Selasa, Mei 31, 2011

Kalendar Aktiviti & Peristiwa Penting Bulan Mei 2011

1 Mei 2011 - Hari Pekerja

6 Mei 2011 - Semakan Keputusan ke IPTA bagi Lepasan SPM

8 Mei 2011 - Hari Ibu

12 Mei 2011 - Hari Jururawat

16 Mei 2011 - Hari Guru

17 Mei 2011 - Hari Wesak

20 Mei 2011 - Semakan Temuduga Program Pendidikan Ambilan Julai 2011

25 Mei - 1 Jun 2011 - Temuduga Program Pendidikan ke IPTA

25 - 30 Mei - Karnival Buku Terengganu 2011 di Pusat Dagangan Terengganu

Bonda Sultan Selangor Mangkat

PETALING JAYA: Bonda Sultan Selangor, Raja Nor Saidatul Ihsan Tengku Badar Shah, 88, mangkat di Hospital Ampang Puteri dekat sini pukul 9 pagi tadi.

Jenazah dibawa ke Istana Alam Shah, Klang sebelum disemadikan di Makam Diraja Shah Alam selepas solat Asar.

Almarhum merupakan isteri pertama kepada AlMarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, ayahanda Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Bersama Almarhum Sultan Salahuddin, Raja Nor Saidatul Ihsan dikurniakan tiga putera dan empat puteri iaitu Sultan Sharafuddin, Tengku Puteri Sofiah, Tengku Sulaiman Shah, Tengku Puteri Seri Zanariah, Tengku Abdul Samad Shah, Tengku Puteri Arafiah dan Tengku Puteri Aishah.

- MSTAR

Kenaikan Tarif Elektrik 7 Peratus Berkuat Kuasa 1 Jun 2011

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan tarif elektrik yang barudengan kenaikan purata sebanyak 7.12 peratus atau 2.23 sen/kilowatt-jam (kWj) berkuat kuasa 1 Jun ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, bagaimanapun kenaikan itu tidak akan menjejaskan pengguna domestik yang menggunakan elektrik pada kadar 300 kWj sebulan ataukurang.

"Ini bermakna, 75 peratus atau 4.4 juta daripada 5.94 juta pengguna domestik tidak mengalami kenaikan bil elektrik bulanan selagi mereka mengekalkan penggunaan elektrik pada kadar 300 kWj sebulan," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Selain itu Chin berkata, kerajaan juga memberikan bekalan elektrikpercuma kepada pengguna berpendapatan rendah yang menggunakan elektrik berjumlah RRM20 dan ke bawah sehingga 31 Disember tahun ini.

"Kerajaan dijangka akan menanggung kos sebanyak RM122 juta setahun bagi membiayai bekalan elektrik percuma kepada 900,000 pengguna di Semenanjung," katanya.

Menurut beliau lagi, selaras dengan dasar kerajaan untuk melindungi kebajikan pengguna terutama golongan berpendapatan rendah, jumlah 'lifeline band' untuk pengguna domestik akan dikekalkan pada 200kWj sebulan pada kadar unit 21.8sen/kWj.

"Oleh itu tiada kenaikan tarif untuk pengguna 'lifeline band' yang terdiri daripada 3.3 juta pengguna atau 55.4 peratus daripada pengguna domestik," katanya.

Jelas beliau, semakan tarif elektrik ini akan membolehkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempertingkatkan pelaburan dalam penyediaan infrastruktur pembekalan elektrik yang lebih baik termasuk pengukuhan sistem penghantaran dan pengagihan.

"TNB dijangka melabur sebanyak RM4.5 bilion setiap tahun untuk menyediakan dan menaik taraf sistem infrastruktur bekalan elektrik.

"Sesuai dengan semakan tarif asas ini, pihak kerajaan meluluskan pakej penstrukturan tarif yang perlu dilaksanakan oleh TNB seperti menaikkan kadar diskaun di luar waktu puncak bagi 'Thermal Energy Storage (TES) daripada 1.5 sen/kWj kepada 3.5 sen/kWj," katanya.

Kata Chin lagi, TNB perlu memberi diskaun sebanyak 10 peratus daripada kadar tarif biasa kepada institusi pendidikan yang dibiayai sebahagiannya oleh kerajaan seperti yang diberikan kepada rumah ibadat, institusi kebajikan dan institusi pendidikan yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

Pada sidang media yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop turut mengumumkan keputusan kerajaan mengenai struktur harga baru bagi gas yang yang dibekalkan oleh Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS) kepada sektor elektrik dan industri.

Menurut beliau, gas kepada sektor elektrik dan industri dinaikkan sebanyak RM3.00/milion British thermal unit (MMBtu) setiap enam bulan bermula 1 Jun 2011 hingga Disember 2015.

"Harga gas akan mengikut harga pasaran bermula pada 2016.

"Langkah menyemak semula harga gas ini dibuat secara berperingkat bertujuan menangani isu herotan dalam pasaran serta mengurangkan tanggungan subsidi harga gas oleh kerajaan dan PETRONAS," katanya.

Jelas Nor Mohamed, kenaikan secara berperingkat ini memberi kepastian kepada sektor industri dalam merangka perbelanjaan operasi syarikat.

Katanya, di sebalik kenaikkan berkenaan, kerajaan dan PETRONAS pada 2011 masih lagi menanggung subsidi harga gas yang dianggarkan berjumlah RM25.64 bilion.

"Harga gas terbaru ini masih kompetitif berbanding harga pasaran bahan api alternatif seperti gas petroleum cecair (LPG) dan 'Medium Fuel Oil; yang meningkat daripada USD37.05 setong pada Mac 2009 kepada USD93.98 setong pada suku pertama 2011.

"Keputusan terbaru ini tidak akan menjejaskan daya saing industri tempatan dalam jangka panjang. Sebaliknya ia akan membolehkan sektor industri membuat penyesuaian serta meningkatkan lagi kecekapan dan produktiviti," katanya.

- MSTAR

Tempoh Kursus Diploma Bukan Teknikal Di Politeknik Dipendekkan

PUTRAJAYA: Mulai tahun ini, tempoh pengajian bagi kursus diploma bukan teknikal seperti perdagangan dan hospitaliti di politeknik di seluruh negara akan dipendekkan kepada dua hingga dua tahun setengah berbanding tiga tahun sekarang.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia sebagai salah satu tarikan kepada golongan pelajar untuk memilih institusi berkenaan sebagai alternatif melanjutkan pengajian di mana ia akan dapat menjimatkan masa dan wang mereka.

"Misalnya seperti kursus menjahit, kita berpendapat tak ada keperluan nak belajar menjahit sehingga tiga tahun. Lagi lama lagi banyak pelajar itu kena berhutang (untuk menampung kos pengajian). Kita mahu masa itu benar-benar dimanfaatkan," katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Isnin.

Mohamed Khaled berkata, langkah itu dijangka akan dapat meningkatkan jumlah pelajar politeknik dalam bidang-bidang tersebut, sekaligus dapat membantu kerajaan melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan mencapai sasaran politeknik bagi melahirkan 490,000 tenaga mahir berdiploma menjelang 2020.

Selain itu beliau berkata, bagi mengarusperdanakan pengajian di politeknik, pihak itu diharap dapat menjalankan kerjasama artikulasi dengan institusi pengajian tinggi swasta dalam negara, serta pusat-pusat pengajian di luar negara bagi membolehkan pelajarnya melanjutkan pengajian ke pusat-pusat tersebut.

Setakat ini katanya program artikulasi itu hanya dilaksanakan dengan empat Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), selain Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Kerajaan juga akan mengekalkan yuran politeknik yang juga merupakan antara yang termurah iaitu RM400 setahun, selain menawarkan pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) kepada mereka yang layak bagi memastikan institusi itu terus menjadi pilihan, katanya.

Mohamed Khaled sebelum itu menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara Jabatan Pengajian Politeknik dengan pihak industri dan badan profesional iaitu Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) Malaysia, Ericsson (M) Sdn Bhd, Islamic Banking and Finance Institute of Malaysia (IBFIM) dan Mesiniaga Berhad.

Beliau berkata program kolaborasi itu akan meliputi beberapa aktiviti termasuk kerjasama bagi program akademik, latihan industri bagi pelajar dan sangkutan pensyarah serta pembangunan kurikulum dalam bidang perdagangan dan elektronik yang merupakan teras kepada sistem politeknik.

"Saya berharap kerjasama ini akan dapat dilakukan secara lestari dan mapan. Pihak politeknik juga telah meningkatkan kekuatan mereka dengan menubuhkan pusat-pusat teknologi yang bertunjangkan bidang tujahan seperti Kejuruteraan Marin, Kejuruteraan Elektronik Perubatan dan Reka Bentuk Kreatif dan Industri dan saya berharap pihak industri akan dapat bekerjasama dengan politeknik untuk menjayakan pusat-pusat teknologi ini," katanya.

- BERNAMA

Cabaran Guru Bila Anak Murid Lebih Ke Hadapan


Nilai-nilai seorang guru yang cemerlang memang terpancar pada pertuturan dan air wajahnya. Kata-katanya lembut dan berhemah bukti pengalaman mengajarnya selama 41 tahun.

Asnah Mansor, 58, adalah antara tokoh pendidik cemerlang dan wajar dicontohi. Walaupun tahun ini sambutan hari guru tidak lagi diraikan di sekolah, namun, semangat guru tetap sebati dalam jiwanya biarpun baru sebulan bergelar ‘cikgu pencen’.

Bagi Asnah, mengenang kembali sambutan hari persaraan beliau di sekolah terakhir beliau berkhidmat, Sekolah Kebangsaan Taman Midah 2 tentu sahaja satu kenangan manis dalam kerjaya perguruannya.

Daripada sekecil-kecil murid pra sekolah hinggalah ke murid tahun 6, mereka berkumpul meraikan guru yang disayangi. Seronok melihat gelagat mereka membuat persembahan penuh ikhlas di atas pentas.

Paling menggembirakan apabila melihat barisan panjang murid yang diajarnya beratur memegang hadiah buat Cikgu Asnah yang disayangi. Bagi seorang guru bukan hadiah yang dinanti tetapi didikan dan tunjuk ajarnya yang diingati mereka.

Asnah tentu sahaja merindui wajah-wajah polos anak-anak masa depan negara itu. Bahkan tentu sahaja beliau merindui rakan seperjuangan.

LOMPONG DALAM PENDIDIKAN

Istimewanya guru bersara ini ialah semangat dan dedikasi beliau dalam menjalankan tugasnya yang wajar dicontohi oleh kelompok guru muda hari ini.

Bagi Asnah, tugas guru semakin mencabar lebih-lebih lagi apabila anak murid lebih ke hadapan daripada guru. Malahan karenah dan harapan ibu bapa juga adalah satu cabaran buat guru masa kini.

"Dunia pendidikan sekarang memang banyak berubah. Cabaran yang dihadapi oleh guru lebih besar berbanding dahulu. Apatah lagi dengan keadaan murid sekarang yang lebih ke hadapan berbanding guru dan ada juga yang kurang menghormati orang tua," kata Asnah yang telahpun melalui pelbagai fasa perubahan dalam sistem pendidikan negara.

Pandangan Guru Cemerlang Bahasa Malaysia ini mengenai perkembangan pendidikan negara dari kaca mata seorang guru yang telah lama berkhidmat, mungkin boleh dijadikan panduan.

Bagi Asnah, sebagai guru, beliau melihat terdapat lompong dalam sistem pendidikan negara. Walaupun akur bahawa setiap perubahan polisi yang dilaksanakan adalah bertujuan membuat penambahbaikan, tetapi ada beberapa perkara yang kurang berkaitan.

"Sebagai guru di sekolah rendah, saya melihat murid sama ada di bandar mahupun luar bandar, mereka kurang pendedahan kepada dunia luar. Berbeza dengan murid yang pernah mengikuti ibu bapa mereka ke luar negara dan bersekolah di sana, apabila pulang ke sini, corak pengajaran dan sistemnya seperti menyekat kemahiran dan kreativiti mereka."

Menurut Asnah, memang benar seperti yang banyak diperkatakan, corak pembelajaran yang terlalu berorientasikan peperiksaan menyebabkan pelajar mudah hilang arah. Jika guru boleh menerapkan lebih banyak elemen praktikal dalam pengajaran mereka, murid akan lebih pro aktif dan dapat mengasah kemahiran.

"Contohnya mata pelajaran Kemahiran Hidup, walaupun diajar sejak tahun empat, apabila masuk tingkatan 1, masih ada yang ketuk paku pun tak lepas. Sia-sia sahaja tiga tahun mereka belajar kelas Kemahiran Hidup kerana apabila masuk tingkatan 1, asas yang sama perlu diulang."

