Top Ad 728x90

, ,

Tuntutan Harta Pusaka secara online kini di hujung jari

Mungkin masih ramai yang berpandangan bahawa untuk membuat tuntutan harta pusaka perlu melalui proses rumit yang membebankan.

Gambaran negatif mengenai proses permohonan tuntutan seperti perlu berulang alik ke Pejabat Tanah untuk mengambil borang, mengetahui status hingga ke proses perbicaraan yang adakalanya mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan membuatkan ada pihak yang melengah-lengahkan untuk membuat tuntutan.

Sekiranya masalah itu dilihat membebankan, anda boleh memikirkannya semula kerana segalanya kini boleh dilakukan hanya di hujung jari.

KESEDARAN TUNTUT HARTA PUSAKA

Setiap tahun sekurang-kurangnya 50,000 permohonan baru diterima Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) seluruh Semenanjung bagi penyelesaian pusaka kecil yang melibatkan harta tak alih termasuk tanah dan rumah yang bernilai bawah RM2 juta.

Jumlah itu meningkat setiap tahun berikutan kesedaran orang ramai mengenai hak membuat tuntutan harta, demikian menurut Pengarah Seksyen Pembahagian Pusaka JKPTG, Hasiah Kasah.

Contohnya, pada tahun 2008, sebanyak 44,539 permohonan diterima JKPTG, diikuti 48,721 permohonan pada 2009 dan meningkat lagi kepada 51,943 permohonan pada tahun lepas.

Peningkatan kesedaran itu juga menyebabkan kes-kes tuntutan berlapis yang kebiasaannya melalui proses yang rumit untuk diselesaikan dapat dikurangkan.

"Jika dahulu, kesedaran masyarakat masih lagi kurang hingga ada yang buat permohonan lambat. Sebagai contoh, sepatutnya permohonan dibuat pada tahun 40-an, tapi tahun 80-an baru nak buat permohonan, nama si mati pun dah berlapis-lapis.

"Ini yang menjadi kesukaran dan mengambil masa yang lama untuk menyelesaikannya kerana ia bergantung kepada dokumen dan maklumat lengkap yang diberikan," katanya.

Beliau berkata keadaan itu semakin berubah, sama ada di bandar mahupun luar bandar, di mana tuntutan harta pusaka kini dibuat awal selepas ibu atau bapa meninggal dunia yang menyebabkan kes tuntutan berlapis berkurangan dan kebanyakan kes dapat diselesaikan lebih awal sekiranya tidak ada sebarang masalah.

"Kami mensasarkan tempoh lima setengah bulan bagi menyelesaikan setiap tuntutan berbanding tempoh dua atau tiga tahun dahulunya. Namun ia tergantung kepada kes, jika tidak ada masalah biasanya ia boleh diselesaikan dalam tempoh itu," katanya.

BERALIH KE TALIAN TERUS (ONLINE)

Menyedari keperluan orang ramai terutama memberi kemudahan bagi proses permohonan tuntutan harta pusaka, JKPTG telah meminda undang-undang Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dan peraturan-peraturannya pada tahun 2009.

Hasiah berkata ini bagi membolehkan permohonan secara terus (online) dapat dilakukan yang akan memberi kemudahan kepada pemohon terutama mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung, menjimatkan masa serta mengurangkan kesesakan di kaunter.

"Ia baru enam bulan diwujudkan sejak Mei lepas setelah kita pinda undang-undang yang ada. Selama ini permohonan pusaka, waris akan datang ke Pejabat Tanah untuk ambil borang A untuk pemohonan baru dan borang P untuk kes-kes ulang bicara.

"Kita lebih menggalakkan urusan permohonan dibuat terus dalam talian, di mana waris yang ingin memohon boleh melakukannya di mana-mana sahaja sama ada dalam atau luar negara," katanya yang kini permohonan dibuat adalah percuma berikutan pindaan akta itu.

Katanya, melihat pada jumlah permohonan masa kini, Kelantan mencatatkan peningkatan permohonan tertinggi berbanding negeri lain.

"Ada kemungkinan, suami isteri ada rumah di Kuala Lumpur dan Kelantan. Bila si suami meninggal, si isteri pulang ke kampung dan buat permohonan itu di Kelantan. Namun itu tidak menjadi masalah, kerana dengan pindaan akta itu, dia boleh buat tuntutan tanah pusaka termasuk tanah di kampung yang dia duduk itu, berbanding sebelum ini di mana dia perlu membuat permohonan itu berdasarkan lokasi harta itu," katanya.

