul Rahim berkata, penambahbaikan silibus bertujuan memantapkan kurikulum latihan memandu secara komprehensif bagi melahirkan pemandu yang bukan saja mahir mengendalikan kenderaan dan mengetahui peraturan jalan raya, malah meliputi penerapan aspek menyeluruh.

Bagi tujuan itu, suntikan input diperoleh daripada pelbagai pihak berkaitan, berkepakaran dan berkepentingan, termasuk Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Sementara itu, Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA) , Mat Aris Bakar, berkata penambahbaikan silibus berkenaan adalah yang pertama kali dalam tempoh 13 tahun kurikulum latihan memandu dilaksanakan setakat ini.

Pada Mesyuarat Agung PIMA di Kota Bharu pada 18 Mac lalu, beliau berkata, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, memaklumkan ahli persatuan bahawa kurikulum baru berkenaan lebih efektif serta membabitkan elemen kognitif dan psikomotor yang antara lain memberi penekanan terhadap aspek pengurusan risiko dan emosi.

“PIMA menyambut baik penambahbaikan silibus kurikulum latihan memandu ini dan akan memberikan kerjasama penuh menjayakannya. Pelaksanaan itu juga akan memerlukan kira-kira 12,000 tenaga pengajar di sebanyak 174 institut memandu seluruh negara menjalani kursus secara berperingkat,” katanya.

Mengenai laporan akhbar semalam yang memetik Solah sebagai berkata, ada institut memandu menggunakan khidmat tenaga pengajar tidak terlatih dan kenderaan tiada perlindungan insurans bagi melatih calon yang mahu mendapatkan lesen memandu, Mat Aris mengaku terkejut dan menegaskan perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana ia membabitkan keselamatan.

- BERITA HARIAN

Halau jin pakai CD

by

Rutin harian Ahmad Husin, 35, seperti insan biasa lain. Usai bersarapan, pemegang diploma teknologi maklumat dari sebuah kolej tempatan ini bingkas bangun melayan pesakit yang bertandang ke premisnya yang terletak di hadapan Masjid Jumhuriyah, Taman Dato’ Haron, Petaling Jaya, Selangor.

“Ada rasa sakit kepala, dada, tulang belakang atau rusuk selepas waktu Asar?” soalnya pada pesakit lelaki berusia lewat 40-an itu.

Tebak Ahmad lagi setelah jawapan negatif diberikan, selalukah mendapat mimpi dipatuk ular, jatuh dari tempat tinggi atau berada di lokasi sunyi dan kotor?

Juga negatif jawapan pesakitnya, Ahmad menggunakan pula pendekatan refleksologi untuk mengesan gangguan jin dengan cara memicit telapak tangan, lengan, ibu jari kaki dan pelipat lutut.

Oleh kerana kesemua lokasi yang ditekan tidak meninggalkan sensasi mencucuk seolah-olah renjatan elektrik, pesakit tadi disahkan bebas daripada gangguan jin atau sihir.

“Mungkin rasa sakit-sakit dan lenguh badan ini disebabkan kecederaan lampau,” ujarnya menyampaikan resolusi.

Pengalaman selama lima tahun Ahmad dan keberkesanan rawatan terapi al-Quran membuatkan Ahmad dipercayai pesakit.

Menurutnya, terapi yang berteraskan Rukyah Assyariah iaitu ayat tertentu daripada al-Quran dan doa yang selari dengan syariat ini bukan bidang baru dalam perubatan Islam.

Memperoleh ilmu daripada gurunya di Kedah, Ustaz Abdul Malik Lazim, Ahmad berkata membacakan ayat-ayat Rukyah kepada pesakit adalah kaedah yang paling afdal dalam menyingkirkan jin daripada tubuh seseorang.

Panas

“Semasa dibacakan 20 ayat Rukyah, pesakit diminta memejamkan mata dan mendengar dengan tenang tetapi tidak dibenarkan mengikut bacaan tadi bagi memastikan ayat tersebut ‘masuk’ ke dalam badan.

“Selepas itu, hembus ubun-ubun pesakit begitu juga dua botol air mineral bersaiz besar yang disediakan pesakit setiap kali datang berubat,” katanya.

Tambah Ahmad, sebotol air tersebut perlu diminum pesakit selama tujuh hari manakala sebotol lagi dibuat mandi.

Ahmad menyifatkan semua gangguan jin sebagai satu bentuk sihir. Antara simptom terkena gangguan jin ialah pesakit akan kerap bersendirian, menangis, tubuh menggeletar, meracau, badan bertukar panas, terdapat seperti sesuatu bergerak di bawah lapisan kulit dan pitam.

Oleh sebab itulah, apabila anggota badan pesakit yang mendapat gangguan jin disentuh, lokasi jin melekat akan terasa panas dan menjadi keras.

Kekuatan serangan jin ke atas manusia berbeza-beza dan akan menjadi-jadi sekiranya kaedah menghalaunya berbaur syirik.

Jin berupaya masuk ke dalam badan seseorang menerusi liang roma atau anggota badan yang berongga.

“Tidak kiralah sama ada melalui rongga badan yang besar seperti hidung, telinga, mulut dan kemaluan, jin juga berupaya merasuk manusia menerusi liang peluh,” bicaranya.

Sehubungan itu, Ahmad menyarankan setiap premis ‘dipagar’ dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran bagi mengelakkan diganggu atau membuang sihir yang sedia ada.

“Laungkan azan di tengah-tengah premis atau rumah dengan menghadap ke arah kiblat dan renjiskan kawasan sekitar dengan air bacaan ayat Kursi,” katanya.

Ahmad turut mengesyorkan agar tiada gambar hidup digantung di dalam premis kerana gambar itu ibarat magnet yang menarik jin untuk singgah ke dalamnya.

“Simpanlah gambar di dalam album sahaja,” cadang Ahmad.

Dalam pada itu, terapi audio turut digunakan Ahmad dalam merawat pesakit yang terkena gangguan jin.

“Cakera padat (CD) yang mengandungi bacaan ayat-ayat Rukyah boleh dipasang setiap hari selama sebulan untuk mencegah daripada terkena sihir,” tegasnya.

Kereta

Amalan mendengar CD Rukyah di dalam kereta bagaimanapun tidak digalakkan kerana dikhuatiri membahayakan pemanduan.

“Jika badan kita kemungkinan mempunyai gangguan jin, ia akan menyebabkan seseorang mengantuk dan mengundang berlaku kemalangan,” katanya yang tidak menolak amalan memasang CD di dalam kereta bagi individu normal yang tidak diganggu jin.

Ahmad turut menjelaskan tiada halangan untuk seseorang merawat gangguan jin secara persendirian berbekalkan bacaan ayat-ayat Rukyah.

“Kes gangguan ringan bolehlah dibuat sendiri dengan cara memasang CD ayat-ayat Rukyah bersebelahan dengan tiga botol air mineral yang dibuka penutupnya.

“Setelah selesai, minum air tersebut sebanyak tiga kali setiap hari sehingga habis,” ujarnya.

Tambah Ahmad lagi, pelbagai manfaat diperoleh menerusi amalan membaca ayat-ayat Rukyah.

“Ayat-ayat Rukyah sifatnya menenangkan minda, penerang hati dan membersihkan aura diri.

“Selain itu, ayat-ayat ini mampu mengurangkan pendarahan berpanjangan bagi wanita yang mengalami istihadah,” ungkapnya.

- KOSMO!

Pencerobohan Facebook - Bagaimana menanganinya?

by

Sering kedengaran berlakunya pencerobohan terhadap akaun-akaun laman web sosial Facebook. Bagaimanakah untuk menggunakannya secara selamat?

Dewasa ini, penggunaan laman web sosial Facebook menjadi satu budaya penting dalam kehidupan seharian.

Ia bukan sahaja tertumpu kepada penggunaan peribadi tetapi digunakan sebagai satu alat teknologi maklumat untuk komunikasi antara pelanggan-pelanggan dengan agensi-agensi jualan, rakyat dengan pemerintah, pelajar-pelajar dengan pensyarah dan lain-lain.

Capaiannya menerusi Internet juga tidak terbatas kepada penggunaan komputer peribadi yang mempunyai sambungan talian tetap.

Malah, dengan munculnya alat-alat komunikasi mudah alih berkuasa tinggi dengan harga yang murah seperti komputer tablet, komputer riba, netbook dan telefon pintar berupaya mencapai laman web Facebook menerusi talian Internet tanpa wayar.