"Saya fikir, fokuskan murid terhadap apa yang mereka minat sejak di sekolah rendah lagi. Di tahun 1-3, kita melihat perkembangan dan minat mereka, kemudian masuk tahun empat hingga enam, mereka sudah tahu pengkhususan masing-masing. Mereka juga perlu didedahkan dengan dunia kerjaya sejak di peringkat sekolah rendah lagi," saran beliau.

TERLALU TUMPU PEPERIKSAAN

Menurut beliau, tumpuan yang terlalu terhadap peperiksaan boleh menyebabkan guru mengabaikan murid yang tidak berada di tahun peperiksaan. Apabila di sekolah menengah pula, guru lebih tertumpu kepada pelajar tingkatan tiga dan tingkatan lima.

Sedangkan pelajar yang baru memasuki sekolah menengah memerlukan bimbingan. Di pihak ibu bapa pula, mereka percaya jika anak berjaya mendapat 4A atau 5A, mereka akan cemerlang di sekolah menengah.

"Sebenarnya di peringkat awal sekolah menengahlah mereka perlu diberi lebih perhatian. Kadang-kadang, kita terlepas pandang hal ini menyebabkan ramai anak Melayu yang tercicir sebaik sahaja memasuki sekolah menengah kerana fokus mereka terganggu dan dipengaruh dengan anasir lain.

Sebagai guru yang berpengalaman mengajar Bahasa Malaysia di sekolah rendah, mereka memikul tangungjawab membentuk sahsiah. Menurutnya, dahulu, pembelajaran Bahasa Malaysia adalah satu daripada subjek yang boleh dijadikan medium membentuk peribadi pelajar.

"Misalnya sebelum memulakan pembelajaran, cikgu dah terapkan nilai-nilai moral yang baik terhadap seisi kelas. Kemudian barulah pelajaran bermula. Malahan semasa sesi pembelajaran berlangsung, guru boleh bertindak menarik perhatian dan kesedaran pelajar tentang nilai-nilai murni," sambung Asnah yang bergelar Guru Pakar Bahasa Malaysia dan bergelar Guru Cemerlang 1Malaysia.

Bukti kejayaannya apabila hasil kecemerlangan pengajarannya dalam kelas telah dirakamkan dalam bentuk cakera padat (CD) dan diedarkan ke semua sekolah rendah di seluruh negara.

KERJASAMA GURU DAN IBU BAPA

Sebelum memulakan kerjaya perguruannya sebagai lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (sekarang Universiti Perguruan Sultan Idris), Asnah sudah mula mengajar secara sambilan selama lapan tahun. Sehinggalah beliau ditawarkan ke MPSI dan sejak itu, beliau menetapkan fokusnya untuk menjadi guru.

Beliau mencurahkan ilmu di lima buah sekolah sepanjang perkhidmatannya iaitu di Sekolah Kebangsaan Sri Pangkor, Sekolah Convent Bukit Nanas, Sekolah Kebangsaan Jalan Peel, Sekolah Kebangsaan Yaakob Latif 2 dan berakhir di Sekolah Kebangsaan Taman Midah 2. Sepanjang tempoh itu, beribu murid diajarnya termasuk Menteri Besar Perak sekarang, Datuk Seri Diraja Dr Zambri Abd Kadir.

Bagi wanita yang berperwatakan tenang ini, kejayaan seseorang murid dan sesebuah sekolah adalah hasil kerjasama antara guru dan ibu bapa. Jika dahulu, ibu bapa sering ke sekolah untuk menyokong PIBG, hari ini ibu bapa hadir ke sekolah semata-mata untuk membuat aduan terhadap guru.

"Saya fikir, sebagai guru, pasti ada sebab anak murid dimarahi. Bukan semua guru sengaja memukul atau memarahi anak murid. Misalnya tidak menyiapkan kerja sekolah, malas atau tidak menghormati guru. Bila keadaan ini timbul, guru pun boleh tawar hati untuk mengajar dengan ikhlas apabila kepercayaan daripada ibu bapa tidak diperoleh," sambung Asnah.

Asnah juga melihat perubahan semangat kerjasama sesama guru sudah jauh berbeza.

Walaupun tugas guru memang berat ditambah dengan bebanan tugas selain mengajar, Asnah berpendapat kerjasama sesama guru perlu dipupuk bagi mengurangkan beban itu. Kesibukan guru mungkin menyebabkan mereka terpaksa bertindak sendirian berbanding guru pada 10-20 tahun lepas. "Saya masih ingat, dulu rakan-rakan setugas banyak membantu dalam menyiapkan tugasan mengajar untuk mendapatkan taraf guru pakar. Ia menjadi kerjasama berpasukan berbeza hari ini guru lebih banyak mengambil sikap sendiri-sendiri, mungkin perkara ini juga perlu diberi perhatian agar profesion ini terus dipandang tinggi," katanya.

ANAK BERJAYA

Beliau bukan sahaja bergelar guru cemerlang, bahkan ibu kepada empat orang anak dengan lima orang cucu ini juga cemerlang sebagai ibu apabila anak-anaknya juga berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading hingga ke luar negara.

Anak sulungnya, Mohamad Nizam Mohamed Shapie, 32, sedang menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah di University of Wales Institutes Cardiff, United Kingdom, yang kedua Mohamad Azlan, 31, Pengarah di sebuah syarikat swasta, anak ketiga Mohamad Fahmi, 30, seorang guru dan yang bongsu Noor Izni, 28, bergelar doktor perubatan dan kini bertugas di Hospital Kuala Lumpur.

Bagi Asnah, sokongan suami Mohamed Shapie, 63, bekas pegawai di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang sentiasa membantu adalah pendorong kejayaan mereka sekeluarga.

Sebagai guru dan ibu, Asnah berpendapat, kemahiran seorang anak perlu dilihat sejak mereka di sekolah rendah. Manakala ibu bapa pula, jangan terlalu mengongkong anak dengan pelajaran sahaja. Didikan agama juga perlu agar mereka seimbang. Beri juga ruang untuk mereka bermain kerana anak-anak di sekolah rendah akan menjadi lebih kreatif dan cerdas apabila mereka diberi kebebasan untuk bermain.

"Bayangkan kepenatan mereka yang terpaksa belajar di sekolah dan kemudian petang ke sekolah agama dan malamnya pula ke pusat tuisyen. Jadi mereka perlu diberi ruang bagi melepaskan tekanan tersebut. Misalnya dengan mengizinkan mereka keluar bermain selepas pulang dari sekolah agama.

"Sekurang-kurangnya ia dapat melepaskan tekanan belajar yang dihadapi," tambah guru bersara ini sambil berharap akan adanya perubahan yang lebih relevan terhadap dunia pendidikan di negara ini.

- BERNAMA

Hati Yang Selalu Muda

Hadith:

DARI Abu Hurairah r.a katanya, nabi s.a.w bersabda: "Hati seorang tua tetap muda dalam hal mencintai dua perkara iaitu dalam hal mencintai hidup dan harta benda."

Riwayat Muslim

Huraian Hadith:

Kehidupan ini akan menjadi indah jika kita sentiasa bersemangat untuk meneruskan hayat. Dengan perkataan lain apabila semakin tua usia kita, jiwa kita semakin muda.

Tetapi muda di sini bukanlah bermaksud menganggap kematian itu masih jauh sehingga tidak kenal erti taubat dan tidak habis-habis melakukan maksiat yang walaupun usia sudah lanjut, 'rumah kata pergi, kubur kata mari', masih juga bergelumang dengan dosa.

Hal yang demikian ini merupakan suatu yang amat merugikan. Oleh sebab itu kita diminta untuk merebut 5 peluang sebelum tiba 5 rintangan iaitu waktu kaya sebelum miskin, waktu senang sebelum sibuk, waktu sihat sebelum sakit, waktu muda sebelum tua dan waktu hidup sebelum mati.

Maka sebagai insan yang percayakan kedatangan hari kiamat dan kematian itu akan datang pada bila-bila masa, tidak harus menanamkan kecintaan berlebihan terhadap dunia kerana esok sebenarnya bukanlah satu kenyataan.

Bahkan kenyataannya adalah di saat-saat sekarang. Oleh itu jalan yang paling selamat ialah dengan berpegang pada prinsip bahawa seseorang itu harus berusaha (bekerja) seolah-olah dia akan hidup selama-lamanya dan beribadat seolah-olah dia akan mati pada esok hari.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Zuriana bisnes melalui blog


Bagi yang obses beg tangan berjenama dan diimport dari luar negara tetapi inginkan harga yang lebih murah, anda sebenarnya berpeluang untuk mendapatkannya.

Berbekalkan sebuah komputer dan melayari laman blog wwwbegalicious.blogspot.com, kini anda boleh membuat pelbagai pilihan mengikut cita rasa dengan hanya di hujung jari.

Jenama Coach, Kate Spade, Aiteen Aigner, Marc Jacobs, Gucci dan jenama-jenama lain yang menjadi trend masa kini ditawarkan kepada pelanggan di seluruh negara secara talian, lengkap dengan harga serta cara untuk membuat pesanan.

Selain beg tangan wanita, barangan berjenama lain seperti dompet, cermin mata dan jam tangan turut dijual menerusi laman web berkenaan.

Segala kemudahan itu adalah inisiatif seorang suri rumah yang menetap di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) Jaya, Shah Alam, yang mewujudkan perniagaan beli-belah di alam siber ini sejak setahun lalu.

Sebelum itu, dalam tempoh selama dua tahun, Zuriana Abu Kassim, 38, hanya menjadi pengikut setia blog-blog sedia ada. Namun dia mula menceburi bidang perniagaan ini setelah mendapati permintaan membeli-belah secara talian terutama dalam kalangan wanita semakin tinggi.

“Saya mengambil keputusan untuk berjinak-jinak dalam perniagaan ini walaupun pada asalnya hanya untuk mengisi masa yang banyak terluang,” kata Zuriana yang ditemui baru-baru ini.

Dengan jumlah kenalan dalam kalangan bloggers dan rakan pelanggan untuk blog sedia ada yang semakin meningkat, ibu kepada empat orang cahaya mata itu mula cekalkan hati untuk membina blog sendiri.

Tanpa sebarang ilmu khusus terhadap pembinaan blog dan perkara-perkara teknikal, Zuriana terus mengutip pengalaman dari hari ke hari sehinggalah lahirnya laman blog wwwbegalicious.blogspot.com.

“Berdasarkan kepada jumlah pengikut yang mencecah 50 orang dan hits (pengunjung) yang mencapai 30,000 orang, saya bersyukur dengan pencapaian setakat ini.

“Selain itu, jaringan laman sosial, Facebook juga dijadikan platform untuk tujuan promosi di samping mengeratkan silaturahim, urusan permintaan dan penawaran harga,” jelasnya.

Dari segi harga, Zuriana mengatakan ia sangat berpatutan dan jauh lebih murah berbanding harga barang yang sama yang dijual di butik-butik terkemuka di negara ini.

Persaingan kompetitif

Perbezaan harga yang ketara jelasnya disebabkan perniagaan seumpama ini hanya melibatkan kos yang minimum tetapi kualitinya terjamin.

“Kebanyakan barang diimport dari Amerika Syarikat dan Eropah.

“Rakan-rakan dan ahli keluarga yang menetap di Los Angeles, Texas, Chicago, London dan Belanda banyak membantu saya mendapatkan barangan yang dipesan oleh pelanggan,” ujarnya yang berjaya menjual lebih lebih 80 beg tangan wanita setakat ini.

Menyedari persaingan yang sangat kompetitif, Zuriana bagaimanapun yakin bahawa masih ramai wanita yang celik teknologi tergolong dalam kategori mereka yang berkemampuan.

“Begalicious Frenzy akan terus berusaha memberi yang terbaik untuk setiap pelanggan, baik dari segi kualiti barangan sehingga ke pembungkusan dan penghantaran. Keuntungan tidak semestinya banyak, namun yang ditagih ialah keberkatan,” katanya.

Zuriana memberitahu, insan yang banyak memberi tunjuk ajar dan membantunya selama ini ialah suaminya, Dr. Abd. Rasid Abd. Rahman.

Abd. Rasid merupakan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Kualiti) Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam. Suaminya banyak memberi tunjuk ajar tentang kepentingan komunikasi berkesan, bahasa yang digunakan untuk pertuturan dan penulisan selain menjaga hati serta kepuasan pelanggan.

Kepada yang ingin mendapatkan maklumat lanjut sila layari wwwbegalicious.blogspot.com bagi mengetahui produk-produk terkini.

