Top Ad 728x90

Tip Sihat semasa musim banjir

Banjir mula melanda beberapa negeri terutama di Kelantan dan Terengganu. Selain kerugian harta benda, penduduk di kawasan yang terlibat atau berisiko banjir dinasihat mengambil langkah berjaga-jaga untuk memelihara kesihatan dan mengelak kecederaan semasa banjir .

Selain penyakit berjangkit seperti kencing tikus dan campak, orang ramai perlu bersedia berhadapan dengan kes ringan seperti batuk, selesema, demam dan jangkitan penyakit kulit.

Mereka yang mengalami tanda-tanda penyakit berkenaan perlu mendapatkan rawatan segera.

Ibu hamil dan pesakit

Bagi ibu hamil yang hampir bersalin, lengkapkan segala persiapan termasuk bayi yang bakal lahir dan simpan di tempat yang mudah dicapai. Adalah lebih baik jika tempat tinggal semasa banjir berdekatan dengan hospital atau di luar kawasan banjir.

Dokumen penting seperti kad pengenalan dan kad antenatal mesti disimpan rapi. Bagi mengelak masalah ketika bersalin, simpan nombor telefon klinik, hospital dan orang yang boleh dihubungi ketika kecemasan.

Pesakit kronik

Banjir juga menganggu jadual rawatan bagi pesakit kronik yang sedang mendapatkan rawatan. Justeru mereka perlu mendapatkan bekalan ubat mencukupi dan juga pastikan kad rawatan serta dokumen penting lain tidak hilang.

Jika berada di pusat penempatan sementara banjir , hubungi mana-mana pegawai kesihatan atau perubatan untuk bantuan jika bekalan ubat habis atau hilang, dan jika mempunyai tanda-tanda penyakit tertentu.

Selain itu, mereka yang memerlukan rawatan penyakit berkala seperti hemodialisis perlu memaklumkan kepada pegawai berkenaan untuk bantuan atau dipindahkan ke pusat yang mempunyai peralatan bersesuaian.

Ahli keluarga pesakit yang terlantar juga dinasihat mendapatkan bekalan ubat secukupnya lebih awal untuk pesakit. Kenderaan yang sesuai perlu untuk memindahkan pesakit jika keadaan banjir semakin teruk atau diarahkan oleh pihak berkuasa.

Elak kecederaan dan jangkitan penyakit

Jangkitan penyakit, terutamanya bawaan air adalah suatu kebiasaan semasa dan selepas musim banjir. Air banjir mengandungi banyak jenis kuman (virus, bakteria, fungus) dan parasit (seperti cacing) akibat bercampur dengan air kotor dan air kumbahan.

Dalam pada itu, serpihan berbahaya seperti kayu, kaca dan bahan kimia di dalam air banjir boleh menyebabkan kecederaan.

Oleh itu, mangsa banjir perlu mengelak kecederaan kerana bantuan mungkin sukar diperoleh sementara kuman pula mudah memasuki luka kecederaan, walaupun kecil.

Bagi mengelak jangkitan penyakit kronik, orang ramai yang berisiko atau terlibat dengan banjir perlu mengutamakan kebersihan. Golongan paling berisiko adalah kanak-kanak, warga emas, ibu mengandung dan juga pesakit yang lebih terancam jika dijangkiti kuman melalui makanan (dan air) tercemar atau akibat luka kecederaan.

Amalan penjagaan kebersihan dengan membasuh tangan menggunakan sabun dan air yang bersih amat perlu:

- Sebelum menyediakan makanan dan sebelum makan.

- Selepas ke tandas.

- Selepas aktiviti pembersihan.

- Selepas menyentuh barang-barang yang dicemari air banjir atau air kumbahan.

Selepas banjir

Walaupun banjir telah surut, jangan terus memasuki rumah kerana anda belum pasti keadaan kebersihan dalam rumah anda. Sebaiknya, periksa dahulu kerosakan dinding, lantai, siling, pintu dan tingkap dan perhatikan tanda-tanda rekahan atau mendapan yang mungkin melemahkan struktur rumah.

Selain itu, periksa paip saluran gas, wayar elektrik, peralatan elektrik dan bahan-bahan mudah terbakar di samping kerosakan pada tangki septik bagi memastikan jika berlaku pencemaran bahan kumbahan atau bahan kimia, serta kebocoran gas, air dan elektrik sekitar kediaman.

Bagi mengelakkan serpihan tajam dan ancaman binatang berbisa, gunakan kayu jika anda ingin mengalihkan sebarang halangan di sekitar kawasan rumah.

Kerja-kerja pembersihan perlu dimulakan secepat mungkin di dalam dan luar rumah. Bersihkan juga semua peralatan yang bersentuh dengan air banjir menggunakan air bersih, sabun dan klorin. Ini dapat mengelakkan penularan penyakit dari takungan air banjir atau bawaan nyamuk yang membiak dalam air banjir.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90