Harga gula naik 20 sen kepada RM2.30 pada 10 Mei 2011

Harga gula naik 20 sen kepada RM2.30 pada 10 Mei 2011


Harga gula akan naik 20 sen kepada RM2.30 sekilogram berkuatkuasa 10 Mei 2011 (Selasa).

Penyelarasan subsidi itu akan membolehkan kerajaan berjimat sebanyak RM116.6juta.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Mohd Zain Mohd Dom, kenaikan itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Ekonomi.

"Langkah ini adalah selari dengan strategi jangka panjang kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi secara berperingkat-peringkat," kata Mohd Zain.

Jelasnya, walaupun perubahan harga runcit dibuat, ia adalah lebih rendah berbanding negara serantau, termasuk Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina.

Beliau malah menyebut harga gula di negara-negara berkenaan sebagai perbandingan.

Kali terakhir harga gula naik pada 4 Disember lalu, sejajar dengan kenaikan Harga petrol RON95, diesel, Petroleum Gas Cecair (LPG).

Kenaikan yang dikenali sebagai "4-dalam-1" itu menimbulkan kemarahan banyak pihak, termasuk mewujudkan beberapa siri bantahan, terutamanya sekitar Kuala Lumpur.

Pada masa itu, harga gula turut meningkat 20sen, menjadikan harganya RM2.10 sekilogram.

Sebelum itu, berlaku juga kenaikan pada 15 Julai tahun lalu dalam kenaikan "5-dalam-1.

Selain gula, turut mengalami kenaikan dua gred petrol, diesel, gula dan gas pada masa itu.

Dengan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM283.4 juta setahun dan penjimatan sebanyak RM116.6 juta setahun boleh diguna untuk pembangunan lain, katanya.

Beliau berkata langkah kerajaan menetapkan harga runcit gula baru itu dibuat lebih awal iaitu sehari selepas keputusan mesyuarat Majlis Ekonomi ialah bagimengelak timbulnya ketirisan, tindakan menyorok bekalan itu serta "pembelianpanik" oleh pengguna.

Mohd Zain berkata pengguna juga perlu melihat secara positif berikutan kenaikan harga gula itu kerana ia boleh mengelak orang ramai daripada menggunakan gula dalam kuantiti yang banyak, sekaligus dapat menghindarkan mereka daripada penyakit.

Beliau berkata kebanyakan gula yang berada di pasaran negara diimport dari Australia dan Brazil. - BERNAMA / MALAYSIAKINI

1 comment... add one now

zuyyin zulaikha zuyyin zulaikha 10 May, 2011
bagusnyerrr...naik la semuaaaaaaa :)

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.