Perceraian selesai banyak masalah wanita

Umat Islam tidak harus melihat kadar perceraian yang tinggi di negara ini satu perkara negatif kerana perpisahan suami isteri mengikut lunas undang-undang itu, sebenarnya mampu menyelesaikan banyak masalah dihadapi wanita.

“Saya melihat perkara ini (perceraian) daripada aspek positif iaitu masyarakat Islam kini sudah sedar dan celik undang-undang, boleh menyelesaikannya mengikut lunas yang dibenarkan Islam,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Katanya, perceraian pasangan Islam setiap 15 minit di negara ini menggambarkan satu kesedaran bahawa banyak kes yang tidak menemui jalan penyelesaian sebelum ini, sudah diselesaikan melalui lunas undang-undang.

“Kita jangan lihat perceraian itu satu perkara yang teruk sangat kerana ia perkara yang halal, malah perceraian itu sebenarnya mampu menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi kaum wanita,” katanya selepas majlis pelancaran Karnival Halal Kelantan 2011, di Kompleks Islam Darulnaim, di sini, semalam, yang disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Beliau mengulas mengenai kenyataan yang dibuat Mac lalu ketika merasmikan sambutan Maulidur Rasul di Putrajaya, dengan menyebut perangkaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2009, menunjukkan purata pasangan Islam yang bercerai mencatatkan rekod mengejutkan iaitu satu pasangan bercerai setiap 15 minit.

Berdasarkan rekod JAKIM pada 2009, menunjukkan perceraian terus meningkat setiap tahun dan ia mencetuskan kebimbangan mengenai keharmonian rumah tangga terutamanya golongan muda.

Ditanya sama ada berlakunya perceraian seperti itu disebabkan kekurangan hakim, Mashitah menafikannya dan menegaskan banyak kes sudah diselesaikan.
“Memang tidak dinafikan, setakat ini kita memang memerlukan banyak lagi hakim bagi menyelesaikan kes, namun banyak kes dapat diselesaikan dengan mengadakan perbicaraan pada waktu malam atau hari cuti selain ditambah dengan hakim perempuan,” katanya.

Beliau berkata, berlakunya kes perceraian membabitkan pasangan Islam disebabkan suami dan isteri masing-masing tidak memahami tanggungjawab serta ilmu berumahtangga.

“Dalam kajian yang kita lakukan, perceraian berlaku bukan disebabkan ketidakseragaman undang-undang syariah, namun ia membabitkan pasangan berkenaan iaitu tidak memahami tanggungjawab selain kurang ilmu rumah tangga,” katanya.

- BERITA HARIAN

Alergi bukan cuma di kulit

Adakah anda sering mengalami hidung berair, episod bersin berulang kali, berasa gatal di hidung dan mata, serta hidung tersumbat?

Jika jawapan anda ialah ‘ya’ bagi semua atau mana-mana soalan, ia mungkin simptom alergi rinitis dan perkara terbaik untuk dilakukan ialah berjumpa doktor dengan segera.

“Kemungkinan satu daripada setiap tiga warga Malaysia menghidap satu bentuk alergi dengan kebanyakannya berlaku kepada kumpulan umur lebih muda,” kata Dr. Amir Hamzah Abdul Latiff, Presiden Pertubuhan Malaysia bagi Alergi dan Imunologi (MSAI).

Lazimnya ramai yang masih belum jelas akan masalah alergi. Secara ringkas, ia sejenis gangguan hipersensitif pada sistem imun.

Dalam kebanyakan kes, simptom dapat dilihat di tiga bahagian tubuh iaitu gastrousus, respiratori dan kulit.

Simptom

Kanak-kanak berusia sehingga lima tahun lebih cenderung untuk mengalami simptom di bahagian gastrousus dan kulit.

Sementara itu, simptom alergi respiratori akan bermula apabila seorang kanak-kanak mencapai usia tiga tahun dan selepas usia lima tahun ia secara perlahan-lahan berkembang sebagai simptom alergi paling lazim.

Reaksi alergi bermula apabila seseorang dengan sistem imun hipersensitif terdedah kepada alergen yang boleh jadi hama debu yang ditemui di rumah, rumput, pokok, debunga, haiwan kesayangan, lipas, kulapuk, habuk dan yang lain.

Sebagai tindak balas, tubuh akan mengaktifkan sejenis sel darah putih yang dikenali sebagai sel masta yang kemudian mencetuskan respons inflamasi.

Secara fizikal, kesan ini dapat dilihat apabila mereka yang terbabit mula bersin berulang kali, mengalami hidung berair dan berasa gatal di hidung dan mata.

Simptom ini boleh bertambah buruk jika tiada tindakan diambil. Selepas beberapa jam, mereka yang terbabit mungkin mengalami hidung tersumbat, mata membengkak, rasa letih, tidak dapat mengawal perasaan atau mengalami gangguan tidur.

“Ramai rakyat Malaysia tidak menyedari bahawa terdapat pencetus spesifik bagi alergi, atau impak yang disebabkan oleh alergi pada aktiviti harian dan prestasi mereka,” tambah Amir Hamzah.

Para penyelidik dari Universiti Malaya yang menjalankan saringan rambang ke atas 136 responden di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur pada tahun 2010 menemui satu data penting iaitu walaupun 79 peratus responden mencatatkan episod alergi rinitis, hanya 28 peratus daripada mereka mendapatkan rawatan.

Debu

Keputusan saringan itu juga menunjukkan bahawa pencetus utama adalah debu, cuaca dan makanan. Sejumlah 80 peratus daripada responden menyalahkan debu bagi masalah itu diikuti oleh faktor cuaca dan alergen berkaitan makanan.

Kualiti kehidupan mereka yang terbabit juga terjejas teruk. Hampir 53 peratus daripada mereka mengalami gangguan tidur, 41 peratus menyaksikan masalah ini menjejaskan produktiviti mereka dan 31 peratus mendapati gaya hidup sosial mereka terjejas.

Bagi orang seperti Pook Mei Foong, 30, semasa usia lima tahun beliau mengalami masalah hidung berair dan mata gatal apabila pergi ke tempat yang sejuk seperti Cameron Highlands.

“Selain daripada simptom ini, saya mula merengus dan mood saya tidak baik.

“Saya tidak dapat menikmati kehidupan seperti mereka yang lain sehingga saya menemui penawar dan saya kini berasa hebat,” katanya.

Pada usia 28 tahun, Mei Foong memutuskan untuk berjumpa doktor berhubung masalah itu yang akhirnya menemui jalan penyelesaian - ubat pil harian dan penyembur nasal.

“Alergi tidak boleh hilang tetapi dengan bantuan doktor ia boleh diuruskan.

“Mereka yang mengenali diri saya berkata saya kini nampak lebih ceria,” tambah beliau.

“Sementara alergi tidak memudaratkan, impak terhadap kehidupan mereka yang menghidapnya dapat dilihat daripada simptom fizikal hinggalah tekanan emosi yang banyak menyukarkan kehidupan mereka,” kata Dr. Jeevanan Jahendran, Ahli Jawatankuasa Eksekutif, Pertubuhan Malaysia bagi Pakar-pakar Otorinolaringologi - Pakar-pakar Bedah Kepala dan Leher (MSO-HNS).

Kurangnya kesedaran akan keadaan ini menjadi punca mengapa banyak kes tidak dapat didiagnosis dan dirawat.

Hari ini, Mei Foong boleh ke mana-mana dan dapat menjalankan tugas dengan baik sebagai pengatur cara komputer, yang memerlukan beliau bertugas di pejabat-pejabat yang sejuk. Beliau juga mula belajar berenang yang menjadi sukan pilihannya.

– Bernama

Perokok wanita meningkat

Jumlah perokok wanita di negara ini semakin meningkat kepada tahap yang membimbangkan, terutama di kalangan remaja perempuan berusia antara 13 tahun hingga 15 tahun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata Tinjauan Tembakau Belia Global (Global Youth Tabacco Survey), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2009 menunjukkan peningkatan peratusan perokok remaja perempuan iaitu 12.4 peratus berbanding 11.5 peratus dalam kajian pada 2003.

Katanya, jumlah perokok wanita secara keseluruhan juga menunjukkan peningkatan iaitu 5.3 peratus dalam kajian 2009 berbanding 4.2 peratus pada 2003.

“Ini berbeza dengan peratusan perokok remaja lelaki yang menunjukkan penurunan iaitu 46.7 peratus dalam kajian 2009 berbanding 54.5 peratus pada 2003 manakala peratusan perokok lelaki secara keseluruhannya juga susut daripada 36.3 peratus pada 2003 kepada 30.9 peratus tahun 2009.

“Bagaimanapun, secara keseluruhan, jumlah perokok di kalangan remaja adalah berkurangan iaitu 30 peratus pada 2009 berbanding 33.1 peratus pada 2003,” katanya.

- BERITA HARIAN

Isnin, Mei 30, 2011

Salma, Juara Mentor 5 Raih 3.25 juta Undian SMS Penonton

SHAH ALAM: Juara Mentor musim kelima, Salma atau nama sebenarnya Salmah A. Asis, 21, berjaya meraih 3.25 juta undian khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada penonton sebelum program itu melabuhkan tirainya di Stadium Malawati, di sini, Ahad.

Perkara tersebut disahkan oleh penerbit Mentor 5, Muhamad Suffian Isa di mana undian tersebut telah berjaya melonjak markah Salma iaitu 85 peratus jauh meninggalkan dua peserta lain yang turut bertanding iaitu Iqa dan Shiha.

Shiha mendapat tempat kedua dengan markah 63 peratus manakala Iqa menduduki tempat ketiga (56 peratus).

“Saya sangat bersyukur dengan kemenangan ini dan berterima kasih kepada semua peminat yang mengundi saya.

“Apa yang membangkitkan semangat saya untuk berjaya adalah teguran daripada Kak Erra dengan melakukan latihan bersungguh-sungguh setelah melihat prestasi saya agak teruk pada peringkat separuh akhir,” kata Salma dalam satu sidang media.

Selepas memenangi program yang turut disiarkan secara langsung di TV3 itu, secara automatik Salma akan bergelar artis di bawah stesen televisyen itu sebelum bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman.

“Saya akan meneruskan minat dalam bidang nyanyian dan teringin untuk memiliki album sendiri. Dengan wang tunai yang saya dapat ini, mungkin saya akan merealisasikan impian saya.

“Saya juga merancang untuk membawa keluarga makan angin,” ujarnya lagi yang turut mengaku statusnya sebagai janda beranak satu.

Salma pernah berkahwin pada usia 17 tahun dan bercerai setahun selepas itu. Hasil perkahwinannya, dia dikurniakan seorang anak perempuan bernama Puteri Nurul Huda berusia lebih tiga tahun.

Dengan kemenangan itu, Salma berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM100,000, sebuah trofi dan sebuah kereta Chevrolet Cruze manakala mentornya, penyanyi dan pelakon Erra Fazira turut memenangi hadiah wang tunai RM100,000.

Sementara Shiha membawa pulang wang tunai RM30,000, trofi dan Vespa LX150 serta mentornya, penyanyi Datuk Sharifah Aini membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah yang sama.

Tempat ketiga, Iqa dan mentornya, komposer dan penyanyi Edry Abdul Halim juga membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 setiap seorang.

Format pemarkahan merangkumi 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus undian SMS dan 20 peratus melalui juri awam.

Juri profesional merupakan pemuzik Datuk Ramli MS dan penyanyi Ziana Zain.

Turut diumumkan adalah pemenang peserta ujibakat iaitu Nursyila Mohd Khir yang menyanyikan lagu Oh Dimana dan menerima hadiah wang tunai RM1,000.

- KOSMO!

Ahad, Mei 29, 2011

TV AlHijrah di Astro Saluran 114 mulai 1 Jun 2011

Bermula 1 Jun 2011 ini, stesen TV berkonsepkan Islam, TV AlHijrah akan turut disiarkan menerusi saluran 114 Astro.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, langkah itu bertujuan membolehkan lebih ramai penonton menikmati siaran stesen TV berkenaan yang sebelum ini hanya dipancarkan secara terrestrial.

"Siaran TV AlHijrah sebelum ini begitu terhad. Kita menerima begitu banyak permintaan daripada masyarakat supaya mereka dapat menonton TV AlHijrah," katanya pada sidang akhbar di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah, Kompleks Pusat Islam di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Bukhari Che Muda.

TV AlHijrah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Disember 2010 lalu bersiaran sejak 1 November 2010.

Siarannya boleh ditonton di Lembah Klang melalui saluran UHF CH55 frekuensi MHz 743.25, Terengganu UHF CH41 (631.25 MHz), Johor UHF CH40 (623.25 MHz), Sarawak UHF CH37 (599.25 MHz) dan Sabah UHF CH37 (599.25 MHz).

