Top Ad 728x90

Kalendar Aktiviti & Peristiwa Penting Bulan Disember 2011

by

Proton Lanjut Kempen Tali Pinggang Belakang

by
Proton pada Khamis mengumum melanjutkan kempen pemasangan tali pinggang belakangnya dari 31 Dis, 2011, kepada 31 Jan, 2012, sebagai sebahagian daripada Kempen Tali Pinggang Belakang yang sedang dijalankan sekarang.

Sejak Kerajaan kali pertama mengumumkan pada Jun 2008 peraturan mewajibkan kenderaan dipasang dengan perkakas keselamatan, Proton telah memasang tali pinggang belakang tanpa sebarang kos kepada pemilik model Proton yang terbabit model Saga LMST dan Gen.2 yang dikeluarkan antara 2004 dan 2008.

"Kami mahu menggesa pelanggan kami dengan kereta-kereta terbabit, dan rakyat Malaysia secara umumnya, supaya bukan hanya mematuhi peraturan baharu itu bagi mengelak disaman oleh pihak berkuasa, tetapi mengguna pakai amalan menggunakan tali pinggang belakang bagi penumpang yang duduk di belakang atas faktor keselamatan," kata Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings Berhad Datuk Seri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dalam satu kenyataan.

Bagi memantapkan lagi usaha-usaha itu, lapan Pasukan Proton Mobile yang setiap satunya terdiri daripada empat kakitangan teknikal juga dihantar ke kedai kereta terpakai dan lokasi lain seperti masjid, pasar raya besar dan stesen minyak di seluruh negara pada awal bulan ini untuk menyediakan perkhidmatan kepada pemilik kereta Proton. Bagaimanapun, hanya kira-kira 17 peratus daripada 225,930 kereta yang terbabit telah dipasang dengan tali pinggang belakang.

- BERNAMA

Peraturan Penggunaan Dakwat Kekal Akan Diketahui 1 Februari

by
Keputusan mengenai peraturan penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan diketahui pada 1 Feb depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata peraturan itu sedang digubal dan kandungan dakwat masih dikaji oleh Jabatan Kimia dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Selepas siap, ia dijangka boleh dipaparkan pada mesyuarat Parlimen dan dianggap untuk berkuat kuasa," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat ke enam PSC di Bangunan Parlimen, di sini Khamis.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Ongkili yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata dakwat baru itu adalah lebih baik berbanding dakwat kekal yang disyorkan pada PRU 2008, dan beliau yakin tiada masalah akan berbangkit.

"Dakwat bahan yang sama (seperti yang disyorkan pada 2008) namun masih dikaji ole Jabatan Kimia...warna dan pelbagai lagi, tetapi bahan dan kandungannya sama seperti yang pernah mereka uji sebelum ini. Dakwat ini dikatakan lebih baik berbanding yang satu lagi," katanya.

Pada 3 Dis lepas, SPR mengesahkan akan menggunakan dakwat kekal yang mengandungi 'silver nitrate' pada PRU akan datang, selepas tuntutan PSC menggunakan kaedah itu dipersetujui dan diluluskan oleh Parlimen.

Selain itu, dalam usaha membersihkan daftar pemilih, Ongkili berkata SPR hari ini turut mengedarkan cakera padat mengandungi 42,051 nama pengundi yang meragukan kepada anggota PSC dan parti-parti politik di seluruh negara.

"Ini supaya orang awam dan pihak tertentu dapat mengesahkan nama-nama yang terlibat, kerana dikatakan mereka ini sudah lama dicari oleh pihak SPR," katanya.

Ongkili juga memaklumkan bahawa mesyuarat PSC pada hari ini turut memutuskan susun atur baru tempat mengundi bagi menjadikan proses pengundian lebih telus di mana ejen tempat mengundi (wakil calon) diberikan ruang penelitian lebih rapi.

"Contohnya susunan tempat duduk di mana ejen calon adalah berhadapan pengundi, sambil dia masuk jadi dia boleh mengenali dan boleh nampak muka pengundi dengan jelas,"katanya.

Selain itu, katanya beberapa penambahbaikan lain turut dilakukan termasuk menyediakan peti undi yang lebih sesuai.

Beliau juga memberitahu bahawa setakat ini, tujuh daripada 10 cadangan PSC di Parlimen telah menerima maklum balas positif daripada SPR.

"PSC akan berfungsi selama tiga bulan lagi sehingga minggu pertama April dan kami akan terus membantu SPR daripada segi pelaksanaan dan saranan bergantung kepada masa yanga da," katanya.

- BERNAMA

Tuan Guru Nik Aziz Minta Rakyat Kelantan Jangan Tolak Bantuan RM500

by

BACHOK: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta rakyat Kelantan agar jangan menolak Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500 yang diberikan oleh kerajaan persekutuan.

"Apa yang diumumkan oleh (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak)(bantuan) sebanyak RM500 itu, saya minta rakyat terima.

"Yang gantung (kain rentang) tu mengarut sahaja...nak bagi berapa pun ambil tapi bila mengundi, undi bulan," katanya sambil menafikan beliau ada kaitan dengan tindakan pihak tertentu yang menggantung kain rentang yang tertera gambarnya dan kenyataan bahawa pemberian sebanyak RM500 itu adalah haram.

Pihak tidak bertanggungjawab yang mengantung kain rentang itu berbuat demikian kerana kecewa, katanya kepada pemberita semasa meninjau hakisan akibat ombak besar di kawasan pantai di sini, hari ini.

Mengenai isu membabitkan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan dan bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa yang lantang mengkritik parti itu sebelum ini, Nik Abdul Aziz menganggap isu itu sudah selesai dan tidak berbangkit lagi.

Menteri Besar Kelantan itu berkata ini kerana kedua-dua pemimpin PAS itu terutama Hasan telah meminta maaf kepada parti dalam satu "pertemuan muhibah" yang diadakan di kediaman rasmi menteri besar itu di JKR 10 semalam.

"Pertemuan ini adalah dianjurkan oleh Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan syukur kepada Allah Taala Datuk Hasan telah menarik balik kenyataannya yang dianggap sensitif.

"Ini tanda kelakian dan anak jantan kerana dia ikhlas menarik balik kenyataan dan memohon maaf. Ini ajaran agama dan bukan senang untuk mana-mana yang buat salah untuk minta maaf dan menarik balik," katanya.

Hasan dan Nasharudin baru-baru ini lantang mengkritik PAS yang disifatkan mereka telah lari daripada perjuangan asal untuk menubuhkan negara Islam, namun Hasan kemudiannya telah memohon maaf mengenai perkara itu.

Nik Abdul Aziz berkata beliau telah meminta PAS pusat agar mengadakan jamuan kesyukuran bagi menandakan tamatnya isu berkenaan.

Ketika ditanya mengenai kedudukan Nasharudin sebagai calon, beliau berkata: "Terpulang kepada pengundi di Bachok (sama ada mahu menerima atau sebaliknya)".

Mengenai hakisan di pantai berkenaan, Menteri Besar berkata kerajaan negeri akan membantu menyelesaikan masalah itu mengikut kemampuan yang ada.

"Dalam bidang kerajaan negeri kita akan buat dan kalau Pusat biar Jabatan Pengairan dan Saliran tentukan. Sekarang kita sedang menilai kos yang diperlukan," katanya.

- BERNAMA

SBPA: Keputusan Turunkan Markah Suntik Semangat Penjawat Awam

by
Keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)untuk menurunkan markah penilaian prestasi bagi kenaikan gaji di bawah Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) menjadi suntikan semangat bagi semua penjawat awam.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) Hashim Adnan berkata langkah itu membuktikan kerajaan tidak pernah membelakangkan keperluan dan kehendak semua penjawat awam di negara ini.

"Ia satu tawaran yang cukup menyeronokkan terutama bagi warga pendidik dan saya bagi pihak 450,000 ahli merakamkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan JPA," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan JPA semalam untuk menurunkan markah penilaian prestasi daripada 75 kepada 65 setelah mengadakan perbincangan hampir lima jam dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di Putrajaya.

Di bawah SBPA asal, seseorang penjawat yang memperolehi markah prestasi kurang daripada 75 tidak layak untuk menikmati kenaikan gaji.

Keputusan itu turut disambut baik Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia yang menganggap langkah tersebut membuka peluang lebih luas untuk penjawat awam menikmati kenaikan gaji terutama dalam keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu.

Presidennya Hamzah Masri berkata keputusan itu merupakan sesuatu yang dinantikan oleh lebih 3,000 anggota kesatuan yang sebelum ini bimbang tidak dapat menikmati kenaikan gaji jika gagal mencapai markah yang ditetapkan.

"Bukan senang nak capai 75 tapi bila dah turunkan ke 65, memang kita sambut baik," katanya.

Hamzah berharap perkara yang dibangkitkan dalam rundingan semalam dapat diperincikan dan tidak ada yang terlepas pandang demi kecemerlangan perkhidmatan awam di negara ini.

Pendapat sama turut disuarakan Presiden Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (PACSU) Abdul Rahim Jantan yang menyifatkan langkah itu sebagai menghargai warga perkhidmatan awam.

Beliau turut berterima kasih kepada JPA yang setuju menyelaras semula markah bagi pelaksanaan Dasar Pemisah (Exit Policy) daripada 70 kepada 60.

"Walaupun markah itu diturunkan, namun ia tidak boleh dipandang mudah oleh penjawat awam, sebaliknya tunjukkan prestasi yang baik sebagai tanda terima kasih," katanya.

Dasar Pemisah menetapkan seseorang penjawat awam boleh dibersarakan awal jika memperoleh markah Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) yang rendah iaitu kurang 70 peratus.

Seorang jururawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, Selangor yang mahu dikenali sebagai Zarina, 32, berkata keputusan JPA itu memberi peluang kepada semua penjawat awam untuk mendapat manfaat daripada SBPA.

"Ini memang baguslah, saya suka tapi kalau boleh bagi penjelasan lebih lanjut tentang skim ini sebab masih tak berapa faham," katanya.

Nordin Hamid, 39, seorang Penerbit Rancangan di Radio Televisyen Malaysia juga sependapat dengan Zarina yang mahu penjelasan terperinci mengenai skim itu diberikan.

"Saya sambut baik skim ini banyak kebaikannya tapi kalau boleh nak penjelasan lebih banyak tentang faedah lain yang bakal dinikmati," katanya.

- BERNAMA

Jabatan Narkotik Sita RM62.4 Juta Harta Pengedar Dadah Tahun 2011

by
KUALA TERENGGANU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya menyita dan merampas harta milik pengedar dadah bernilai lebih RM62.4 juta hasil operasi agresif yang dijalankan jabatan bagi tempoh Januari hingga November lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Nor Rashid Ibrahim berkata, bagi tempoh yang sama jabatan itu berjaya merampas dadah bernilai RM216.52 juta.

Beliau berkata, tindakan itu merupakan salah satu pendekatan yang dilakukan oleh pihak Narkotik bagi mengekang masalah pengedaran dadah di negara ini.

"Kita percaya bahawa dengan harta yang dimiliki inilah mereka mudah dapat menjalankan kegiatan secara berterusan dan dengan tindakan penyitaan dan rampasan yang dilakukan oleh pihak polis, kita berjaya melumpuhkan aktiviti mereka," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Katanya, dalam tempoh yang sama pada tahun lepas, JSJN berjaya menyita lebih RM64.81 juta harta milik pengedar dadah dan merampas dadah bernilai RM254.56 juta.

Beliau berkata, untuk mengatasi masalah pengedaran dadah di negara ini bukan satu perkara yang mudah kerana aliran dadah yang keluar masuk amat aktif disebabkan Malaysia dijadikan sebagai negara transit oleh pengedar-pengedar dadah dari luar.

Sementara itu, Nor Rashid meminta kontinjen polis di tiga negeri di Pantai Timur iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan, yang merupakan antara negeri paling tinggi menjadi tumpuan kegiatan pengedaran dadah, supaya menjalin kerjasama erat bagi membanteras kegiatan itu..

Katanya, beliau yakin menerusi kerjasama erat dan proaktif, aktiviti pengedaran dadah di Pantai Timur.

"Hendak mencapai dadah sifar memang agak mustahil, namun pihak polis akan sentiasa berusaha untuk mengurangkan masalah pengedaran dan penagihan dadah bukan sahaja di tiga negeri berkenaan, namun juga di seluruh negara," katanya.