Masa, alat dan tempat bukan lagi menjadi kekangan utama untuk mencapainya.

Oleh itu, laman sosial Facebook ini boleh dicapai di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja.

Malah, ada kedai-kedai atau pihak-pihak tertentu yang menyediakan kemudahan capaian Internet tanpa wayar ini secara percuma menerusi teknologi Wifi.

Capaian Internet tanpa wayar ini sebenarnya mengundang sebahagian besar masalah pencerobohan ke atas akaun-akaun di laman web Facebook.

Ini kerana data-data atau maklumat ‘berterbangan’ di udara dan sesiapa sahaja berupaya mengambilnya termasuklah data-data yang penting seperti login dan kata laluan.

Tambahan pula program-program komputer untuk tujuan pencerobohan ini agak mudah diperoleh di Internet dan mudah digunakan.

Dengan itu, berhati-hati dan berpada-padalah ketika melayari Internet menerusi capaian tanpa wayar ini.

Antara langkah-langkah awal yang boleh di ambil untuk menggunakan laman web sosial Facebook ini dengan selamat ialah menerusi konfigurasi keselamatan dan privasi yang baik pada akaun Facebook tersebut.

Apabila kita mencapai laman web sosial Facebook menerusi Internet sama ada menerusi teknologi berwayar atau pun tidak berwayar, sambungan terhadap laman web tersebut tidak dienkrip.

Ini bermaksud, sesiapa sahaja yang berupaya berada di kawasan sambungan tersebut akan boleh memperolehi apa sahaja maklumat atau data yang melalui sambungan itu secara jelas termasuk login dan kata laluan.

Bagi mengatasi masalah sambungan yang tidak dienkrip ini, pihak Facebook telah menyediakan fungsi keselamatan untuk kita mengenkrip sambungan capaian ke laman web Facebook menerusi Internet.

Dengan ini, sesiapa boleh atau berupaya mendapatkan data-data atau maklumat yang melalui sambungan tersebut tetapi data-data dan maklumat tersebut tidak dalam bentuk yang nyata.

Data atau maklumat tersebut akan disembunyikan dalam bentuk yang rahsia.

Penceroboh atau penggodam perlu meemecahkan kod terhadap proses enkripsi yang dibuat terhadap data atau maklumat itu untuk mendapatkannya.

Dalam Facebook, anda perlu pergi ke ruangan konfigurasinya.

Seterusnya memilih fungsi Account Security dan tandakan pada ruangan Secure Browsing (https).

Seterusnya, jangan lupa untuk menyimpan konfigurasi yang telah anda buat dengan mengklik pada butang Save.

Fungsi Secure Browsing ini baru sahaja diperkenalkan oleh pihak Facebook.

Jadi, pastikan dikemas kini terlebih dahulu akaun Facebook tersebut dengan kemas kini yang dianjurkan oleh pihak Facebook.

Sekiranya fungsi tersebut masih belum ada dalam akaun kita, sila maklum atau mohon kepada pihak Facebook atau nantikan sahaja kemas kininya oleh pihak Facebook.

Hasil daripada konfigurasi tersebut, melayari laman web Facebook menerusi Internet akan dienkrip seperti mana melayari laman-laman perbankan Internet yang menggunakan protokol keselamatan rangkaian https.

Selain daripada itu, pastikan juga konfigurasi untuk fungsi Privacy bagi akaun Facebook adalah baik. Pastikan dan tentukan mana maklumat yang perlu dikongsi oleh siapa sahaja dalam akaun Facebook anda. Pihak Facebook ada menyediakan cadangan konfigurasi Privacy dalam perkongsian maklumat seperti maklumat peribadi, maklumat rakan, gambar dan lain-lain.

Anda boleh tentukan sama ada anda mahu berkongsi maklumat dengan sesiapa sahaja, rakan sahaja, rakan kepada rakan sahaja atau menerima cadangan pihak Facebook.

Sekiranya anda masih tidak berpuas hati dengan konfigurasi tersebut, boleh memilih pilihan Custom. Di sini, anda boleh membuat konfigurasi sendiri untuk perkongsian maklumat dan boleh menetapkan hanya untuk tatapan atau capaian diri sendiri.

Konfigurasi pada bahagian Privacy ini penting bagi mengelakkan pihak yang tidak bertanggung jawab memanipulasikan maklumat yang dikongsikan atau dijadikan panduan untuk melakukan penggodaman atau pencerobohan terhadap akaun Facebook seseorang.

Sekiranya ada mana-mana akaun rakan Facebook yang disangsikan tujuannya, bolehlah kita blok akaun tersebut dalam fungsi Block Users.

Kadangkala kita melihat remeh-temeh berkenaan dengan fungsi Security dan Privacy dalam akaun Facebook ini.

Namun begitu, sekiranya akaun Facebook mendapat masalah seperti digodam dan sebagainya, barulah kelam kabut untuk mencari jalan penyelesaian.

Jadi, sebelum perkara yang lebih parah berlaku, marilah kita ambil langkah berjaga-jaga dengan melaksanakan konfigurasi yang betul dan selamat pada akaun Facebook.

Selain daripada itu, berhati-hatilah dengan e-mel palsu yang meminta maklumat dan kata laluan bagi akaun Facebook anda.

Ia merupakan satu penipuan yang sepatutnya kita sedar akan perkara tersebut dengan menyemak kembali sambungan URL yang disediakan, e-mel tersebut dihantar secara tiba-tiba tanpa ada keperluan atau anda memintanya, semak penghantar e-mel tersebut dan lain-lain.

Ia merupakan satu teknik penggodaman yang sangat mudah tanpa perlu melakukan perkara-perkara teknikal kerana pemilik akaun Facebook sendiri yang memberi maklumat-maklumat penting tersebut. Layari Internet dan laman web Facebook anda dengan selamat dan berhati-hati.

- UTUSAN

KardioMate bahan pengganti garam

by
Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan bahan pengganti garam iaitu KardioMate yang berupaya melindungi kesihatan termasuk hati, jantung, ginjal, mata, saluran darah dan otak.

Bahan tersebut rendah kandungan natrium, tinggi kalsium dan mengandungi zat-zat galian penting yang lain.

Menurut Felo Penyelidik Institut Biosains UPM, Prof. Dr. Suhaila Mohamed, KardioMate dihasilkan daripada ekstrak tumbuhan terutama rumpai laut.

Jelasnya, pengganti garam itu membolehkan orang ramai terutama pesakit darah tinggi menikmati makanan tanpa risau akan tahap kemasinannya.

“KardioMate terbukti secara saintifik boleh membantu mencegah penyakit terutama berkaitan kardiovaskular yang disebabkan oleh amalan pemakanan dan gaya hidup tidak sihat.

“Bahan ini juga berupaya memperbaiki sistem kardiovaskular individu apabila digunakan secara berterusan,” katanya pada majlis promosi hasil penyelidikan UPM di Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Pusat Teknologi UPM-MTDC, di Kuala Lumpur.

Penyelidikan KardioMate mengambil masa sembilan tahun menggunakan geran sejumlah RM500 juta termasuk daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pengajian Tinggi.

Suhaila memberitahu, tidak seperti garam, KardioMate tidak boleh dimasukkan dalam masakan kerana makanan akan menjadi jeli, sebaliknya ia perlu diambil bersama makanan.

Menurutnya, golongan yang alergi terhadap makanan laut tidak sesuai untuk mengambil KardioMate bagi mengelak alahan.

Tambah beliau, pihaknya kini mengadakan perbincangan dengan industri pemakanan agar pengganti garam itu dihasilkan secara komersial untuk pasaran tempatan.

- UTUSAN

Syarat baru tabung usahawan diperkenal

by
Syarat baru Tabung Usahawan Siswazah (TUS) berkuat kuasa serta-merta, yang lebih mesra usahawan siswazah diperkenalkan bagi meningkatkan lebih ramai usahawan muda selaras dengan agenda Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diperkenalkan kerajaan.

Antara syarat baru itu termasuk jumlah pembiayaan maksimum dinaikkan daripada RM250,000 kepada RM500,000 dan bagi pengambilalihan syarikat pula, jumlah pembiayaan adalah sehingga RM750,000.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Mukhriz Mahathir, berkata tidak banyak permohonan diterima sebelum ini berikutan syarat yang terlalu ketat menghambarkan minat siswazah muda untuk memohon.

