Top Ad 728x90

SPR Tidak Jadikan Faktor Kesihatan Syarat Calon Untuk Bertanding

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan menjadikan faktor kesihatan sebagai syarat bagi seseorang calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata faktor kesihatan calon terpulang kepada parti politik untuk dijadikan pertimbangan dan ia bukan menjadi urusan SPR bagi menghalang seseorang daripada bertanding.

"Masalah kesihatan boleh terjadi kepada sesiapa. Jadi, SPR tidak boleh letak faktor kesihatan untuk menghalang orang daripada bertanding. Kita tidak boleh hendak letak syarat baru kerana orang yang sihat pun boleh jatuh sakit secara tiba-tiba," katanya kepada pemberita selepas taklimat persediaan menghadapi PRU ke-13 kepada pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus pilihan raya Johor, di Johor Bahru, Selasa.

Wan Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada SPR akan menasihatkan parti supaya meletakkan calon yang sihat untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam tempoh empat tahun, beliau berkata 16 pilihan raya kecil telah diadakan di negara ini di mana sebahagian besar daripadanya adalah disebabkan kematian wakil rakyat atas faktor kesihatan.

Katanya sebagai badan yang bebas dan adil, SPR tidak akan sesekali masuk campur mahupun memberi nasihat kepada parti politik berhubung perkara berkenaan.

Dalam pada itu, Wan Ahmad berkata seramai 3.6 juta rakyat negara ini yang layak mengundi direkodkan masih belum berdaftar dengan SPR yang sekaligus dilihat merugikan negara.

Beliau berkata SPR sudah membuat pelbagai usaha untuk membolehkan mereka berdaftar namun ia masih dipandang remeh dengan pelbagai alasan dikemukakan.

"Ada yang beri alasan sibuk, tidak mempunyai masa dan sebagainya sedangkan urusan untuk mendaftar hanya sekejap dan mudah sahaja," katanya.

Mengenai persiapan pilihan raya di negeri ini, beliau berkata SPR melantik seramai 25,000 petugas termasuk 26 pegawai pengurus pilihan raya dan 90 penolong pegawai pengurus pilihan raya bagi melancarkan proses pilihan raya di negeri ini.

Beliau berkata dengan hampir 1.5 juta pengundi, sebanyak 908 pusat mengundi dibuka di negeri ini yang membabitkan sekolah, dewan dan stadium.

SPR katanya menjangkakan dapat menyelesaikan segala urusan taklimat dan latihan kepada seluruh petugas pilihan raya di negara ini, Mac depan.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90