Katanya, berdasarkan statistik kes pengedaran dan penagihan dadah menunjukkan peningkatan yang ketara dengan kebanyakan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

- BERNAMA

ASNB Umum Agihan Pendapatan 6.05 Sen Seunit Bagi ASN 2011

by
Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), unit milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) pada Selasa mengumumkan agihan pendapatan 6.05 sen seunit bagi Skim Amanah Nasional (ASN) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2011, berbanding agihan pendapatan enam sen seunit yang diumumkan tahun lepas.

Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata agihan pendapatan itu membabitkan pembayaran RM92.8 juta yang akan memberi manfaat kepada 1.2 juta pemegang unit yang kini memiliki sejumlah 1.5 bilion unit ASN.

Ahmad Sarji berkata agihan pendapatan ASN dikira berdasarkan unit yang dipegang pada 31 Dis, 2011, hari terakhir tahun kewangan ASN, dan akan secara automatik dikreditkan dalam akaun pemegang unit berdasarkan nilai aset bersih ASN pada hari terakhir tahun ini.

Semua transaksi untuk ASN di ibu pejabat ASNB, pejabat-pejabat ASNB dan ejen digantung mulai 27 Dis 2011 hingga 2 Jan, 2012, bagi memudahkan pengiraan agihan pendapatan.

Ahmad Sarji juga berkata prestasi ASN pada tahun kewangan semasa secara umumnya lebih baik meskipun senario yang mencabar dalam pasaran saham serta ekonomi dunia.

"FBM KLCI mencatatkan penurunan 1.5 peratus kepada 1,496.15 mata pada 21 Dis, 2011 berbanding 1,518.91 mata yang dicatatkan pada 31 Dis, 2010," katanya pada sidang media bagi mengumumkan agihan pendapatan ASN bagi 2011.

Sehingga 23 Dis, beliau berkata ASN mencatat pendapatan kasar RM114.67 juta dan daripada jumlah itu, keuntungan daripada jualan saham menyumbang sebanyak RM58.71 juta atau 51.2 peratus.

Beliau berkata ini diikuti pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat yang menyumbang RM43.33 juta atau 37.8 peratus manakala baki sebanyak RM12.63 juta atau 11 peratus disumbangkan oleh instrumen lain.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata PNB mengharapkan suasana ekonomi yang lebih baik tahun depan supaya ia dapat menyumbang pulangan yang lebih baik kepada pemegang unit.

Beliau berkata PNB akan terus memilih saham-aham yang dapat memperkukuh portfolionya bagi membolehkannya menyediakan pulangan yang baik kepada pemegang unit.

Hamad berkata jumlah aset dalam pengurusan PNB kini bernilai RM190 bilion.

Beliau juga berkata PNB merancang membuka cawangan di Amerika Syarikat tahun depan.

"Kami mahu membuka sebuah lagi pejabat di luar negara. Kami sedang mengenal pasti lokasi yang bersesuaian (di US). Kami menyasarkan tahun depan. Kami sudah mempunyai pejabat di London, Tokyo dan Singapura," katanya.

Hamad berkata Skim Amanah Rakyat (SARA) 1Malaysia, yang akan memberi manfaat kepada isi rumah berpendapatan kirang RM3,000 sebulan, dijangka dilancarkan pada pertengahan Januari.

- BERNAMA

Pelatih PLKN Boleh Lapor Diri Lewat Jika Terlibat Dengan Banjir

by
Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kumpulan 1 Siri 9/2012 dibenarkan melapor lewat di pusat -pusat berkumpul sekiranya kawasan mereka terlibat dengan banjir.

Menurut Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), pelatih berkenaan boleh berbuat demikian dengan mendapatkan surat pengesahan daripada Pusat Pemindahan Banjir atau mana-mana bilik gerakan banjir.

Pelatih yang terlibat dengan bencana banjir juga dibenarkan untuk menukar kumpulan kepada kumpulan 2 atau kumpulan 3 bagi tahun ini, kata JLKN dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pelatih PLKN Kumpulan 1 Siri 9/2012 perlu melapor diri di pusat-pusat berkumpul mulai 1 hingga 3 Jan depan.

Untuk maklumat lanjut, pelatih boleh menghubungi Call Center Jabatan Latihan Khidmat Negara di talian 03-40274747.

- BERNAMA

PAS Ramal Pilihan Raya Umum Mac 2012

by
PAS meramalkan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan Mac tahun depan dengan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan paling cepat selepas sambutan Hari Tahun Baru Cina pada 23 Januari.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata selepas dibubarkan, masih ada tempoh 60 hari untuk mengadakan pilihan raya dan secara kasarnya tarikh berkenaan akan jatuh pada bulan Mac.

Ini termasuk tempoh untuk penamaan calon dan persediaan-persediaan lain, katanya.

"Sebenarnya kita sudah bercakap mengenai perkara ini sudah lama iaitu dua atau tiga bulan lepas. Pilihan raya umum tak akan diadakan pada 2011," katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Mustafa berkata Barisan Nasional (BN) akan mengambil peluang untuk mendekatkan diri dengan masyarakat Cina pada sambutan Tahun Baru Cina nanti.

Beliau berkata pilihan raya juga perlu diadakan dalam tempoh itu kerana mendakwa kerajaan bimbang dengan krisis ekonomi di Amerika Syarikat dan Eropah akan memberi kesan kepada negara.

Sementara itu, dalam web rasmi PAS, Mustafa berkata jangkaan itu dibuat berdasarkan laporan media dan ramalan awal tentang status ekonomi negara.

Beliau juga berkata PAS tidak mengharapkan masalah dalaman Umno dan BN untuk menang pilihan raya akan datang. Tempoh penggal Parlimen sekarang hanya akan berakhir pada Mac 2013.

- BERNAMA

Lebih 1.8 Juta Perniagaan Ditamatkan 10 Bulan Pertama Tahun 2011

by
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) merekodkan lebih 1.8 juta perniagaan ditamatkan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Menurut laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), daripada jumlah itu, 10,747 perniagaan ditamatkan pada tarikh akhir tempoh lesen, manakala bakinya sebelum berakhir tempoh lesen itu.

SSM juga merekodkan 7,982 syarikat dibubarkan dalam tempoh berkenaan dan daripada jumlah itu 7,971 adalah syarikat tempatan dan selebihnya syarikat asing. Dalam tempoh yang sama juga lebih 4.38 juta perniagaan didaftarkan semula pada tarikh akhir tempoh lesen dan sebanyak 23,619 perniagaan didaftarkan semula sebelum berakhir tempoh lesen itu.

Sebanyak 930,502 syarikat didaftarkan semula pada tarikh akhir tempoh lesen dan sebanyak 3,457 syarikat didaftarkan semula sebelum berakhir tempoh lesen itu.

- BERNAMA

Tiada Lagi Yuran Sekolah, Bantuan Tambahan Diterima

by
Kira-kira 457,000 murid Tahun Satu akan memasuki alam persekolahan tahun depan tanpa perlu membayar yuran buat pertama kalinya dalam sejarah pendidikan negara.

Mereka adalah sebahagian daripada 5.3 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di sekolah-sekolah kerajaan seluruh negara yang mendapat faedah daripada dasar pendidikan percuma yang diumumkan baru-baru ini dan juga menikmati bantuan tambahan RM100 sebagai persediaan untuk sesi baru persekolahan akan datang.

Pelajar Tingkatan Enam, bagaimanapun, akan menerima baucar buku bernilai RM200 sebagai gantian kepada bantuan persekolahan itu.

Pengumuman mengenai pendidikan percuma dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat pada Oktober lepas dan disambut baik rakyat.

Semasa mencadangkan perkara itu, Najib berkata ia bertujuan memastikan semua kanak-kanak Malaysia tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti dan mampu.

Sebelum ini, pelajar sekolah rendah dan menengah, masing-masing dikehendaki membayar RM24.50 dan RM33.50 untuk ko-kurikulum, kertas ujian dalaman, yuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan premium perlindungan insurans.

Penghapusan bayaran tersebut melibatkan peruntukan tambahan RM150 juta.

Di bawah Belanjawan 2012, RM50.2 bilion diperuntukkan untuk sektor pendidikan di samping RM1.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus.

Ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam mengarusperdanakan bidang pelajaran dan usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan akademik.

Banyak pihak khususnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional menganggap pemansuhan yuran pelbagai bagi pelajar sekolah rendah dan menengah mulai sesi persekolahan akan datang ini sebagai hadiah sangat bermakna untuk rakyat.

Bantuan RM100 kepada pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Lima itu bertujuan membantu meringankan bebanan ibu bapa yang mempunyai anak yang sedang bersekolah, lebih-lebih lagi yang mempunyai ramai anak.

Bantuan itu yang disambut baik dan dinanti-nantikan oleh orang ramai, telah dipersoalkan oleh pembangkang di Dewan Rakyat, dengan mengatakan pengagihan wang itu yang dilaksanakan sejak November lepas, sebagai " tidak mengikut prosedur kerana peruntukannya hanya diluluskan bagi tahun 2012."

Kementerian Pelajaran bagaimanapun menjelaskan bantuan itu diambil terus daripada Dana Akaun Pembayaran Perbendaharaan Yang Disatukan untuk tahun ini, yang sudah diluluskan oleh Perbendaharaan, jadi kementerian tidak perlu menggunakan peruntukan daripada belanjawan tahun depan bagi tujuan itu.

Ada juga sesetengah sekolah yang tidak menyerahkan kesemua wang RM100 itu kepada pelajar yang telah menyebabkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berulang kali mengingatkan sekolah-sekolah berkenaan supaya mengembalikan baki wang bantuan itu.

Selain memberi pendidikan percuma dan bantuan kewangan itu, keputusan Kabinet mengenai program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) turut menjadi topik hangat perbincangan pada tahun ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan baru-baru ini bahawa program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia akan dilaksanakan sepenuhnya di sekolah rendah pada tahun 2016 dan di sekolah menengah pada 2021.

Keputusan itu membuktikan kerajaan sedia menyahut dan menimbangkan supaya pelaksanakan dasar-dasar baru itu tidak menyusahkan sehingga boleh menjejaskan prestasi pelajar di sekolah. Pelajar yang sudahpun mengikuti pelajaran di bawah sistem PPSMI boleh meneruskannya sehingga tamat, dan pada waktu yang sama murid-murid yang baru memasuki sekolah dikehendaki mengikut sistem baru dikenali program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

PPSMI diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003 bagi tujuan meningkatkan penguasaan mata pelajaran Sains dan Matematik. Namun implikasi PPSMI ke atas identiti kebudayaan dan keperibadian negara telah dibahaskan sejak ia mula dilaksanakan.

Dalam Belanjawan 2012 yang diluluskan baru-baru ini, sektor pendidikan juga menerima beberapa peruntukan lain termasuk dana khas RM1 bilion bagi pembinaan, pembaikan dan penyelenggaraan sekolah-sekolah serta baucar buku untuk pelajar di institusi pengajian tinggi.

Tanpa melupakan golongan guru, Perdana Menteri juga mengumumkan lima kaedah kenaikan pangkat untuk mereka yang akan berkuat kuasa 1 Jan, 2012.

Lima kaedah itu yang hanya terpakai bagi profesioan perguruan terdiri daripada kenaikan mengisi kekosongan, kenaikan khas untuk penyandang, kenaikan berdasarkan tempoh, kenaikan untuk pengetua atau guru besar cemerlang dan kenaikan pangkat guru cemerlang.

Kaedah baru kenaikan pangkat itu diharapkan dapat menaikkan semangat kira-kira 480,000 orang guru di seluruh negara, untuk memberi perkhidmatan pendidikan yang lebih baik kepada negara.

Muhyiddin berkata insentif tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan menambah baik perkhidmatan awam pada keseluruhannya.

- BERNAMA

Permohonan Fasa 1 ke IPTA Sesi 2012/2013 bagi lepasan SPM ditutup 31 Disember 2011

by
Pelajar yang ingin memohon untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan politeknik premier bagi program pengajian lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Fasa 1, sesi akademik 2012/2013 diminta segera berbuat demikian kerana permohonan tersebut akan ditutup pada 31 Disember ini.

Menurut satu kenyataan daripada Kementerian Pengajian Tinggi, pengisian borang permohonan tersebut boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman web www.upu.my yang dibuka sejak 16 November lalu.

Kata kenyataan itu, sebelum mengisi borang tersebut, pemohon perlu mendapatkan nombor pengenalan yang boleh dibeli di kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) atau menggunakan mesin pengeluaran wang automatik bank berkenaan dengan harga RM10.60.

