Top Ad 728x90

,

Kastam perkenal sistem 'beeline' di lapangan terbang antarabangsa

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bercadang memperkenalkan sistem "beeline" di semua lapangan antarabangsa dalam usaha jabatan itu mencegah penyeludupan dadah ke dalam negara.

Penolong Ketua Pengarahnya, Datuk Zainul Abidin Taib, berkata sistem berkenaan dipraktikkan beberapa negara lain dan berkesan dalam mengkaji gerak-geri mereka yang masuk ke dalam negara melalui lapangan terbang.

Menurut data JKDM, kes dadah menunjukkan peningkatan yang ketara tahun lalu iaitu sebanyak 92 kes dengan nilai rampasan RM183.78 juta berbanding 74 kes dengan nilai rampasan RM44.45 juta pada 2010.

Perkembangan ini membimbangkan kerana ada kemungkinan Malaysia dijadikan sebagai hab untuk menyeludup dadah antarabangsa.

"Sistem tersebut akan memberi masa kepada pihak berkuasa memerhati dan memeriksa mereka yang mencurigakan. Pada masa sekarang, mereka yang tiba di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa KL) boleh meninggalkan kawasan lapangan terbang dalam masa 15 minit sahaja," kata beliau pada sidang media selepas majlis sambutan Hari Kastam Sedunia.

Beliau berkata, cadangan berkenaan kini di peringkat akhir untuk dibentangkan kepada pihak atasan dan JKDM sedang membincangkannya Malaysia Airport Holdings Bhd.

Bagi mempertingkatkan lagi keselamatan, JKDM juga sudah membeli mesin pengimbas sensitiviti tinggi, BioSensor, yang mampu mengesan sebarang bagasi yang dicemari dadah.

Mesin yang turut digunakan di negara seperti Sweden, Jepun dan Thailand itu akan mula dikenalkan tahun ini.

Zainul Abidin berkata, selain dadah, JKDM turut memberi tumpuan kepada kes penyeludupan haiwan terlarang di bawah Konvensyen Mengenai Perdagangan Antarabangsa dalam Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES).

Kes berkaitan Cites bagi tahun 2011 mencecah nilai RM15.09 juta membabitkan cicak gecko, gading, kura-kura dan tenggiling hidup.

Beliau juga meminta orang ramai supaya bekerjasama menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penyeludupan kepada JKDM melalui talian bebas tol 1-800-888-885 atau pejabat JKDM berhampiran.

- BERNAMA




0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90