"Selepas mengadakan perbincangan dengan SME Bank, kita mendapati syarat sebelum ini tidak banyak memberi manfaat kepada syarikat industri kecil dan sederhana (IKS), jadi kita mengambil keputusan untuk membuat syarat baru," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian 1Malaysia Young Entrepreneurs Challenge, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria. Selain pembiayaan maksimum yang dinaikkan, Mukhriz berkata syarat baru itu turut merangkumi tempoh kelonggaran pembayaran balik antara dua tahun hingga empat tahun dan tempoh pembiayaan untuk bangunan dan premis perniagaan dilanjutkan sehingga 20 tahun.

Katanya, umur kelayakan pemohon dinaikkan kepada 40 tahun berbanding 35 tahun sebelum ini dan syarat tamat pengajian tidak melebihi 15 tahun bagi layak dipertimbangkan untuk pinjaman diperkenalkan berbanding syarat asal 10 tahun.
Justeru, Mukhriz menggalakkan lebih ramai siswazah yang berminat memulakan perniagaan memohon pembiayaan di bawah TUS kerana tabung itu kini masih mempunyai baki terkumpul berjumlah RM45 juta.

Beliau berkata, pinjaman mudah yang diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8) itu menetapkan kos pembiayaan atau kadar faedah antara dua dan empat peratus.

“Cabaran pertama bagi sebuah perniagaan ialah modal. Jika isu ini dapat diatasi dan beban mereka diringankan, akan lebih banyak IKS diusahakan oleh siswazah,” katanya.

Mengulas mengenai syarat lama bagi mendapatkan dana TUS, Mukhriz berkata, ia tidak kondusif memandangkan syarat yang dikenakan agak ketat.

“Kami dapati dari segi praktikalnya, tidak banyak syarikat memperoleh manfaat. Oleh itu, kami mengkaji semula keadaan secara lebih terperinci dan berunding dengan SME Bank bagi menawarkan pinjaman yang lebih baik.

“Usaha melahirkan lebih ramai usahawan graduan yang berjaya, adalah antara Petunjuk Prestasi Utama kementerian, dengan program yang dilaksanakan termasuk Skim Usahawan Siswazah (SUS) serta dana di bawah TUS.

“Lepasan siswazah perlu menghadiri program SUS itu sebelum mendapatkan pinjaman mudah daripada dana khas TUS,” katanya.

Ditanya mengenai kebimbangan pelbagai pihak komponen kereta Jepun yang rosak akibat tsunami mungkin digunakan untuk kereta yang dijual di negara ini, Mukhriz berkata, satu pasukan bertindak (task force) sudah ditubuhkan bagi memastikan masalah itu tidak berlaku.

- BERITA HARIAN

Akhlak pemimpin cermin keperibadian rakyat

by
Oleh Shamrahayu A Aziz
Penolong Profesor di Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, UIAM

Mungkin ada antara kita pernah mendengar atau pernah mengucapkan ungkapan 'Bukan mudah menjadi pemimpin'. Amat benar ungkapan ini. Tugas kepemimpinan bukan saja menentukan hala tuju masyarakat yang dipimpin dan meletakkan negara pada tempat selesa di arena antarabangsa, tetapi pemimpin dan kepemimpinan juga menentukan keadilan; bukan saja keadilan sosial, tetapi juga keadilan kepada Allah SWT.

Sekiranya pembaca perhatikan itulah antara sebab ilmuwan Islam sentiasa memberi perhatian kepada perkara berkaitan pemimpin dan kepemimpinan. Banyak teori dan falsafah berkaitan kepemimpinan yang telah dilunas dan didebat. Antara ilmuwan atau ahli falsafah yang banyak membincangkan perkara ini termasuk al-Farabi atau al-Ghazali.

Saya tidak berniat untuk mengulas keseluruhan idea yang dipegang oleh mereka, sama ada al-Farabi, al-Ghazali atau lain-lain di ruangan ini. Saya cuma ingin menyampaikan satu perkara penting yang sentiasa disebut ilmuwan untuk kita renungi dan fikirkan bersama.

Perkara itu ialah akhlak. Akhlak adalah inti pati agama Islam. Secara harfiah perkataan ‘akhlak’ bermaksud budi pekerti, kelakuan atau tabiat. Bagi ahli falsafah, akhlak dikatakan sebagai ‘penyatuan antara perkara rohani dan jasmani tanpa boleh dipisahkan’. Pengertian ini bermaksud, tabiat atau keperibadian seseorang itu bergantung kepada agama atau rohani, yang tidak boleh dipisahkan daripada jasmaninya.

Ia menyimpulkan kedua-duanya (rohani dan jasmani) bagi menzahirkan watak yang tulus, adil, berilmu dan bijaksana sebagai pemimpin. Sifat inilah yang akan membantu rakyat untuk membina institusi kepemimpinan negara yang baik.

Dari suatu sudut lain, akhlak terdiri daripada dua aspek, iaitu aspek peribadi dan akhlak dalam perkara umum. Akhlak peribadi merujuk kepada pembawaan tabiat atau sifat diri sebagai seorang individu, manakala akhlak umum ialah akhlak dalam tindakan kepimpinan – atau dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin.
Dalam melaksanakan tanggungjawab kepemimpinan, kita hendaklah menyatukan antara kedua-dua aspek akhlak ke dalam setiap prinsip berkaitannya. Ini bermaksud bukan saja akhlak dalam mengendalikan keseluruhan aspek kepemimpinan (akhlak umum) yang menjadi perhatian ilmuwan, tetapi akhlak peribadi juga sentiasa diberi perhatian.

Oleh itu, sebagai individu, setiap pemimpin hendaklah mengamalkan akhlak atau peribadi yang istimewa, seperti adil, bijaksana dan merendah diri. Pendek kata, pemimpin hendaklah mengamalkan budi pekerti yang mulia. Mereka mestilah sentiasa lebih mulia daripada orang yang dipimpinnya.

Perlu saya sebut bahawa, walaupun peribadi mulia atau akhlak mulia bukanlah satu syarat yang tertulis dalam mana-mana undang-undang secara harfiah, saya pasti, seluruh lapisan masyarakat (terutama di alam Islam dan Melayu) mengetahui dan menganggap akhlak sebagai satu elemen penting di dalam kepemimpinan. Seperti yang saya sebut di atas, akhlak adalah inti pati agama Islam, yang menjadi rujukan kepada majoriti masyarakat kita.

Hatta dalam sistem demokrasi yang tidak menyebut secara terang-terang tentang keutamaan akhlak di dalam kepemimpinan juga meletakkan akhlak di tempat penting. Dalam prinsip kebertanggungjawaban contohnya, akhlak adalah antara ciri utama seorang pemimpin. Prinsip ini memperkenalkan teori tanggungjawab individu (individual responsibility), yang mana seseorang hendaklah meletakkan jawatan sekiranya dia tidak mengamalkan akhlak mulia.

Atas dasar ini seperti yang kita maklum, ramai pemimpin dunia yang tersungkur kerana kegagalan menjaga akhlak peribadi. Ramai juga yang tersungkur kerana akhlak umum yang rendah dan tidak berdaya untuk terus menjadi pemimpin yang dihormati rakyat.

Dalam apa juga sistem, akhlak yang mulia boleh dianggap sebagai undang-undang tidak bertulis yang menjadi dasar kepada seluruh sistem pentadbiran.

Walaupun bukan mudah menjadi pemimpin, bukan mudah juga untuk menjadi rakyat. Rakyat, seumpama pemimpin, perlulah juga berakhlak mulia. Selain itu, mereka perlu berilmu, bijaksana dan mengamalkan pekerti mulia.

Rakyat hendaklah menilai akhlak pemimpin dan seterusnya menentukan sama ada mereka mempunyai keupayaan dan kebolehan untuk memimpin. Ini wajib dilakukan oleh rakyat supaya institusi kepemimpinan yang dipilih boleh membawa negara ke mercu kejayaan, kestabilan dan keredaan yang Maha Kuasa.

Saya teringat kata-kata hikmah yang dirakam dalam sebuah kitab tasawwuf terkenal. Kata-kata hikmah itu menyebut, antara lain, rakyat adalah penentu kepada kualiti pemimpin. Dalam kata lain kualiti kepemimpinan sesebuah negara itu bergantung kepada kualiti rakyatnya kerana rakyat yang memilih pemimpin.

Menurut kata hikmah di dalam kitab tasawwuf itu lagi, pemimpin yang dipilih rakyat itu adalah yang secocok atau sepadan dengan keadaan rakyatnya. Barisan kepemimpinan adalah cermin kepada rakyatnya.

