Top Ad 728x90

Jangan Salah Guna Kebebasan Siber - Rais

17 Mei dirayakan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia (HTMBS atau akronim Inggerisnya WTISD) 2011. Perayaan dan pengiktirafan yang dahulu hanya dipanggil Hari Telekomunikasi kini sudah diubah tajuknya sedemikian lantaran tamadun manusia telah berubah secara mendadak dan menyeluruh melalui perhubungan sesama manusia.

‘Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia’ telah disambut semenjak 1969 bagi memperingati penubuhan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (International Telecommunications Union (ITU) pada 1865. Bermakna dunia telah mengiktiraf WTISD semenjak 140 tahun lalu dengan Konvensyen Telegraf Pertama di Paris pada 1865.

Konvensyen bersejarah yang disertai 20 negara pada masa itu kini menggabungkan hampir 200 negara dan pihak berkuasa dunia lantas berkembang pesat dengan pelbagai kemajuan.

WTISD bertujuan membawa perhatian dunia kepada potensi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam memenuhi aspirasi pembangunan dan ekonomi masyarakat serta kepentingan internet sebagai sumber sejagat.

Dengan tema WTISD pada tahun ini Kehidupan Komuniti Luar Bandar Lebih Baik Dengan ICT (Better Life In Rural Communities With ICTs) ia amat sejajar dengan dasar pembangunan komunikasi nasional Malaysia yang sedang menduduki barisan hadapan dalam bidang kemajuan komunikasinya bersama Singapura, Hong Kong dan Korea Selatan.

Kini terdapat lebih 1.5 bilion penduduk dunia termasuk masyarakat luar bandar mempunyai akses kepada kumpulan maklumat yang besar dan berupaya untuk berkomunikasi dengan pergerakan yang lebih luas. Jumlah pengguna internet di seluruh negara pula telah mencecah 17.5 juta orang pada tahun 2011 sementara pengguna telefon bimbit sahaja melebihi 34 juta orang.

Seperti ditekankan, pengenalan Dasar Jalur Lebar Negara yang dihuraikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Raja Mac 2010 terus disambut dengan penuh kesungguhan dan kerja keras. Ini bersekali dengan kegigihan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) yang beroleh sokongan padu syarikat-syarikat ICT serta industri komunikasi telefon dan jalur lebar.

Pelbagai daya usaha gigih dilaksanakan termasuk binaan 1,000 menara telekomunikasi pada tahun ini di seluruh negara, 3,000 kampung jalinan tanpa wayar atau wi fi. Agihan sejuta komputer netbook, skim latihan berkomunikasi secara berhemah dan pelbagai lagi. Malah penembusan isi rumah pada masa ini telah mencecah 58 peratus, hanya dua peratus lagi untuk mencapai sasaran negara bagi tahun 2011.

Sambutan WTISD setiap tahun diadakan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dunia mengenai kepentingan ICT dan manfaat serta faedah yang diperolehi untuk manusia sejagat melalui penggunaan kemudahan komunikasi dan multimedia secara maksimum dalam kehidupan seharian.

Antara Aktiviti-Aktiviti Sempena Sambutan Tersebut:

Setiap negara anggota digalakkan mengadakan program sempena sambutan WTISD pada 17 Mei setiap tahun. Setiap negara boleh mengadakan sambutan mengikut cara masing-masing.

Di Malaysia program-program yang pada kebiasaannya diadakan ialah seperti penganjuran program kesedaran penggunaan perkhidmatan komunikasi piel tanggungjawab semasa menggunakan alatan komunikasi sama ada semasa berhubung melalui telefon bimbit atau internet dan cabang-cabangnya yang lain.

SKMM sebagai badan pengawal selia industri komunikasi dan multimedia akan menggunakan khidmat komposit bersama pelbagai pihak seperti stesen-stesen TV dan radio, media cetak serta perjumpaan-perjumpaan semuka rakyat. SKMM juga akan menggunakan saluran-saluran utama jabatan-jabatan kerajaan, badan-badan bukan kerajaan (BBBK/NGO).

Komunikasi serta multimedia yang mengandungi pelbagai ciri kandungan (content) barang sudah tentu berdaya mempengaruhi kehidupan rakyat jelata. Orang akan lebih termaklum atau terlengkap dengan informasi asas mengenai budaya, ekonomi, keselamatan dan pelbagai lagi hal-hal lain.

Dalam program berkenaan, SKMM mengadakan pelbagai aktiviti termasuk pameran demonstrasi teknologi jalur lebar, program penerangan perkhidmatan telekomunikasi kepada pengguna, kuiz ICT untuk orang awam, kaunter aduan perkhidmatan dan Kempen Perkhidmatan Panggilan Kecemasan 999.

Melalui program berkenaan, pengguna diberi penerangan berhubung teknologi jalur lebar dan kegunaannya dalam kehidupan seharian serta manfaat yang boleh dinikmati oleh mereka.

Selain daripada SKMM, agensi-agensi kerajaan yang lain juga turut mengadakan program-program sempena sambutan WTISD. Kementerian Pelajaran misalnya akan mengadakan program Pertandingan Pertandingan Melalui Talian (Education on-line). Program berbentuk kuiz pelajaran dalam talian ini diadakan hampir setiap tahun dan serentak di seluruh negara.