Jamil Khir berkata, selaras dengan TV AlHijrah, turut dipancar menerusi Astro, waktu siaran ditambah daripada 72 jam seminggu kepada 100 jam seminggu.

"Siaran pada hari Isnin sehingga Khamis adalah seperti biasa iaitu dari pukul 12 tengah hari sehingga 12 tengah malam, manakala pada Jumaat, Sabtu dan Ahad dari pukul 7 pagi sehingga 12 tengah malam," katanya.

Katanya, waktu siaran akan ditambah sehingga 24 jam sehari sekiranya mendapat permintaan tinggi penonton.

Jamil Khir berkata, soal TV Alhijrah bersaing dengan siaran lain tidak timbul, kerana pihaknya hanya ingin memenuhi selera penonton di negara ini yang sentiasa mahukan kelainan daripada segi kandungan siaran.

"Kita akui persaingan memang ada. Sebab itu kita mempelbagaikan program seperti rancangan realiti TV Solehah yang antara lain bertujuan melahirkan lebih ramai pendakwah wanita di negara ini.

"Rancangan bertemakan wajah Islam seperti Madrasah AlHijrah, Refleksi dan Khidmat Syariah akan turut disiarkan pada 1 Jun nanti," tambahnya.

Walaupun baru mula bersiaran, 60 peratus daripada kandungannya adalah terbitan tempatan, manakala 40 peratus lagi kandungan asing.

Tiga puluh peratus daripada keseluruhan kandungannya diterbitkan sendiri oleh TV AlHijrah yang menggunakan slogan "Segalanya Bermula Di Sini." www.tvalhijrah.com

- BERNAMA

Keputusan Perlawanan Liga Super Malaysia - 28/05/2011 (Sabtu)

KEPUTUSAN PERLAWANAN LIGA SUPER - 28/05/2011 (SABTU)

Harimau Muda A 2 - 0 Sabah

Terengganu 0 - 1 Kedah

Perak 2 - 0 T-Team

Kelantan 1 - 0 Pahang

Perlis 0 - 1 Felda United

Kuala Lumpur 1 - 2 Johor FC

Selangor 2 - 0 Negeri Sembilan

5 teratas - Kelantan (47), Terengganu (47), Selangor (45), Perak (38), Kedah (38)

Twitter dan Facebook kayu pengukur populariti

Penghibur yang sering mencetuskan kontroversi dengan lirik lagu dan klip video yang pelik, Lady Gaga, sekali lagi mengejutkan dunia apabila berjaya mengumpul lebih 10 juta orang pengikut dalam laman blog mikro Twitter.

Dalam kemas kini Lady Gaga selepas akaun Twitternya mencapai angka keramat tersebut, dia menzahirkan perasaan terkejut dan gembira atas sokongan peminat.

“Seramai 10 juta Monster (nama panggilan yang ditujukan kepada peminatnya)! Saya terkedu, kita sudah lakukannya! Saya amat mencintai kamu semua. Boleh meninggalkan London dengan senyuman.” kata Lady Gaga dalam kemas kini Twitter.

Kejayaan mengumpul sebegitu ramai pengikut itu bagaikan sebuah fenomena apabila dada-dada akhbar di luar negara dan tidak ketinggalan juga di Malaysia menjadikan perkara tersebut tajuk-tajuk utama berita hiburan.

Bukan itu sahaja, laman YouTubenya, Vivo, yang menjadi platform kepada Lady Gaga untuk menayang klip video terbaru sudah acap kali mencecah jutaan penonton.

Tidak ketinggalan peminatnya yang mengklik butang ‘Like’ di laman sosial Facebook pula mencecah angka 34 juta orang. Ia satu jumlah yang melebihi populasi rakyat Malaysia sendiri.

Di Malaysia laman sosial Facebook, YouTube dan Twitter juga dijadikan salah satu medium untuk seseorang pemimpin atau selebriti itu mendekatkan diri kepada masyarakat dan peminat.

Sebagai contoh Perdana Menteri Malaysia sendiri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga tidak ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi maklumat dengan memiliki Fanpage.

Fanpage Najib di laman Facebook kini telah mencapai angka lebih 600,000 orang dan beliau telah menggunakan laman tersebut sebagai salah satu cara beliau mendekati generasi muda Malaysia.

Sahih

Walaupun pada peringkat awal, ia menjadi medium bagi tokoh-tokoh terkenal dan personaliti hiburan berkongsi kehidupan mereka tetapi, kini ia telah menambah satu lagi fungsi.

Angka-angka tepat yang tertera di sudut kiri Fanpage tersebut telah menjadi kayu pengukur kepada tahap kepopularan pemilik laman tersebut.

Pengiraan yang bersifat objektif dan nilai ketepatan yang tinggi sehingga ke susunan angka menjadikan ia lebih dipercayai dan boleh diharapkan.

Kebolehpercayaan laman sosial

Pakar teknologi komunikasi maklumat (ICT), Azli Paat, 43, berkata, data yang ditunjukkan dalam laman sosial Facebook dan Twitter adalah sahih dan boleh diterima pakai.

“Tetapi data bilangan orang yang menekan butang Like di Facebook lebih dipercayai berbanding laman blog mikro Twitter.

“Itu disebabkan setiap individu yang mengklik perlu mempunyai akaun dan itu membuktikan individu tersebut wujud dan pemilik Fanpage dapat melihat setiap individu tersebut.

“Peminat juga boleh melihat peminat-peminat yang lain dalam akaun tersebut,” jelasnya lagi.

Selain itu, peminat dan juga pemilik boleh mendapatkan data-data lain seperti tempat asal, jantina, umur, negara dan lain-lain.

Maklumat-maklumat tambahan yang dikenali sebagai Insight itu menambahkan kebolehpercayaan data yang dipaparkan berbanding dengan Twitter yang hanya boleh memastikan kewujudan individu yang menjadi pengikut.

Tambah Azli lagi, sedikit masa dahulu banyak laman-laman web dan blog yang memaparkan nilai-nilai yang tinggi serta mendakwa itu adalah jumlah orang yang mengunjungi laman web tersebut.

“Data yang dikenali sebagai webhits itu amat diragui kesahihannya kerana sebagai pelayar Internet, kita tidak dapat mengetahui siapa individu yang pernah mengunjunginya?

“Selain itu, angka tersebut boleh diaturcara terlebih dahulu ketika laman web tersebut dibina,” tambahnya lagi.

Mengulas mengenai program aturcara bagi pengiraan oleh Facebook dan Twitter, Azli menyifatkan ia sebuah aturcara yang mudah dan logik.

“Formulanya adalah pembolehubah tambah satu dan ia sentiasa mengulangi formula yang telah diaturcara tersebut tanpa had.

“Pembolehubah tersebut mewakili angka asal sebelum peminat menekan butang, jika ada yang menekan, formula tambah satu akan diaktifkan.

“Maka, angka baru dengan tambah satu akan tertera begitu juga dengan formula yang terdapat pada butang Unlike di Facebook.

“Cuma, ia berbeza menjadi pemboleh ubah tolak satu pula dan angka akan berkurangan apabila butang tersebut ditekan,” kata Azli ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Pemilik Fanpage paling ramai peminat di laman sosial Facebook di Malaysia, Lisa Surihani berkata, semenjak Fanpage miliknya mencapai angka lebih 1.4 juta orang, ia telah memberi impak kepada kerjayanya.

“Saya akui, selepas mencecah angka tersebut, saya lebih banyak mendapat tawaran dalam bidang pengiklanan seperti menjadi duta produk.

“Mungkin kerana berada di zaman interaktif ini, ia memerlukan seseorang duta itu sentiasa berhubung dengan peminat-peminat mereka,” kata Lisa ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Antara produk yang menggunakan perkhidmatan pelakon berusia 25 tahun itu termasuklah produk kecantikan Garnier, Lip Ice dan Sufi.

Bagaimanapun, menurut Lisa, jumlah peminat di Facebook tidak memberi kesan terhadap kerjayanya dalam bidang lakonan.

“Ia mungkin disebabkan, bidang tersebut lebih dinilai pada bakat daripada tahap popular seseorang itu,” katanya.

Mula mengaktifkan Fanpage di Facebook pada tahun 2008, Lisa pasti mengemaskini akaun sekurang-kurangnya sekali sehari.

“Saya sendiri yang akan mengurus dan memberi maklum balas di akaun tersebut dan jika saya tidak berkesempatan, admin lain akan uruskan.

“Tetapi, saya tetap diberitahu untuk setiap kemas kini yang dibuat dan kebanyakan perkara yang diberitahu adalah mengenai hal-hal melibatkan kerja,” ulasnya lagi.

Menurut Lisa, dia hanya memiliki dua jenis akaun sahaja iaitu Twitter dan Facebook. Bagaimanapun, secara peribadi, Twitter lebih mudah digunakan kerana ia boleh dikemas kini di mana-mana.

Pilihan

Dalam pada itu, salah seorang pengguna aktif laman Twitter dan Facebook, Hafizah Malik, 27, berkata, dia hanya akan menekan butang Like di laman Facebook atau Twitter jika benar-benar menyukainya sahaja.

“Saya tidak akan menekan butang Like pada laman artis yang saya tidak minat dan kebanyakan laman diklik terdiri daripada penyanyi atau pelakon.

“Ia juga sebagai tanda sokongan peminat kepada seseorang artis itu dan jika nilainya meningkat tinggi ia mungkin akan memberi motivasi kepada mereka,” katanya.

- KOSMO!

Allah tumpaskan tentera bergajah

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Surah al-Fil mengandungi lima ayat. Ia termasuk dalam kategori surah Makiyyah dan diturunkan selepas surah al-Kafirun.

Hubungan surah ini dengan surah al-Humazah ialah dalam surah al-Humazah, Allah SWT menjelaskan bahawa harta tidak dapat menjauhkan daripada seksaan Allah SWT. Dalam surah ini Allah SWT menyatakan bukti tentang perkara di atas menerusi kisah tentera bergajah.

Seorang panglima tentera Habsyah yang menguasai Yaman bercita-cita menyerbu dan meruntuhkan Kaabah yang dimuliakan supaya orang Arab tidak melakukan ibadah haji di sana.

Dia menuju Mekah diiringi tentera yang ramai dan gajah yang banyak bagi menambahkan rasa takut pada orang ramai. Dia terus mara sambil mengalahkan sesiapa saja yang dijumpainya, sampai ke al-Mughammas iaitu suatu tempat yang berdekatan kota Mekah.

Dia kemudian mengirim utusan kepada penduduk Mekah memberitahu bahawa tujuan kedatangannya bukan untuk berperang dengan mereka, tetapi meruntuhkan Baitullah.

Mereka ketakutan, lalu mencari perlindungan di puncak-puncak gunung sambil melihat apa yang akan dia lakukan. Pada hari kedua penyakit cacar dan campak mula menular di kalangan tentera Habsyah.

Ikrimah mengatakan, itu adalah permulaan penyakit cacar yang menular di negara Arab. Wabak itu menimpa mereka dengan kesan yang tidak ada tandingannya. Di mana daging mereka berguguran sehingga mereka dan panglima lari ketakutan.

Panglima mereka juga terkena wabak tersebut dan dagingnya terus tanggal sedikit demi sedikit, seketul demi seketul, akhirnya dada mereka terbelah dan mati di San'a.

Bagaimanapun pada ulama berkhilaf pendapat mengenai bilada itu berlaku. Ada tiga pandangan mengenai, iaitu:

i. Pada tahun kelahiran Rasulullah SAW. Ini pendapat yang asah yang dikemukakan oleh kebanyakan ulama seperti pendapat Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah.

ii. Ia berlaku selepas 40 tahun peristiwa serangan gajah. Ini pendapat Muqatil.

iii. Kelahiran berlaku 23 tahun selepas serangan tersebut. Ini pendapat al-Kalbi, Ubaid bin Umair dan Abu Soleh.

Firman Allah SWT: Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah? Bukankah dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Kaabah) itu sia-sia?

Perkataan tidakkah kamu memperhatikan ditafsirkan dengan dua pendapat:

i. Tidakkah kamu diberitahu dan dikhabarkan seperti pendapat al-Farra'.

ii. Tidakkah kamu mempelajari sebagaimana kata al-Zajjaj.

Sayid Qutub berkata: "Tidakkah rancangan jahat mereka gagal dan tidak mencapai sasarannya sama seperti orang yang sesat jalan dan tidak sampai kepada tempat yang dituju."

