Top Ad 728x90

Kurangkan pengambilan kalori - Menteri Kesihatan

Pengambilan lebihan kalori bagi seorang individu sebanyak 500 kilokalori (kcal) sehari dalam masa seminggu akan menyebabkan peningkatan berat badan antara 500 gram hingga satu kilogram, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, untuk membakar 500 kcal itu, seorang lelaki dewasa perlu berbasikal hampir satu jam atau perlu berjalan kaki selama dua jam setengah.
"Adalah lebih mudah untuk mengurangkan kalori dengan mengurangkan pengambilan makanan daripada membakar kalori selepas memakannya," katanya pada sidang akhbar Makan Secara Sihat sempena Tahun Baru Cina di sini hari ini.
Beliau berkata, bagi kaum Cina, sambutan Tahun Baru Cina biasanya bermula dengan 'makan besar' atau makan malam bersama keluarga dengan hidangan seperti ikan, ayam, daging itik, bak kwa, limau Mandarin, manakala hidangan pada waktu siang adalah yee sang, kuih muih dan snek manis.

"Pengambilan pelbagai jenis makanan ini akan mengakibatkan penambahan berat badan serta risiko menghidap penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, obesiti dan tekanan darah tinggi," katanya.

Sehubungan itu sempena Tahun Baru Cina, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan pemakanan sihat serta menjalankan aktiviti fizikal yang mencukupi dengan mengamalkan lima lapan atau '88888.'

Katanya, amalan itu adalah berhenti makan sebelum kenyang iaitu lebih kurang 80 peratus kenyang, mengamalkan makan malam sebelum jam lapan malam, minum lapan gelas air kosong, tidur lapan jam sehari dan berjalan sekurang-kurangnya 8,000 langkah.
"Berjalan 10,000 langkah adalah lebih bagus. Ingat dan amalkannya bukan semasa Tahun Baru Cina sahaja, tetapi setiap hari," katanya.

Beliau berkata, masyarakat juga boleh merujuk buku bertajuk 'Makan Secara Sihat di Tahun Baru Cina' yang diterbitkan kementerian sebagai rujukan. Buku itu boleh dimuat turun daripada laman web kementerian.

Antara panduan yang diberikan ialah makan dengan saiz hidangan atau kuantiti kecil, pilih makanan rendah kalori dan berserat tinggi, hadkan pengambilan makanan manis, pilih air kosong berbanding air manis serta hadkan pengambilan minuman beralkohol.

Selain itu orang ramai boleh mendapat makluman tambahan mengenai pemakanan sihat di Pusat Maklumat Pemakanan yang terdapat di seluruh negara termasuk pusat maklumat di Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan di Putrajaya.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90