"Setelah menyemak permohonan melalui laman web tersebut, pemohon perlu klik pada butang sah dan hantar untuk mengesahkan permohonan tersebut telah diterima," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, pemohon juga dinasihatkan supaya mencetak maklumat permohonan untuk simpanan dan rujukan permohonan pada masa depan.

Sebarang pertanyaan mengenai permohonan itu, pelajar yang berminat boleh merujuk kepada Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi melalui talian 03-8883 5858 atau melayari laman web www.upu.mohe.gov.my

Caruman KWSP gaji bawah RM5,000 bahagian majikan 13%

by
Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menerima gaji bulanan tidak melebihi RM5,000 akan menerima rangsangan dalam simpanan persaraan mereka apabila kadar caruman berkanun bahagian majikan dinaikkan kepada 13 peratus berkuat kuasa gaji Januari depan.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, kenaikan satu peratus daripada kadar semasa 12 peratus itu akan memberi faedah kepada 5.3 juta rakyat dengan 92 peratus daripadanya adalah ahli aktif.

Menurutnya, caruman pekerja kekal pada kadar 11 peratus.

"Pekerja berumur 55 tahun ke atas yang menerima gaji tidak lebih RNM5,000 juga akan menerima manfaat ini apabila majikan mereka diwajibkan mencarum 6.5 peratus atau tambahan 0.5 peratus manakala pekerja terus mencarum pada kadar 5.5 peratus," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kenaikan caruman majikan untuk pekerja dalam kumpulan pendapatan itu semasa pembentangan Bajet 2012 sebagai langkah menangani masalah tidak cukup pendapatan semasa bersara yang dihadapi golongan pesara.

Kajian sebelum ini menunjukkan 70 peratus pesara akan menghabiskan simpanan mereka dalam tempoh 10 tahun selepas bersara dan masalah itu akan bertambah serius kerana kadar inflasi semakin meningkat dan bertambahnya jangka hayat rakyat Malaysia akan datang.

Menurut Nik Affendi, KWSP menghargai tindakan segera kerajaan dalam menangani masalah itu kerana tambahan satu peratus caruman beserta dividen tahunan akan meningkatkan lagi simpanan persaraan rakyat Malaysia.

Untuk maklumat lanjut boleh melayari www.kwsp.gov.my atau mengunjungi cawangan KWSP terdekat selain menghubungi pusat panggilan di talian 03-89226000.

Pembangunan sukan di Terengganu menjadi contoh

by

PENYU tidak menangis lagi. Itu hakikat besar yang telah diubah hampir 1.5 juta penduduk di negeri Terengganu.

Sang Penyu kini makin bertenaga dan terus garang, berenang merentasi lautan untuk mengibarkan bendera Hitam Putih di seluruh pelosok tanah air.

Tahun 2001 telah menjadi bukti. Bukti kepada kelahiran sebuah negeri dari Pantai Timur yang terus megah di puncak pembangunan sukan negara.

Berkeluasan 12,955 kilometer persegi, negeri yang cukup sinonim denankeropok lekor ini secara perlahan-lahan menembusi tembok dan benteng untuk berdiri sama tinggi dengan negeri lain.

Siapa tidak kenal dengan jaguh basikal dunia, Azizulhasni Awang. Melengkapkan lagi kecemerlangan adalah kehadiran ratu basikal Asia, Fatehah Mustafa.

Dua ikon sukan basikal negara ini adalah contoh atlet sejati kelahiran Terengganu yang berjaya menjulang Jalur Gemilang di serata pelosok dunia.

Ironinya, Azizulhasni dan Fatehah bukanlah satu-satunya kejayaan sulung yang dicipta Terengganu.

Namun, sistem pembangunan sukan yang tersusun hasil idea kerajaan negeri serta Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSN) telah meletakkan negeri ini sebagai juara sebenar sepanjang tahun 2011.

Buktinya, penganalisis sukan, Profesor Tan Sri Khoo Kay Kim pernah menyuarakan pandangannya agar Majlis Olimpik Malaysia (MOM) melihat semula modul yang digunakan Terengganu dalam mengurus dan mentadbir sukan.

Jelas pakar sejarah itu, Terengganu dahulunya merupakan pasukan tercorot dalam sukan berbanding Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Sarawak, namun secara tiba-tiba negeri ini telah melonjak sebagai kuasa baru.

Semua ini, kata Kay Kim, adalah disebabkan kemampuan Terengganu mengenalpasti bakat di kalangan anak-anak tempatan.

Pandangan jujur beliau itu sangat berasas selepas melihat kepada kejayaan Terengganu menjuarai temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2011 buat kali ketiga berturut-turut.

Temasya yang berlangsung di Lembah Klang itu menyaksikan Terengganu mengumpul pungutan 30 pingat emas, lapan perak dan 12 gangsa untuk muncul juara keseluruhan sekali gus mengulangi pencapaian edisi 2010 di Melaka dan 2008 di laman sendiri.

Paling menarik, kejayaan itu dilakar tidakpun sampai 24 jam selepas pasukan bola sepak Terengganu menewaskan Kelantan pada perlawanan akhir untuk menjulang Piala FA buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun.

Bagaimanapun, bagi Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat, beliau mengakui tahun 2011 merupakan tahun penuh mencabar buat Terengganu dalam lapangan sukan.

Sebelum berlangsungnya temasya Sukma dan saingan bola sepak, Rozi menjelaskan keupayaan pengurusan Terengganu terlebih dahulu diuji dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011.

Pada perlumbaan berstatus Hors itu, Terengganu mencipta sejarah tersendiri apabila menampilkan pasukan sendiri yang dikenali sebagai Terengganu Cycling Team (TSG).

“Ia adalah penampilan pertama pasukan Terengganu pada perlumbaan LTdL dan kami berjaya menduduki tempat kelapan keseluruhan daripada 23 pasukan yang mengambil bahagian,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Perlumbaan dua minggu itu turut menyaksikan TSG menduduki tempat kelima mengatasi satu lagi pasukan benua, LeTua Cycling Team (L2A) dan pasukan kebangsaan Malaysia dalam kedudukan pasukan Asia.

Rentetan daripada kejayaan pada LTdL, Sukma dan Piala FA serta pelbagai kejohanan peringkat kebangsaan yang disertai, Rozi menjelaskan bahawa ia adalah bukti kepada kesungguhan anak-anak negeri ini untuk berjaya.

Jelasnya, kejayaan itu bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan, tetapi telah banyak pengorbanan dibuat termasuk menerusi wang ringgi dan tenaga dalam memastikan sukan di Terengganu terus mekar.

“Jika kita lihat perkembangan sukan di negeri ini, ia sebenarnya sedang menuju ke satu standard yang cukup tinggi. Kami bermula sejak 2006 menerusi program-program pembangunan yang dilakukan di peringkat akar umbi.

“Pada 2008 iaitu apabila Sukma berlangsung di Terengganu, kami telah muncul juara keseluruhan. Walaupun ada pihak yang menganggap ia adalah kejayaan selaku tuan rumah, kami telah buktikan apabila mempertahankan kejayaan itu di Melaka pada 2010,” katanya.

Ditanya rahsia sebenar pembangunan yang dibuat, Rozi mengakui ia adalah hasil kerjasama kerajaan negeri yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada sebarang aktiviti sukan di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri menerusi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said telah memberi bajet besar kepada MSN untuk mengadakan lebih banyak akademi pembangunan dalam melahirkan atlet yang berkualiti.

“Tahun 2012 akan menyaksikan Akademi Bola Sepak, Akademi Badminton dan Akademi Renang diwujudkan di negeri ini.

“Misi Terengganu kini adalah untuk mengeksport lebih ramai atlet berkualiti di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Menyusuri lagi kejayaan yang dicipta Terengganu sepanjang 2011, seramai 54 anak kelahiran negeri itu telah terpilih menyarung jersi Malaysia untuk beraksi di pentas Sukan SEA di Indonesia.

Rozi menjelaskan, kejayaan itu bukan bersandarkan kepada kuantiti semata-mata, tetapi pemilihan yang dibuat adalah berdasarkan kualiti pada atlet-atlet Terengganu yang beraksi dalam acara bola lisut, kenu, silat, basikal, sepak takraw, judo, olahraga, bola sepak, memanah dan lawang pedang.

Menyentuh perkembangan Liga Malaysia, beliau turut melahirkan pujian apabila dua pasukan dari negeri ini iaitu Terengganu dan T-Team berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik Piala Malaysia.

“Terengganu paling cemerlang apabila muncul juara Piala FA selain menduduki tempat kedua dalam Liga Super dan Piala Malaysia.

“Namun, kehebatan T-Team juga perlu diakui kerana sebagai pasukan kelab, mara ke separuh akhir Piala Malaysia merupakan satu pencapaian membanggakan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah MSN negeri, Zainal Abidin Hussin ketika ditanya mengenai perkembangan sukan Terengganu sepanjang 2001 tampil memberi kredit kepada ibu bapa di negeri ini yang telah menjadi individu pertama membentuk budaya sukan di kalangan anak-anak.

Katanya, trend ibu bapa membawa anak-anak ke akademi termasuk menghantar untuk menyertai apa juga pertandingan adalah bukti kepada kesedaran mereka mengenai kepentingan sukan di negeri ini.

“Menjadi atlet bukan lagi semata-mata untuk memburu emas mahupun perak, tetapi ia adalah satu kerjaya yang menjamin masa depan anak-anak.

“Menerusi pelan yang dilakukan oleh kerajaan negeri, mana-mana atlet yang berjaya tidak kira di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa akan diberikan insentif yang bersesuaian,” katanya.

Namun, Zainal mahu lebih bersikap realistik mengenai masa depan sukan di Terengganu dengan tidak terlalu bergantung kepada sukan tradisi negeri ini seperti berbasikal dan kenu serta mendayung.

“Untuk menjadi kuasa sukan yang baru maka pelbagai cabaran perlu ditempuhi. Kami perlu menguasai lebih banyak sukan-sukan utama seperti renang, terjun, angkat berat dan badminton.

“Sasaran kita pada 2012 adalah untuk memastikan gelaran juara keseluruhan Sukma yang bakal berlangsung di Pahang nanti berjaya dipertahankan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh mengakui, bola sepak Terengganu telah kembali ke landasan sebenar dengan kejayaan yang dicapai sepanjang 2011.

Katanya, paling membanggakan apabila ramai pemain pasukan Terengganu terpilih untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan mahupun skuad Harimau Muda.

Antara yang mencuri tumpuan, katanya, adalah Zubir Azmi, Ashaari Shamsudin, Sharbinee Alawie, Joseph Kalang Tie dan Abdul Hadi Yahya.

- KOSMO!

Sorotan Tahun 2011: Mereka 'Pergi' Tinggalkan Jasa

by
Oleh KEMALIA OTHMAN

Tahun 2011 menyaksikan industri hiburan tanah air telah kehilangan beberapa nama besar. Biarpun meninggalkan kita buat selama lamanya, namun jasa mereka dalam dunia hiburan tetap diingati.

Semoga Allah memberi rahmat kepada roh umat Islam dan mereka ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

1 Januari 2011 - (Faizal Yusup)

Tahun baru 2011 dibuka dengan berita sedih apabila pelakon Mohd Faizal Yusup,33, meninggal dunia di Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), kira-kira pukul 1.45 petang iaitu pada hari Sabtu, akibat serangan jantung.

Allahyarham rebah ketika berada di bilik air rumahnya di Sentul, Kuala Lumpur. Faizal meninggalkan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad Rayyan Nakhaie, 2, hasil perkahwinan pertamanya bersama penyanyi Siti Nordiana, manakala perkahwinan kedua bersama Rosmunira Rashid dikurniakan seorang cahaya mata, Muhammad Raqqim Fyzal.

19 Januari 2011 - (Antonio Vincent)

Penyanyi utama kumpulan Sweet September, Antonio Vincent,57, yang popular pada era 70-an meninggal dunia di rumahnya di Tanjung Bungah, Pulau Pinang akibat sakit jantung.

Antonio yang popular dengan lagu “Hatiku Kau Guris Luka” dan “Nak Kahwin Duit Tak Ada” ditemui mati oleh isterinya, Annie Ooi kira-kira pukul 4.05 petang, Selasa, di dalam bilik air rumah mereka.

Menurut Annie, dia mengesyaki sesuatu yang tidak kena terhadap suaminya apabila mendiang berada terlalu lama di dalam bilik air selain tidak menjawab sahutannya.

21 Februari 2011 - (M.Vasudevan)

Penyanyi rakaman popular Malaysia, M. Vasudevan meninggal dunia di selatan bandar Chennai, China selepas mengalami serangan jantung minggu lepas.