Mungkin dengan pertanyaan ini Allah mahu mengingatkan kaum Quraisy terhadap nikmat-Nya kepada mereka iaitu nikmat menjaga dan memelihara rumah Kaabah semasa mereka tidak berdaya menghadapi serangan tentera bergajah yang kuat.

Tentera Allah dalam bentuk burung

Firman Allah SWT: Dan dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong.

Perkataan ababil ditafsirkan dengan lima pendapat:

i. Dalam bentuk berselerakan datangnya burung tersebut dari sana ke sini dengan segenap penjuru. Inilah pendapat Ibn Mas'ud dan al-Akhfash.

ii. Burung tersebut datang selepas satu kumpulan dan datang kumpulan yang lain. Inilah pendapat Ibn Abbas, Mujahid dan Muqatil.

iii. Burung tersebut datang dengan jumlah yang banyak. Inilah pendapat al-Hasan dan Thawus.

iv. Burung tersebut datang dalam bentuk berkumpulan diikuti dengan kumpulan yang lain. Inilah pendapat Ata' dan Abu Soleh.

v. Ia mempunyai pelbagai jenis warna sebagaimana pendapat Zaid bin Aslam.

Para ulama khilaf berkenaan sifat burung tersebut iaitu:

i. Burung tersebut mempunyai belalai dan kuku seperti kuku anjing. Inilah pendapat Ibn Abbas.

ii. Ikrimah berkata: Kepala mereka seperti binatang buas.

iii. Ibn Ishak berpendapat: Mereka seumpama binatang helang yang menyambar.

Begitu juga mereka khilaf berkenaan warna burung tersebut:

i. Warnanya hijau sebagaimana pendapat Ikrimah dan Said bin Jubair.

ii. Warnanya hitam sebagaimana pendapat Ubaid bin Umair.

iii. Warnanya putih sebagaimana pendapat Qatadah.

Firman Allah SWT: Yang melempari mereka dengan batu (berasal) dari tanah yang terbakar.

Berkenaan dengan burung yang membawa batu seperti kata Qatadah: Setiap seekor burung membawa tiga biji batu, dua biji batu di kakinya, manakala sebiji lagi di muncungnya.

Al-Maraghi berkata: "Allah SWT mengirimkan sekawan burung yang membawa batu kering yang dijatuhkan kepada anggota-anggota tentera itu menyebabkan mereka menderita penyakit cacar atau campak dan membawa maut."

Kemungkinan juga binatang yang terbang itu terdiri daripada jenis nyamuk atau lalat membawa kuman penyakit. Atau batu itu daripada tanah liat yang kering dan beracun yang diterbangkan angin lalu melekat pada kaki-kaki burung itu.

Jika tanah liat itu menyentuh tubuh maka racun itu akan meresap dan melukakan apa yang mengenainya dan berakhir dengan kerosakan tubuh serta keguguran dagingnya.

Jelas bahawa lalat membawa kuman penyakit. Seekor lalat yang membawa kuman boleh menyebabkan manusia dijangkiti penyakit dan menular kepada semua orang.

Oleh yang demikian, jika Allah SWT menghendaki membinasakan sejumlah besar tentera dengan seekor nyamuk sahaja, ia bukanlah suatu perkara yang mustahil bagi-Nya.

Ini mengandungi petunjuk yang lebih kuat terhadap kekuasaan Allah SWT dan kebesaran kekuasaan-Nya berbanding kebinasaan mereka yang disebabkan oleh burung-burung besar dan kejadian aneh yang boleh memusnahkan manusia.

Selain itu, ia juga menunjukkan kelemahan manusia dan kehinaannya di hadapan Allah SWT Yang Maha Kuasa. Sebabnya, mereka adalah makhluk yang dapat dibinasakan oleh seekor lalat, digigit nyamuk di tempat tidurnya dan ditimpa sakit oleh hembusan angin.

Imam Muhammad Abduh berkata: "Bagi orang yang kejam ini yang hendak merobohkan Baitu al-Haram, Allah SWT mengirimkan sesuatu yang dapat membawa kuman penyakit cacar atau campak yang kemudiannya akan membinasakannya dan kaumnya sebelum sempat masuk kota Mekah."

Perkara ini merupakan nikmat Allah SWT yang dilimpahkan kepada penduduk Tanah Haram-Nya meskipun mereka penyembah berhala kerana melindunginya dengan kekuatan agama-Nya iaitu Nabi Muhammad SAW meskipun Allah SWT menimpakan bencana kepada musuh-musuhnya iaitu tentera bergajah yang ingin menghancurkan Baitu al-Haram yang tidak berdosa itu.

Firman Allah SWT: Lalu dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).

Selepas terkena batu, tubuh badan mereka jatuh berguguran sedikit demi sedikit sebesar hujung jari dan akhirnya terbelah dadanya hingga binasa.

Abdul Muttalib berkata: "Burung tersebut amat pelik." Lalu beliau pernah menghantar anaknya Abdullah untuk melihat apa yang terjadi kepada puak Abrahah dan pulang seraya melaporkan semuanya binasa.

Kemudian Abdul Muttalib keluar bersama dengan rakannya untuk mengambil harta yang ditinggalkan. Ada pendapat mengatakan bahawa tidak seorang pun yang selamat kecuali Abu Yaksum, di mana burung sentiasa mengekorinya dari atas kepalanya, sedangkan dia tidak perasan sehingga sempat masuk bertemu al-Najashi dan mengkhabarkan dengan peristiwa yang berlaku.

Setelah selesai kata-katanya, burung tersebut melepaskan batu dan akhirnya dia mati. Ini menunjukkan bahawa Allah SWT memperlihatkan kepada al-Najashi tentang bagaimana Allah SWT membinasakan kaum tersebut.

Hanya Allah SWT sahaja yang dapat memberi hidayah dari kesesatan. Semoga Allah selamatkan kita dari sebarang bala dan bencana.

- UTUSAN

Hak Tanggungjawab Dan Peranan Suami

Hadith:

RASULULLAH s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang memberi nafkah kepada isterinya, anaknya dan ahli keluarganya, maka ia (iaitu nafkah) yang diberikan adalah sedekah."

Riwayat Ibnu Majah

Huraian Hadith:

1. Dalam institusi perkahwinan Allah S.W.T telah mengamanahkan tanggungjawab tertentu kepada suami dan isteri.

2. Pemberian nafkah oleh suami terhadap keluarga merupakan satu amanah yang mesti ditunaikan di mana nafkah tersebut merangkumi perbelanjaan makan minum, tempat tinggal, keselamatan dan perlindungan.

3. Pemberian nafkah adalah mengikut kemampuan seseorang.

4. Kaum wanita tidak diwajibkan bekerja mencari nafkah. namun Islam membenarkan mereka keluar bekerja demi membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh suami. Sumbangan isteri ini merupakan satu sedekah yang akan dibalas dengan ganjaran yang besar oleh Allah S.W.T.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Mitos, fakta bawang putih

Bawang putih sememangnya terkenal di kalangan masyarakat tidak kira di mana dan apa bangsanya. Selain kegunaannya dalam masakan, bawang putih juga menjadi bahan perubatan tradisional.

Kegunaannya merentasi kaum lantaran manfaat bawang putih sememangnya tidak boleh diperkecilkan.

Sebab itu semua sependapat bahawa bawang putih merupakan bahan makanan yang ajaib - sarat dengan nutrien, vitamin, mineral dan bersifat antioksidan. Lebih daripada itu, ia merupakan bahan masakan rendah kalori selain rasanya yang tersendiri menambah keenakan banyak hidangan.

Tentunya ramai yang ingin tahu fakta nutrisi di sebalik bawang putih.

Seulas bawang putih mengandungi:

* 1.76 gm air

* 4 kalori

* 0.19 gm protein

* 0.1 gm serat

* 0.99 gm karbohidrat

* 0.03 gm gula

* 0.01 gm lemak

Bebas kolesterol atau lemak tepu.

Bawang putih juga mengandungi pelbagai mineral dan vitamin. Lebih menarik lagi jika diteliti fakta nutrisi, seulas bawang putih mengandungi 5 mg kalsium, 1 mg magnesium, 0.05 mg besi, 5 mg fosforus, 0.018 mg asid pantotenik, 0.037 mg vitamin B6 (pyridoxine) dan juga selenium. Malah, bagi setiap 100 gm bawang putih mengandungi 95 peratus B6, 52 peratus vitamin C, 21 peratus zat besi, 10 peratus zink, 18 peratus kalsium dan 26 peratus selenium.

Namun keajaiban nutrisi bawang putih tidak berakhir setakat itu. Bahan makanan itu turut mengandungi antioksidan yang tinggi berkaitan dengan manfaat dari sudut kesihatan. Ia termasuk berfungsi merendahkan paras kolesterol, menurunkan tekanan darah dan meningkatkan kesihatan kardiovaskular.

Bahan kimia yang berperanan untuk manfaat tersebut dikenali sebagai allicin, diallyl disulfide, diallyl trisulfide danallyl propyl disulfide.

Satu perkara penting yang perlu diingat untuk mengekalkan nutrisi bawang putih adalah bahan tersebut perlu diracik atau ditumbuk dibiarkan selama 5 hingga 10 minit sebelum dipanaskan atau sebelum ditambah bahan berasid semasa memasak.

Mengikut kajian American Heart Association sebanyak 74.6 juta orang dewasa mengidap penyakit darah tinggi yang mengakibatkan antara lain kematian mengejut, strok dan serangan jantung.

Disebabkan kesan negatif yang mungkin timbul di kalangan pengidap penyakit tekanan darah tinggi, keadaan seperti itu sering dirawat dengan ubat-ubatan. Bagaimanapun ramai yang lebih suka menggunakan suplemen semulajadi seperti bawang putih untuk merendahkan tekanan darah mereka. Lebih daripada itu banyak kajian mendapati nilai tambah jika pengambilan ubat-ubatan digabungkan dengan amalan memakan bawang putih untuk memperoleh kesan berganda dalam kawalan darah tinggi.

Keserasian

Kajian juga menunjukkan ‘keserasian’ antara bawang putih dan tekanan darah di mana bawang putih mempunyai keupayan untuk merendahkan tekanan daran terutama di kalangan pesakit yang mengalami penderitaan tersebut.

Bawang putih secara umumnya selamat biarpun ada masanya bahan makanan itu boleh menyebabkan rasa kurang selesa pada perut dan bau yang tidak menyenangkan. Ia juga boleh menyebabkan pendarahan, oleh itu berhenti mengambil bawang putih sebelum pembedahan atau mengunjungi doktor gigi.

Ramai juga berpendapat bahawa bawang putih boleh membantu menurunkan berat badan. banyak tulisan mengenainya, malah ada pakar menyarankan pengambilan tablet bawang putih sebelum waktu makan.

Bagaimana data saintifik kaitan antara bawang putih dan penurunan berat badan agak terhad. Hanya kajian utama menunjukkan seekor tikus yang diberi makanan kandungan gula tinggi sepanjang tiga minggu. Tikus itu turut diberi suplemen bawang putih dan tidak berlaku sebarang peningkatan berat badan. Sama ada uji kaji tersebut mendatangkan kesan yang sama kepada manusia adalah tidak diketahui.

Sehubungan itu, mekanisme bawang putih untuk menurunkan berat badan masih tidak jelas biar pun ada yang berpendapat secara teorinya bawang putih merangsang otak yang mengawal selera.

Satu kajian terhadap manusia telah dijalankan menunjukkan bawang putih membantu menurunkan paras kolesterol. Banyak lagi uji kaji terhadap manusia diperlukan untuk menentukan manfaat bawang putih terhadap manusia.

- UTUSAN

Jumaat, Mei 27, 2011

Proton Saga FL enjin 1,600cc mula dijual


Orang ramai kini berpeluang memiliki model terlaris Proton, Saga FL dengan kapasiti enjin 1.6 liter yang menjanjikan lebih kuasa dan kepuasan memandu.

Didatangkan dalam warna putih, ia dijual pada harga RM46,549, hanya RM3,700 lebih tinggi daripada model Saga FL Executive 1.3.

Varian itu mempunyai perbezaan daripada segi rim aloi yang baharu, pelekat pada badan kereta dan sedikit pengubahsuaian pada ruang dalaman.

Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings Berhad, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pihaknya yakin ia mampu menarik pelanggan terutama sekali dalam kalangan golongan muda.

- KOSMO!

Wilayah telefon bimbit pintar Celcom

Bermatlamat mewujudkan 'wilayah' telefon bimbit pintar untuk para pelanggannya, operator perkhidmatan telekomunikasi mobiliti, Celcom Axiata Berhad (Celcom) telah mengambil inisiatif mempertingkatkan perkhidmatannya ke peringkat optimum.