Walaupun disandarkan kepada dasar yang berbeza, prinsip sama juga wujud dalam teori demokrasi yang mengiktiraf rakyat sebagai political sovereign.

Pendek kata, tugas rakyat dan tugas pemimpin ada persamaannya dari aspek kepentingan, cuma tanggungjawab mereka yang berbeza. Oleh itu, kedua-dua pihak perlu mengamalkan akhlak yang mulia.

- BERITA HARIAN

Apabila isteri bersuara

by
Oleh ZUHAYATI YAZID

SALAH satu azam wanita yang melangkah masuk ke alam perkahwinan ialah ingin menjadi isteri solehah. Ia mungkin mudah disebut. Tetapi untuk melaksanakan tugas sebagai isteri terbaik tidaklah mudah.

Kehadiran isteri yang baik akan mudah melahirkan rumah tangga bahagia. Sebaliknya isteri yang tidak memahami akan tanggungjawabnya sudah pasti akan melahirkan rumah tangga yang kucar-kacir.

Wanita sememangnya dilahirkan dengan sifat kehalusan yang dianugerah oleh Allah, bersesuaian sekali sebagai pengasuh, pendidik anak-anak, pembimbing dan juga penghibur hati suami.

Rumah tangga bahagia boleh diasaskan oleh isteri yang solehah dengan memenuhi tanggungjawab yang digariskan dalam tuntutan yang pembentukan rumah tangga yang bahagia.

Dalam mengharungi kehidupan berumah tangga, isteri sebenarnya merupakan pembantu kepada suami, jadi sekira suami bertindak tidak betul adalah menjadi tanggungjawab isteri untuk menegur.

Setiap individu mempunyai kekurangan dan kelemahan. Begitu juga dengan suami. Semasa di alam percintaan dan pertunangan mungkin tidak dapat mengesan kekurangan tersebut.

Setelah berumah tangga baru keadaan ini terserlah, sudah tentu ia mengecewakan. Keadaan itu jika tidak diperbaiki ia akan menjadi api dalam sekam dalam kehidupan.

Jika seorang suami itu buta dengan kelemahan dan kelemahan ini menyebabkan kesusahan atau kegagalan baginya mendapatkan kejayaan adalah mustahak bagi isteri menyediakan kesedaran tersebut.

Sebenarnya, dalam kehidupan berumah tangga, isteri juga ada hak dalam menentukan kebahagiaan cuma ia mesti dilaksanakan dengan cara kewanitaan, lemah lembut dan penuh berhemat.

Sebenarnya, isteri boleh bersuara dalam hal-hal tertentu yang melanggar etika pergaulan suami isteri demi mempertahankan kewibawaannya sebagai isteri yang berhemah.

Sekiranya suami ada membuat kesilapan, tegurlah secara diplomasi kepada suami dan nasihat kepada secara berhemah supaya meninggalkan perbuatan itu.

Sekiranya ia melibatkan hal-hal yang menimbulkan dosa, isteri mempunyai hak untuk menjauhkan anak-anak malah dirinya sendiri daripada terlibat melakukan perbuatan yang tidak bermoral.

Tidak salah menasihati dan menegur kesilapan suami walaupun dia adalah ketua keluarga.

Biarpun begitu, sebagai isteri yang solehah, sikap taat adalah ciri penting dalam kehidupan berumah tangga.

Sebagai isteri, selagi perbuatan tidak menyalahi undang-undang dan syariat agama, kita sebagai isteri wajib untuk mentaati suami.

Namun sekiranya kita mendapati ada perbuatan yang tidak betul, cuba berbincang secara baik supaya tidak menimbulkan masalah dalam rumah tangga.

Percayalah, sekiranya kita taat kepada suami dengan ikhlas, pasti Allah akan memberi rahmat kepada diri kita.

Begitu juga dalam situasi suami menzalimi anak-anak, isteri perlu bertindak sebagai pelindung kepada anak-anak.

Ajaklah berbincang secara waras dengan suami, apakah relevannya suami bertindak ganas dengan anak-anak.

Sekiranya suami mempunyai sebab-sebab yang tertentu menyebabkan dia ganas mendidik anak, kompromi dengan si suami supaya tidak terlalu ganas dalam mendidik anak.

Bagaimanapun, sebagai ibu jangan pula terlalu menyokong tindakan anak-anak sehingga menyebabkan pergaduhan kepada suami isteri.

Lazimnya, anak-anak yang terlalu di manja akan menjadi degil dan besar kepala kerana setiap perbuatan yang dilakukan seolah-olah mendapat restu daripada ibunya.

- UTUSAN

Bilal muazin pertama

by


Bilal bin Rabah atau nama lengkapnya Bilal bin Rabah Al-Habasyi dikenali dengan dengan gelaran Muazin Ar-Rasul.

Beliau memiliki tubuh yang tinggi, kurus, kulitnya berwarna coklat, pelipisnya tipis dan rambutnya lebat. Ibunya pula adalah hamba kepada Ummayyah bin Khalaf dari Bani Jumuh.

Apabila mendengar Islam daripada risalah yang dibawa Rasulullah, beliau menemui baginda dan mengikrarkan dirinya memeluk agama Islam.

Ketika beliau memeluk Islam, hanya terdapat beberapa orang sahaja yang memeluk Islam di atas permukaan bumi ini iaitu Khadijah binti Khuwailid, Abu Bakar As-Siddiq, Ali bin Abi Talib, Ammar bin Yasir serta ibunya Sumaiyyah, Suhaib Ar-Rumi dan Al-Miqdad bin Al-Aswad.

Bilal pernah diseksa oleh Umayyah malah membiarkannya di tengah gurun padang pasir selama beberapa hari.

Sebahagian besar kalangan mereka yang memeluk Islam pada masa tersebut mempunyai keluarga tempat mereka berlindung daripada kekejaman golongan musyrikin kecuali Bilal dan Ammar bersama-sama dengan bapa dan ibunya serta Suhaib.

Oleh kerana itu mereka menjadi sasaran golongan musyrikin Quraisy untuk melepaskan geram mereka terhadap Islam.

Dengan kepanasan matahari di padang pasir, beliau diseksa sambil perutnya diikat dengan batu besar. Lehernya pula diikat dengan tali. Beliau diseret oleh orang-orang kafir bersama anak-anak mereka di antara bukit-bukit di Mekah.

Ketika diseret, Bilal dengan tenang mengucapkan kata "Ahad… Ahad" malah beliau menolak mengucapkan kata-kata kufur.

Tidak cukup dengan penyeksaan itu, golongan musyrikin menanggalkan pula pakaian Bilal, mereka memakaikannya dengan baju besi kemudian mereka menjemur beliau di bawah panas terik cahaya matahari.

Malah mereka memukulnya dengan menggunakan cemeti sambil memerintahkan Bilal supaya mencaci Nabi Muhammad.

Selepas kejadian itu, Abu Bakar memerdekakan Bilal dengan membelinya daripada Umayyah dengan harga sembilan tahil emas. Umayyah sengaja menjualnya dengan harga yang mahal supaya Abu Bakar tidak mahu membeli.

Umayyah berkata: "Sekiranya Abu Bakar tidak mahu membeli dengan harga tersebut, aku tetap akan menjualnya walaupun dengan harga 1 tahil emas."

Sebaliknya Abu Bakar juga berkata di dalam hatinya: "Sekiranya dia tidak mahu menjual dengan harga tersebut, aku tetap akan membelinya walaupun dengan harga 100 tahil emas."

Setelah hijrah, azan disyariatkan dan Bilal mengumandangkan azan. Beliau adalah muazin pertama dalam Islam kerana memiliki suara yang sungguh lunak.

Bilal juga pernah menjawat jawatan sebagai bendahara Rasulullah di Bait Al-Mal malah beliau juga tidak pernah menolak daripada mengikuti semua peperangan bersama Rasulullah.

Ketika perang Badar, apabila melihat Umayyah dan Bilal berkata: "Aku tidak akan selamat jika Umayyah selamat."

Dengan pertolongan beberapa pasukan kaum muslimin mereka berjaya membunuh Umayyah.

Pada saat pembebasan Kota Mekah, Rasulullah menyuruh Bilal mengumandangkan azan di belakang kaabah. Ia merupakan azan yang pertama dikumandangkan di Mekah.

Rasulullah pernah bertanya kepada Bilal: "Hai Bilal, ceritakanlah kepadaku mengenai amalan yang menurutmu paling besar pahalanya yang pernah kamu kerjakan dalam Islam."