Penyanyi berusia 67 tahun itu berada dalam keadaan kritikal selepas serangan jantung dan meninggal dunia di sebuah hospital swasta semalam.

Lebih dikenali dengan nama "Vasudevan Malaysia" di Kollywood, iaitu Bollywoood versi selatan, mendiang telah menyanyikan 8,000 lagu Tamil.

2 April 2011 - (Seri Bayu)

Penulis lirik Seri Bayu atau nama sebenarnya Jamaludin Sulik, 47, meninggal dunia di Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan akibat penyakit saraf.

Seri Bayu meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 malam Sabtu selepas dimasukkan ke hospital itu. Jenazah beliau dikebumikan di rumah keluarga angkatnya di Port Dickson, Negeri Sembilan.

10 Mei 2011 - (Aimi Jarr)

Pelakon veteran dan penulis, Aimi Jarr atau Omar Puteh, 72, yang juga bekas wartawan hiburan meninggal dunia di rumahnya di Taman Melawati, pagi Selasa, 10 Mei 2011.

Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung kira-kira pukul 7.30 pagi.

Ketika hayatnya, Allahyarham dikenali sebagai seorang yang sangat rapat dengan seniman agung Tan Sri P.Ramlee dan sering terlibat dalam perbincangan dan pertemuan-pertemuan antara P.Ramlee dengan rakan-rakan rapatnya dalam media.

Beliau juga pernah berlakon di dalam beberapa buah filem dan drama dalam siri televisyen khususnya drama-drama arahan dan terbitan Skop Production milik Datuk Yusof Haslam.

14 Mei 2011 - (Orchid Abdullah)

Penyanyi veteran Datin Orchid Abdullah, 64, meninggal dunia di Hospital Ampang dekat sini kira-kira pukul 12.40 tengah hari Jumaat.

Penyanyi yang popular dengan lagu Penawar Rindu itu menghidap ketumbuhan hormon yang tidak stabil atau “paraganglioma” sejak tiga tahun lalu.

21 Mei 2011 - (Mahyon Ismail)

Seniwati Mahyon Ismail atau nama sebenarnya Mayayun Binti Ismail telah meninggal dunia pada pukul 12.30 tengah hari di Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur.

Menurut anak sulungnya, Dilla Hussein, 47, ibunya sudah tiga minggu mengalami demam panas dan batuk namun, tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan kritikal melainkan penyakit diabetesnya sahaja.

Selain Dilla, Allahyarham yang merupakan balu pelakon veteran Hussein Abu Hassan, meninggalkan dua orang anaknya iaitu Fairuz, 45 dan Faizal 43.

19 Jun 2011 - (Zami Ismail)

Pelawak veteran, Zami Ismail, 67, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) dekat sini, kira-kira pukul 10.30 pagi Ahad akibat kegagalan jantung.

Allahyarham yang popular dengan sitkom “Pi Mai Pi Pai Tang Tu” pada tahun 1980-an hingga 1990-an turut berlakon hampir 20 buah filem termasuklah dua filem yang belum ditayangkan lagi iaitu “Husin Mon Dan Jin Pakai Toncit” (arahan Mamat Khalid) dan “Shh...Dia Datang” (Saiful Apek).

Allahyarham juga pernah memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-9 (FFM9) pada tahun 1991 menerusi filem “Mak Som”.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hanizan Ibrahim, 58, dan sembilan orang anak iaitu Mohd Hitler, 39, Ahmad Yamashita, 38, Mohd Soupi Zami, 37, Ismail Fahmi, 36, Khairul Affendi, 30, Aida Nurul Asyikin, 29, Aida Nurul Wahyu, 27, Mohd Firdaus, 24 dan Zahid Albukhman, 21.

1 Ogos 2011 - (Hasnah Haron)

Penyanyi veteran, Hasnah Haron, 64, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, Johor Baru pada pukul 8 pagi Isnin akibat penyakit kanser pangkal rahim.

Allahyarham menghidap kanser tersebut sejak dua tahun lalu sehingga merebak ke paru-paru.

Antara lagu-lagu popular beliau ialah “Bersedih”, “Sabar Menanti”, “Aliran Usia”, “Jauh Dariki”, “Mengharap Kasih” dan “Bintang Pujaan.”

5 Oktober 2011 - (Chee Hood Siong)

Pelakon siri komedi popular tahun 1990-an, “Baba Nyonya”, Chee Hood Siong meninggal dunia pada Ahad lalu akibat serangan jantung ketika berusia 66 tahun.

Mendiang terkenal dengan watak Ah Chim seorang wanita peranakan bersama-sama dengan seorang lagi pelakon, Kenny Chan yang memegang watak Bibik Kim Neo.

Siri popular itu diiktiraf oleh Malaysia Book oF Records sebagai siri televisyen paling lama di negara ini apabila mula bersiaran dari tahun 1980-an sehingga tahun 2000 dengan jumlah 509 episod.

Chee meninggalkan seorang isteri, Gladys Ong Keng Wah dan dua anak.

- MSTAR

Perbincangan JPA-CUEPACS isu Saraan Baru Perkhidmatan Awam berhasil

by
PUTRAJAYA 27 Dis. - Perbincangan hampir lima jam antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini membawa hasil apabila markah prestasi untuk kenaikan gaji dan markah pelaksanaan Dasar Pemisah (Exit Policy) diselaraskan serta-merta dalam mesyuarat itu.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, JPA bersetuju untuk menurunkan markah penilaian prestasi bagi kenaikan gaji di bawah skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) daripada 75 kepada 65.

"Di bawah SBPA yang asal kalau prestasi di bawah 75 markah maka tak ada kenaikan gaji berlaku, tetapi kita telah mengubahnya kepada 65 markah.

"Untuk pelaksanaan Dasar Pemisah pula, markah diubah daripada 70 kepada 60. Ini bermakna penjawat awam hanya akan dimasukkan ke dalam Dasar Pemisah kalau gagal mencapai 60 markah," katanya selepas perbincangan itu yang melibatkan pegawai kanan JPA termasuk Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah.

Perbincangan tersebut turut dihadiri oleh lebih 100 Ahli Majlis dan pemimpin CUEPACS dari seluruh negara.

Mengulas lanjut Omar berkata, JPA pada masa sama telah bersetuju untuk mengkaji cadangan-cadangan CUEPACS yang melibatkan implikasi kewangan atau peruntukan tambahan kerajaan.

"Perkara-perkara yang tidak melibatkan soal kewangan seperti markah prestasi telah diputuskan dalam perbincangan hari ini. JPA bagaimanapun memerlukan masa untuk mengkaji cadangan lain.

"Semua perkara yang dibangkitkan akan dikaji dalam tempoh tiga bulan sehingga perundingan seterusnya yang dijadualkan pada hujung Februari tahun depan, ini termasuk isu gaji maksimum dan gred jawatan yang tertinggal," katanya.

Omar berkata, setiap gred perkhidmatan awam akan dikaji secara teliti dan beliau meminta supaya penjawat awam mengemukakan sebarang masalah yang timbul kepada CUEPACS untuk dibawa kepada JPA.

Beliau bagaimanapun menegaskan SBPA secara keseluruhannya adalah baik untuk masa depan perkhidmatan awam negara.

"Tetapi SBPA mempunyai bahagian-bahagian tertentu yang perlu dikaji semula dan ditambah baik," katanya.

- UTUSAN

JHEAT kesan usaha aktif murtadkan umat Islam bermasalah

by
KUALA TERENGGANU 27 Dis. - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengesan gerakan pihak tertentu yang kini aktif dalam misi memurtadkan umat Islam negeri ini termasuk dalam kalangan orang kurang upaya (OKU).

Selain golongan itu dijadikan sasaran, gerakan itu turut menyusup ke hospital-hospital untuk memperdaya pesakit yang sebatang kara selain mat rempit dan golongan tidak berkemampuan.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mohd. Rozali Saleh ketika mendedahkan perkara itu berkata, beliau sangat bimbang dengan gejala itu dan tindakan sewajarnya akan diambil bagi membendungnya daripada menjadi bertambah serius.

Beliau menjelaskan, kumpulan berkenaan dikesan mendekati orang Melayu yang bermasalah atau terpinggir daripada masyarakat termasuk orang pekak, pesakit, mat rempit, penagih dadah serta orang kurang siuman.

"Mereka mendekati orang pekak sambil memberi mangsa hadiah dan lambang agama mereka yang kemudiannya disimpan di dalam poket. Ada juga yang sanggup lekat tatu di badan mereka.

"Semua ini boleh menyebabkan mereka (umat Islam) lari akidah sekali gus terkeluar daripada agama Islam. Kita risau kerana kumpulan itu sangat aktif dengan menjadikan OKU khususnya yang pekak sebagai sasaran," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutupan Kursus Pengenalan Bahasa Isyarat Kepada Penjawat Awam Siri 1/2011 di sini hari ini yang bermula semalam.

Program julung kali itu yang dianjurkan JHEAT dengan kerjasama pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan termasuk Persatuan Kebajikan Pekak Terengganu disertai seramai 130 orang peserta.

Mohd. Rozali berkata, gerakan tersebut turut menjadikan golongan belia melepak sebagai sasaran untuk dimurtadkan.

Beliau mengakui pada masa ini pihaknya menerima beberapa aduan mengenai kewujudan gejala tersebut di Terengganu yang dikesan bergerak dalam kumpulan kecil sambil menunggang basikal.

Jelas beliau, ada pengakuan daripada mangsa bahawa mereka terpaksa menerima habuan berupa wang tunai daripada gerakan terbabit setelah mengalami kesempitan hidup sebelum keluar Islam.

"Malah kita juga menerima maklumat daripada jururawat dan doktor di hospital yang musykil dengan tindakan pihak terbabit yang mendapatkan maklumat peribadi pesakit secara terperinci," ujarnya.

- UTUSAN

Khidmat Honda Penuhi Kehendak Pelanggan terbaik

by

MASA penghantaran yang pendek dan hubungan di antara peniaga dan pelanggan selepas jualan telah menyumbangkan kepada peningkatan keseluruhan kepuasan jualan kenderaan-kenderaan baru di Malaysia.

Menurut Pengarah Eksekutif di J.D. Power Asia Pacific, Singapura, Mohit Arora, walaupun jualan kenderaan baru di Malaysia semakin meningkat, para pengilang dan pengedar di negara ini telah melaksanakan tugas yang cemerlang dalam pengurusan masa penghantaran untuk pelanggan baru mereka.

Antara sembilan jenama yang termasuk dalam tinjauan ini, Honda berada di kedudukan teratas dengan markah sebanyak 815 selain mencatat prestasi yang cemerlang dalam empat daripada tujuh faktor iaitu inisiatif jualan, fasiliti pengedar, jurujual dan proses penghantaran.

Kedudukan kedua adalah Nissan (813), Suzuki (806) dan Toyota (803). Nissan mencatat prestasi baik dalam faktor kertas kerja dan waktu penghantaran.

Nissan meningkat sebanyak 29 mata pada 2011, berbanding tahun 2010, lebih daripada jenama-jenama lain.

Menurut Tinjauan Indeks Kepuasan Jualan (SSI) melalui SM J.D. Power Asia Pacific 2011 Malaysia yang diterbitkan baru-baru ini, ia mengukur kepuasan pemilik kenderaan baru terhadap jualan dan pengalaman penghantaran serta menilai tujuh faktor yang menyumbang kepada kepuasan keseluruhan.

Prestasi SSI dilaporkan dalam markah indeks berdasarkan skala 1,000 mata, di mana markah keseluruhan SSI yang lebih tinggi menunjukkan kepuasan lebih tinggi terhadap jualan kenderaan baru dan proses penghantaran.

Purata kepuasan jualan untuk tahun 2011 ialah 799 markah, meningkat sebanyak 18 mata berbanding 781 markah pada tahun 2010.Tinjauan juga mendapati bahawa purata masa penghantaran kenderaan baru telah menurun kepada 16.3 hari pada tahun 2011, iaitu penurunan hampir empat hari berbanding tahun 2010.

Kira-kira 38 peratus pelanggan menyatakan bahawa mereka menerima kenderaan dalam tempoh seminggu atau kurang daripada seminggu. Di kalangan pelanggan ini, kepuasan terhadap waktu penghantaran purata 24 markah lebih tinggi daripada purata industri.

Sementara itu, bilangan pelanggan yang menyatakan bahawa penghantaran kenderaan baru mereka mengambil masa lebih daripada sebulan telah menurun daripada 13 peratus pada 2010 kepada 7 peratus pada 2011.