Pelaksanaannya merangkumi tawaran rangkaian liputan tanpa batasan, penambahbaikan kandungan personal, peningkatan kapasiti pelayaran Internet, suara berdefinisi tinggi (HD) dan juga pakej harga eksklusif.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Datuk Seri Shazalli Ramly, tawaran perkhidmatan itu bakal memenuhi keperluan operasi sofistikated pada kebanyakan telefon bimbit pintar.

''Kami di Celcom berbangga dapat membawa rangkaian servis telekomunikasi ini ke peringkat terbaik seiring peningkatan jumlah pengguna telefon bimbit pintar di Malaysia.

''Celcom telah menerajui pelbagai segmen dalam pasaran telekomunikasi negara. Justeru, menerusi fokus strategi ini, kami yakin dapat mendominasi ekosistem telefon bimbit pintar di negara ini,'' katanya pada pelancaran Wilayah Telefon Bimbit Pintar Celcom di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebagai usaha menuju ke arah pembangunan 'wilayah' itu, Celcom telah menjalankan pelbagai aktiviti pembangunan infrastruktur dalam jangka masa 12 tahun lepas.

Ia termasuk operasi menaik taraf pencawang 3.5G yang mampu menyokong kelajuan data sehingga 14.4 megabit sesaat (Mbps) serta bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi Ericsson dan Huawei untuk menggantikan infrastruktur 2G kepada 3G di seluruh negara.

Di samping itu, Celcom turut menjalankan projek pemodenan menerusi usahasama bersama beberapa syarikat seperti Nokia Siemens Network, Telekom Malaysia Berhad, DiGi, Celcom Timur (Sabah) dan Sacofa Sdn. Bhd.

Tidak cukup dengan itu, Celcom bersama-sama syarikat Motricity bakal membina dan menguruskan portal serta 'pusat membeli belah' maya yang lebih mesra alam untuk kelancaran operasi pelbagai peranti dan servis.

Melengkapkan servis itu, syarikat berkenaan baru-baru ini memperkenalkan pelan langganan perniagaan istimewa untuk telefon bimbit pintar iPhone 4.

Pada majlis sama, Pengarah Pemasaran Celcom Axiata Berhad, Zalman Aefendy Zainal Abidin telah memberi penerangan mengenai keistimewaan pakej iPhone4 daripada Celcom.

''Pengguna iPhone4 yang melanggan pakej Celcom akan dapat menikmati pengalaman komunikasi terbaik daripada segi suara, e-mel, pelayaran Internet, video dan juga mesej.

''Pengguna juga boleh berbual tanpa henti dengan sesiapa sahaja menerusi perkhidmatan panggilan Internet.

''Kelebihan lainnya, pakej ini menawarkan akses data pelayaran Internet sehingga enam gigabit (GB), 600 khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mana-mana operator serta lanjutan jaminan dan insurans sehingga 24 bulan,'' katanya.

Tawaran eksklusif iPhone 4 itu boleh diperolehi pada harga RM248 untuk model 16GB dan RM538 untuk 32GB bagi kontrak selama 24 bulan dan langganan Celcom Bix P248.

Insurans 1AZAM manfaat 500,000 peserta e-KASIH

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semalam melancarkan Skim Insurans 1AZAM dengan peruntukan RM12 juta untuk membantu 100,000 ketua isi rumah (KIR) yang dijangka memberi manfaat kepada 500,000 ahli isi rumah (AIR) selama setahun, mulai 1 Januari lalu hingga 31 Disember ini.

Skim insurans itu yang akan memberi perlindungan insurans nyawa dan kemalangan kepada KIR serta AIR adalah inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata kementerian menawarkan perlindungan insurans kepada KIR yang berdaftar di bawah sistem e-KASIH supaya mereka mendapat pembelaan, sekiranya berlaku kemalangan membabitkan mereka atau keluarga.

“Misalnya, jika KIR meninggal dunia, puratanya akan ada isteri dan dua atau tiga anak diberi khairat kematian, malah sekiranya KIR cacat atau lumpuh turut akan mendapat pampasan.

“Ini satu cara kerajaan Barisan Nasional (BN) membantu orang miskin yang berdaftar di bawah e-KASIH,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sijil Skim Insurans 1AZAM NKRA LIH Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Kompleks Studio Merdeka di sini, semalam.

Kementerian mencarum RM120 setahun untuk setiap keluarga kepada Allianz Insurans yang memberi perlindungan kepada isi rumah terbabit dan ada tiga skim disediakan.

- BERITA HARIAN

Google lancar bayaran urus niaga guna telefon pintar

GOOGLE akan melancarkan kaedah pembayaran mudah alih yang membolehkan orang ramai melaksanakan urus niaga menerusi telefon pintar semudah penggunaan kredit kad kredit, kata sumber industri.

Sistem yang akan didedahkan pada satu sidang media yang akan diadakan di New York itu, dijayakan gergasi internet dunia itu dengan kerjasama beberapa institusi kewangan.

Google mengundang wartawan untuk menyaksikan ‘inovasi terbaru’ itu, namun ia tidak mendedahkan maklumat terperinci mengenainya.

Sumber itu berkata, sistem pembayaran mudah alih itu akan memanfaatkan cip ‘Komunikasi Antara Lapangan’ (NFC) dalam telefon pintar untuk menghantar data transaksi kewangan melalui sentuhan atau gelombang ke kedai terpilih.

Google membangunkan telefon pintar generasi terbaru, ‘Nexus S’ dengan cip NFC yang menukarkan peranti itu kepada dompet maya yang membolehkan pengguna melakukan transaksi kewangan masing-masing secara “tekan dan bayar”.

Samsung dari Korea Selatan mencipta telefon bimbit skrin sesentuh yang dijana oleh sistem operasi Android Google.

Ketua Eksekutif Google, Eric Schmidt, berkata sejurus selepas Nexus S memasuki pasaran pada Disember lalu, beliau menjangkakan teknologi ‘tekan dan bayar’ itu akhirnya akan menggantikan kad kredit.

Sistem pembayaran yang tertumpu kepada gajet Android itu akan meningkatkan daya saing telefon pintar Google dalam pasaran yang semakin kompetitif.

– AFP

Khamis, Mei 26, 2011

Keputusan Kemasukan Ke Institusi Latihan Kemahiran Awam Kini Boleh Diakses

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada Isnin mengumumkan para pemohon ke pusat-pusat pengajian teknikal (Institut Latihan Kemahiran Awam) dan juga vokasional kini boleh memeriksa status permohonan mereka bagi pengambilan Julai.

Dalam satu kenyataan, KPT menjelaskan, ia telah mewujudkan 10 talian khusus bagi tujuan ini. Pemohon boleh menelefon ke 03-8883 5858 dan 03-8883 5848.

Sebagai alternatif, para pemohon juga boleh memeriksa status mereka secara talian dengan melayari http://upu.mohe.gov.my

Surat tawaran kepada pemohon yang berjaya akan dikeluarkan dari 26 hingga 31 Mei 2011.

Tiada kenaikan harga petrol RON95, diesel dan petroleum gas cecair (LPG)

PUTRAJAYA - Rakyat kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan semalam membuat keputusan mengekalkan harga petrol RON95, diesel dan petroleum gas cecair (LPG).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan harga tiga jenis bahan api itu setelah rasionalisasi subsidi dibincangkan dengan teliti dalam mesyuarat mingguan Kabinet semalam.

"Keputusan itu dibuat kerana kerajaan mengambil kira kepentingan rakyat," katanya pada sidang akhbar di kementerian berkenaan di sini semalam.

Harga seliter RON95 sekarang ialah RM1.90 manakala diesel RM1.80 dan LPG RM1.90 seliter.

Beliau berkata, pada masa sama kerajaan akan meneruskan kajian rasionalisasi subsidi secara menyeluruh berikutan peningkatan harga bahan api di pasaran global.

Ditanya adakah Kabinet membincangkan tempoh masa harga berkenaan dikekalkan, Ismail berkata, Kabinet tidak membincangkan perkara tersebut.

- KOSMO!

Nabi Muhammad dilindungi sahabat

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

Pasukan tentera Islam yang mendengar teriakan Ibnu Qam'ah bahawa Rasulullah telah terbunuh benar-benar menyangka baginda syahid sehingga menyebabkan keadaan jadi bertambah huru-hara.

Ini menyebabkan tentera Islam ketika itu dikatakan berpecah kepada tiga kumpulan yang menyebabkan kedudukan mereka menjadi semakin goyah.

Satu kumpulan mahu melarikan diri ke Madinah bagi menyelamatkan diri tanpa menghiraukan orang lain dan hanya mahu menunggu agar perang selesai.

Golongan ini terdiri daripada Walid bin Uqbah, Karijah bin Zaid dan Rifaah bin Ma'la.

Golongan kedua masih mahu bertempur dengan hebat dan bersemangat tinggi tanpa menghiraukan apa yang berlaku sama ada benar-benar baginda Rasulullah syahid mahupun tidak.

Ini kerana yang penting kemenangan kepada pasukan Islam.

Salah seorang daripada mereka, Tsabit bin Dahdah mengingatkan anggota tentera Islam dengan berkata: "Wahai kawan-kawanku kalangan Ansar! Sekiranya benar Muhammad sudah syahid, biarlah baginda syahid kerana Allah sahaja yang tidak akan mati buat selama-lamanya.

"Oleh itu berpeganglah kamu kepada agama kamu dengan kukuh dan kuat apatah lagi di medan perang ini.

"Allah sendirilah akan menolong dan memberikan kemenangan kepada kamu!"

Peringatan oleh Tsabiy ini sangat besar pengaruhnya kepada para tentera Muslimin yang tidak dinafikan ramai yang berada dalam keadaan bingung ketika itu.

Namun setelah mendengarkan kata-kata daripada Tsabit itu walaupun Tsabit bukannya kalangan pemimpin atau sahabat besar, ia berjaya membentuk kembali semangat juang yang tinggi untuk tentera Islam meneruskan peperangan dan cuba mengalahkan tentera Musyrikin.

Sementara golongan ketiga terdiri daripada 46 para sahabat dan panglima-panglima perang yang tetap teguh berada di sekeliling baginda Rasulullah.

Hanya mereka sahaja yang mengetahui keadaan dan kedudukan Rasulullah yang sebenarnya masih hidup. Golongan ini terus mempertahan dan melindungi baginda kerana itu lebih penting daripada segala-galanya.

Mereka membalas setiap serangan yang dilakukan terhadap baginda.

Kumpulan itu terdiri daripada Abu Bakar As Siddiq, Umar bin Al Khattab, Ali bin Abi Talib, Abdurrahman bin Auf, Zubair bin Al Awwam, Saad bin Abi Waqqas dan Abu Ubaidah bin Jarrah. Mereka terdiri daripada golongan Muhajirin.

Sementara golongan Ansar yang mengelilingi untuk mempertahankan Rasulullah terdiri daripada Abu Dujanah, Al Hubab bin Mundzir, Ashim bin Tsabit, Al Harits bin Shammah, Sahal bin Hanif, Saad bin Muaz dan Usaid bin Hudhair.

Namun dikatakan terdapat golongan keempat di saat-saat kedudukan tentera Islam mulai goyah.

Golongan itu ialah kaum wanita yang pada awalnya tidak ikut serta dalam pasukan tentera Islam. Tetapi apabila mereka mendapat tahu berita mengenai kematian Rasulullah dan begitu ramai tentera Islam yang terkorban, mereka bergegas ke medan Uhud.

Kaum wanita itu diketuai oleh Ummul Mukminin sendiri, Saidatina Siti Aishah dan rakan-rakannya yang lain iaitu terdiri daripada Nusaibah bin Kaab, Rumaisa bin Milhan dan ramai lagi.

Mereka membawa bersama uncang-uncang berisi air dan ubat-ubatan bagi merawat tentera-tentera Islam yang tercedera.

Kalangan wanita ini sebenarnya turut terdedah kepada bahaya dan ancaman serangan dari pihak musuh, sehinggakan dikatakan Nusaibah binti Kaab sendiri mengalami 12 luka di badannya.

Seorang lagi, Ummu Umarah iaitu daripada golongan Ansar, ikut terlibat dalam pertempuran. Pada awalnya dia hanya menyertai suaminya yang turut berperang bagi membantu menyediakan air untuk tentera Muslimin.

Namun apabila diketahui pasukan Islam dalam keadaan yang sangat terdesak, dia pun ikut bertempur melawan musuh dengan gagah berani.

Manakala Ummu Aiman daripada kalangan Muhajirin ikut bertempur melawan musuh sehingga dapat membunuh seorang askar Musyrikin bernama Hubab bin Arafah.

