Top Ad 728x90

Jangan anggap konvokesyen titik terakhir - Tuanku Mizan


SHAH ALAM 20 Okt. - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengingatkan mahasiswa agar tidak menganggap majlis konvokesyen sebagai titik akhir pencarian ilmu pengetahuan dalam hidup mereka.

Seri Paduka menegaskan, tanggapan sedemikian adalah tidak tepat dan tidak seharusnya ada dalam pemikiran mahasiswa kerana proses pencarian ilmu perlu dilakukan sepanjang hayat.

''Saudara dan saudari (mahasiswa) hendaklah meneruskan usaha pencarian ilmu dan tidak menyifatkan majlis ini (konvokesyen) sebagai titik akhir dalam usaha sedemikian.

''Sebaliknya berpegang teguhlah terhadap falsafah mencari ilmu sepanjang hayat dan manfaatkan ilmu yang diperoleh itu dengan sebaik-baiknya," titah Seri Paduka ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Ke-75, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Ir. Sahol Hamid Abu Bakar.

Seri Paduka bertitah majlis konvokesyen kali ini juga istimewa kerana ia menandakan lima tahun baginda memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Canselor UiTM.

Sehubungan itu Seri Paduka mahu universiti tersebut terus memainkan peranan penting dalam mengubah destini anak bangsa sebagaimana dilakukan sejak 55 tahun penubuhannya.

Yang di-Pertuan Agong turut berharap agar kedudukan UiTM terus diperkukuh dan dipelihara dalam apa jua keadaan sekalipun.

''Beta sembah maklum mengenai perkembangan UiTM yang begitu pesat dan mencatatkan pencapaian membanggakan di dalam dan luar negara.

''Teruskan usaha meningkatkan kualiti agar modal insan UiTM berdaya saing, berintegriti tinggi dan bertanggungjawab sebagai pewaris dan penerus bangsa di bumi bertuah ini," titah Tuanku Mizan.

Dalam pada itu, Seri Paduka menyatakan rasa bangga terhadap UiTM apabila berjaya mengukir sejarahnya tersendiri dengan melahirkan 27 graduan kumpulan pertama Fakulti Pergigian.

Dengan kejayaan itu titah Tuanku Mizan, ia dilihat melengkapkan universiti itu sebagai pusat ilmu pengetahuan menerusi penawaran program-program pengajian melalui 25 buah fakulti.

''Sesungguhnya, orang Melayu dan bumiputera boleh terus menikmati pengajian yang berkualiti di UiTM yang diiktiraf oleh badan-badan profesional dari dalam dan luar negara," titah Seri Paduka.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90