Top Ad 728x90

Dana baharu PTPTN untuk pelajar miskin

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merancang penubuhan dana baharu hasil sumbangan sektor korporat dan individu untuk disalurkan kepada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang kurang berkemampuan.

Penubuhan dana itu adalah sebahagian daripada cadangan PTPTN untuk mengehadkan pembiayaan mereka kepada hanya menampung yuran pengajian dan bukan lagi turut melibatkan kos sara hidup pelajar mulai 2013.

Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, cadangan penubuhan dana itu bersama pelan pembiayaan terhad sedang diperhalusi dan bakal dikemukakan kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan seterusnya dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi.

"Untuk menggalakkan sumbangan swasta, PTPTN akan mencadangkan kepada kerajaan untuk memberi pelepasan cukai kepada sektor korporat atau individu yang membantu," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Tanpa mendedahkan saiz dana itu, Ismail berkata, sektor korporat boleh menyalurkan sumbangan melalui tiga kaedah iaitu menyalurkan secara terus kepada pelajar, institusi pengajian tinggi awam dan swasta atau melalui PTPTN yang akan mengagihkannya kepada pelajar yang layak.

Katanya, jika cadangan itu tidak diterima oleh kerajaan, pihaknya hanya meneruskan dasar pinjaman yang sedia ada.

Akhbar baru-baru ini melaporkan Ahli Lembaga Pengarah PTPTN telah membuat cadangan supaya pinjaman perbelanjaan diberhentikan pada tahun 2013 untuk mengurangkan bebanan perbadanan itu.

Keputusan itu bagaimanapun tidak mendapat sokongan banyak pihak termasuk Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin yang yakin jika dilaksanakan ia akan menyulitkan kehidupan pelajar miskin.

Mohamad Khaled dilaporkan berkata, pihaknya akan mengkaji dengan teliti cadangan PTPTN itu kelak dengan mengambil kira keperluan pelajar daripada semua golongan.

Sehingga kini, sebanyak 1.87 juta pelajar telah mendapat pinjaman PTPTN membabitkan peruntukan RM41.60 bilion.

Pada tahun depan pula dijangka seramai 2.5 juta lagi pelajar akan memohon pinjaman PTPTN dan sehingga 31 September lalu sebanyak RM2.74 bilion pinjaman telah dibayar balik oleh peminjam berbanding pembayaran balik yang sepatutnya iaitu RM6.2 bilion.

Ismail menjelaskan, PTPTN juga ingin melihat wujudnya budaya menabung dalam kalangan ibu bapa sejak awal bagi membiayai sendiri kos pengajian atau sekurang-kurangnya kos sara hidup anak-anak mereka di universiti.

Beliau berkata, promosi dan galakan akan dipertingkatkan untuk agensi korporat menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar miskin bagi tujuan menampung kos sara hidup mereka.

"Bantuan kewangan seumpama ini sememangnya telah dilaksanakan secara terus kepada institusi pengajian tinggi atau kepada pelajar, namun dengan penglibatan PTPTN diharap ia mampu menjadi budaya agensi korporat," katanya.

- KOSMO!

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90