Top Ad 728x90

PNMB jadi pembekal kertas A4


Pembabitan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) di dalam perniagaan membekalkan kertas bersaiz A4, kerana melihat kepada potensi untuk membolehkan syarikat berkembang maju selari dengan hasrat untuk menyediakan kemudahan tempahan setempat kepada para pelanggan.

Bagi Pengarah Urusan PNMB, Izham Yusoff, pembabitan PNMB di dalam menjual atau membekal kertas A4 bukanlah satu cabang perniagaan baru kerana ia telah pun dilakukan sebelum ini dalam skala yang kecil.

Namun selepas beberapa kajian dilakukan dan berdasarkan kepada permintaan di kalangan kementerian, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan syarikat-syarikat swasta, penggunaan kertas masih lagi menjadi keutamaan.

“Tidak dinafikan kerajaan menggalakkan pengurangan penggunaan kertas di pejabat-pejabat serta urusan-urusan seharian tetapi untuk tidak langsung menggunakan kertas adalah sesuatu yang mustahil, tetapi kita boleh meminimumkan penggunaan kertas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Izham berkata, ada beberapa peringkat kertas masih perlu digunakan sebagai bahan rujukan tertentu dan berikutan itu PNMB melihat potensi untuk mengembangkan lagi perniagaan kertas A4 boleh dilakukan.

Beliau berkata, faktor yang mendorong PNMB menceburi bidang perdagangan kertas A4 ialah sebagai syarikat percetakan yang menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan cetakan, penggunaan kertas di dalam pelbagai ukuran termasuk A4 adalah tinggi.

Melalui skop kerja itu pembelian kertas dilakukan secara pukal daripada kilang kertas di seluruh dunia di mana harga yang diperolehi oleh PNMB adalah lebih berpatutan berbanding pembelian di pasaran terbuka.

Disebabkan itulah yang mendorong PNMB untuk menceburi bidang perdagangan kertas A4 dengan harapan harga dan kualiti yang diperolehi oleh PNMB dapat dikongsi sama dengan pihak pelanggan, ujarnya.

“Sebagai contoh, satu rim kertas A4 yang dijual secara runcit di pasaran berharga antara RM13 hingga RM14 dan melalui PNMB, kita boleh menjual lebih rendah dari harga tersebut kerana kita tidak menggunakan orang tengah.”

“Apa yang ditekankan oleh PNMB adalah tidak menjual secara runcit kerana kita tidak mahu orang tengah dan ia menjimatkan kos, selain itu, jualan secara borong menjadi lebih murah,” katanya.

Beliau menambah, pembelian secara pukal membolehkan PNMB menikmati harga yang murah kerana dipercayai harga kertas di pasaran terbuka boleh meningkat tiga kali ganda dalam tempoh setahun.

Izham menambah, pembelian secara pukal boleh mengelakkan pembaziran sekali gus kos penggunaan kertas dapat dikurangkan.

Mengulas lanjut katanya, orang ramai atau badan-badan kerajaan dan syarikat-syarikat swasta serta badan berkanun mendapat manfaat apabila membeli kertas A4 secara terus dari PNMB kerana menerusi pasaran terbuka hari ini, pembeli biasanya akan menjadi keliru bukan sahaja terhadap aspek kualiti malah jumlah helaian kertas yang terdapat di dalam satu rim bungkusan.

Setiap bungkusan seharusnya mempunyai 500 helai kertas untuk menjadi satu rim dan PNMB memastikan setiap rim mengandungi jumlah helaian yang sepatutnya.

Selain itu, PNMB turut menawarkan kertas A4 berkualiti tinggi yang dibahagikan kepada tiga gred yang berlainan.

Penentuan atau pemilihan gred adalah berdasarkan jenis atau tujuan penggunaan kertas tersebut, yang bermakna pelanggan mempunyai pilihan dan tidak perlu membayar lebih dari keperluannya kerana boleh mengikut gred kertas yang diperlukan dan harga setiap gred adalah berbeza.

Izham berkata, ketika ini terdapat tiga gred kertas A4 yang ditawarkan oleh PNMB iaitu GP Premium (500helai/rim, 80gsm), yang sesuai untuk cetakan berkualiti dan mempunyai tahap kekuatan dan kekejalan kertas yang tinggi. Ia sesuai untuk digunakan oleh mesin cetak digital berprestasi tinggi.

Manakala gred cetakan sempurna (500helai/rim, 80gsm), pula berkemampuan memberikan prestasi cetakan yang cemerlang untuk kegunaan pejabat seperti bagi tujuan fotokopi, mesin faks dan cetakan laser.

Bagi gred supreme (500helai/rim, 80gsm) ia dijual bagi pelanggan yang peka dan menyokong usaha untuk mengekalkan alam sekitar melalui produk berkonsep mesra alam.

Kertas A4 ini adalah alternatif kepada kertas kitar semula kerana ia dihasilkan dari bahan kayu yang diperolehi dari sumber yang diiktiraf oleh organisasi FSC (Forest Stewardship Council) sebagai sumber yang memelihara alam sekitar.

Beliau berkata, bekalan kertas-kertas tersebut turut diperoleh daripada pengeluar-pengeluar terbesar kertas di rantau ini khususnya Indonesia dan Thailand.

Izham memberitahu setakat ini permintaan terhadap kertas A4 edaran PNMB adalah sangat memberangsangkan termasuklah dari pejabat-pejabat kerajaan, Majlis Daerah atau Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negara serta organisasi swasta seperti bank, universiti dan kolej.

Antara yang terkini ialah PNMB mendapat persetujuan untuk membekalkan kertas A4 kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi tempoh dua tahun.

“Antara pelanggan kami yang berpuas hati dengan pembekalan ini ialah Universiti Teknologi Malaysia, Johor yang dapat menjimatkan kos kertas setahun lebih kurang RM40,000 selepas menggunakan kertas dari PNMB, malah Universiti Teknologi MARA di Machang juga berjaya menjimatkan sehingga RM40,000 hanya selepas penggunaan sebanyak 8,000 rim kertas A4 dengan kualiti yang memuaskan,” katanya.

Berikutan beberapa bukti penjimatan yang dicatatkan oleh para pelanggan PNMB, syarikat percetakan negara itu merancang beberapa strategi bagi memberi perkhidmatan yang terbaik dan menjimatkan kos, antaranya memberi tumpuan kepada pembelian dalam kuantiti yang besar melalui jangkaan keperluan tahunan mereka untuk memperolehi harga yang lebih kompetitif.

Selain itu, bekalan dihantar mengikut jadual keperluan mereka agar pelanggan memperolehi jaminan harga yang tidak turun naik dan menjimatkan kos penstoran stok bekalan.

Jelas Izham, oleh kerana PNMB beroperasi di seluruh Malaysia dan mampu untuk membeli secara pukal, maka masalah keputusan bekalan tidak akan timbul dan menegaskan pengedaran bekalan dapat dibuat dengan harga dan masa yang sangat efektif.

Pelanggan bolehlah menghubungi cawangan dan kedai PNMB di seluruh Malaysia atau memesan melalui emel di cservice@printnasional.com.my atau melayari laman web www.printnasional.com.my

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90