Namun di kalangan pelanggan ini, kepuasan terhadap waktu penghantaran adalah 100 markah lebih rendah daripada purata industri.

Tinjauan ini juga mendapati bahawa peratusan pemilik kenderaan baru yang mengatakan bahawa pengedar menghubungi mereka selepas penghantaran kenderaan telah meningkat daripada 65 peratus (2010) ke 70 peratus pada 2011.

Di kalangan pelanggan yang menyatakan bahawa mereka dihubungi oleh pengedar selepas penghantaran kenderaan telah mencatat purata markah kepuasan sebanyak 812, 13 mata.

Sebaliknya, mereka yang tidak dihubungi selepas penghantaran kenderaan telah mencatatkan 30 markah lebih rendah daripada purata industri.

“Semakin banyak pengedar telah mengambil langkah untuk menghubungi pemilik kenderaan selepas penghantaran untuk mengetahui sama ada kenderaan mereka memuaskan ataupun tidak.

“Usaha ini bukan sahaja membolehkan pengedar jualan mengekalkan hubungan dengan pelanggan serta membantu membina kesetiaan, ia juga membolehkan pengedar untuk mengambil tindakan segera sekiranya masalah atau aduan mengenai proses jualan dilaporkan,” jelas Arora.

Kajian SSI Malaysia 2011 adalah berdasarkan maklum balas daripada 2,478 pemilik kenderaan baru yang membeli kenderaan mereka di antara September 2010 dan April 2011.

Kajian itu dilakukan antara Mac dan Jun 2011.

- MSTAR

Perkhidmatan Komuter Lebih Selesa Mulai Februari 2012 Dengan Set Tren SCS

by
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dijangka menyediakan perkhidmatan komuter lebih baik dan selesa bagi pengguna di Lembah Klang apabila empat daripada 38 set tren enam gerabak (SCS) mula beroperasi Februari depan.

Presiden KTMB Dr Aminuddin Adnan ia sekaligus dapat mengatasi pelbagai masalah yang dihadapi oleh perkhidmatan sedia ada yang menggunakan set tren tiga gerabak (EMU) seperti kelewatan, kekurangan gerabak dan sistem tergendala yang menjejaskan keberkesanan perkhidmatannya.

"Kita mempunyai 25 set EMU yang setengah daripadanya perlu dibaik pulih yang mana ia perlu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Sekarang kita tidak boleh baik pulih set EMU kerana tidak mempunyai set tren yang mencukupi (bagi menampung penggunaan)...sebab itu kadang-kala perkhidmatan komuter sering tergendala," katanya pada taklimat kepada media di Kompleks KTMB di sini hari ini.

Beliau berkata pada masa sekarang KTMB tidak berupaya untuk memendekkan waktu kekerapan perkhidmatan komuter kerana tidak mempunyai bilangan set tren yang mencukupi bagi menampung penggunaan.

KTMB akan meningkatkan keberkesanan operasi komuter dengan memendekkan waktu kekerapan perkhidmatan apabila mempunyai bilangan set tren yang mencukupi dengan ketibaan SCS tahun depan iaitu kekerapan perkhidmatan daripada 30 minit kepada hanya 15 minit pada waktu puncak, katanya.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata walaupun mengikut perancangan awal KTMB menawarkan perkhidmatan menggunakan set SCS pada tahun ini, namun KTMB terpaksa menundanya bagi menjamin keselamatan keseluruhan operasi perkhidmatan itu.

Katanya setiap set tren yang mampu membawa sehingga 1,000 pengguna pada satu hala perjalanan itu perlu mengikut spesifikasi, peruntukan undang-undang dan standard antarabangsa dalam usaha menawarkan dan memperbaiki perkhidmatan komuter kepada pengguna.

Sehingga hari ini, KTMB telah menerima sembilan daripada 38 set SCS dan empat lagi dijangka tiba pada Januari ini manakala baki 25 set akan diterima secara berperingkat sehingga Jun 2012, katanya.

"Kesemua 38 set tren SCS dijangka akan dapat berada dalam perkhidmatan mulai Jun 2012 dan waktu kekerapan akan dipercepatkan lagi kepada 10 minit setiap ketibaan dengan adanya 63 unit tren bagi perkhidmatan komuter iaitu 38 set SCS dan 25 set EMU," katanya.

Beliau berkata setiap satu daripada empat set SCS yang diterima KTMB tersebut kini dalam proses akhir pengujian dan pentaulihan yang dilaksanakan oleh jurutera dari syarikat pengeluar CSR Zhuzhou Electric Locomotive Co (ZELC), jurutera KTMB serta diselia oleh SPAD.

Kerja-kerja ujian terhadap tren pertama telah 96 peratus selesai manakala ujian rutin bagi set tren pertama, kedua dan ketiga telah siap 100 peratus dan ujian rutin bagi set tren keempat pula telah 20 peratus selesai, katanya.

KTMB menandatangani perjanjian dengan ZELC, sebuah syarikat pembuat set tren terkenal di China pada 19 Mei tahun lepas, berhubung pembelian set tren SCS yang menelan kos RM1.89 bilion untuk perkhidmatan komuter di Lembah Klang, di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pengangkutan awam.

Set tren SCS itu itu dibina khusus menggunakan tolok meter Malaysia (berukuran satu meter dan 33/8 inci lebar) yang boleh menjangkau kelajuan sehingga 140 kilometer sejam.

- BERNAMA

1,055 buah kereta Honda dimusnahkan

by

BANGKOK - Pembuat kereta No.1 Jepun, Honda mula memusnahkan sebanyak 1,055 buah kereta buatannya di Thailand semalam.

Tindakan itu dilakukan bagi meyakinkan para pelanggan bahawa tiada kenderaan yang rosak akibat banjir di negara berkenaan dijual kepada mereka.

Honda dalam satu kenyataan memberitahu, proses memusnahkan semua kenderaan di kilang Honda di tengah wilayah Ayutthaya itu dijangka mengambil masa selama sebulan.

Kilang Honda terletak di Taman Industri Rojanam yang merupakan kawasan yang ditenggelami air pada awal Oktober lalu.

Bencana berkenaan menyebabkan pengeluaran kilang tersebut terpaksa dihentikan manakala gambar-gambar dari udara menunjukkan ratusan buah kereta Honda digenangi air berselut.

"Walaupun kami dapat memindahkan banyak kereta baharu ke kawasan selamat, sejumlah kereta yang ada di kilang ini rosak akibat banjir," kata Timbalan Presiden Eksekutif Honda Automobile Thailand, Pitak Pruittisarikorn.

"Kami tidak menjual kereta yang rosak ini kepada pelanggan, menjual atau mengguna semula sebarang bahagian kenderaan tersebut," tambahnya.

Kebanyakan kereta yang akan dimusnahkan merupakan model kereta sedan saiz pertengahan seperti Honda City, Honda Brio dan Honda Jazz.

Lebih 700 orang terkorban dalam banjir yang menjejaskan 65 daripada 77 wilayah yang terletak di kawasan rendah di Thailand sejak beberapa bulan lalu.

Banjir tersebut turut menyebabkan tujuh taman industri utama terpaksa ditutup sekali gus mengganggu rangkaian bekalan global.

- AFP

Bertaqwalah Kepada Allah S.W.T.

by
Hadith:

RASULULLAH saw. bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah mengasihi hambanya yang bersifat Taqwa, kaya jiwa serta tidak menunjolkan diri (merendah diri walaupun berpangkat tinggi).

Yang dimaksudkan dengan kaya disini ialah kaya jiwa bukan kaya harta sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith.

Riwayat Muslim

Huraian Hadith:

1. Tiga perkara yang apabila dilakukan oleh seseorang maka ia dikasihi oleh Allah S.W.T.

Pertama: Bertaqwa

Kedua : Kaya Jiwa (Berakhlak mulia)

Ketiga : Tidak menonjolkan diri

2. Setiap umat Islam hendaklah sentiasa memperbaiki dirinya dari masa ke semasa dengan menanamkan tiga sifat tersebut diatas secara berperingkat-peringkat.

3. Islam menyuruh umatnya supaya bertaqwa kepada Allah dan mempunyai sifat-sifat yang mulia dan berbudi bahasa, jangan bersifat sombong, ego dan sebagainya yang boleh menjatuh dan merendahkan martabat kemuliaan manusia itu sendiri.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Statistik jenayah siber

by

MENYEDARI dunia Internet adalah suatu alam terbuka untuk mereka yang mahu merebut peluang menjadi kaya, seorang lelaki warganegara Switzerland tidak mahu ketinggalan mengambil kesempatan itu.

Tambah menyeronokkan hati peguam berusia 40-an itu adalah apabila berkenalan dengan seorang lelaki dari Malaysia melalui sebuah laman sosial. Dia teruja kerana menganggap pencariannya bakal membuahkan hasil lumayan.

Lelaki yang ditemui melalui jaringan maya itu memperkenalkan diri sebagai seorang ahli perniagaan yang menjalankan bisnes eksport bahan-bahan mentah penternakan dan memiliki syarikat yang berpangkalan di Malaysia.

Peguam itu ditawarkan sebuah kontrak perniagaan mengeksport bekalan makanan ayam ke Hong Kong, tetapi diminta membayar sejumlah wang terlebih dahulu bagi memastikan kontrak tersebut tidak terlepas ke tangan orang.

Teruja dengan tawaran yang tidak disangka-sangka itu, peguam itu menurut sahaja kemahuan 'ahli perniagaan' itu. Wang sejumlah RM1,360,079.50 pun telah dipindahkan ke dalam akaun lelaki tersebut.

Begitupun, oleh kerana tiada apa-apa yang berlaku dalam tempoh masa yang terlalu panjang, dia yang mempunyai latar belakang undang-undang itu telah melakukan penyiasatan sendiri terhadap syarikat tersebut dengan maklumat yang ada.

Luluh hatinya apabila mendapati syarikat tersebut palsu dan tidak pernah wujud di Malaysia. Tidak mahu si penipu siber itu terlepas begitu sahaja, dia telah melaporkan kes itu kepada pihak berkuasa.

Mujur tindakan pantas pihak polis telah berjaya menangkap dua individu, seorang lelaki dan wanita berhubung kes tersebut. Itu merupakan salah satu kes jenayah siber di negara ini.

Pada 15 Jun lalu, negara digemparkan pula dengan serangan alam siber yang ditunjangi penggodam antarabangsa. Dikenali sebagai Anonymous menerusi Operation Malaysia, kesan buruk penggodamannya amat serius.

Dalam serangan tersebut, sebanyak 91 buah laman web telah mengalami gangguan perkhidmatan.

Terdedah ancaman

Kegiatan jenayah dan salah laku siber tidak hanya melumpuhkan laman web, malah sesiapa sahaja boleh terdedah kepada ancaman tanpa sempadan itu.

Ia terbukti apabila CyberSecurity Malaysia melalui Pusat Bantuan Cyber999 telah mencatatkan sebanyak 14,157 insiden keselamatan siber yang dilaporkan oleh pengguna Internet di seluruh Malaysia dari bulan Januari sehingga November 2011.

Jumlah tersebut menunjukkan berlaku peningkatan mendadak sebanyak 97 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Mengikut istilahnya, jenayah siber merujuk kepada perbuatan atau insiden yang dilakukan di alam siber, sama ada menggunakan komputer mahupun peralatan seperti perkakasan dan perisian telekomunikasi.

"Ia dilakukan dengan menggunakan telefon pintar atau peranti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), dengan teknologi Internet digunakan sebagai perantara dan tidak melibatkan perbuatan jenayah secara fizikal.

"Sebagai contoh, penjenayah ini menceroboh maklumat organisasi atau individu, harta intelektual, penipuan kad kredit, kecurian identiti, penggodaman ke atas sistem rangkaian komputer dan laman web organisasi mahupun individu," kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt. Kol. (Bersara) Prof. Datuk Husin Jazri ketika ditemui Kosmo!.

Husin menjelaskan, setiap aktiviti jenayah siber yang dilakukan mempunyai motif atau tujuan tersendiri seperti membalas dendam, marah, berhibur sekadar suka-suka, kewangan dan politik.

Di kebanyakan negara, landskap jenayah siber yang berlaku kesemuanya hampir sama.

Laporan insiden

Di negara ini, CyberSecurity Malaysia mengklasifikasi kategori jenayah atau ancaman siber berdasarkan data laporan insiden keselamatan siber melalui penggunaan Internet yang dikumpulkan Pusat Bantuan Cyber999.

