RAHSIA LULUS TEMUDUGA KERJA

Kepada calon yang sedang mencari kerja boleh mendapatkan Pakej Rahsia Lulus Temuduga Kerja.
Klik di sini --> http://www.ashadee.net/go/50249/myadha?tid=myadha

Fahaman kepelbagaian agama alat penyatuan

on Thursday, June 9, 2011

Oleh Teo Kok Seong
Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia

Pemupukan negara bangsa, yakni rakyat yang bersatu dan pembinaan negara itu sendiri agar terus maju dalam masyarakat berbilang kaum perlu didorong oleh satu matlamat murni yang menjangkaui kepentingan mana-mana kaum. Untuk ini, beberapa tema diutarakan bagi mendukung peranan penyatuan dan pembangunan negara.

Bangsa dan bahasa adalah dua tema yang didapati mampu menyatukan pelbagai unsur dalam sesebuah negara majmuk. Di Malaysia, bangsa digunakan untuk mewujudkan bangsa Malaysia, iaitu pemikiran bahawa semua kaum memiliki takdir sama, justeru kita harus bersatu. Bahasa Melayu pula dijadikan bahasa kebangsaan, yakni bahasa negara yang bukan saja mewakili semua kaum, tetapi yang digunakan untuk menyatukan kita semua.

Agama sebagai tema penting dalam ideologi penyatuan negara, khususnya dalam negara majmuk, sering dianggap sebagai sesuatu yang tidak realistik. Ini adalah kerana agama, walaupun yang dianuti bersama, didapati boleh membawa kepada perpecahan dalam kalangan penganutnya.

Oleh itu, apatah lagi cadangan untuk menggunakannya, lebih-lebih lagi fahaman kepelbagaian agama sebagai ideologi penyatuan dalam negara majmuk. Ia dianggap bukan saja tidak berpijak di bumi nyata, tetapi boleh mengundang kekacauan yang akhirnya membawa kepada konflik agama.

Sesungguhnya hal begini tidak semestinya berlaku. Malah, ia boleh dilaksanakan dan Malaysia boleh membuktikannya. Ini antaranya adalah kerana Rukun Negara, yakni ideologi nasional mengenai cara negara berdaulat ini diurus tadbir selain menjadi amalan hidup rakyatnya, boleh dimanfaatkan bagi tujuan penyatuan negara. Prinsip pertamanya, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, digubal atas dasar kesedaran bahawa agama dan kepercayaan kepada Tuhan adalah perkara penting dalam kehidupan manusia.

Sebetulnya rakyat Malaysia rata-ratanya adalah orang yang berpedoman, iaitu dalam pengertian terdapat di kalangan kita yang mempercayai wujudnya Tuhan Yang Esa atau beberapa Tuhan. Sesetengah daripada kita pula mempercayai sistem kepercayaan tertentu, manakala ada juga antara kita yang mempercayai apa yang secara longgarnya dianggap sebagai kuasa ajaib.

Dengan ini, walau apa juga agama, sistem kepercayaan dan kuasa ajaib yang kita semua anuti, percayai dan yakini, boleh dikatakan bahawa sudah wujud asas teguh kerohanian dalam jiwa rakyat Malaysia. Oleh sebab inilah, prinsip pertama dalam Rukun Negara disusun untuk dipromosikan bukan saja sebagai satu asas mengurus tadbir negara. Tetapi yang lebih penting ialah untuk rakyat Malaysia menjalani hidup agar lebih bermakna lagi dari segi rohaniah.
Untuk tujuan penyatuan negara, khususnya fahaman kepelbagaian agama sebagai temanya, prinsip Rukun Negara yang pertama ini perlu disemat untuk terus diterokai bagi dimanfaatkan dalam kita mencari formula keharmonian kaum di Malaysia.

Malangnya, sudah lama Rukun Negara tidak dipromosikan, sama ada secara agresif mahupun sebaliknya. Walaupun ramai pihak menyebutnya, rujukan kepada Rukun Negara adalah sebagai formaliti semata-mata.

Mungkin masanya sudah tiba untuk kita meneliti semula semua prinsip pada Rukun Negara, untuk dipupuk di kalangan golongan muda agar mereka bukan saja lebih bersatu. Tetapi lebih penting lagi ialah mereka bersama-sama membangunkan negara melalui satu identiti unik, yakni bersatu dalam kepelbagaian sebagai amalan hidup rakyat Malaysia yang istimewa sifatnya.

Walaupun agama berkenaan dengan akidah, prinsip kepercayaan kepada Tuhan ini boleh kita terus manfaatkan dari segi peranan agama dalam masyarakat, khususnya yang majmuk. Sehubungan ini, agama perlu banyak dibicarakan dari sudut fungsi yang dapat dimainkannya dalam kehidupan manusia.

Antara yang terpenting adalah kesan agama, sama ada ajaran mahupun amalannya, dalam kehidupan manusia. Ini boleh diteliti dari segi pelbagai fungsi yang dimainkan oleh semua agama. Sesungguhnya banyak fungsi ini didapati sama. Persamaan inilah yang perlu diangkat untuk dianjurkan dalam pencarian formula keharmonian kaum di Malaysia.

Secara ringkasnya, semua agama didapati mempunyai peranan untuk memenuhi beberapa keperluan psikologi dan sosial yang penting. Antaranya ialah agama dapat memberi ketenangan kepada manusia ketika berlakunya krisis. Ia juga menetapkan pelbagai jenis kelakuan manusia, sama ada sebagai baik atau sebaliknya.

Yang paling penting dalam konteks perbincangan ini ialah agama mempunyai peranan memupuk dan mengekalkan solidariti sosial.

Peranan ini berkaitan dengan tindakan membantu antara satu sama lain atas asas kita semua tanpa mengira kaum adalah makhluk Tuhan, yang dicipta-Nya untuk saling menyokong antara satu sama lain. Dalam konteks sebagai bangsa Malaysia, solidariti ini adalah pemilikan perasaan, pandangan dan tujuan bersama. Dengan kata lain, kita semua sebagai bangsa Malaysia mempunyai takdir ini sama di bumi Malaysia.

Sehubungan ini, kuasa agama yang mampu membawa integrasi sosial perlu dieksploitasi secara positif untuk membolehkan rakyat Malaysia yang berlainan agama, memahami keadaan unik di Malaysia, khususnya dari segi kerohanian. Ini dapat dilakukan berdasarkan nilai, kepercayaan dan norma yang dipelajari daripada setiap agama sebagai pegangan oleh penganutnya.

- BERITA HARIAN
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© MY ADHA - Jawatan Kosong dan Info Pegawai Tadbir Diplomatik PTD | Hakcipta Terpelihara 2008 - 2014
D.I.Y Themes ByBelajar SEO