Walaupun mereka terdiri daripada golongan wanita yang sentiasa dilabel golongan yang lemah namun mereka tidak berganjak malah turut sama berjuang dengan barisan tentera lelaki yang lain bagi memastikan kemenangan tetap berpihak kepada Islam.

- UTUSAN

Teknologi mudahkan jambatan silaturahim

Oleh DR. HUZAIMAH ISMAIL

Hari ini, jalinan ukhuwah menjadi semakin mudah dengan adanya pelbagai medium untuk mengukuhkan ikatan silaturrahim dengan memanfaatkan teknologi masa kini seperti e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS), laman-laman sosial seperti Facebook dan lain-lain serta tidak ketinggalan melalui telefon.

Namun ramai yang tidak menyedari bahawa antara rahsia yang boleh mengeratkan hubungan silaturrahim, dan kasih sayang antara sesama ahli masyarakat ialah mengucapkan salam dan bertanya khabar tentang diri masing-masing.

Rasulullah SAW menunjukkan cara yang mudah dalam mewujudkan hubungan silaturrahim antara masyarakat Islam iaitu melalui:

* Mengucapkan salam ketika bertemu.

* Menyahut panggilannya jika dipanggil

* Mendoakan ketika bersin..

* Menziarahi ketika sakit/kematian.

* Menolong ketika kesempitan

* Memenuhi undangan apabila dijemput.

Perhubungan yang baik ini mesti dilakukan secara berterusan bertepatan dengan petunjuk Allah SWT dan sunnah Rasul-Nya.

Kita boleh gunakan kesempatan hari-hari perayaan untuk menjalinkan hubungan silaturrahim yang lebih erat antara ahli keluarga, sahabat dan jiran.

Amalan ziarah-menziarahi mempunyai banyak hikmah dan kelebihan yang sangat bermakna bagi umat Islam terutama sekali dalam menghubung dan merapatkan ikatan ukhuwah sesama Islam.

Agama Islam sangat menggalakkan umatnya agar sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan tautan silaturrahim dan ukhuwah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kamu kepada Allah agar kamu beroleh rahmat. (al-Hujurat: 110).

Bagi mencapai matlamat sebenar amalan ziarah-menziarahi ini terdapat adab-adab yang perlu difahami dan dihayati oleh setiap Muslim untuk meraih keredaan dan rahmat ilahi.

Ikatan ukhuwah Islamiah yang erat dan kukuh di kalangan umat Islam merupakan elemen yang amat penting ke arah merealisasikan visi dan misi perpaduan ummah sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Perpaduan ummah yang jitu di semua peringkat mampu mengangkat keunggulan martabat umat Islam di persada dunia.

Silaturrahim juga merupakan tunjang utama kekuatan ummah dengan syarat ia diasaskan dengan ketakwaan dan berlandaskan syariat. Ia boleh menjauhkan manusia daripada hasad dengki dan fitnah.

Silaturrahim juga boleh mengukuhkan hubungan dengan Allah SWT kerana dapat membentuk akhlak manusia lebih baik daripada sebelumnya.

Seandainya jalinan silaturrahim diabaikan, ia bukan sahaja merenggangkan hubungan dengan Allah tetapi juga memisahkan kasih sayang antara sesama manusia.

Orang yang paling berhak mendapat keakraban silaturahim daripada kita adalah orang yang hampir dengan kita.

Antaranya, ibu bapa dan kaum kerabat yang mempunyai hubungan kekeluargaan dan pertalian darah dan seterusnya orang-orang lain di luar lingkungan ini termasuklah jiran tetangga.

Allah SWT memerintahkan agar manusia berbuat baik terhadap jiran tetangga, sama ada jiran tetangga yang dekat ataupun yang jauh. Ini jelas sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah, dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membanggakan dirinya. (al-Nisa': 36)

Untuk menjalinkan silaturrahim sebenarnya bukanlah sukar. Apa yang penting ialah keinginan untuk bersilaturrahim dalam diri manusia, tidak sombong, mengenepikan keegoan, kebencian dan dendam dan digantikan dengan perasaan kasih sayang, bersabar terhadap perbuatan yang menyakitkan dan berbuat baik serta bergaul bersama mereka dengan akhlak yang mulia.

Tanggungjawab untuk membina semula silaturrahim yang retak bukan sahaja terletak kepada dua pihak yang bermusuhan tetapi sanak saudara atau kawan-kawan yang mengetahui tentang perkara ini.

Orang tengah yang boleh mendamaikan dan menyambung semula silaturrahim yang terputus dalam masyarakat adalah mereka yang terpuji.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Orang yang menjalinkan hubungan kekeluargaan bukanlah mereka yang membalas sesuatu kebaikan, tetapi adalah mereka yang menyambungkan (menjalinkan semula) suatu perhubungan yang telah terputus. (riwayat Bukhari)

Hubungan baik

Rasulullah SAW membimbing amalan baik yang wajar dilaksanakan oleh seseorang untuk mewujudkan hubungan baik antara satu sama lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya, Allah akan memenuhi hajatnya. Dan sesiapa yang menghindarkan kesusahan seorang Muslim, Allah akan menghindarkan satu daripada kesusahan-kesusahannya pada hari kiamat. Dan sesiapa yang memudahkan satu kesulitan di dunia, Allah akan memudahkan untuknya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong hamba-Nya selagi hamba itu sentiasa menolong saudaranya. Sesiapa yang menghindari merosakkan hak dan kehormatan saudaranya, Allah akan menghindarkan wajahnya daripada api neraka pada hari kiamat. (Muttafaq 'Alaih)

Marilah kita sama-sama akrabkan kembali hubungan silaturahim sesama umat. Hulurkan tangan mohon kemaafan agar dapat meraih kejayaan dan kecemerlangan bersama sama ada di dunia dan akhirat.

Natijahnya kita akan terasa indah apabila setiap saat kita boleh bertegur sapa, mengisi hari dengan senyuman dan semangat kebersamaan antara keluarga, sahabat, rakan sekerja termasuklah mereka yang berlainan agama dan etnik dengan kita.

- UTUSAN

Rabu, Mei 25, 2011

Jawatan Kosong di Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) - Mei 2011

JAWATAN
1. Pegawai Ehwal Ekonomi Gred E41
2. Penolong Akauntan Gred W27
3. Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi Gred E27
4. Pembantu Tadbir (Perkeranian/ Operasi) Gred N17
5. Pegawai Khidmat Pelanggan Gren N17
6. Pembantu Setiausaha Pejabat/ Setiausaha Pejabat Gred N17
7. Pembantu Ehwal Ekonomi Gred E17
8. Pereka Gred B17
9. Pembantu Am Pejabat Gred N1
10. Pekerja Awam Gred R1
11. Pemandu Kenderaan Gred R3

IKLAN JAWATAN
http://www.lktn.gov.my/e107_files/public/jawatan_kosong_2011-1.pdf

BORANG PERMOHONAN
http://www.lktn.gov.my/e107_files/public/borang_perjawatan.pdf

Tarikh Tutup : 6 Jun 2011

Jawatan Kosong di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) - Mei 2011

Jawatan Kosong di Majlis Daerah Perak Tengah - Mei 2011

Jawatan Kosong di Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) - Mei 2011

JAWATAN:
1. Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (DG41)
2. Pegawai Ehwal Ekonomi (E41)
3. Pegawai Penilaian (W41)
4. Juruaudit (W41)
5. Akauntan (W41)
6. Pegawai Undang-Undang (L41)
7. Pegawai Syariah (LS41)
8. Pegawai Hal Ehwal Islam (S41)
9. Pegawai Tadbir (N41)
10. Pegawai Perancang Bandar & Desa (J41)
11. Penolong Akauntan (W27)
12. Pembantu Tadbir Kewangan (W17)
13. Pembantu Tadbir Undang-Undang (L17)
14. Pembantu Juruaudit (W17)

IKLAN JAWATAN
http://www.mais.net.my/images/stories/Iklan/Jkosong/2011/jkosong211.pdf

BORANG 1
http://www.mais.net.my/images/stories/Iklan/Jkosong/2011/bpjkp10.pdf

BORANG 2
http://www.mais.net.my/images/stories/Iklan/Jkosong/2011/bpmastautin11.pdf

Tarikh Tutup : 30 Mei 2011

Cuti Umum Tambahan Untuk Hari Raya Tahun 2011 Ini

Kerajaan membuat keputusan untuk mengumumkan cuti umum tambahan menjelang hari raya puasa tahun ini kerana ia dijangka jatuh bersamaan dengan sambutan hari kemerdekaan negara iaitu pada 31 Ogos.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan ketika mengumumkan demikian berkata, bagaimanapun, tarikh sebenar cuti umum tambahan itu akan bergantung kepada pengumuman tarikh hari raya yang akan diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu sebagaimana lazimnya. Sekiranya hari raya pertama jatuh pada Selasa 30 Ogos yang juga bermakna hari raya kedua akan bersamaan dengan sambutan hari kemerdekaan negara pada Rabu, 31 Ogos, maka hari Khamis, 1 September akan diisytiharkan sebagai hari cuti umum tambahan, kata Sidek dalam satu kenyataan, Selasa.

Bagaimanapun, sekiranya hari raya pertama jatuh pada Rabu, 31 Ogos yang juga bersamaan dengan cuti umum sambutan ulang tahun kemerdekaan negara, maka hari raya kedua akan jatuh pada 1 September dan ini bermakna 2 September akan diumumkan sebagai hari cuti umum tambahan.

- MSTAR

Jintan hitam herba penawar penyakit

Selepas tiga hari melakukan ekspedisi menggali sebuah kawasan di Lembah Raja, Mesir, pada 26 November 1922 tepat pukul 4 petang, Howard Carter, akhirnya menemui sebuah makam yang telah menjadi obsesnya sejak bertahun-tahun.

Artifak-artifak berharga yang dijumpai di makam Firaun Tutankhamun itu terlalu banyak yang sesuai dengan tarafnya sebagai seorang raja. Howard memerlukan masa selama sedekad untuk merekodkan 3,000 artifak yang ada.

Kesemua barang yang didapati di dalam makam yang tidak pernah terusik oleh penjarah itu merupakan keperluan dan cara hidup seorang raja Mesir. Hanya yang terbaik sahaja dibawa bersama ke alam selepas mati.

Antara barang-barang yang ditemui oleh ahli arkeologi dari London itu adalah singgahsana yang diperbuat daripada emas, tempat beradu, balang-balang berisi minyak dan makanan yang berkhasiat dan sebagainya.

Salah satu bahan yang dijtemui di makam berusia ribuan tahun itu adalah sejenis minyak hasil perahan herba jintan hitam atau lebih dikenali di dunia Arab sebagai habbatus sawda.

Habbatus sawda adalah sejenis herba yang boleh didapati di kawasan-kawasan tertentu terutama di Mediterranean dan telah diamalkan sejak zaman nabi.

Walaupun masyarakat Melayu mengenalinya sebagai jintan hitam, tetapi bentuknya berbeza dengan jintan manis atau putih.

Bersaiz lebih kecil berbanding jintan manis dan berwarna hitam, ia mengeluarkan sejenis bau yang nipis dan berempah tetapi tidak terlalu kuat.

Jika dimakan mentah-mentah atau masih belum diproses rasanya agak pahit.

Pendakwah bebas, Datuk Mohd. Daud Che Ngah berkata, junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Gunakanlah habbatus sawda kerana di dalamnya terdapat sejenis ubat daripada segala jenis macam penyakit kecuali As Sam (maut).”

Menurutnya, hadis sahih riwayat Al-Bukhari itu adalah saranan dan galakan Rasulullah kepada umatnya untuk menggunakan herba tersebut.

“Ia bertindak sebagai penyelaras perjalanan darah dan ia tidak khusus kepada satu-satu penyakit sahaja.

“Ia lebih banyak mencegah penyakit daripada mengubatinya,” kata Mohd. Daud ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Disebut dalam al-Quran

Kata Daud, atas gesaan Nabi itu, para sahabat seperti Saidina Ali dan Abdullah Auf turut sama mengamalkan habbatus sawda.

Sebaik-baiknya, habbatus sawda dimakan bersama madu, tambahan pula terdapat ayat dalam al-Quran, surah An-Nahla ayat 68 menceritakan berkenaan manisan lebah itu.

Mohd. Daud menegaskan, setiap perkara yang disebut dalam hadis dan al-Quran adalah yang terbaik untuk umat manusia serta mempunyai khasiat yang banyak.

Ia terbukti secara saintifik melalui kandungan bahan-bahannya yang terdiri daripada glukosa, polisakarida, kalsium, ferum, karotan dan asid amino.