Lalu Bilal menjawab: "Aku tidak pernah mengerjakan amalan yang menurutku besar pahalanya, tapi aku tidak wuduk di waktu malam dan siang, melainkan aku menunaikan solat yang diwajibkan bagiku mengerjakannya."

Setelah Rasulullah wafat, Bilal meminta izin kepada Abu Bakar untuk meninggalkan Madinah dan berjuang di jalan Allah. Abu Bakar menyarankan agar Bilal terus menetap di Madinah. Bilal menetap di sana dan akhirnya beliau bergabung bersama pasukan yang diutus untuk membebaskan wilayah Syam.

Beliau meriwayatkan 44 hadis antaranya, nabi bersabda yang bermaksud: "Hendaklah kamu menunaikan solat malam (tahajud), kerana solat malam adalah tradisi (kebiasaan) orang-orang soleh sebelum kamu, dan sesungguhnya solat malam adalah amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT, dapat mencegah daripada perbuatan dosa, mengampuni dosa-dosa kecil, dan menghilangkan penyakit badan (riwayat Tirmidzi)."

Bilal dilahirkan di Kota Mekah sekitar tahun 43 sebelum Hijrah dan meninggal dunia di Damsyik pada tahun 20 Hijrah dan ada riwayat menyebut bahawa beliau dimakamkan di Halb.

- UTUSAN

Madu rahsia pelajar cemerlang SPM

by
PASIR MAS - Amalan mengambil sesudu madu asli setiap pagi dan membaca al-Quran untuk merangsang perkembangan otak membuahkan hasil apabila Muhamad Izzat Syameer Mohd. Zaid dinobatkan antara enam pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) peringkat negeri Kelantan hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati yang memperoleh 11A+ itu memberitahu, sejak kecil ibunya, Aizan Omar, 60, dan ayahnya Mohd. Zain Abd. Kadir, 61, pesara doktor haiwan membiasakannya mengambil sesudu madu asli serta buah-buahan setiap hari.

Katanya, dia kurang menggemari makanan berat seperti nasi berlauk untuk merangsang perkembangan otak.

Berkongsi kejayaannya, anak bongsu dari empat beradik itu memberitahu, dia belajar secara berkumpulan dengan rakan-rakan di sekolah dan memperuntukan enam jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran di rumah.

"Saya tetap menonton televisyen tetapi pada kadar minimum iaitu lebih kepada program dokumentari. Saya juga melayari Facebook untuk mengekalkan persahabatan dengan kawan-kawan tetapi membataskannya untuk mengelak masa terbuang," ujarnya yang memegang jawatan Ketua Murid dan Ketua Pengawas di sekolahnya di sini semalam.

Muhamad Izzat Syameer memperoleh A+ dalam 11 subjek yang diambilnya iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab Tinggi, Matematik, Matematik Tambahan, Biologi, Fizik, Kimia, Sejarah, Pendidikan al-Quran dan Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah.

Berbeza dengan seorang lagi pelajar cemerlang SPM peringkat negeri, Salina A/P Sanguan, 17, pelajar berketurunan Siam yang memperoleh 10A+ itu memilih mengulang kaji pelajaran dengan ditemani alunan radio dan televisyen.

"Saya tidak mempunyai jadual khas untuk belajar sebaliknya mengulangkaji pelajaran mengikut mood. Bagaimanapun, saya lebih fokus ketika berada di dalam kelas," kata pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim (1), Pasir Mas.

Salina memperoleh A+ bagi semua subjek yang didudukinya iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Prinsip Perakaunan, Fizik, Kimia dan Biologi.

- UTUSAN

Rakyat Malaysia kena sedia hadapi gempa

by
Penduduk di negara ini perlu lebih bersedia kerana Malaysia dijangka tidak terlepas daripada mengalami kejadian gempa bumi pada masa akan datang.

Pakar Geologi, Prof. Madya Dr. Tajul Anuar Jamaluddin berkata, kemungkinan itu ekoran daripada retakan-retakan besar (sesar) yang terdapat di dalam kerak bumi.

Katanya, walaupun ketika ini retakan itu tidak aktif tetapi gerakan pada kerak bumi yang didorong oleh gempa di sekeliling Semenanjung Malaysia boleh mengundang bencana tersebut.

"Kekerapan berlakunya gempa bumi di sekeliling Malaysia, contohnya di Indonesia, Myanmar dan Jepun akan mendorong patahan pada retakan-retakan besar ini seterusnya ia akan aktif dan menghasilkan gempa bumi.

"Apa yang dapat dipastikan, kemungkinan itu tetap ada tetapi bila ia akan berlaku sama ada mengambil masa puluhan atau ratusan tahun tidak dapat dipastikan," kata Tajul Anuar yang merupakan Pensyarah Geobencana, Institut Kajian Bencana Asia Tenggara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

- KOSMO!

GTP amat membanggakan

by

KUALA LUMPUR 27 Mac - Pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) sejak setahun lalu membuahkan kejayaan amat membanggakan kerana ia dihasilkan melalui satu agenda bersifat berani, inovatif dan telus serta didukung oleh pasukan pentadbir yang bersungguh-sungguh mahu meningkatkan taraf hidup rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sehubungan itu berkata, kejayaan tersebut akan dijadikan iltizam kepada kerajaan untuk berusaha lebih gigih pada masa akan datang demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Beliau berkata, kejayaan itu juga amat berkait rapat dengan keputusan kerajaan menetapkan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang selama ini menjadi tiang kepada GTP.

"Dalam setiap NKRA, kita sasarkan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dengan cara menyentuh denyut nadi mereka. Kita insaf bahawa rakyat adalah segala-galanya bagi kerajaan. Mereka merupakan satu amanah.

"Seperkara lagi dalam era kini, kerajaan yang cekap adalah kerajaan yang tahu jangkaan rakyat. Sudah tentu rakyat mahu kualiti hidup mereka ditingkatkan selain tinggal dalam sebuah negara yang selesa dan selamat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Transformasi Bersama Rakyat Untukmu Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri-Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Idris Jala serta barisan menteri dan timbalan menteri.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Pada majlis malam ini beliau turut melancarkan Buku Laporan Tahunan GTP 2010.

Perdana Menteri turut menyentuh bagaimana kerajaan mengambil kira pandangan rakyat sebelum GTP dilaksanakan tahun lepas melalui satu proses tinjauan.

Hasilnya kata beliau, enam NKRA telah ditetapkan iaitu mengurangkan jenayah, memerangi rasuah, memperbaiki pencapaian pelajar, meningkatkan pendapatan isi rumah berpendapatan rendah, meningkatkan infrastruktur luar bandar dan meningkatkan kemudahan pengangkutan awam bandar.

"Kita juga sedar era kerajaan mengetahui segala-galanya telah berakhir. Oleh itu dengan rasa rendah diri kita perlukan maklum balas rakyat supaya kita tahu apa yang mereka mahukan," ujarnya.

Sementara itu beliau mengakui bukan mudah untuk kerajaan mengecap kejayaan itu kerana pelbagai cabaran serta dugaan terpaksa ditempuhi.

"Oleh itu dalam kita meraikan kejayaan tahun pertama GTP ini, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penjawat awam yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan kerana bersama-sama menggembleng tenaga menjayakan misi ini," ujarnya

Dalam pada itu dalam ucapannya, Najib turut memaklumkan kejayaan-kejayaan kerajaan menaikkan taraf hidup rakyat melalui enam NKRA yang merupakan tiang atau tunjang kepada GTP.

Antara pencapaian tersebut ialah:

1. Indeks jenayah turun 15 peratus, indeks jenayah jalanan turun 35 peratus,

2. Memerangi rasuah-penggubalan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat selain tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes rasuah yang berjaya meningkatkan keyakinan rakyat.

3. 700,000 kanak-kanak memperoleh manfaat daripada lebih 1,500 kelas prasekolah.

4. Berjaya menurunkan 99.8 peratus golongan miskin tegar.

5. Mengubah kehidupan 2 juta rakyat dalam bidang meningkatkan infrastruktur luar bandar.

6. Peningkatan penumpang transit aliran ringan (LRT) yang kini berjumlah 2.43 juta orang dan peningkatan 192 peratus penumpang bas transit lebuh raya (BET).

- UTUSAN

Tidak perlu lapor polis jika hilang MyKad

by
Jika sebelum ini orang ramai yang kehilangan MyKad atau pasport perlu membuat laporan polis namun kini mereka tidak perlu berbuat demikian.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam berkata, mereka yang kehilangan kedua-dua dokumen itu hanya perlu ke Jabatan Imigresen atau Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat permohonan baru mulai 1 Mac lalu.

