Top Ad 728x90

, ,

Tokoh Maal Hijrah 1433

PUTRAJAYA: Menteri Haji Arab Saudi Dr Fouad Abdul Salam dianugerah Tokoh Maal Hijrah antarabangsa manakala Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin sebagai Tokoh Maal Hijrah kebangsaan tahun ini.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berangkat menyampaikan wang tunai RM100,000, sumbangan Yayasan Ubadi sebanyak RM10,000, medal tokoh Maal Hijrah, plak cenderamata sijil penghargaan kepada Dr Abdul Shokur di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Ahad.

Dr Fouad, 65, yang tidak dapat menghadiri majlis itu akan menerima penghormatan itu pada satu majlis khas nanti.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Dr Abdul Shukor, 69, yang juga Timbalan Pengerusi Akademi Fiqh Sedunia (OIC)dan Ahli Lembaga International Shariah Research for Islamic Finance (ISRA), Bank Negara Malaysia, memanjangkan penghargaan terhadap penghormataan dan pengiktirafan tertinggi yang diberikan oleh kerajaan Malaysia.

Dr Abdul Shukur meminta setiap umat berpegang kuat kepada amalan mulia yang membina perwatakan baik dan dihormati.

"Sebagai umat Islam kita perlu meneruskan tradisi yang baik bagi terus maju dengan mengenepikan idea dan provokasi yang berunsur negatif. Kita juga perlu bersatu padu sebagai rakyat negara ini walaupun berbeza dari segi politik," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Sambutan Maal Hijrah 1433H peringkat kebangsaan yang bertemakan 'Persefahaman Asas Perpaduan Ummah', adalah selaras dengan usaha kerajaan yang mahukan rakyat bersatu padu, bekerjasama serta saling memahami dan menerima antara satu sama lain atas dasar akidah supaya matlamat negara maju menjelang 2020 dapat direalisasi.

Sebanyak 122 kontinjen daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta menyertai perhimpunan itu yang membabitkan hampir 5,000 penyertaan.

Agong Menasihati Rakyat Amalkan Kesederhanaan Sosial


Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah menasihati semua rakyat negara ini agar sentiasa mengamalkan kesederhanaan sosial dalam setiap amalan mereka.

Baginda bertitah kesederhaaan sosial dalam pelaksanaan sesuatu perkara secara berhemah, tidak bertindak secara melulu dan tidak pula menzalimi orang lain.

"Rakyat tidak sepatutnya memperbesarkan perselisihan yang kecil sebaliknya menyelesaikannya dengan cara yang terbaik, titah baginda pada majlis sambutan Maal Hijrah 1433 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Ahad.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga hadir pada majlis sambutan itu yang bertemakan "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah".

Seri Paduka Baginda juga bimbang dengan keadaan sosialisasi masyarakat negara ini yang semakin menebal dengan sifat individualistik walaupun berpuas hati dengan pencapaian ekonomi negara yang berkembang pesat seiring dengan negara-negara sedang membangun.

Tuanku Mizan mahukan sifat mulia seperti sayang menyayangi dan saling hormat-menghormati dipupuk dan diamalkan dari rumah bagi membentuk sebuah masyarakat penyayang, persefahaman yang tinggi, bersatu padu dan mementingkan sifat kekitaan.

"Beta amat berharap agar semangat kejiranan dan sifat kekitaan akan subur semula supaya rakyat di negara ini menjalani kehidupan harian dengan lebih harmoni dan berkasih sayang," titah Seri Paduka.

Tuanku Mizan juga menasihatkan rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum yang berbeza agama, adat, budaya dan cara hidup supaya saling memahami keperluan dan menghormati perbezaan antara satu sama lain.

Justeru, Seri Paduka mahukan umat Islam menjadi contoh terbaik dalam mengaplikasikan konsep sebenar persefahaman tanpa mengira kedudukan dan latar belakang.Menurut baginda hanya dengan persefahaman dan menghormati antara satu sama lain, negara mampu membentuk masyarakat yang bersatu padu.

"Kita harus tahu dan sedar bahawa keamanan negara amat berkait rapat dengan perpaduan ummah. Tidak mungkin masyarakat yang kacau bilau mampu mengekalkan keamaman sesebuah negara.

Tuan Mizan turut mahukan keharmonian yang dikecapi dan dinikmati sekarang diwarisi oleh generasi akan datang.

Pada majlis itu, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1433H.

Dr Abdul Shukor, 69 menerima hadiah wang tunai RM100,000 yang disumbangkan oleh kerajaan manakala RM10,000 lagi oleh Yayasan Ubaidi.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90