Hasiah berkata permohonan secara talian terus membantu jabatan mengurangkan beban tugas berikutan kekurangan kakitangan jabatan itu di seluruh negara.

Bagaimanapun beliau turut mengakui sambutan orang ramai terhadap penggunaan perkhidmatan itu masih berkurangan dengan kira-kira 30 permohonan setiap bulan yang diterima melalui talian terus berbanding anggaran 4,000 permohonan baru yang melakukannya di kaunter.

"Mungkin ramai yang tidak tahu tentang perkhidmatan secara online ini, namun kami berharap keadaan itu akan berubah dan mensasarkan 50 peratus permohonan dibuat melalui online setiap bulan," katanya.

CARA MUDAH MEMOHON

Tanpa perlu beratur atau bersesak di kaunter, pemohon hanya perlu mengunjungi laman web JKPTG untuk mendapatkan identiti pengguna serta kata laluan sebelum mengisi borang permohonan.

Hasiah berkata selepas mendaftar dan mengisi Borang A di bawah Seksyen 8 Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, pemohon perlu mencetak borang berkenaan dan menghantar permohonan itu dalam tempoh 21 hari beserta salinan dokumen sokongan seperti surat mati, geran hak milik, kad pengenalan waris serta dokumen harta alih dan harta tak alih.

"Orang ramai tidak perlu risau kerana panduan membuat pendaftaran dan mengisi borang melalui online turut disediakan dan setelah dicetak perlu dapatkan akuan pesuruhjaya sumpah terlebih dahulu sebelum dokumen itu dihantar," katanya.

Beliau berkata dokumen itu hanya perlu dihantar melalui perkhidmatan pos tanpa perlu menghantarnya sendiri ke Unit Pembahagian Pusaka Pejabat Tanah dan Galian.

Ini sudah tentu menjimatkan masa selain boleh menyemak status permohonan mereka melalui talian terus itu.

"Kita faham, pemohon mahukan kes mereka diselesaikan segera. Jadi mereka boleh melihat sendiri status permohonan mereka melalui online sama ada di peringkat pendaftaran, penilaian, tunggu laporan ataupun notis untuk perbicaraan," katanya.

KHIDMAT SMS

Selain itu, JKPTG menyediakan beberapa perkhidmatan lain bagi kemudahan pemohon antaranya sistem Blast iaitu Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang akan memaklumkan kepada pemohon sekiranya ada maklumat permohonan tidak lengkap, notis panggilan perbicaraan serta makluman surat perintah sudah siap.

"Kita hantar SMS melalui sistem Blast untuk masa pendaftaran, notis dan perintah dah siap serta kita boleh gunakan untuk minta maklumat tambahan. Apabila dah selesai bicara, kita akan keluarkan satu surat perintah. Kita hantar SMS makluman bahawa surat perintah dah siap dan biasanya surat perintah itu akan dipos atau pemohon boleh ambil sendiri," katanya.

Hasiah berkata perkhidmatan yang lebih cepat dan mudah itu sepatutnya digunakan sepenuhnya serta diharapkan dapat membantu meningkatkan kesedaran orang ramai akan pentingnya urusan pembahagian tuntutan pusaka dilakukan secepat mungkin.

Keadaan ini juga, katanya, akan mengelakkan lebih banyak hartanah terbengkalai, urusniaga jual beli dibekukan serta wang pampasan pengambilan tanah tidak dapat diserahkan kepada waris yang berhak.

"Ini juga akan membantu meningkatkan kecekapan kami dalam mengendalikan kes-kes tuntutan harta pusaka," katanya.

Bagi tujuan permohonan pembahagian harta pusaka, waris kini boleh menggunakan kemudahan permohonan secara atas talian yang telah disediakan oleh JKPTG di : http://www.kptg.gov.my/ms/jkptg-online.html

Laman Web Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) : http://www.kptg.gov.my/

- BERNAMA

3 Comment:

  1. Terima kasih dan kredit untuk Tuan Shah Blogger http://www.forblogger.net/ kita kerana berkongsi template seo yang hebat. Syabas! ;-)

    BalasPadam
  2. sama-sama boss. Semoga bermanfaat. sususanan keyword pada meta tag tu boleh jadi lebih optimum tu jika mahu saya boleh tolong olahkan :)

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90