"Mengikut rekod sebanyak empat juta laporan polis telah dibuat sehingga hari ini.

"Kita tidak mahu lagi menyusahkan pihak polis dan mengambil inisiatif ini untuk membantu meringankan beban mereka," katanya selepas Majlis Penyerahan Pangkat Kehormat Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) di Puchong semalam.

- UTUSAN

PM lancar laporan tahunan Program Transformasi Kerajaan

by
KUALA LUMPUR 27 Mac - Kira-kira 7,000 rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum membanjiri Stadium Putra Bukit Jalil bagi menyaksikan serta menyokong pelancaran laporan tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2010.

Laporan tersebut yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ternyata berjaya menarik perhatian rakyat negara ini yang teruja untuk mengetahui sejauh mana kejayaan program yang mula diperkenalkan pada 28 Januari tahun lalu.

Majlis bertemakan Malam Transformasi Bersama Rakyat: Untukmu Malaysia itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala serta menteri-menteri lain.

Pelancaran laporan tahunan itu juga diserikan lagi dengan persembahan artis terkenal tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search, Hattan, Aizat, Daniel Lee, Reshmonu, Alyah dan ramai lagi.

GTP meliputi enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, mempertingkatkan pencapaian pelajar dalam bidang pendidikan, mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar dan mempertingkatkan pengangkutan awam di bandar.

Laporan tahunan itu dilancarkan bertujuan memberi maklumat serta informasi kepada rakyat mengenai perkembangan dan pencapaian enam NKRA itu.

Selain itu, laporan tersebut juga turut menerangkan perancangan kerajaan dalam enam bidang utama itu pada masa hadapan serta usaha membawa negara merealisasikan hasrat mencapai status negara maju menjelang 2020.

- UTUSAN

Jawatan Kosong di Pihak Berkuasa Tempatan Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim (PBTTTPHTK) - Mac 2011

by
Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia. (Keutamaan diberi kepada anak Negeri Kedah)

JAWATAN:
1. Jurutera (Awam)
2. Pegawai Penerangan
3. Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran
4. Penolong Pegawai Penilaian
5. Penolong Pegawai Pertanian

IKLAN JAWATAN KOSONG
http://www.pbttphtk.gov.my/c/document_library/get_file?p_l_id=10318&folderId=27822&name=DLFE-601.pdf

BORANG PERMOHONAN

Permohonan hendaklah dibuat dengan mengisi borang permohonan jawatan, berharga RM5.00 yang boleh di dapati di:

Kaunter Bayaran
Pihak Berkuasa Tempatan,
Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim,
01-02 KHTP Administrative Centre,
Kulim Hi-Tech Park,
09000 Kulim,
Kedah Darul Aman.

Tarikh Tutup : 3 April 2011

Jawatan Kosong di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) - Mac 2011

by
Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
Jawatan Akademik:
1. PROFESOR (VK7)
2. PROFESOR PERUBATAN (VK7)
3. PROFESOR MADYA (DS53)
4. PROFESOR MADYA PERUBATAN (DU53)
5. PENSYARAH (DS45)
6. PENSYARAH KANAN PERUBATAN (DU51)
7. PENSYARAH / PENSYARAH PELATIH PERUBATAN (DU45)
8. PENSYARAH PERGIGIAN / PENSYARAH PELATIH PERGIGIAN (DUG45)
9. PROFESOR MADYA PERGIGIAN (DUG53)
10. PENSYARAH KANAN PERGIGIAN (DUG51)
11. PROFESOR PERGIGIAN (VK7)
12. PENSYARAH (DS51)
13. FELO SISWAZAH (0)

Jawatan Pentadbiran:
1. PENOLONG PEGAWAI TEKNOLOGI MAKLUMAT (F29)
2. AHLI FOTOGRAFI (B11)
3. PEGAWAI PERGIGIAN (U48)

IKLAN JAWATAN KOSONG & BORANG PERMOHONAN ONLINE
http://eiris3.usim.edu.my:8080/eiris/

Tarikh Tutup : 4 April 2011

Jawatan Kosong di Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) - Mac 2011

by
Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
1. Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi Gred E27
2. Penolong Juruaudit Gred W27

IKLAN JAWATAN KOSONG & BORANG PERMOHONAN
http://www.lada.gov.my/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=63&Itemid=138

Tarikh Tutup : 10 April 2011

Jawatan Kosong di Universiti Malaysia Pahang (UMP) - Mac 2011

by
Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
1. PEGAWAI SAINS
2. PEGAWAI PSIKOLOGI
3. PEGAWAI KEWANGAN
4. JURUPULIH PERUBATAN
5. PEMBANTU TADBIR (PERKERANIAN/OPERASI)

IKLAN JAWATAN KOSONG
http://onlineapps.ump.edu.my/umpapps/cms/eRecruitment/attachment/Iklan_jawatan_kosong_P&P_Skgn_UMP_Siri_3-2011_doc.pdf

BORANG PERMOHONAN ONLINE
http://onlineapps.ump.edu.my/umpapps/eRecruitment.jsp#

Tarikh Tutup : 29 Mac 2011

Jawatan Kosong di Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) - Mac 2011

by
Terbuka kepada kepada calon-calon anak Negeri Selangor.

JAWATAN:
1.Akauntan
2.Pegawai Hal Ehwal Islam
3.Penolong Pegawai Perancang Bandar dan Desa
4.Penolong Akauntan
5.Penolong Pegawai Penilaian
6.Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam
7.Pembantu Kewangan
8.Pembantu Hal Ehwal Islam
9.Pembantu Tadbir

IKLAN JAWATAN KOSONG
http://www.mais.net.my/images/stories/Iklan/Jkosong/pws/ijkpws111.pdf

BORANG PEMOHONAN
http://www.mais.net.my/images/stories/Iklan/Jkosong/pws/bpjkpws.pdf

Tarikh Tutup : 31 Mac 2011

Beramal Dengan Ayat Pendinding Diri

by
Hadith:

DARIPADA Ibnu Mas'ud r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Dua ayat dari akhir surah al-Baqarah, sesiapa yang membacanya maka cukuplah baginya daripada mengadakan qiamullail (atau kedua-duanya akan menjaganya dari segala kejahatan dan perkara-perkara yang tidak disukai).

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Huraian Hadith:

Dalam musnad Imam Ahmad, juzuk ke empat, halaman 156 disebut mahfum hadis, "Sesiapa yang menggantung tangkal maka sesungguhnya dia telah melakukan perkara syirik. Agama Islam amat melarang penggunaan tangkal meskipun tangkal tersebut menggunakan ayat-ayat al-Quran.

Mengapa? Kerana untuk mengelak atau menjaga kesucian ayat al-Quran daripada terbawa ke tempat yang kotor seperti ke dalam tandas dan sebagainya selain untuk membulatkan keyakinan dan keimanan kita bahawa Allah SWT bersifat Maha Pelindung kepada manusia daripada segala mara bahaya dan malapetaka.

Justeru adalah lebih baik untuk kita sebenarnya menghafal ayat-ayat al-Quran atau beramal dengan ayat-ayat al-Quran serta doa-doa khusus untuk memohon daripada Allah dan menghindari daripada apa yang tidak diingini.

Jangan sesekali kita terjebak dengan amalan khurafat, termasuk percaya kepada bomoh yang kononnya dapat membantu menghalau jin dan syaitan yang kebiasaannya mereka memuja mengamalkan perkara khurafat dan syirik kepada Allah sedangkan sebesar-besar dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah SWT adalah dosa syirik.

Perlu juga diingat bahawa tujuan al-Quran diturunkan bukan semata-mata untuk dijadikan azimat atau hanya disimpan untuk perhiasan di rumah sahaja, tetapi al-Quran diturunkan untuk dibaca, difahami, dikaji, dipelajari, diambil iktibar dan dijadikan pedoman serta diamalkan dalam kehidupan kita seharian. Al-Quran adalah penawar bagi segala penyakit.

Allah SWT berfirman dalam Surah Yunus ayat 57, maksudnya: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman".

