Top Ad 728x90

,

Kawasan panas di Kuala Lumpur


Kawasan panas atau hotspot, pada tanggapan umum biasanya melibatkan lokasi di mana kegiatan jenayah berleluasa.

Bagaimanapun bagi pihak berkuasa, selagi lokasi itu melibatkan kes yang perlu diberikan perhatian serius seperti kesalahan lalu lintas, ia boleh diisytiharkan sebagai kawasan panas.

Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusup berkata, dalam konteks ini kawasan panas itu adalah berdasarkan jumlah notis kesalahan lalu lintas yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL.

“Kawasan-kawasan yang sering mencatatkan jumlah pengeluaran notis kesalahan lalu lintas paling tinggi disifatkan sebagai kawasan panas.

“Berdasarkan tindakan penguatkuasaan DBKL bagi tahun 2010, sebanyak 682,032 atau kira-kira 50 peratus daripada 1,351,619 notis kesalahan lalu lintas membabitkan kawasan panas,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.

Salleh berkata, kawasan panas tersebut adalah Jalan Bukit Bintang, Jalan Alor, Jalan Masjid India, Jalan Raja Laut, Jalan Tunku Abdul Rahman, Brickfields, Bangsar, Jalan Petaling dan Sri Hartamas.

Menurut beliau, ia menjadi tumpuan orang ramai berikutan banyak premis di lokasi terbabit menjalankan pelbagai urus niaga seperti bank, pusat beli-belah dan restoran.

“Selain itu, ia mungkin turut berpunca daripada kemudahan parkir yang disediakan di lokasi berkenaan tidak dapat menampung bilangan kenderaan semasa.

“Ini menyebabkan kebanyakan pengguna terpaksa meletakkan kenderaan di tempat yang boleh menghalang dan membahayakan lalu lintas,” katanya.

Bagaimanapun Salleh mengakui bahawa penawaran tidak dapat menampung permintaan iaitu jumlah trafik dan keperluan kemudahan tempat letak kereta.

Namun pada masa yang sama, katanya, DBKL perlu menguruskan masalah itu dan ia turut melibatkan kerjasama daripada orang awam.

“Pengguna dinasihatkan supaya menggunakan pengangkutan awam terutama di kawasan-kawasan yang sukar untuk mendapatkan kemudahan parkir.

Beliau menegaskan, selain kawasan panas yang disebutkan, DBKL tetap menjalankan operasi di tempat-tempat lain.

Tidak Semestinya Di Zon Tunda

TIDAK kira siapa pun pemiliknya atau semewah mana kenderaan itu, kren penunda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak pernah mengenal ‘mangsa’.

Selagi kenderaan itu diletakkan sesuka hati sehingga menghalang atau membahayakan lalu lintas maka diisytiharkannya sebagai ‘tetamu sementara’ Depoh Simpanan Kenderaan Ditunda DBKL.

Kunjungan penulis ke depoh berkenaan di Jalan Jinjang, Jinjang, Kuala Lumpur baru-baru ini berpeluang melihat kenderaan yang ditunda dihimpunkan.

Secara kebetulan, tiga kenderaan mewah baru dibawa masuk menerusi kren ke depoh; menjadi antara 60 sehingga 70 kenderaan yang ditunda di Kuala Lumpur setiap hari.

Awas! Kenderaan anda juga akan menjadi mangsa seterusnya sekiranya masih terus berdegil untuk meletakkan kenderaan sesuka hati meskipun bukan di Zon Tunda.

Pastinya, ada pihak yang menyuarakan rasa tidak puas hati dan mempertikaikan apabila kenderaan mereka ditunda bukan di luar kawasan zon berkenaan.

Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL, Mohd Sauffi Muhamad hanya tersenyum berhubung perkara itu.

“Papan tanda Zon Tunda itu sekadar peringatan untuk semua agar mematuhi undang-undang lalu lintas dan penguatkuasa DBKL adalah meluas.

“DBKL boleh menunda mana-mana kenderaan yang menyebabkan halangan lalu lintas meskipun ia bukan diletakkan di Zon Tunda,” katanya.

Sebanyak 30 kren bersedia memberi khidmat untuk menunda kenderaan di Kuala Lumpur dalam operasi setiap hari dari pukul 8 pagi sehingga 10 malam.

Berdasarkan tindakan penguatkuasaan DBKL pada tahun 2010, sebanyak 11,207 kenderaan yang ditunda dengan kompaun sejumlah RM2.31 juta.

Mohd Sauffi berkata, daripada jumlah kenderaan yang ditunda itu, sebanyak 51 kenderaan tidak dituntut mungkin disebabkan tidak membayar pinjaman kenderaan.

“DBKL juga telah membongkarkan sebanyak 22 kenderaan di bawah kes polis berikutan kenderaan yang ditunda itu melibatkan kes curi,” katanya.

DBKL akan menyimpan semua kenderaan yang ditunda di depoh untuk urusan tuntutan sehingga tiga bulan.

Kenderaan yang ditunda tetapi tidak dituntut selepas tempoh itu akan melalui proses lelongan awam atau pelupusan berdasarkan keputusan mesyuarat DBKL.

Tunda Kereta: Tiada Kesalahan Kedua

> Bahagian: Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL.

> Kakitangan: Seramai 220 orang yang melakukan operasi berkaitan dengan trafik.

> Objektif: Penguatkuasaan DBKL merupakan cara untuk mengubah sikap dan memberi kesedaran kepada pengguna terhadap peraturan lalu lintas.

> Kesalahan: Meletakkan kenderaan di siar kaki, garisan kuning, mengingkar papan tanda dan menghalang serta membahayakan lalu lintas.

> Notis kesalahan lalu lintas: 1.35 juta (2010) dan 191,633 (Dari Januari sehingga 15 Mac 2011).

> Kawasan panas: 682,032 atau kira-kira 50 peratus daripada 1,351,619 notis kesalahan lalu lintas.

> Tindakan tunda kereta: 11,207 kenderaan (2010) dan 1,450 kenderaan (Dari Januari sehingga Februari 2011).

> Rekod: Tiada kesalahan kedua bagi mereka yang dikenakan tindakan tunda kereta.

> Kompaun tunda kereta: RM2.32 juta (2010) dan RM282,415 (Dari Januari sehingga Februari 2011). Keduanya-duanya termasuk upah tunda dan upah simpan.

> Sehari: Secara purata, antara 60 sehingga 70 kenderaan ditunda.

> Kes tidak dituntut: 51 kenderaan.

> Sebab: Antaranya tidak bayar pinjaman dan insurans.

> Kes polis: 22 kenderaan.

> Sebab: Kes jenayah; kereta yang ditunda adalah kereta curi.

> Kren: Sebanyak 30 kren digunakan untuk menunda kenderaan yang menghalang lalu lintas di Kuala Lumpur.

> Operasi: Setiap hari dari pukul 8 pagi sehingga 10 malam (kecuali tindakan khas berdasarkan aduan yang beroperasi selama 24 jam pada hari tertentu).

> Depoh: Depoh Simpanan Kenderaan Ditunda, Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL, Jalan Jinjang, Kuala Lumpur.

> Tempoh simpan untuk tuntutan: Tiga bulan.

> Talian: Pusat panggilan 1800-88-3255 atau 03-26573671.

- MSTAR

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90