Top Ad 728x90

19 Sekolah Di Sarawak Laksana Projek Perintis Guru Kerja 9 Jam, Guru-guru jangan panik - Wee Ka Siong

Kementerian Pelajaran memilih 19 buah sekolah rendah dan menengah di Sarawak, kesemua terletak di bandar raya ini, untuk melaksanakan projek perintis guru bekerja sembilan jam sehari mulai Januari depan.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) William Ghani Bina berkata daripada jumlah itu, 11 buah melibatkan sekolah rendah dan bakinya sekolah menengah.

"Sekolah rendah yang dipilih ialah SK Chung Hua No 2, SK Chung Hua Sungai Buda, SK Bako, SK Bandar Semariang, SK Combine, SK Kenyalang, SK Madrasah Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, SK Satria Jaya, SK St Mary dan SK St Theresa," katanya kepada Bernama di sini, Ahad.

Ghani berkata sekolah menengah yang terpilih ialah SMK Bandar Kuching No.2, Sekolah Seni Kuching, SMK Tabuan Jaya, Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah, SMK St Joseph, Kolej Vokasional Batu Lintang, SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor Stampin dan SMK Agama Tun Ahmad Zaidi.

"Diharapkan selepas pelaksanaan projek perintis, gambaran sebenar beban tugas guru dapat diketahui kerana kini ada persepsi yang menganggap tugas guru hanya terhad pada hari Isnin hingga Jumaat sahaja," katanya.

Beliau berkata ramai tidak mengetahui ada sebilangan guru bekerja sehingga hari Ahad untuk mengendalikan aktiviti kokurikulum, menghadiri kursus dan aktiviti sekolah selain daripada tugas hakiki sebagai guru.

"STU mahu kesemua sekolah terlibat menyampaikan laporan yang sebenar dan jujur supaya persepsi ini dapat ditepis sama sekali," katanya.


Guru-guru jangan panik - Wee Ka Siong

Projek perintis yang mewajibkan guru bekerja sembilan jam sehari masih di peringkat kajian dan belum ada sebarang keputusan untuk memperluaskannya ke seluruh negara tahun depan.

Justeru itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, para guru diminta tidak panik dengan percubaan projek itu di empat negeri kerana kementerian juga menyedari terdapat beberapa kekangan untuk ia dilaksanakan di semua negeri.

"Sebagai contoh, masih terdapat sekolah yang guru-gurunya berkongsi meja di bilik guru iaitu apabila guru sesi pagi balik, maka guru sesi petang pula akan gunakan meja berkenaan.

"Jadi, kalau guru sesi pagi balik lewat bagaimana pula guru sesi petang hendak menggunakan meja bilik guru," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Wisma Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Kedah di Jalan Pegawai di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden NUTP, Hashim Adnan dan Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng.

Semalam, Hashim berkata, kira-kira 5,000 guru dari hampir 104 sekolah seluruh negara akan menjadi perintis kepada sistem waktu bekerja sembilan jam mulai Januari tahun depan.

Ka Siong berkata, melalui projek itu, guru-guru akan bekerja mengikut dua sesi iaitu 7.30 pagi hingga 4.30 petang dan 1.30 petang hingga 6.30 petang, namun kementerian akan melihat realiti sebenar dalam pelaksanaannya.

Kata beliau, setiap input dan cadangan pelbagai pihak akan diambil kira sebelum cadangan itu dibawa kepada Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan membuat keputusan selanjutnya.

Menurut Ka Siong, kementerian sentiasa sedar bahawa tugas guru melebihi masa bekerja di sekolah bahkan terpaksa menghadiri majlis dan program pada musim cuti sekolah selain menjadi rujukan para pelajar tanpa mengira waktu.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90