Pakar Pemakanan Program Dietetik, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Shariza Abd. Razak berkata, habbatus sawda juga berfungsi sebagai bahan antitumor.

“Jadi, habbatus sawda amat baik untuk mengurangkan risiko dan mengawal penyakit kanser serta mampu meningkatkan kekuatan sistem imunisasi badan melawan penyakit seperti selesema,” katanya.

Menurut Dr. Shariza, individu yang mengalami alahan juga sesuai menggunakan habbatus sawda kerana terdapat bahan antihistamin di dalam jintan hitam itu.

“Bahan tersebut akan melawan histamin yang dihasilkan di dalam badan ketika alahan berlaku dan ia sesuai digunakan oleh penghidap ekzema atau radang kulit,” ujarnya.

Tinggi glukosa

Habbatus sawda juga boleh membunuh kuman kerana ia bertindak sebagi antibakteria.

Sehubungan itu, pesakit yang mengalami jangkitan bakteria terutamanya escherichia coli atau E. coli yang menyebabkan cirit-birit dan masalah penghadaman boleh mengamalkanya.

Bagi individu yang sentiasa mengalami keletihan dan sering tidak bermaya, habbatus sawda amat sesuai diamalkan kerana kandungan glukosanya yang tinggi.

“Habbatus sawda boleh bertindak sebagai bahan penambah tenaga dan biasanya dijadikan minuman atau sebagai salah satu bahan campuran dalam minuman seperti kopi dan teh,” ulas Shariza.

Selain dijadikan minuman, pengguna bebas membuat pilihan dalam apa bentuk sekalipun seperti kapsul atau minyak.

“Tiada had tertentu dalam pengambilannya malah kajian mendedahkan, seorang individu yang sihat dengan berat badan sebanyak 50 kilogram boleh mengambil antara satu hingga dua sudu teh sehari,” ulasnya.

Bagi sesetengah individu, jika habbatus sawda diambil berlebihan ia akan menyebabkan ketidakselesaan badan, panas badan dan gangguan fungsi tubuh tetapi ia masih lagi selamat untuk diambil.

“Tindak balas bergantung kepada individu dan sebaik-baiknya, ambil dalam sukatan yang disyorkan,” katanya berkongsi tip.

- KOSMO!

LPPKN pandang serius kahwin lewat

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) memandang serius isu sosial yang berkaitan dengan trend melewatkan perkahwinan, terutama di kalangan wanita berpendidikan tinggi.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dr. Anjli Doshi Gandhi berkata, fenomena itu boleh membawa implikasi kepada institusi kekeluargaan.

Beliau berkata, data terkini menunjukkan 30 peratus wanita di antara umur 25 dan 29 tahun belum berkahwin berbanding 25 peratus untuk lelaki di antara umur 30 dan 34 tahun yang masih bujang.

“Kami memberi perhatian serius trend perkahwinan yang semakin di lewatkan, khasnya di kalangan wanita yang memberi alasan bahawa mereka tidak ada calon yang sesuai,” katanya pada taklimat dan bual bicara Dasar Keluarga Negara (DKN) peringkat negeri Sarawak, yang di hadiri Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah di Kuching, Sarawak.

Beliau berkata, bagi lelaki pula, keadaan kewangan yang belum stabil adalah antara faktor yang menyebabkan lelaki dalam lingkungan umur awal 30-an belum berkahwin.

Sementara itu, Fatimah dalam ucapannya berkata satu pertiga dari 27.5 juta penduduk di negara ini terdiri daripada mereka yang berumur 15 tahun ke bawah dan akan memasuki usia perkahwinan menjelang 2020.

Beliau berkata, satu dasar yang komprehensif amat diperlukan dalam menghadapi cabaran pembangunan keluarga kerana golongan itu akan memberi kesan kepada penambahan isi rumah yang berlipat kali ganda dari jumlah sekitar 6.3 juta yang ada sekarang. – BERNAMA

Makan ikut cara Islam

Oleh: Prof. Madya Asmak Ali

Makanan dan minuman adalah bahan asas yang paling penting di dalam kehidupan seharian seseorang manusia. Ia adalah suatu keperluan yang tidak dapat diabaikan kerana kesihatan dan kekuatan seseorang itu sebahagian besarnya bergantung kepada makanan dan minuman yang diambil selain ketentuan Allah SWT.

Rasulullah SAW pernah menggambarkan di dalam hadis baginda kedudukan orang yang sihat antaranya, sesiapa yang mempunyai pencarian yang cukup (rezeki yang banyak) dan mempunyai tahap kesihatan yang baik seolah-olah seseorang itu merasakan dunia ini dia yang punya. (riwayat Tirmizi)

Manusia memerlukan makanan disebabkan beberapa perkara faktor:

* Membekalkan haba dan tenaga bagi menjaga dan mengekalkan suhu badan, bagi tugas-tugas pernafasan dan aliran darah, membantu fungsi otot serta proses penggantian zat dalam badan (metabolisme badan).

* Membentuk tisu-tisu baru dalam tempoh pertumbuhan badan dan juga untuk membaiki tisu-tisu yang sudah reput atau mati dan rosak . Kanak-kanak memerlukan bekalan yang mencukupi agar proses pembesaran mereka tidak terbantut.

* Untuk mengawal aktiviti pelbagai organ tubuh badan terutamanya jantung.

Makanan

Walaupun makanan adalah keperluan utama tetapi pengambilannya tidaklah boleh sewenang-wenangnya.

Dalam hal ini Rasulullah SAW yang menyatakan antara lainnya yang bermaksud: "Kami adalah suatu kaum yang tidak akan makan kecuali lapar dan apabila kamu makan tidak pula sampai kekenyangan".

Walaupun seseorang itu tidak mampu untuk mengikut cara pengambilan makan atau diet Rasulullah SAW secara total tetapi apa yang lebih penting makanlah sekadar yang perlu.

Rasulullah SAW memberi garis panduan makan dan minum untuk umat Islam antaranya adalah:

* Tidak terlalu kenyang. Kegemaran makan sampai padat adalah sesuatu yang amat dibimbangi nabi SAW ke atas umatnya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Yang paling saya takuti di antara hal-hal yang saya takuti adalah besar perutnya gendut kerana banyak makan, terus menerus tidur, kegemaran tidur yang melampaui batas, bersikap malas, lemah keyakinan, tidak mempunyai pendirian yang tegas dan tetap".

* Makanlah sekadar yang mencukupi asalkan dapat berdiri untuk bekerja kerana keadaan lapar juga boleh mematahkan semangat berusaha atau bekerja.

* Isi perut hendaklah dibahagikan kepada tiga bahagia iaitu 1/3 makan dan 1/3 untuk minum dan 1/3 lagi untuk pernafasan sehingga jiwa menjadi baik dan bersih.

Ada beberapa hal yang perlu diberi perhatian dalam urusan makan dan minum iaitu:

* Perut besar yang selalu dipenuhi makanan itu adalah rumah penyakit, sedangkan menjaga diri sebelum sakit adalah pengubatan. Jika dihinggapi penyakit sukar untuk diubati dan memakan masa untuk sembuh. Oleh itu bersederhanalah dalam makan dan minum.

* Kekuatan tubuh badan bukan dengan sebab banyak makan tetapi dengan pengambilan makanan dan minuman yang mencukupi dan seimbang.

* Jikalau perut sudah penuh berisi dengan makanan maka sempitlah ruang untuk air dan juga udara. Sekiranya hal ini berlaku timbullah rasa malas, lesu dan lalai.

Keadaan ini amat membahayakan kesihatan kerana akhirnya seseorang itu akan sering sakit-sakit, fikiran tumpul serta hilang semangat untuk bekerja.

Apabila garis panduan ini dipatuhi atau diikuti dapatlah mengelakkan dari rasa sendat, mual, susah bernafas dan sebagainya selepas makan.

Setiap individu seharusnya mengetahui bahawa:

* Perut adalah rumah penyakit seseorang. Pepatah ada mengatakan "anda adalah apa yang anda makan".

* Kekuatan tubuh badan bukanlah disebabkan banyak makan tetapi berkaitan pengambilan makanan yang baik dan seimbang.

* Jika perut sudah dipenuhi dengan makanan dan minuman, maka ruang udara akan menjadi sempit dan berkurangan; ini akan menimbulkan rasa malas, lesu dan lalai.

Apabila terasa lapar hendaklah terus makan, jangan bertangguh kerana apabila ditangguh-tangguh akan menyebabkan seseorang itu akan mengambil makan yang berlebihan sehingga dua kali ganda.

Jika diikuti prosedur pengambilan makanan yang ditetapkan oleh Islam fenomena lebih berat badan dan obesiti tidak akan berlaku. Islam melarang seseorang terus tidur selepas makan sama ada pada siang hari atau malam. Setiap kalori atau tenaga daripada makanan hendaklah terus dibakar dengan melakukan pelbagai gerak kerja atau aktiviti.

Kalori yang tidak diguna atau dibakar akan disimpan di dalam badan dalam bentuk lemak dan terus berkumpul daripada masa ke semasa jika tidak dikawal.

Obesiti di kalangan kanak-kanak satu fenomena perlu ditangani dengan baik. Ada beberapa faktor penyebab fenomena ini berlaku. Antaranya:

* Kurang keprihatinan ibu bapa

Ibu bapa tidak mengambil berat tentang kepentingan makanan berkhasiat, sajikan makanan kepada keluarga asalkan kenyang, sedangkan Islam menggesa supaya seseorang itu memakan makanan yang halal lagi berkhasiat.

Sarapan pagi

Keluar rumah tanpa sarapan sama ada bagi kanak-kanak sekolah atau pekerja merupakan satu amalan yang tidak sihat, kecuali berpuasa. Keadaan ini akan menjejaskan kadar metabolisme.

Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Nestle (M) Berhad pada tahun 2001 ke atas 12,000 murid sekolah rendah (berumur tujuh hingga 12 tahun di seluruh negara) mendapati, lebih 30 peratus kanak-kanak sekolah rendah tidak bersarapan.

Antara alasan paling kerap adalah tidak cukup masa (48 peratus) dan tidak berselera (30 peratus). Pilihan makanan sarapan paling lazim adalah roti, nasi lemak, nasi goreng dan kuih.

Didapati pengambilan makanan harian juga tidak teratur. Semakin ramai kanak-kanak gemar kudapan seperti ais krim, buah, bijirin sarapan pagi, kentang goreng, coklat dan makanan ringan.

Hasil kajian ini menunjukkan masih ada ibu bapa yang kurang ambil berat kepentingan bersarapan, sedangkan anak-anak sepatutnya makan sebelum mereka memulakan kelas.

* Mementingkan rasa makanan, mengenyangkan, murah berbanding khasiat

Trend hari ini makanan segera menjadi amalan dan kegemaran, sedangkan kandungan makanan yang dijual itu mengandungi kadar lemak, garam dan juga gula yang tinggi.

Ini amat membahayakan kesihatan. Namun makanan inilah yang banyak dijual di merata-rata tempat. Ini bermakna kanak-kanak dan murid-murid sudah disogok dengan makanan ini, lebih-lebih lagi dengan harga RM1 sudah dapat dibeli berbanding makanan lain.

Selain makanan segera yang digoreng, nasi lemak adalah makanan tumpuan pelajar. Dengan harga antara RM1.20 sehingga RM3 mereka sudah dapat membeli sebungkus nasi lemak.

Kajian mengenai khasiat nasi lemak perlu dibuat, kerana dulu masyarakat beranggapan minyak kelapa tidak elok untuk kesihatan sedangkan pada hari ini masyarakat pula mengambil minyak kelapa dara.

Pengaruh iklan

Iklan makanan segera ada di mana-mana sahaja dan yang paling berkesan adalah di televisyen.

Makanan dibungkus dengan gaya yang menarik untuk memancing kanak-kanak, ada yang gunakan kartun-kartun, gambar-gambar haiwan, kenderaan dan pelbagai lagi.

Anak-anak kecil yang menghabiskan banyak masa mereka di depan kaca televisyen sudah tentu akan terpengaruh dengan iklan-iklan yang disajikan kepada mereka. pihak berwajib patut memberi panduan cara pengambilan yang baik.

Memanjakan anak

Ada ibu bapa yang memanjakan anak-anak dengan menyogokkan makanan segera. Di rumah terdapat pelbagai pelbagai jenis makanan segera, snek kurang zat dan minuman sedia diminum dengan pelbagai jenama.

Kurang aktif

Kanak-kanak hari ini kurang aktif kerana mereka kurang ruang untuk bergerak, terkurung di dalam rumah kerana faktor keselamatan. Duduk di depan televisyen atau di depan komputer bermain play station berbekalkan makanan ringan atau jajan.

Recent Posts