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Sayangi jantung anda

by

 


Pada dasarnya, penyakit jantung adalah pembunuh senyap di kalangan wanita yang boleh diibaratkan sebagai bom jangka yang menunggu masa untuk meletup. Menurut data yang dikeluarkan oleh Pemantauan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) Malaysia 2005/2006, faktor risiko NCD yang jelas, seperti hiperkolesterolemia, kenaikan glukosa darah, obesiti (kegemukan) dan sebagainya adalah lebih tinggi di kalangan wanita berusia 25 hingga 64 tahun berbanding lelaki dalam kumpulan usia yang sama. 

Menurut Pakar Perunding Kardiologi, Datuk Dr. Khoo Kah Lin, yang juga Pengarah Yayasan Jantung Malaysia (YJM), penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu di kalangan wanita di Malaysia dan di seluruh dunia sejak berpuluh-puluh tahun lamanya. "Penyakit jantung sentiasa dianggap sebagai penyakit lelaki kerana kaum lelaki mendapat penyakit ini 10 tahun sebelum wanita. "Wanita dilindungi daripada penyakit jantung oleh tahap estrogen yang tinggi. 

Bagaimanapun, ini tidak bermakna wanita 'imun' atau lali kepada penyakit ini,” jelasnya. Tambah Dr. Kah Lin, tahap estrogen turun apabila wanita sudah menopaus atau putus haid. Tahap trigliserida dan LDL (kolesterol jahat) di kalangan wanita yang berumur juga naik, bukan sahaja disebabkan menopaus tetapi juga disebabkan kenaikan berat badan dan penuaan. Semua ini menaikkan risiko penyakit jantung di kalangan wanita. Jadi, sebelum putus haid, risiko wanita mendapat sakit jantung adalah lebih rendah berbanding lelaki. Namun, keadaan berubah apabila putus haid. Risiko wanita mendapat penyakit jantung kini setara dengan lelaki. 

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kesedaran umum terhadap kesihatan wanita, khususnya berkaitan kanser payu dara dan kanser serviks (pangkal rahim), telah meningkat. Kini wanita lebih menyedari tentang penyakit ini dan tahu cara untuk mengambil langkah pencegahan yang perlu untuk menjaga kesihatan mereka. Tetapi mengapa penyakit pembunuh nombor satu di kalangan wanita ini tidak mendapat perhatian yang sewajarnya? Inilah yang mendorong Kah Lin berusaha meningkatkan kesedaran di kalangan wanita, khususnya mereka yang berisiko tinggi. Baru-baru ini, Kah Lin sempat ditemuramah tentang usahanya meningkatkan kesedaran sakit jantung di kalangan wanita dan risiko yang dihadapi golongan ini. 

 Soalan 

 Walaupun mempunyai jadual tugas yang sibuk, Datuk tetap memainkan peranan aktif untuk menggerakkan kempen Go Red for Women di Malaysia sempena Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac. Mengapa?

 Jawapan 

Sebagai ahli Persekutuan Jantung Dunia, YJM ingin memainkan peranan dalam usaha menonjolkan penularan penyakit jantung di kalangan wanita. Sebagai seorang pakar kardiologi, saya berpendapat bahawa kesihatan jantung di kalangan wanita patut diberi lebih perhatian. Wanita menjaga semua orang di keliling mereka, tetapi mereka sering mengabaikan diri mereka sendiri dalam proses menjaga orang lain. Kempen antarabangsa Go Red for Women bertujuan untuk mengurangkan penyakit kardiovaskular (CVD) di kalangan wanita dengan meningkatkan kesedaran global dan komitmen kepada CVD di kalangan wanita. 

Soalan 

Bukankah penyakit jantung lebih kerap menyerang lelaki daripada wanita? Jawapan Pada umumnya, penyakit jantung memang dianggap menyerang kebanyakan lelaki, malah pakar penjagaan kesihatan profesional sendiri memberi lebih tumpuan kepada lelaki daripada wanita. Salah tanggapan inilah sebenarnya yang menyebabkan kita perlu mendidik orang ramai amnya dan wanita Malaysia khususnya, tentang serangan penyakit jantung di kalangan wanita. Seorang dalam setiap empat wanita Malaysia mati akibat penyakit jantung yang juga merupakan punca utama kematian di kalangan wanita. Kematian akibat sakit jantung adalah 2.5 kali lebih tinggi daripada kematian akibat semua penyakit kanser. Malah, dari tahun 1990 hingga 2005, penyakit jantung di kalangan wanita meningkat sehingga 135 peratus. Soalan Mengapa kadar kematian wanita yang disahkan sakit jantung begitu tinggi? 

Jawapan 

Biasanya saiz wanita adalah lebih kecil berbanding dengan lelaki. Ini menyukarkan rawatan, terutamanya apabila menggunakan kaedah angioplasti dan pembedahan bypass kerana saluran darah adalah lebih kecil. Soalan Apakah punca utama penyakit jantung di kalangan wanita? Jawapan Faktor risiko penyakit jantung adalah sama di kalangan lelaki dan wanita. Faktor yang paling tinggi menyumbang kepada penyakit jantung ini adalah Diabetes Mellitus, yang turut dikenali dengan risiko bersamaan kardiovaskular. Ini bermakna, sekiranya anda merupakan pesakit diabetes, besar kemungkinan anda mempunyai penyakit jantung. Selain itu, obesiti, kolesterol tinggi, hipertensi, pengambilan lemak secara berlebihan, kurang bersenam, dan merokok turut menjadi faktor penyumbang kepada penyakit jantung. Tambahan pula, risiko CVD di kalangan wanita menjadi lebih tinggi apabila usia mereka meningkat, disebabkan perubahan fisiologi yang dikaitkan dengan usia pertengahan dan menopaus, iaitu perlindungan semula jadi mereka daripada penyakit jantung. Estrogen berkurangan apabila putus haid. Namun, wanita lebih muda juga perlu menjaga kesihatan jantung mereka. 

Soalan 

Saya dapat tahu kesedaran terhadap gejala awal serangan jantung boleh menyelamatkan nyawa. Apakah gejala jelas yang menandakan serangan jantung di kalangan wanita? 

Jawapan 

Faktor risiko di kalangan wanita adalah sama seperti lelaki, tetapi wanita yang mengalami serangan jantung mungkin tidak menunjukkan tanda amaran seperti lelaki. Angina atau lebih dikenali sebagai sakit dada, adalah tanda amaran awal serangan jantung. Anda akan rasa himpitan dalam dada secara mendadak yang kemudian merebak ke lengan. Ini adalah kerana jantung anda tidak mendapat cukup oksigen disebabkan pengumpulan plak dalam arteri jantung. Selain daripada itu, anda akan merasa sakit di bahagian rahang, bahagian depan leher dan juga lengan, terutamanya lengan kiri, kadang-kala sakit pada kedua-dua lengan dalaman. Gejala-gejala yang lain termasuk sukar bernafas dan keletihan. 

Soalan 

Seperti yang sering dikatakan, pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati. Jadi, soalan penting ialah bagaimana saya, sebagai seorang wanita, boleh mencegah serangan jantung? 

 Jawapan 

Mengekalkan berat badan yang sihat adalah cara yang berkesan untuk menjaga kesihatan jantung. Amalkan gaya hidup sihat dengan bersenam secara sederhana setiap hari selama 30 minit. Makan secara sederhana dan ambil makanan yang sihat untuk jantung. Pilih makanan serat tinggi dan rendah lemak dan kurangkan pengambilan garam. Satu lagi langkah pencegahan yang mudah tetapi sangat berkesan ialah berhenti merokok, kerana merokok merosakkan jantung dan saluran darah. Kawal tekanan darah dan tahap kolesterol andadan ketahui sejarah keluarga anda sama ada terdapat anggota keluarga yang menghidap diabetes, tekanan darah tinggi dan sakit jantung dalam usia muda (bawah usia 55 tahun bagi lelaki dan bawah usia 65 tahun bagi wanita). Ini seharusnya memberi isyarat amaran awal untuk anda memberi lebih perhatian kepada kesihatan jantung anda. 

 - UTUSAN

Unit Amanah - Hak waris pelabur unit amanah tidak diabaikan

by
Sepintas lalu, masyarakat umum mungkin tidak sedar industri unit amanah sudah wujud di Malaysia sejak 1959 apabila konsep unit amanah diperkenalkan oleh Malayan Unit Trust Ltd. AmanahRaya bertindak sebagai pemegang amanah bagi tabung unit amanah pada 1966.
Industri unit amanah berkembang pesat seiring perkembangan pasaran saham negara. Industri ini menyumbang sekitar 19 peratus nilai aset bersih dalam pasaran modal negara.