Sementara itu komitmen terhadap kejayaan e-kerajaan, e-pelajaran, e-dagang, daerah digital, kampung tanpa wajar, pusat telekomunikasi rakyat di daerah dan lain-lain terus ditingkatkan supaya cara hidup ICT berterusan menjadi kebiasaan hidup kita.

Objektif Pertandingan Pertandingan Melalui Talian ini adalah untuk membudayakan para murid, warga guru dan ibu bapa mengenai kepentingan dan kelebihan jalur lebar, sejajar dengan matlamat dan sasaran utama SKMM untuk mencapai 60 peratus kadar penembusan jalur lebar menjelang tahun ini dan 75 peratus menjelang 2015.

Program-program lain yang mungkin boleh diadakan ialah seperti penganjuran seminar dan forum mengenai penggunaan betul ICT dan manfaatnya kepada pengguna.

Aspek pencegahan tabii jahat atau yang menyalahi undang-undang negara juga akan diketengahkan. Gejala buruk akibat penggunaan internet yang berleluasa membuktikan wujudnya beberapa aspek kontroversial pengguna di alam siber.

Ada pihak berpendapat pengguna internet melalui kemudahan jalur lebar itu boleh buat apa saja, kononnya bebas dan tanpa sekatan. Pendapat ini salah. Semua perbuatan jenayah melalui internet seperti merendahkan martabat orang lain, tanpa bukti, berbohong, menipu, perlakuan seks melalui pornografi, deraan kanak-kanak, hasutan, perbuatan jelek dan memecah belah masyarakat, berita palsu dan lain-lain tetap boleh disabitkan oleh pendakwa melalui perbuatan manusia di internet. Sempena Hari Telekomunikasi, bab ini amat penting difahami.

Pentingnya Tema Kehidupan Komuniti Luar Bandar Lebih Baik Dengan ICT:

Kini polar dan corak peralihan dunia diubah oleh kemajuan yang dicapai oleh teknologi maklumat dan komunikasi.

Masyarakat dunia kini dapat menerima dan membuat pelbagai panggilan, mendengarkan siaran radio, bercakap sambil menonton di paparan telefon, menjelajah dunia secara maya atau siber selama 24 jam sehari secara serentak dan tanpa sempadan.

Sebagai mana banyaknya ilmu yang boleh ditimba, begitu juga aspek-aspek negatif, justeru generasi muda harus waspada lantaran ini semua berupaya mengubah peradaban kita sebagai rakyat Malaysia yang punya budaya, warisan dan kepercayaan masing-masing.

Perkembangan pesat telekomunikasi tidak mampu dihalang lagi. Setiap hari akan terhasil pelbagai peralatan baru yang menjadi alat penggerak komunikasi dan telekomunikasi. Kalau satu masa dulu kepakaran ICT cuma dipelopori oleh masyarakat elit di bandar tetapi pada masa kini ia juga dikuasai sama oleh masyarakat luar bandar.

Maka menyambut Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia 2011 pada tahun ini begitu signifikan kepada setiap individu di negara ini.

Dengan tema “Kehidupan Komuniti Luar Bandar Lebih Baik dengan ICT" bererti tumpuan kepada aspek-aspek kehidupan berkualiti harus dititikberatkan bagi kemanusiaan secara menyeluruh.

Dasar HSBB atau Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (JLBT) yang pada masa ini dinikmati badan-badan korporat dan pihak-pihak berkeupayaan di bandar-bandar utama akhirnya akan menembusi kampung-kampung dan kawasan luar bandar.

Tiga sasaran pembangunan jalur lebar nasional ialah harga yang berpatutan, kualiti tinggi dan kelajuan yang memuaskan. Pada masa ini capaian 10Mpbs ke 20Mpbs adalah biasa bagi program HSBB. Di luar bandar, kelajuan meningkat dari 2 hingga 4 Mpbs, di peringkat yang membolehkan sajian video tanpa gencatan.

Pelbagai inisiatif telah dan sedang diusahakan oleh kerajaan bagi melahirkan lebih ramai peneraju dan pemain-pemain utama dalam bidang teknologi komunikasi dan maklumat. Ini kemudiannya akan memberi banyak peluang bagi mengembangkan minda dan pendidikan serta pembangunan bagi menjana pendapatan negara. Kerajaan juga menyediakan infrastruktur gentian optik dalam kawasan pedalaman bagi meningkatkan penggunaan jalur lebar (broad band) di seluruh negara.

Tahun ini penembusan jalur lebar telah menunjukkan peningkatan yang pesat. Pada Mei 2011 kita telah mencapai jumlah 4.9 juta pengguna perkhidmatan jalur lebar dan jumlah tersebut dijangka meningkat kepada 5.3 juta menjelang 2015. Dengan perkembangan hebat ini peralatan dan perhubungan melalui jalur lebar bukan lagi dianggap sebagai kemewahan tetapi senaiknya dianggap sebagai prasarana utama kemanusiaan.

DATUK SERI DR. RAIS YATIM
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90