Statistik yang dikumpul melalui pusat bantuan tersebut dikenali sebagai insiden keselamatan siber, dan tidak dikategorikan sebagai jenayah siber.

Antara insiden keselamatan siber yang dikenal pasti adalah seperti penipuan, spam, pencerobohan, kod berbahaya, cubaan pencerobohan, gangguan siber, laporan kerentanan (vulnerabilities), gangguan perkhidmatan (DoS) dan juga berkaitan kandungan.

Husin memberitahu, terdapat beberapa punca atau sebab berlakunya peningkatan insiden tersebut. Antaranya adalah jumlah pengguna Internet yang semakin bertambah dari semasa ke semasa dan kurang pengetahuan mengenai kepentingan keselamatan siber.

Pusat Bantuan Cyber999 juga banyak menerima laporan insiden keselamatan Internet berkaitan penggunaan media sosial.

"Ada dalam kalangan pengguna Internet yang kurang arif dan juga kurang berhati-hati sewaktu melayari Internet," ujar beliau.

Justeru, peluang tersebut memudahkan lagi penjenayah siber untuk mengambil kesempatan ke atas mereka.

Selain daripada itu, terdapat juga peningkatan ancaman-ancaman penggodaman seperti pencacatan laman web (web defacement) dan juga pencerobohan.

Kelemahan utama yang menjadi sasaran kebanyakan penjenayah siber ialah pihak yang menggunakan penyelesaian sekuriti tidak asli dan yang luput tarikh sah.

Menurut Pengarah Saluran Jualan Kaspersky Lab Asia Tenggara, Jimmy Fong, dalam satu kenyataan akhbar, pengguna peranti teknologi seperti komputer, telefon pintar, tablet dan peranti lain, ia seumpama seseorang yang meninggalkan pintu dan tingkap rumah dalam keadaan terbuka.

"Dalam situasi perbandingan tersebut, pengguna seolah-olah berharap tiada sesiapa yang akan masuk ke dalam rumah seterusnya menyalah guna atau mencuri hak miliknya.

"Di dalam kes ini, ia melibatkan data dan identiti anda," katanya.

- KOSMO!

Glukos tinggi rosakkan retina

by
Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA

JIKA dilihat pada penyakit yang 'menyerang' manusia hari ini bagaikan boleh ditafsirkan semuanya seolah-olah berebut-rebut untuk menduduki carta paling atas.

Ini tidak termasuk penyakit-penyakit kronik yang sudah pasti jumlahnya semakin meningkat setiap tahun.

Salah satunya ialah kencing manis atau diabetes yang merupakan antara penyakit paling menular di negara ini dan juga di seluruh dunia.

Diabetes adalah sejenis penyakit di mana kandungan gula di dalam darah lebih tinggi daripada normal.

Penyakit ini bukan sahaja mampu membawa maut malah ia juga sebenarnya berkeupayaan membawa pelbagai penyakit lain dan secara tidak langsung menjadikannya lebih berbahaya dan membimbangkan.

Kandungan glukos yang tinggi di dalam darah pada kadar jangka panjang akan menyebabkan kerosakan dan penyempitan pada saluran darah di dalam badan.

Ini akan mengundang pelbagai komplikasi seperti kerosakan buah pinggang, sakit jantung, darah tinggi, luka kaki dan buta kedua-dua mata.

Menurut Pakar Perunding Oftalmologi dan Pakar Bedah Vitreoretina Hospital Pusrawi, Dr. Barkeh Hanim Jumaat, penyempitan saluran darah pada saraf retina mata juga akan menyebabkan aliran darah yang terhad.

Katanya lagi, kesan jangka panjang akan menyebabkan kerosakan pada saraf retina mata dan kerosakan ini dikenali sebagai retinopati diabetik.

Retinopati diabetik dicirikan sebagai kerosakan pada lapisan retina yang melapisi bahagian dalam bebola mata akibat pembuluh darah yang tersumbat, bocor atau bertambah terlalu banyak.

Ini merupakan sebab utama buta kekal di kalangan pesakit diabetes.

"Ini adalah komplikasi yang berlaku apabila seorang penghidap diabetes tidak mengawal paras gula darah dengan baik dan jika tidak dirawat atau tidak dirawat dengan betul, ia akan membawa kepada kemerosotan penglihatan dan akhirnya pesakit akan menjadi buta.

"Tetapi selalunya, pesakit diabetes tidak sedar akan kesan penyakit tersebut kerana pada peringkat permulaan kerosakan, penglihatan pesakit masih lagi sempurna.

"Kerosakan saraf retina hanya dapat dikesan melalui pemeriksaan mata oleh pakar mata.

"Oleh itu, amat penting bagi setiap pesakit diabetes mendapatkan pemeriksaan mata sebaik sahaja dikesan menghidap diabetes," ujarnya pada ceramah kesihatan umum sempena Bulan Kesihatan di Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, selanjutnya, pemeriksaan berkala akan dilakukan oleh pakar mata supaya kerosakan dapat dirawat segera ketika penglihatan masih lagi elok.

Ini merupakan cara terbaik untuk mencegah buta berkekalan akibat diabetes.

Hakikatnya menurut Dr. Barkeh, rakyat Malaysia harus mengetahui bahawa terdapat peningkatan mendadak bagi penyakit ini dan kebanyakannya menyerang orang muda.

Secara purata, seorang daripada tujuh rakyat di negara ini menghidap diabetes dan ini berlaku disebabkan gaya hidup harian.

Dan sehingga kini penyakit maut ini masih belum dapat disembuhkan sepenuhnya dan ia merupakan penyakit seumur hidup.

Apa yang boleh dilakukan oleh pesakit ialah kesedaran pada peringkat awal.

"Sebaik-baik sahaja dikesan menghidap diabetes, pesakit perlu memastikan pengawalan paras gula darah yang baik pada setiap masa, serta mengamalkan gaya hidup yang sihat," katanya.

- UTUSAN

Zakat bukan bebanan tetapi pelaburan

by
FIRMAN allah SWT: Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan rukuklah beserta orang-orang yang rukuk. (al-Baqarah: 43)

Manakala dalam surah yang sama pada ayat 261 bermaksud: Perumpamaan (nafkah yang di keluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah. Adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir, seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siap yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.

Itulah antara ayat-ayat al-Quran yang menekankan tuntutan kewajipan menunaikan zakat serta ganjaran yang diperoleh hasil daripada perlaksanaan ibadat tersebut.

Peliknya, meskipun ia banyak disebut sama ada di dalam kitab suci al-Quran dan hadis-hadis pilihan, namun masih ramai di kalangan umat Islam yang tetap keliru mengenai tuntutan bayaran zakat. Tambah menyedihkan lagi, apabila ramai beranggapan bahawa zakat hanya perlu dibayar setahun sekali iaitu dilakukan pada bulan Ramadan sehingga tibanya 1 Syawal.

Mereka percaya kewajipan zakat sudah sempurna dilaksanakan dengan mengeluarkan sejumlah wang untuk menunaikan zakat yang dikategorikan sebagai zakat fitrah itu sahaja.

Namun sebenarnya, terdapat beberapa jenis zakat yang diwajibkan kepada setiap umat Islam sekiranya menepati syarat wajib yang ditetapkan.

Kekeliruan ini menyebabkan orang ramai terlepas untuk menunaikan kewajipan yang diperintahkan dalam rukun Islam yang ketiga tersebut.

Antaranya jenis zakat tersebut adalah zakat pendapatan. Zakat pendapatan adalah semua jenis upah, imbuhan, bayaran atau hasil yang diperoleh daripada kerja atau usaha yang dilakukan sama ada secara tetap atau sesekali.

Ia bertepatan dengan firman Allah SWT bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu. (al-Baqarah: 267)

Menerusi ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita perintah menunaikan zakat pendapatan iaitu dengan mengeluarkan sejumlah wang daripada hasil pendapatan yang diperoleh.

Perkara inilah yang ditekankan oleh Pengurus Kewangan Pelaburan dan Pembangunan Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Azhan Ismail ketika ditemui di Wisma PPZ, Taman ShamelinPerkasa, Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Azhan berkata, walaupun pungutan zakat pendapatan merupakan penyumbang terbesar daripada keseluruhan jumlah kutipan, tetapi ia masih belum menunjukkan kutipan yang baik.

Menurutnya, ini kerana kurangnya kesedaran mengenai kewajipan dan tuntutan mengeluarkan zakat di kalangan masyarakat.

"Jumlah kutipan zakat pendapatan setakat November pada tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 25 peratus, iaitu sebanyak 277 juta berbanding 221 juta pada tahun lalu, namun kita percaya masih ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak menunaikan kewajipan tersebut," katanya.

Selain itu katanya lagi, antara punca yang menyebabkan orang ramai tidak melaksanakan zakat adalah kerana kekeliruan terhadap tuntutan zakat.

"Orang ramai beranggapan, tuntutan zakat sudah memadai dengan hanya menunaikan zakat fitrah yang dibayar pada bulan Ramadan sahaja. Oleh itu, tidak perlu lagi untuk membuat sebarang pembayaran lain," katanya.

Menurutnya, perintah menunaikan zakat bukan satu bebanan kepada kepada umat Islam, malah ia merupakan bentuk pelaburan di dunia dan akhirat yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.

Ia sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh dan menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (al-Baqarah: 261)

"Oleh itu, masyarakat tidak perlu bimbang dan khuatir untuk mengeluarkan zakat kerana Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang tidak terhingga tanpa kita sangka," katanya.

Azhan berkata, pihaknya sentiasa berusaha mengambil langkah untuk memudahkan proses pembayaran zakat bagi menggalakkan orang ramai menunaikan zakat.

"Orang ramai tidak perlu lagi untuk beratur panjang di kaunter, meluangkan banyak masa dan tenaga untuk membuat pembayaran kerana PPZ telah melancarkan portal zakat yang boleh dilawati oleh semua pembayar.

"Dengan adanya portal zakat, pembayar boleh membuat pembayaran, taksiran dan semakan dengan pantas tanpa mengeluarkan tenaga dengan hanya menekan butang talian di hujung jari," katanya.

Selain itu katanya, orang ramai juga boleh membuat bayaran secara terus melalui kaunter PPZ di enam lokasi terpilih di sekitar Kuala Lumpur atau agen yang dilantik.

- UTUSAN

Orang ramai diminta jauhi kawasan pantai

by
KOTA BHARU 26 Dis. – Majlis Keselamatan Negara (MKN) menasihati penduduk di sepanjang pantai di negeri ini supaya sentiasa berwaspada dengan ancaman ombak besar yang dijangka berlaku sehingga Khamis ini.

Agensi itu juga meminta orang ramai supaya tidak menghampiri kawasan pantai kerana bimbang akan berlaku kejadian tidak diingini ekoran daripada fenomena air pasang besar itu.

Setiausaha MKN Kelantan, Mohamad Rosle Mamat berkata, nelayan kecil dan laut dalam diminta supaya mendapatkan maklumat ramalan kaji cuaca terlebih dahulu sebelum keluar ke laut untuk mencari rezeki.

“Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran tentang fenomena air pasang besar ini, jadi kita meminta penduduk dan nelayan supaya sentiasa berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Begitu juga dengan orang ramai diminta supaya tidak menghampiri kawasan ‘gigi air’ di pantai kerana ombak besar atau fenomena ekor naga boleh berlaku pada bila-bila masa. Kalau mahu berkelah boleh tetapi jangan mandi atau menghampiri pantai.

“Bagi nelayan ke laut, kita minta mereka supaya meningkatkan tahap keselamatan serta membawa alat perhubungan bagi memudahkan komunikasi sekiranya berlaku bencana,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai lebih 30 chalet dan pusat peranginan yang diusahakan penduduk tempatan di pesisir Pantai Irama hingga ke Pantai Kandis, Bachok diancam hakisan berikutan angin kencang dan ombak besar sejak tiga hari lalu.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi dalam laman webnya meramalkan hujan serta ribut petir dan angin kencang dengan kelajuan 60 sehingga 70 kilometer sejam bertiup di sepanjang pantai negeri ini.

Ia juga akan menyebabkan ombak besar setinggi 5.5 sehingga 7.5 meter bermula hari ini sehingga Khamis depan.

Mohamad Rosle berkata, fenomena tersebut tidak akan memberi kesan besar sekiranya tiada hujan lebat di kawasan pedalaman.

“Setakat ini keadaan masih terkawal kerana hujan sekejap-kejap sahaja, sekiranya hujan berterusan kita bimbang akan berlaku banjir besar.