Di Malaysia terdapat lebih 30 syarikat pengurusan unit amanah. Secara ringkasnya unit amanah akan melabur dalam kelas pelaburan bentuk tunai seperti simpanan tetap, pasaran wang; saham; bon; hartanah; komoditi dan sebagainya.

Dalam industri unit amanah, penting bagi pelabur melihat objektif sesuatu tabung unit amanah yang ada di pasaran. Ada beberapa jenis tabung yang diuruskan syarikat pengurusan unit amanah profesional antaranya Equity Fund; Fixed Income Fund; Money Market Fund; Real Estate Investment Trust (REITs); Exchange Traded Fund; Balanced Fund dan Syariah Fund.

Setiap jenis tabung unit amanah mempunyai objektif berbeza. Sebagai pelabur, maklumat berkenaan penting bagi menilai risiko pelaburan sebelum melabur. Maklumat boleh diperoleh dalam prospektus tabung.
Persoalannya adakah kita membaca prospektus sebelum membuat pelaburan? Kita tahu atau tidak ke mana wang dilaburkan? Atau kita melabur ikut kawan-kawan, yang penting untung. Ini bergantung atas penilaian pelabur itu sendiri.

Bagi AmanahRaya, apabila dilantik sebagai pemegang amanah, kami akan melaksanakan tugas mengikut peruntukan dalam surat ikatan yang ditandatangani dengan syarikat pengurusan unit amanah.

Industri unit amanah negara berkembang lebih pesat lagi dengan liberalisasi pelaburan luar negara oleh pihak berkuasa. Syarikat pengurusan unit amanah dana aktif mewujudkan tabung yang mana fokus pelaburannya adalah di luar negara.

Seiring perkembangan positif ini, AmanahRaya perlu menyiapkan diri dari segi keupayaan sistem ‘back office’ bagi memberi perkhidmatan terbaik dan cemerlang sebagai pemegang amanah. Pada masa sama meningkatkan profesionalisme sumber manusia.

AmanahRaya turut melantik beberapa bank asing sebagai rakan strategik dan melalui cara ini AmanahRaya boleh menggunakan sistem mereka untuk tujuan menyimpan dan memegang aset pelaburan luar negara di samping membuat penyelesaian urus niaga.

Pembaca mungkin berminat untuk mengetahui peruntukan undang-undang yang terpakai. Di samping surat ikatan dan prospektus, tanggungjawab dan tugas statutori AmanahRaya sebagai pemegang amanah tertakluk kepada Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Seksyen 288 dan 289 Akta 671 memperuntukkan pelantikan pemegang amanah yang diluluskan Suruhanjaya Sekuriti bagi sesuatu tabung unit amanah, manakala Seksyen 290 menyatakan keperluan mesti dipenuhi sebelum sesuatu pihak layak dilantik sebagai pemegang amanah.

Seksyen 300 menyenaraikan tugas pemegang amanah. Dalam konteks ini, AmanahRaya sentiasa memastikan peruntukan undang-undang sebelum bertindak sebagai pemegang amanah bagi tabung unit amanah.
Selain itu, tugas tambahan pemegang amanah merangkumi perkara seperti di bawah:
  • Menjalankan usaha ketekunan wajar dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab selaras surat ikatan, CMSA, garis panduan Suruhanjaya Sekuriti dan lain-lain undang-undang sekuriti yang diguna pakai.
  • Mengawal selia pelaburan yang dibenarkan dalam memastikan syarikat pengurusan unit amanah menguruskan dana mengikut peruntukan surat ikatan, CMSA, Garis panduan Suruhanjaya Sekuriti dan lain-lain undang-undang sekuriti yang diguna pakai.
  • Memastikan rekod berkaitan semua transaksi, dividen, pendapatan yang diagihkan kepada pemegang unit diselenggarakan dengan teratur.
  • Memastikan syarikat pengurusan unit amanah memaklumkan butiran mengenai polisi pelaburan dan sebarang perubahan berkaitan dengannya.
  • Memastikan akaun diaudit di akhir tempoh kewangan dan memastikan setiap pemegang unit menerima salinan akaun yang diaudit dalam tempoh dua bulan selepas tamat tempoh kewangan.
  • Kuasa untuk melantik juruaudit, ejen cukai dan penasihat undang-undang untuk tabung unit amanah.
  • Kuasa untuk memanggil mesyuarat sekiranya syarikat pengurusan unit amanah gagal membetulkan ketidakpatuhan berhubung peruntukan dalam surat ikatan, CMSA dan lain-lain undang-undang sekuriti.
  • Kuasa untuk menggulung sesuatu skim unit amanah.


Perkembangan pesat dalam industri unit amanah secara tidak langsung memberi cabaran kepada AmanahRaya. Antaranya, nilai tambah yang selalu diharapkan pelanggan adalah pengurusan risiko seperti risiko operasi, kewangan, pematuhan dan reputasi.

Bagi unit amanah dimiliki secara akaun bersama, apabila berlaku kematian, secara langsung pemegang bersama yang masih hidup adalah orang berhak. Maka dalam kes seperti ini, pelabur perlu merujuk kepada syarikat pengurusan unit amanah berkenaan tujuan pindah milik atau urusan lain.

Walau bagaimanapun, bagi kes pelabur yang tidak membabitkan akaun bersama dan apabila berlaku kematian, berdasarkan peruntukan surat ikatan, surat kuasa mentadbir diperlukan bagi membolehkan unit dipindahmilik kepada waris.

- BERITA HARIAN

Program Penempatan Pekerjaan Di Pusat Dagangan Terengganu 26-27 Mac 2011

by
Jabatan Tenaga Kerja Negeri Terengganu akan mengadakan program penempatan pekerjaan di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) pada 26 dan 27 Mac 2011 (Sabtu & Ahad).

Penolong Pengarah Tenaga Kerja Kanan Negeri Terengganu Mat Sulaiman Mat Salleh berkata 40 buah agensi kerja atau majikan dari seluruh negara akan menyertai program itu yang akan bermula dari pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang.

Golongan sasar program itu ialah pencari kerja terdiri daripada belia dan beliawanis dan kira-kira 1,200 golongan miskin yang tersenarai dalam e-kasih di Terengganu, katanya.

Mereka yang berminat untuk mencari kerja bolehlah datang menghadiri temuduga terbuka dengan membawa kad pengenalan dan sijil kelayakan.

– BERNAMA

Tilam berjaya selamatkan gadis terjun bangunan KB Mall

by

KOTA BHARU: Tindakan pantas orang awam menyediakan tilam berjaya menyelamat seorang gadis yang terjatuh dari tingkat tiga bangunan kompleks beli-belah KB Mall setinggi 30 meter, petang semalam.

Mangsa berusia 20-an yang dipercayai sebelum itu bergaduh dengan teman lelakinya dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk menerima rawatan.

Sebelum itu, jam 3.50 petang pengunjung KB Mall dikejutkan dengan tindakan gadis itu yang memakai baju putih lengan pendek dan berseluar jeans serta memegang pisau berdiri di tepi tingkat bangunan berkenaan.

Gadis itu berlegar di sudut bangunan sambil memegang pisau kemudian kelihatan bercakap melalui telefon selain menghantar SMS dan secara tiba-tiba cuba menggelar tangan serta lehernya.

Sesekali gadis yang bekerja di pusat beli-belah Wakaf Che Yeh dekat sini itu dilihat cuba mengacu dan meletakkan pisau pada lehernya.

Mangsa yang berasal dari Kampung Gaung, Kota Bharu dipercayai bertindak demikian kerana tertekan dengan masalah keluarga dan cinta.


Kira-kira 15 anggota Bomba dan Penyelamat dari Kota Bharu serta Pengkalan Chepa yang berada di bangunan itu memujuk gadis berkenaan selama 20 minit, namun gagal menyebabkan seorang anggota menghampirinya itu dalam usaha cuba memujuk mangsa.

Penguasa Bomba Bahagian Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat, Shahrin Yusmal Mat Yusof, berkata anggota Bomba, Mohd Zaki Ismail kemudian turun ke tepi bangunan dan menangkap tangan mangsa.

“Mohd Zaki berjaya menangkap tangan mangsa, namun gadis itu meronta-ronta untuk dilepaskan sehingga separuh badan mangsa hampir terjatuh.

“Oleh sebab tangan mangsa yang licin dan meronta-ronta, pegangan Mohd Zaki terlepas sekali gus mangsa jatuh di atas tilam yang sudah dibentangkan orang awam,” katanya.

- BERITA HARIAN & KOSMO!

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90