Top Ad 728x90

, ,

BN terus memerintah Sarawak dengan kemenangan majoriti 2/3

KUCHING: Barisan Nasional (BN) terus mendapat kepercayaan rakyat Sarawak pada pilihan raya negeri ke-10 dengan kemenangan dua pertiga dan Tan Sri Abdul Taib Mahmud kekal menerajui kerajaan negeri.

Kejayaan BN membentuk kerajaan negeri diketahui seawal jam 8.59 malam selepas memperoleh majoriti mudah 36 kerusi melalui kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu, manakala majoriti dua pertiga 48 kerusi diperoleh jam 9.43 malam dengan kemenangan di DUN Tamin.
Kira-kira 45 minit selepas mendapat mandat dua pertiga, Abdul Taib mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri untuk penggal ketujuh.

Abdul Taib, 75, yang memakai baju Melayu warna ungu, mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dalam satu majlis ringkas.

Ini adalah penggal kelapan Abdul Taib yang juga Pengerusi BN Sarawak memegang tampuk pemerintahan negeri sejak dilantik Ketua Menteri Sarawak pada Mac 1981.

Keputusan penuh yang diumum Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada jam 10.55 malam menyaksikan BN menang 55 kerusi, DAP (12), Parti Keadilan Rakyat (tiga), manakala Bebas menang satu kerusi.
Kemenangan BN disambut dengan nada gembira oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak yang mengikuti keputusan pilihan raya negeri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta pemimpin BN lain.

Sebaik kemenangan mudah diperoleh, Najib mengadakan sidang video dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Abdul Taib Mahmud di kediaman rasmi Ketua Menteri Sarawak di Demak Jaya di sini untuk mengucapkan tahniah kepada kepimpinan BN Sarawak dan rakyat negeri itu.

BN bertanding di semua kerusi dengan komponen utamanya, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) meletakkan calon di 35 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di 19 kerusi, manakala Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) masing-masing di sembilan dan lapan kerusi.

Daripada 55 kerusi dimenangi BN, PBB menang semua 35 kerusi ditandinginya, SPDP dan PRS masing-masing menyumbang tujuh kerusi, tetapi SUPP yang bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina, tewas teruk apabila hanya mampu menang enam kerusi iaitu Bawang Assan, Engkelili, Simanggang, Senadin, Opar dan Bengoh.

Abdul Taib menang selesa dengan majoriti 5,154 undi untuk mempertahankan kerusi Balingian, menewaskan calon Bebas, Datuk Salleh Jafaruddin, bekas Timbalan Menteri Pelajaran yang juga dua pupunya serta Suriati Abdullah daripada PKR.

Kejutan bagaimanapun, berlaku di DUN Piasau, Miri apabila penyandang kerusi, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam yang juga Presiden SUPP tewas kepada muka baru daripada DAP, Ling Sie Kiong.

Dua pemimpin komponen BN lain, iaitu Presiden SPDP, Datuk Seri William Mawan Ikom berjaya mempertahankan DUN Pakan dengan 3,938 undi, mengalahkan Jamal Abdullah @ Tedong Gunda (SNAP) dengan kelebihan 1,197 undi, manakala Presiden PRS, Datuk Seri Dr James Masing kekal di DUN Baleh selepas memperoleh 5,242 undi, mengetepikan calon PKR, Bendindang Manjah dengan majoriti 3,898 undi.

Turut menang Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Abang Johari Openg; Naib Presiden Kanan parti itu, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Ketua Penerangannya yang juga Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, masing-masing mempertahankan kerusi DUN Satok, Bukit Sari dan Tanjung Datu

- BERITA MINGGU

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90