Top Ad 728x90

Laman cari jodoh unik

Ada orang sangat sukar mencari jodoh. Bukan kerana mereka tidak cantik atau tampan tetapi disebabkan kriteria yang diletakkan untuk pasangan mereka kadang kala terlalu sukar untuk dipenuhi.

Memanglah semua orang mahukan 'Mr Perfect' atau 'Miss Perfect' terutama pasangan yang mempunyai minat, hobi atau perangai yang sama tetapi ia memang sukar ditemui.

Bagaimanapun, kemunculan Internet membolehkan hasrat golongan sedemikian tercapai iaitu mencari pasangan yang mempunyai minat yang sama - seperti lelaki peminat alam semula jadi ingin mencari wanita juga pencinta alam, lelaki peminat bola inginkan pasangan 'kaki bola' dan sebagainya.

Bukan setakat itu, melalui beberapa laman web mencari jodoh yang unik itu, mereka yang sukakan watak zombie juga boleh mendapatkan pasangan yang 'kaki zombie'! Menarik bukan?

Pasangan DNA

Jika anda inginkan perhubungan yang hebat, kadar kesuburan tinggi dan peluang terjalinnya perhubungan jangka panjang, sebuah laman web GenePartner.com menawarkan perkhidmatan mencari pasangan berdasarkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) anda.

Mungkin ada juga di antara kita yang sangat takut untuk memberi sampel DNA kepada orang lain kerana faktor-faktor tertentu tetapi laman web ini hanya untuk mereka yang yakin untuk memberikan sampel DNA kepada sesiapa sahaja.

Kaedah ini diperkenalkan untuk mencari pasangan serasi kerana mereka mendakwa perhubungan seseorang akan menjadi lebih menyeronokkan jika ia mempunyai kesesuaian genetik.

Penemuan itu berjaya diperoleh oleh Prof. Dr. Wedekind dari University of Bern, Switzerland yang menjalankan ujian terhadap beberapa sukarelawan wanita untuk menghidu baju T berbau yang dipakai oleh lelaki berbeza dan kemudian mengukur daya tarikan mereka.

Dalam ujian yang membabitkan kajian terhadap kod HLA (human leukocyte antigen) iaitu sebahagian daripada DNA, Wedekind mendapati kebanyakan wanita tertarik kepada bau baju T lelaki yang mempunyai DNA yang sangat berbeza daripada DNA mereka sendiri.

Selain GenePartner.com, sebuah lagi laman web yang menawarkan perkhidmatan mencari pasangan berdasarkan DNA ialah ScientificMatch.com.

"Berapa banyak perkhidmatan mencari jodoh yang boleh mencadangkan yang anda boleh mendapat anak lebih baik melalui pasangan anda?" tanya Eric Holzle, pengasas laman web tersebut.

Laman web lain yang turut menawarkan perkhidmatan serupa ialah Basisnote.com. dan www.scentoflove.com.

Pencinta alam

Sememangnya pencinta alam agak teliti dalam kehidupan mereka. Seboleh mungkin, golongan ini tidak mahu merosakkan anugerah alam kurniaan Tuhan dan mereka sanggup hidup dalam keadaan serba sederhana, semata-mata kerana cintakan alam.

Golongan itu juga sebenarnya boleh mencari pasangan yang mempunyai minat yang sama melalui laman web Greensingles.com, yang merupakan laman web mencari jodoh pencinta alam terbesar.

Melalui pergabungan dua insan yang mencintai alam, harapan mereka agar mendapat anak-anak generasi hadapan yang juga sangat cintakan alam.

Selain Greensingles.com, laman web mencari pasangan untuk pencinta alam yang lain ialah EarthwiseSingles.com dan Greenpassions.com.

Mac, muzik dan zombie!

Peminat komputer Machintosh (Mac) sememangnya unik. Jika boleh, golongan itu tidak mahu melepaskan satu pun produk keluaran Apple Inc. dan akan menyisihkan apa sahaja produk saingannya seperti dari Microsoft dan sebagainya.

Sehubungan itu, sebuah laman web http://cupidtino.com/ diperkenalkan untuk para peminat Apple yang sememangnya mempunyai persamaan dari segi personaliti, kerjaya kreatif, deria, gaya dan yang paling penting kecintaan kepada teknologi tersebut.

Bagi mereka yang ingin mencari pasangan yang mempunyai minat terhadap jenis muzik yang sama, laman web tastebuds.fm/ membolehkan anda mencari pasangan yang mempunyai minat muzik yang sama sahaja.

Bagi mereka, kegemaran terhadap muzik yang sama akan memudahkan mereka untuk menghabiskan lebih masa bersama untuk menonton konsert atau berehat di rumah dengan dialunkan muzik-muzik kegemaran.

Jika di Malaysia, mungkin kita boleh mencari pasangan yang meminati filem Zombie Kampung Pisang sebagai pengukur tahap minat seseorang terhadap watak mayat hidup atau zombie.

Bagaimanapun, beberapa laman web pencari pasangan zombie memudahkan pencarian anda itu kerana anda hanya perlu mengunjungi www.zombieconnect.com atau zombiesingles.com.

Laman web ini membolehkan anda mengayakan wajah zombie dan kemudiannya meletakkan ciri-ciri 'pasangan zombie' yang anda ingin berkenalan.

Kini anda bukan sahaja anda boleh mencari pasangan melalui minat, sikap atau rupa di laman-laman web mencari jodoh tetapi juga mencarinya mengikut ciri-ciri atau minat unik anda.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90