Top Ad 728x90

,

SPR Pamer 42,051 Nama Pemilih Dengan Rekod Meragukan Bermula 27 Oktober 2011

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempamerkan senarai 42,051 nama pemilih yang rekodnya tidak dapat disahkan kesahihan maklumatnya selama seminggu bermula Khamis ini.

Menurut kenyataan SPR pada Selasa, nama pemilih berkenaan akan dipamerkan bersama daftar pemilih tambahan suku ketiga tahun ini di 987 tempat pameran seluruh negara.

"Senarai nama pemilih yang rekodnya meragukan bukan untuk tujuan tuntutan atau bantahan sebaliknya untuk pengesahan daripada pemilih berkenaan atau waris kepada nama-nama yang dipamerkan.

"Jika nama pemilih itu ada dalam senarai berkenaan, maka beliau perlu hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengenal pasti masalah berhubung rekod nombor kad pengenalannya sebelum merujuk kepada SPR untuk urusan berkaitan pendaftaran pemilihnya," menurut kenyataan itu.

Dalam tempoh yang sama, SPR akan turut mempamerkan senarai 264,404 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dan 52,215 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi daripada pemilih yang sedia berdaftar dengan SPR dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih Suku Tahun Ketiga 2011 bermula Julai hingga September lepas.

Menurut SPR, mana-mana warganegara yang baru mendaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai di dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2011 itu boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B dengan menyerahkan borang tersebut kepada Pendaftar, iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri masing-masing dalam tempoh tujuh hari dari tarikh ia dipamerkan.

Bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam daftar pemilih yang dipamerkan boleh dilakukan dengan menggunakan Borang C.

SPR menasihatkan mereka yang ingin membuat bantahan memastikan bantahan adalah berdasarkan kepada alasan kukuh dan tidak dibuat secara melulu.

Selain daripada mempamerkan nama-nama pemilih baru dan pemilih berdaftar yang memohon untuk bertukar alamat pusat mengundi, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih.

"Asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada Daftar Pemilih ialah kerana mereka ini didapati telah meninggal dunia, lucut hak warganegara, telah bersara daripada angkatan tentera dan polis yang bermakna mereka telah hilang kelayakan sebagai seorang pemilih pos dan sebagainya," menurut kenyataan itu.

Bagi tempoh Julai hingga 15 Sept lepas, SPR mengeluarkan 69,293 nama daripada rekod pemilih berdaftar setelah disahkan meninggal dunia.

Dalam tempoh berkenaan, SPR memotong 1,068 nama pemilih berdaftar yang disahkan telah dilucutkan kewarganegaraan oleh JPN.


Pemilih Baru dan Tukar Alamat Penting Semak Rang Daftar Pemilih Tambahan

Semua pemilih baru yang sudah berdaftar atau bertukar alamat pusat mengundi, diingatkan supaya menyemak Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT) suku tahun ketiga 2011, yang akan dipamerkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mulai Khamis ini hingga 2 Nov depan.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata adalah penting mereka menyemak Rang DPT itu bagi memastikan nama mereka sudah didaftarkan dengan maklumat betul dan tepat.

"Masalahnya ramai suka ambil mudah dan beranggapan sebaik sudah mengisi borang pendaftaran (Borang A) secara automatik mereka layak mengundi dan yang bertukar tempat mengundi juga boleh terus mengundi di tempat baru.

"Sedangkan mungkin semasa mengisi borang berlaku kesilapan atau pun selepas permohonan diproses terdapat maklumat meragukan, menyebabkan permohonan individu itu tidak dapat didaftarkan sebagai pemilih," katanya dalam satu temubual di sini Selasa.

Pameran Rang DPT akan dibuat di 987 lokasi di seluruh negara antaranya di pejabat pilihan raya negeri, pejabat pos, pejabat kerajaan, pejabat daerah, pejabat tanah, majlis daerah, dewan serbaguna, balai raya, dan ia juga boleh disemak di laman web SPR www.spr.gov.my.

Sejumlah 264,404 pemilih baru dan 52,215 pemilih yang memohon pertukaran alamat pusat mengundi, yang diterima dan diproses oleh SPR mulai 1 Julai hingga 30 September tahun ini akan dipamerkan sepanjang tempoh itu.

Abdul Aziz berkata, dengan menyemak Rang DPT itu, jika didapati nama tiada dalam senarai, pemohon boleh mengemukakan tuntutan dengan mengisi Borang B dan dihantar kepada Pendaftar bagi kawasan pendaftaran berkenaan beserta salinan Borang A.

Selain itu, pameran juga untuk memberikan ruang kepada mana-mana pihak untuk membantah kemasukan namanya atau nama orang lain ke dalam sesuatu kawasan pendaftaran.

"Tetapi pembantah mestilah bertanggungjawab dengan bantahan yang dibuat kerana implikasinya amat besar, jika terdapat satu bantahan bagi satu bahagian pilihanraya, ia akan menyebabkan pengesahan keseluruhan pendaftaran bagi bahagian pilihan raya Parlimen berkenaan ditangguhkan sehingga kes bantahan itu diselesaikan, katanya.

Abdul Aziz berkata sekiranya bantahan ditolak, rayuan boleh dibuat kepada pegawai pengadil dan jika pegawai pengadil mendapati bantahan yang dibuat tidak berasas, pembantah perlu membayar pampasan tidak melebihi RM200.

Beliau berkata bantahan tidak berasas menyebabkan mereka yang benar-benar layak mengundi di sesuatu kawasan pilihan raya itu mungkin tidak dapat menunaikan tanggungjawab.

"Sekiranya dalam waktu terdekat berlaku pilihan raya maka pemohon baru tidak dapat mengundi dan pemohon tukar tempat mengundi terpaksa mengundi di bahagian Parlimen yang lama," katanya.

Sepanjang tempoh pameran, sejumlah 42,051 rekod pemilih meragukan turut dipamerkan, tetapi bukan untuk tujuan tuntutan atau bantahan, sebalikya untuk tujuan pengesahan daripada pemilih berkenaan atau waris kepada nama-nama dipamerkan.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90