Top Ad 728x90

, ,

Jabatan Meteorologi (JMM) pantau bencana


Bernaung di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM). JMM bukan sahaja beroperasi menentukan ramalan cuaca harian tetapi turut berfungsi besar dalam aktiviti pemantauan bencana serta cuaca buruk.

Menurut Pengarah Bahagian Geofizik dan Tsunami JMM, Dr. Mohd Rosaidi Che Abas, susulan kejadian tsunami yang melanda negara pada tahun 2004, JMM telah membangunkan Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) pada tahun 2005.

''Sistem ini berupaya mengeluarkan amaran tsunami secara berkesan kepada penduduk kawasan pantai yang terancam kepada bahaya tsunami serta gempa bumi," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya baru-baru ini.

Dr. Mohd Rosaidi memberitahu, SAATNM boleh dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu Pengumpulan Data dan Maklumat, Pemprosesan dan Analisis serta Penyebaran.

Dengan keupayaan operasi 24 jam setiap hari, SAATNM mampu menentukan parameter, lokasi dan magnitud gempa dalam masa kurang lima minit seterusnya mengeluarkan amaran kepada orang awam dalam tempoh 12 minit.

Ia bertujuan membolehkan orang ramai bersedia dan memberi masa kepada mereka untuk berpindah secepat mungkin.

Untuk komponen Pengumpulan Data dan Maklumat SAATNM, ia disokong oleh rangkaian teknologi seperti 17 buah stesen seismik, 17 buah rangkaian tolok pasang surut air, 18 kamera pantai dan tiga pelampung tsunami.

Selain stesen seismik nasional, SAATNM turut menerima data seismik daripada 25 stesen seismik dari luar negara pada masa nyata.

''Pihak JMM ketika ini sedang merancang menambah bilangan stesen seismik nasional supaya lebih banyak data dapat di cerap dan informasi yang lebih tepat dapat diperolehi,'' terangnya.

Melihat fungsi kamera pantai, ia mampu memaparkan imej keadaan laut berhampiran pantai bagi mengesahkan kejadian tsunami secara visual.

Bagi komponen pemprosesan pula, ia terdiri daripada perisian penentuan parameter gempa bumi serta model numerikal tsunami.

Fungsinya adalah untuk menentukan tempoh tsunami sampai ke perairan negara selain menganggar ketinggian ombak yang akan menyerang.

Sementara komponen Penyebaran pula dilengkapi 23 buah siren amaran yang ditempatkan di beberapa lokasi strategik, pemberitahuan melalui telefon, faksimili, talian hotline kepada stesen radio dan televisyen, khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web serta sistem Fixed Line Alert (FLAS).

''Teknologi yang digunapakai oleh JMM ini memberi maklumat sangat tepat dan menyeluruh setanding dengan teknologi seperti di Pusat Tsunami Antarabangsa.

''SAATNM turut menerima maklumat gempa bumi dan amaran tsunami daripada Regional Tsunami Warning Provider (RTWP) di Australia, Indonesia dan India,'' jelasnya.

Bagi komponen penyebaran, JMM ada menjalankan aktiviti Latih Amal Tsunami bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat serta agensi berkaitan dalam memberi tindak balas berhadapan bencana.

''Latihan in dapat menguji kepantasan penyaluran maklumat amaran awal tsunami daripada SAATNM kepada agensi-agensi pengurusan bencana.

''Objektifnya untuk memastikan orang awam yang berada di kawasan pantai dapat dipindahkan ke kawasan selamat dalam masa 20 minit sekiranya berlaku bencana,'' katanya.

Selain itu, JMM turut menganjurkan Kempen Kesedaran Awam Gempa Bumi dan Tsunami dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) bermula tahun 2007.

Kandungan kempen meliputi penerangan mengenai bahaya dan risiko gempa bumi serta tsunami, sistem amaran awal, kaedah penyebaran, jenis amaran dan tindakan yang harus diambil apabila amaran dikeluarkan.

''Semua inisiatif ini dilaksanakan atas kesedaran Malaysia sebenarnya bebas daripada risiko bencana gempa dan tsunami secara am sahaja dan bukan secara total," jelasnya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90