Top Ad 728x90

121 kursus baru bidang berpotensi diperkenal di universiti

Sebanyak 121 kursus dalam beberapa bidang pengajian baru akan diperkenalkan di universiti tempatan tahun ini, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, kursus-kursus dalam bidang berpotensi itu diluluskan kerana ia dapat memenuhi keperluan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan pasaran industri negara pada masa akan datang.

Katanya, antara bidang baru itu ialah perisian komputer, jurutera teknologi perbankan Islam, pertanian dan program berasaskan pertanian, sains kesihatan, sains sukan, pelancongan dan hospitaliti serta keusahawanan.

"Pelajar digalakkan memohon mengikuti pengajian dalam 121 kursus bidang baru ini bagi mengelakkan persaingan dalam merebut tempat dalam bidang lain terutamanya bidang popular seperti perubatan dan undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Karnival Pengajian Tinggi Negara ke-8 yang disempurnakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob di Kuantan, Pahang.

Khaled berkata, bidang-bidang baru itu mempunyai kadar kebolehpasaran yang tinggi dan oleh itu penuntut digalak memohonnya.

"Lagi pun persaingan sekarang sangat sengit, contohnya kalau semua pelajar cemerlang memohon perubatan tapi peruntukan untuk bidang itu ada berapa ratus saja...jadi saya beritahu perkara ini dari awal lagi supaya mereka tidak kecewa," katanya.

Beliau berkata, untuk itu guru kaunseling perlu memainkan peranan dalam membimbing kerjaya pelajar bermula di peringkat sekolah lagi agar subjek yang diambil selari dengan cita-cita mereka kelak.

Karnival seperti hari ini, katanya merupakan antara platform untuk pelajar di peringkat sekolah menengah memilih bidang yang akan diikuti mereka di universiti bersesuaian dengan minat dan kebolehan masing-masing.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90