“Sehingga sekarang kita masih belum menerima sebarang aduan kerosakan atau kemalangan disebabkan ombak besar ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai hakisan pantai, beliau berkata, kawasan persisiran Pantai Kandis tidak mempunyai benteng disebabkan ia tidak terhakis sebelum ini.

“Di Kandis kita tidak membina benteng disebabkan ia tidak pernah terhakis. Kerajaan Pusat telah membina benteng di Sabak dan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu; Pulau Belongan dan Pantai Cahaya Bulan, Bachok bagi mengelak hakisan beberapa tahun lalu.

“Bagaimanapun kita akan memantau hakisan yang berlaku di kawasan tersebut untuk tindakan lanjut selepas ini,” katanya.

- UTUSAN

Sukarelawan Polis

by
OBJEKTIF
Membentuk satu pasukan yang efisyen dari segi intelektual dan fizikal
Memperkukuhkan hubungan di antara pihak polis dan masyarakat
Mempertingkatkan tahap keupayaan, kecekapan dan kepercayaan masyarakat

VISI
Sukarelawan Polis DiRaja Malaysia senantiasa bersama berganding bahu
dengan PDRM dalam mendaulatkan undang-undang demi mengekalkan
keamanan, ketenteraman dan keselamatan negara

MISI
Berganding bahu dengan PDRM untuk menguatkuasa undang-undang
Bersama mengekalkan keamanan dan keselamatan Negara
Bersama mencegah dan mengesan jenayah
Bersedia menyalur maklumat serta menjadi mata dan telinga PDRM
Bersama masyarakat tempatan membantu PDRM

Organisasi, Peranan dan Falsafah


Pasukan ini diwujudkan sebagai satu formasi dibawah Pasukan Polis Diraja Malaysia sejak tahun 1957 yang dikenali sebagai Pasukan Sukarelawan Polis. Kini keanggotaannya berjumlah seramai 3,400 diseluruh negara dengan tumpuan dibandar-bandar utama.

Falsafah kewujudan Pasukan Sukarelawan Polis adalah untuk memberi peluang kepada orang awam untuk menceburkan diri dalam kerjaya Polis.

Tanpa meninggalkan pekerjaan hakiki awam mereka, ianya juga sebagai satu pengalaman, pengamatan, cabaran disamping sumbangan khidmat bakti kepada keamanan negara. Pasukan ini juga adalah sebagai unit rezab di dalam Polis Diraja Malaysia.

Penglibatan orang awam dalam Pasukan Polis menerusi Sukarelawan Polis akan memberi banyak kebaikan dan kelebihan antaranya :-

· Mewujudkan kefahaman dan pengamatan terhadap masalah dan pahit manis bagaimana anggota polis melaksanakan khidmat mereka seharian

· Penerapan nilai-nilai disiplin positif pasukan kepada diri sendiri yang diperolehi melalui pendedahan latihan sebagai anggota Sukarelawan Polis

· Sukarelawan Polis dapat memberi panduan kearah pembentukan keluarga bahagia terutamanya dalam mendidik anak-anak agar lebih tersusun dan berjaya berteraskan disiplin yang diperolehi melalui latihan dan pengalaman sebagai Sukarelawan Polis

· Meningkatkan ilmu pengetahuan terhadap undang undang dan penguatkuasaanya, serta melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti bercorak fizikal seperti latihan kawad dan penggunaan senjatapi

Syarat-syarat Permohonan Sukarelawan Polis

- Warganegara Malaysia

- Umur tidak kurang dari 18 tahun dan tidak lebih 35 tahun

- Ukuran badan

· Lelaki : Tinggi 162 cm (5'4")

· Lilitan Dada : 81 cm/86 cm (32ï¾”/34ï¾”)

· Berat badan 48 kg

· Wanita : Tinggi 152 cm (5ï¾’)

· Berat badan 43 kg

· Mempunyai penglihatan biasa dan pendengaran yang baik

· Kelulusan akademik : sekurang-kurangnya lulus SRP/LCE Pangkat A/B atau pangkat C bagi tahun 1969 dan sebelumnya atau dengan (salinan sijil hendaklah disertakan)

Lain-lain Kelayakan

- Mempunyai pekerjaan tetap

- Mendapat kebenaran dari Jabatan/ Majikan (sertakan surat kebenaran daripada Jabatan)

- Bermastautin dalam lingkungan 18 km dari Balai Polis Daerah yang dipohon.

- Bersih dari sebarang rekod jenayah/cawangan khas

- Tidak menjadi ahli/anggota lain-lain badan beruniform yang boleh dikerah tenaga semasa darurat.

- Pekerja-pekerja dari kumpulan モKey Personelヤ seperti Hospital, TNB, Telekom, pengawal keselamatan (badan berkanun/kerajaan/swasta) tidak layak memohon.

Bidang Tugas


Pasukan Sukarelawan Polis pada kebiasaanya adalah menjalankan kerja-kerja latihan dan perbarisan ketika tidak diletakkan dibawah kerahan secara aktif.

Walaubagaimanapun sebagai tambahan kepada latihan dan perbarisan mereka ini menjalankan tugas-tugas seperti berikut :

1. Pejabat pertanyaan / tugas telefonis

2. Tugas Bit

3. Tugas Rondaan

4. Tugas Trafik

5. Tugas Teknikal (WT, MT & MARIN)

6. Tugas-Tugas di Pusat Kawalan Kontingen atau Daerah

7. Pegawai Bertugas di Daerah atau IPK

8. Pentadbiran Biasa / Harian

9. Tugas Kawalan Perhimpunan

10. Tugas kawalan

Fungsi dan Tanggungjawab

• Melaksana dan menguatkuasakan undang-undang
• Mata dan telingan kepada pasukan PDRM
• Memberikan perkhidmatan yang mesra kepada masyarakat

Elaun dan Insentif


1. Elaun kehadiran Latihan Tempatan

Tuntutan elaun tidak melebihi 48 jam sebulan
Pegawai : RM5.80 sejam
Lain-lain Pangkat : RM4.00 sejam

2. Elaun Bounty ( Saguhati tahunan )
Bertugas lebih 380 jam setahun - RM 520.00
Bertugas 240 ~ 379 jam setahun - RM 390.00
Bertugas 120 ~ 239 jam setahun - RM 260.00
Bertugas kurang 120 jam setahun - TIDAK LAYAK

3. Elaun Pakaian (Pegawai sahaja)
Elaun Pakaian Seragam (sekali sepanjang perkhidmatan) - RM300.00
Elaun Penyelenggaraan Pakaian Seragam (setiap tahun dibayar mulai
tahun kedua Perkhidmatan) - RM 125.00
Elaun Pakaian Istiadat (3 tahun sekali) - RM 1,000.00

4. Kemudahan Lain
Bekalan Pakaian Seragam
Rawatan Perubatan
Compesation-ganjaran & elaun
Kematian semasa bertugas *
Kecacatan semasa bertugas *
Belanja pengkebumian *

* Melalui penyertaan skim insuran berkelompok

Sumber : http://www.rmp.gov.my

Buku dimakan anai-anai dipamerkan

by

ROM, Itali - Sebuah buku lama yang dimakan anai-anai dipamerkan di sebuah muzium di Institut Pemuliharaan dan Pemulihan Buku-Buku Rosak pada minggu lalu di sini.

Buku-buku dan manuskrip lama yang rosak akibat terbakar, peperangan dan dimakan anai-anai dirawat di institut tersebut seperti seorang pesakit di hospital.

Institut yang ditubuhkan pada 1938 itu turut menyimpan pelbagai manuskrip lama termasuk salah sebuah kitab al-Quran paling tua di dunia.

- AFP

Hikmah ayat Bismillah

by
KALIMAH Bismillahhirrahmanirrahim tidak pernah lekang dari bibir pelumba motosikal muda negara, Hafizh Syahrin Abdullah setiap kali dirinya berasa tertekan di garis permulaan.

Baginya, dengan cara itu dia mampu meredakan tekanan yang dirasainya demi merealisasi sasaran yang ditetapkan.

“Saya tidak dapat lari daripada perasaan itu apabila menanti lampu hijau menandakan perlumbaan bermula. Pada ketika itu, saya hanya mampu kuatkan semangat dan terus-menerus membaca ayat suci al-Quran,” kata pelumba berusia 17 tahun itu.

Pembabitannya dalam dunia perlumbaan bermula seawal usianya sembilan tahun. Minatnya terlalu mendalam hingga mencuba pelbagai jenis jentera seperti go-kart, motocross dan akhirnya pocket bike.

Pengalaman menunggang pocket bike menjadi titik tolak buat dirinya terbabit secara serius dalam dunia perlumbaan.

“Pada masa itu, saya meminati go-kart tapi kerana kosnya yang terlalu tinggi, saya terpaksa beralih kepada jentera yang lebih murah.

“Saya akhirnya mencuba pocket bike dan kadang-kadang ‘meminjam’ wang ayah tanpa pengetahuannya untuk menyewa jentera itu,” katanya. Percubaan pertama berlumba menggunakan jentera itu tidak sia-sia apabila dia muncul juara di Port Dickson. Selain Hafizh, rakan seangkatan, Md Ramdan Rosli turut menyertai perlumbaan itu.

"Sejak detik itu saya yakin inilah dunia saya.” Dalam kariernya yang singkat, Hafizh sudah membuktikan kewibawaannya apabila muncul juara CP130 dan juara novis Kejuaraan Petronas AAM Cub Prix pada tahun lalu dan 2009.

Tahun ini, dia menumpukan perhatian kepada kategori SuperSport 600cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) Petronas dan berjaya menduduki tempat keempat keseluruhan.

Lebih manis, Hafizh berjaya menaiki podium sebanyak empat kali, ketiga di India, naib juara di litar Zhuhai, China dan ketiga dan muncul juara di Litar Antarabangsa Losail, Qatar minggu lalu.

Dia turut menyertai Formula Extreme Australia dan berjaya muncul naib juara meskipun hanya menyertai empat daripada enam perlumbaan.

Baginya penyertaan dalam kejohanan ini meningkatkan lagi ilmunya kerana ia lebih mencabar.

“Setiap sirkit enam perlumbaan dilangsungkan dan setiap pelumba akan beraksi dalam tiga perlumbaan berselang-seli dengan tempoh rehat hanya kira-kira setengah jam.

“Saya banyak belajar bagaimana memperoleh pelarasan jentera terbaik dan aspek teknikal pada kejohanan ini.” Namun, sasaran utama pastinya menyertai secara penuh aksi MotoGP dunia dan demi merealisasikan impiannya itu, Hafizh bakal menumpukan sepenuhnya kepada saingan ARRC pada tahun depan selain menyertai kejohanan di Sepanyol.

- HARIAN METRO

Bencana air pasang besar

by

DUNGUN – Ribuan penduduk pesisir pantai di daerah ini serta sepanjang pantai Bachok, Kelantan panik apabila kawasan tempat tinggal mereka dipukul ombak akibat fenomena air pasang besar sejak seminggu lalu.

Kesan daripada kejadian itu mengakibatkan jalan raya yang menghubungkan Pantai Teluk Lipat ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun runtuh selepas dipukul ombak besar.

Fenomena luar biasa itu yang turut diibarat sebagai 'tsunami kecil' oleh penduduk tempatan dianggap sebagai kejadian paling buruk yang pernah berlaku di daerah tersebut.

Selain runtuhan jalan raya, puluhan pokok ru di sepanjang pesisir pantai berkenaan turut menyembah bumi sehingga mengancam keselamatan penduduk setempat.

Tinjauan Kosmo! di kawasan kejadian semalam mendapati masih ramai pengguna jalan raya melalui kawasan runtuhan sepanjang dua kilometer itu walaupun pihak berkuasa telah meletakkan papan tanda amaran.

Seorang peniaga kedai makan, Ahmad Fauzi Ismail, 50, mendakwa kejadian air pasang besar di pantai itu mula dikesan sejak minggu lalu sebelum bertukar menjadi lebih buruk kelmarin.

Katanya, situasi di kawasan itu juga dilihat tidak selamat apabila ramai menjangkakan ribut dan angin kencang serta air pasang akan berlaku dalam beberapa hari lagi.

“Selama saya tinggal di sini, inilah bencana paling buruk pernah berlaku sampaikan hampir keseluruhan jalan pesisir pantai runtuh.

“Saya nampak sendiri batu-batu besar dihanyutkan ombak,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

- KOSMO!

