Top Ad 728x90

,

CIMB sedia RM30 juta skim mikro untuk usahawan kecil

CIMB Group bercadang menyalurkan skim pinjaman mudah mikro berjumlah RM30 juta kepada 10,000 peminjam menjelang Disember ini menerusi produk CIMB Xpress Cash Financing-i.

Timbalan Ketua Kad dan Pinjaman Peribadi Kumpulannya, Aaron Loo, berkata ia sekali gus membolehkan kumpulan itu mencapai sasaran penyaluran RM150 juta kepada 30,000 peminjam menerusi skim itu bagi keseluruhan tahun ini.

Katanya, keyakinan itu disandarkan berikutan langkah agresif bank itu menggerakkan 320 cawangan dan sembilan kiosknya di seluruh negara untuk memberi pendedahan kepada umum mengenai produk itu.

“Setakat ini, kami sudah menyalurkan RM120 juta kepada 20,000 permohonan dari seluruh negara yang kebanyakannya diterima dari sekitar Lembah Klang,” katanya pada temu bual dengan Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sejak dilancarkan pada 2007 hingga akhir tahun lalu, katanya, ia sudah menyalurkan pinjaman berjumlah lebih dari RM600 juta menerusi program itu kepada pelanggannya.

CIMB Xpress Cash Financing-i menawarkan pinjaman mudah mikro kepada usahawan kecil dan golongan berpendapatan rendah dengan kelulusan dan penyaluran pinjaman dalam tempoh 48 jam.

Ia diwujudkan bagi membantu usahawan kecil membangunkan perniagaan menerusi pinjaman dari RM3,000 hingga RM50,000 dengan ansuran harian serendah RM3.62.

Tanpa sebarang deposit dan yuran pemprosesan, produk itu menawarkan kadar faedah dua peratus sebulan sementara peminjam mempunyai pilihan untuk membayar balik pinjaman sehingga tempoh lima tahun.

Loo berkata, pinjaman yang banyak membantu usahawan kecil untuk memulakan perniagaan itu turut mengambil kira latar belakang kewangan dan rekod pembayaran semula peminjam.

“Adalah menjadi dasar bagi CIMB untuk mengambil kira keupayaan peminjam untuk membayar ansuran bulanan dan memastikan bahawa pinjaman yang diberikan kepada mereka dimanfaatkan sebaik-baiknya.

“Oleh itu, kami menggalakkan peniaga mikro itu membuka akaun simpanan dengan kami supaya rekod kewangan mereka lebih mudah untuk dipantau. Ia juga akan memberi akses mudah kepada mereka untuk menambah pembiayaan pada masa akan datang,” jelasnya.

Katanya, pihak bank amat berpuas hati dengan rekod pembayaran semula peminjamnya setakat ini, dengan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) bagi produk ini amat rendah pada paras 1.3 peratus dari jumlah keseluruhan pinjaman.

“CIMB juga mengambil langkah sama seperti mana kerajaan dalam membantu usahawan mikro memulakan perniagaan kerana kami sedar mereka sebenarnya adalah tulang belakang kepada sektor perniagaan di negara ini. Perusahaan kecil-kecilan contohnya, seperti perniagaan makanan dan barangan runcit adalah perusahaan sokongan dan berpotensi untuk maju kepada industri yang lebih besar,” katanya.

CIMB Xpress Cash Financing-i tidak hanya menyediakan keperluan kepada usahawan kecil memulakan perniagaan, malah membuka peluang kepada pelanggan memohon pinjaman untuk tujuan pengubahsuaian kediaman, pendidikan, perubatan, perjalanan dan perbelanjaan perkahwinan.

Antara kelayakan pemohon ialah berusia 21 hingga 60 tahun, gaji bulanan kasar RM800 dan sudah bekerja atau menjalankan perniagaan sekurang-kurangnya enam bulan.

Untuk keterangan lanjut mengenai produk ini, orang ramai boleh menghubungi 1-300-880-900; atau mengunjungi mana-mana cawangan CIMB Bank dan CIMB Islamic, atau melayari www.cimbbank.com.my dan www.cimbislamic.com

1 Comment:

  1. saya pekerja swasta..berniaga gas memasak..boleh apply tak untuk skim mikro..cimb express cash financing -i

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90