Top Ad 728x90

Kerajaan melancarkan enam program berimpak tinggi

PUTRAJAYA 23 Nov. - Kerajaan hari ini mengumumkan enam program berimpak tinggi sebagai satu langkah untuk memastikan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mampu berkembang sebanyak 8.7 peratus setahun menjelang tahun 2020 berbanding pada masa ini sekitar 6.5 peratus setahun.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, enam program tersebut adalah integrasi pendaftaran dan pelesenan penubuhan perniagaan, platform pengkomersilan teknologi, program pelaburan PKS, program going export (GoEx), program pemangkin dan inovasi keterangkuman.

Menurut Perdana Menteri, langkah itu selaras dengan usaha kerajaan bagi membolehkan paras produktiviti PKS tempatan ditingkatkan daripada RM47,000 pada tahun lalu kepada RM91,000 menjelang tahun 2020.

‘‘Kalau tanpa campur tangan kerajaan, PKS tempatan hanya dijangka berkembang sebanyak 6.5 peratus setahun tetapi kita nak lonjakkannya pada 8.7 peratus setahun.

‘‘Dari segi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada masa sekarang ini pula adalah 32 peratus tetapi kita mahu lonjakkan kepada 41 peratus, aspek guna tenaga sebanyak 59 kepada 62 peratus dan eksport pula daripada 19 kepada 25 peratus menjelang 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan (MPPK) kali ke-12 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Najib memberitahu, mesyuarat itu turut menetapkan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) sebagai nadi dan agensi utama untuk pembangunan, menyelaras dan mengambil tindakan mengenai pembangunan PKS.

Justeru, beliau menambah, satu kajian semula akan dilakukan bagi membolehkan peranan SME Corp dapat diperkukuh dan dinaiktarafkan dengan diberi kuasa yang lebih.

‘‘Majlis itu membincangkan sekiranya perancangan dalam pelan induk fasa kedua (2012-2020) itu nak dijayakan, maka cabaran yang paling besar adalah untuk menyelaraskan segala tindakan yang dlakukan oleh pelbagai kementerian dan agensi.

‘‘Pada masa ini terdapat 56 buah kementerian dan agensi yang ada kaitan dengan pembangunan PKS,” katanya.

Beliau berkata, berikutan keputusan tersebut, segala program yang dilakukan oleh 56 agensi dan kementerian itu akan dikaji semula untuk mengelak pertindihan dan menentukan bahawa peranan mereka lebih terselaras dan terfokus lagi.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90