15 Berita untuk Pemilihan "Sepuluh Berita Asia Tenggara yang Paling Penting Tahun 2011"

by
1. Industri Kewangan ASEAN Diperkukuh, Bursa Sekuriti Pertama di Laos dan Kemboja

Bursa sekuriti pertama di Laos dirasmikan di Vientiane pada 11 Januari 2011. Pada Julai 2011, bursa sekuriti pertama di Kemboja ditubuhkan dan akan mula beroperasi pada Januari 2012. Setakat ini, semua negara ASEAN kecuali Myanmar mempunyai bursa sekuriti. Industri kewangan dianggap tonggak kepada ekonomi moden. Perkembangan industri kewangan negara-negara ASEAN bermakna besar bagi pembangunan ekonomi serantau.

2. "Single Visa" ASEAN akan Diperkenalkan

Pada 17 Januari 2011, Sidang Menteri Pelancongan ASEAN diadakan di Phnom Penh. Sidang berkenaan telah membincangkan dan meluluskan Rancangan Strategi Pembangunan Pelancongan ASEAN 2011-2015. Sasaran utama rancangan itu adalah memperkenalkan "Single Visa" dalam tempoh lima tahun yang akan datang. Setelah visa itu diperkenalkan, pelancong di luar rantau ASEAN boleh melancong semua negara ASEAN dengan memegang visa itu. Dalam Sidang Menteri Luar ASEAN yang diadakan pada 16 Januari pula, para menteri bersepakat untuk meneliti kebolehlaksanaan rancangan berkenaan, dan memperkenalkan visa itu secepat mungkin.

3. Kumpulan Pemimpin Baharu Vietnam Terpilih

Kumpulan pemimpin baharu Vietnam terpilih semasa Perhimpunan Kebangsaan Ke-11 Parti Komunis Vietnam pada 19 Januari 2011. Nguyen Phu Trong menggantikan Nong Duc Manh dan dipilih sebagai Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam. Ini menandakan peralihan kumpulan pemimpin negara berkenaan. Dari awal Julai hingga awal Ogos pula, Persidangan Pertama Kongres Ke-13 Vietnam telah memilih pemimpin-pemimpin negara termasuk Pengerusi Kongres, Presiden dan Perdana Menteri.

4. Konflik Paling Sengit di Sempadan Thailand-Kemboja

Dari 4 hingga 7 Februari, dan dari 22 hingga 29 April 2011, tentera Kemboja dan Thailand bertempur di wilayah yang dipertikaikan di kawasan sempadan. Kedua-dua pihak telah menggunakan senjata berat seperti meriam dan peluru roket. Pertempuran ini mengorbankan berpuluh-puluh anggota tentera. Pada 15 September, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra membuat lawatan ke Kemboja dan berunding dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen. Kedua-dua pemimpin itu bersetuju untuk mematuhi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa, The Hague untuk menempatkan semula tentera di kawasan sekitar Kuil Preah Vihear. Dengan itu, situasi yang tegang di wilayah berkenaan menjadi reda.

5. Pembaharuan dan Perdamaian Dalaman Myanmar Dipercepat

Pada 30 Mac 2011, Presiden U Thein Sein dan kabinet baharu Myanmar mengangkat sumpah di Naypyidaw. Badan berkuasa tertinggi Myanmar iaitu Majlis Kedamaian dan Pembangunan Kebangsaan menyerahkan kuasa kepada kerajaan baharu. Ini menandakan peralihan pemerintah ketenteraan ke kerajaan yang dipilih oleh rakyat di Myanmar. Pada 19 Ogos, Presiden U Thein Sein menemui Aung San Suu Kyi. Pada Oktober pula, U Thein Sein meluluskan untuk meminda undang-undang pendaftaran parti politik, membatalkan banyak sekatan dan halangan, supaya memberi laluan kepada Aung San Suu Kyi untuk terlibat dalam proses politik negara.

6. Pilihan Raya Singapura Tanda Permulaan Perubahan Politik

Pilihan raya kongres Singapura diadakan pada 7 Mei 2011. Parti pemerintah, Parti Gerakan Rakyat mendapat 60.14% undi yang sah, iaitu sokongan yang paling rendah sejak beberapa dekat lalu. Di samping itu, jumlah kawasan pilihan raya yang dimenangi parti pembangkang pula mencipta rekod dalam sejarah. Pada 14 Mei, Menteri Mentor, Lee Kuan Yew dan Menteri Kanan Goh Chok Tong mengeluarkan kenyataan bersama yang menyatakan mereka tidak akan memegang jawatan dalam kabinet baharu, supaya memberi laluan kepada generasi muda. Pada 18 Mei, Lee Hsien Loong mengumumkan senarai kabinet baharu, Lee Kuan Yew buat kali pertama tidak dilantik jawatan dalam kabinet sejak menyandang jawatan Perdana Menteri pada 1959. Kabinet baharu menampakkan ciri-ciri cekap, inovatif dan muda.

7. Indonesia Perkenalkan Pelan Pembangunan Jangka Sederhana

Pada Julai 2011, Indonesia memperkenalkan pelan pembangunan ekonomi nasional jangka sederhana, yang mensasarkan kadar purata pertumbuhan ekonomi negara mencapai 7 hingga 8 peratus dalam 15 tahun yang akan datang. Wawasannya menjadikan Indonesia antara 10 kuasa ekonomi terdepan di dunia menjelang 2025. Selepas krisis kewangan tercetus pada tahun 2008, ekonomi Indonesia berkembang baik setelah mengalami tempias yang terhad ekoran kemelesetan ekonomi Eropah dan Amerika, serta mencapai pertumbuhan tinggi, inflasi rendah dan kadar pengangguran rendah. Kadar pertumbuhan KDNK Indonesia mencapai 5%-6% selama enam tahun berturut-turut. Indonesia merupakan anggota Kumpulan 20 dan juga negara membangun yang besar, ia sedang memberikan pengaruh yang kian besar di Asia bahkan dunia.

8. Yingluck Shinawatra Dipilih Perdana Menteri Wanita Pertama Thailand

Pilihan raya Dewan Rakyat Thailand diadakan pada 3 Julai 2011. Parti Pheu Thai yang dipimpin Yingluck Shinawatra mengalahkan Parti Demokrat yang dipimpin oleh Abhisit Vejjajiva dan menang dalam pilihan raya tersebut. Dalam persidangan Dewan Rakyat yang diadakan pada 5 Ogos, Yingluck dipilih sebagai Perdana Menteri wanita pertama dalam sejarah Thailand. Pada 8 Ogos, Yingluck menerima titah Raja Bhumibol Adulyadej dan secara rasmi memulakan perkhidmatan sebagai Perdana Menteri ke-28 Thailand.

9. Bencana Banjir Besar Melanda Thailand

Hujan lebat turun dengan tidak terhenti di Thailand sejak akhir Julai 2011. Bencana banjir dan banjir lumpur turut berlaku, yang mengakibatkan kematian dan kecederaan yang teruk. Penghasilan padi dan pelancongan Thailand turut terjejas teruk. Pada 15 November, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra mengaku bahawa banjir di sebahagian bandar raya Bangkok mungkin tidak dapat susut menjelang akhir tahun ini.

10. Tunjuk Perasaan "Bersih" Diredakan Polis Malaysia

Pada 9 Julai 2011, anggota dan penyokong Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) mengadakan tunjuk perasaan di beberapa tempat di Kuala Lumpur, menggesa pembaharuan terhadap sistem pilihan raya yang sedia ada. Polis Malaysia mengambil tindakan yang berkesan dan berjaya mengelakkan situasi daripada memburuk. Pada 10 Julai, Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak mengumumkan tunjuk perasaan tersebut adalah haram. Walau bagaimanapun kerajaan telah meminda dan menyempurnakan undang-undang pilihan raya. Pilihan raya Malaysia bakal diadakan pada 2012. Pertubuhan Bersih pernah mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran pada 10 November 2007, secara tidak langsung mengakibatkan "gempa bumi politik" sewaktu pilihan raya umum berlangsung pada Mac 2008. Dalam pilihan raya umum itu, Barisan Nasional buat pertama kali kehilangan 2/3 kerusi dalam parlimen.

11. Pemimpin China-Filipina dan China-Vietnam Bincang Isu Laut China Selatan

Pada 30 Ogos dan 11 Oktober 2011, Presiden Filipina, Benigno Aquino III dan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Nguyen Phu Trong masing-masing membuat lawatan ke China. Presiden China, Hu Jintao ketika berunding dengan Aquino menyatakan, China berpendirian teguh dalam isu Laut China Selatan, iaitu pertikaian berkenaan mesti diselesaikan oleh kedua-dua negara terlibat melalui rundingan secara damai. China bersedia bersama-sama negara-negara ASEAN termasuk Filipina, melaksanakan Deklarasi Tata Pengendalian Pihak-Pihak Berkaitan di Laut China Selatan. Aquino pula menyatakan, Filipina akan berusaha melaksanakan deklarasi tersebut. Isu Laut China Selatan bukan segalanya hubungan China-Filipina dan ia tidak akan mempengaruhi hubungan Filipina-China. Beliau berharap pertikaian berkenaan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Hu Jintao dan Nguyen Phu Trong telah bertukar-tukar pandangan tentang isu laut. Nguyen Phu Trong menyatakan bahawa pihaknya bersedia berhubung dengan pemimpin China mengenai penyelesaian masalah laut. Beliau menegaskan bahawa isu ini tidak akan mempengaruhi hubungan kedua-dua parti, negara dan rakyat.

Sebelum itu, Menteri Luar China, Yang Jiechi dan Menteri-Menteri Luar ASEAN telah mencapai persetujuan tentang pelan tindakan susulan kepada Deklarasi Tata Pengendalian Pihak-Pihak Berkaitan di Laut China Selatan.

12. Tragedi Pembunuhan 13 Anak Kapal China

Pada 5 Oktober 2011, dua buah kapal kargo China dirompak di kawasan Tiga Segi Emas Sungai Mekong, 13 anak kapal China dibunuh dalam tragedi berkenaan. Menjaga keselamatan pelayaran di aliran Sungai Mekong merupakan tugas yang mendesak bagi negara-negara di kawasan aliran sungai berkenaan. Pada 31 Oktober, Persidangan Kerjasama Keselamatan Penguatkuasaan Aliran Sungai Mekong China, Laos, Myanmar dan Thailand diadakan di Beijing, serta mengeluarkan kenyataan bersama.

13. Pusat China-ASEAN Ditubuhkan

Majlis perasmian Pusat China-ASEAN diadakan di Bali, Indonesia pada 18 November 2011. Pusat China-ASEAN yang beribu pejabat di Beijing, merupakan sebuah pertubuhan antara kerajaan. Misinya menggalakkan kerjasama China-ASEAN dalam bidang perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan dan kebudayaan.

14. Rundingan TPP, Keutamaan Baharu Strategi AS

Pada 12 hingga 13 November 2011, Sidang Kemuncak Tidak Rasmi APEC diadakan di Hawaii, AS. Dalam tempoh sidang itu berlangsung, AS giat mendorong rundingan mengenai Perjanjian Hubungan Rakan Ekonomi Strategik Merentasi Pasifik (TPP). Setakat ini, sembilan buah negara termasuk AS, Singapura, Malaysia, Brunei, Vietnam, Australia, New Zealand, Chile dan Peru, telah menganggotai rundingan TPP. Pada 17 November, pemimpin-pemimpin ASEAN telah meluluskan Kerangka Hubungan Rakan Ekonomi Komprehensif Serantau dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-19. Matlamatnya kawasan perdagangan bebas yang merangkumi 10 negara ASEAN, China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand selepas tahun 2013.

15. Perluasan Sidang Kemuncak Asia Timur, ASEAN Tetap Berperanan Utama

Pada 19 November 2011, Sidang Kemuncak Asia Timur ke-6 diadakan di Bali, Indonesia. AS dan Rusia menghadiri sidang itu sebagai anggota. Justeru mekanisme Sidang Kemuncak Asia Timur diperluas daripada 10+6 kepada 10+8, iaitu 10 negara ASEAN, China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia, New Zealand, AS dan Rusia. Rusia dan New Zealand telah menghantar Menteri Luar untuk menghadiri sidang kemuncak kali ini.

Hasil utama sidang kemuncak berkenaan, dua perisytiharan yang masing-masing mengenai prinsip saling menguntungkan dan kesalinghubungan dengan ASEAN. Sidang itu menegaskan peranan pimpinan ASEAN, kerjasama 10+1 dan 10+3 sebagai saluran kerjasama utama.

UNDIAN boleh dibuat di: http://malay.cri.cn/504/2011/11/17/Zt181s125987.htm

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90