Top Ad 728x90

Syarat baru keputusan Universiti Al-Azhar

KUALA LUMPUR 2 April - Syarat baru iaitu peperiksaan kelayakan bahasa Arab untuk penuntut Malaysia bagi kemasukan ke Universiti Al- Azhar, Mesir merupakan keputusan yang dibuat oleh universiti itu sendiri dan bukannya dicadangkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sistem peperiksaan itu dipersetujui oleh kementerian kerana penguasaan bahasa Arab di kalangan penuntut Malaysia adalah lemah.

"Menurut pihak universiti itu, ramai penuntut kita tidak dapat menyempurnakan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan disebabkan masalah itu.

"Bagaimanapun, kita meminta pihak pengurusan Universiti Al-Azhar memberi kemudahan kepada penuntut kita untuk menduduki peperiksaan itu di negara ini tanpa perlu ke Mesir," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penutup Karnival Pengajian Tinggi Negara 2011 'Jom Masuk U' Kali Ketujuh yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Mohamed Khaled tidak mahu orang ramai mempunyai salah tanggapan bahawa kementerian dengan sengaja memperkenalkan syarat itu bagi 'menyukarkan' lagi kemasukan penuntut Malaysia ke universiti itu.

Sementara itu, Mohamed Khaled meminta institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyediakan peluang kepada masyarakat setempat untuk menyambung pengajian di kampus masing-masing.

Sehubungan itu katanya, pihak universiti perlu mengenal pasti pelajar cemerlang di kawasan masing-masing untuk mengikuti program khas asasi atau kursus universiti yang kurang mendapat sambutan secara terus tanpa perlu memohon menerusi Unit Pengurusan Universiti (UPU).

Dalam pada itu katanya, 140,140 tempat disediakan untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) serta pusat latihan pada tahun ini.

Daripada jumlah itu jelasnya, 16,640 tempat adalah bagi mengikuti pengajian pusat asasi, diploma IPTA (23,000), diploma Politeknik (51,000), sijil kolej komuniti (11,000) dan sijil Institut Latihan Kemahiran Awam (38,500).

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90