Top Ad 728x90

,

EON perkenal skim pajakan kenderaan

EDARAN Otomobil Nasional Bhd (EON), sebuah anak syarikat DRB-Hicom Bhd melancarkan perkhidmatan My Lease, iaitu satu skim pemajakan kenderaan komprehensif pertama di Malaysia.

Konsep itu yang popular di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS), akan ditawarkan menerusi anak syarikat EON, DRB-Hicom Leasing Sdn Bhd.

Buat permulaan, My Lease akan ditawarkan kepada pengguna korporat sebelum diperluaskan kepada individu sebelum hujung tahun ini.

Skim itu akan memberikan pilihan kepada pengguna dalam pemilikan kenderaan, selain daripada skim sewa yang ditawarkan institusi kewangan ketika ini.

Ketua Pegawai Operasi EON, Azman Idris berkata, tidak seperti skim sewa beli, My Lease membolehkan pelanggan menggunakan kenderaan tanpa perlu memikirkan beberapa aspek pemilikan utamanya, iaitu servis dan penyelenggaraan serta pembaharuan insurans dan cukai jalan.

Menerusi My Lease pengguna kenderaan tidak perlu lagi bimbang memikirkan hal servis dan penyelenggaraan kereta, pembaharuan insurans, cukai jalan dan banyak lagi kerana semuanya akan ditanggung sepenuhnya oleh pemajak iaitu DRB-Hicom Leasing, sekali gus memberikan ketenangan dan kesenangan dalam menggunakan kenderaan setiap hari.

Pemajakan kenderaan ini juga menyediakan pilihan menarik kepada pengguna kerana secara amnya tanggungan bulanannya adalah lebih rendah berbanding sewa beli, katanya kepada media selepas pelancaran skim itu dan perasmian cawangan EON Chan Sow Lin yang di naik taraf kepada 4S di Kuala Lumpur, semalam.

Ia disempurnakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha. Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil; Pengerusi EON, Tan Sri Marzuki Mohd Noor; Pengerusi Institut Automotif Malaysia, Datuk Kamarudin Ismail; dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Lukman Ibrahim.

Azman berkata, bagi pelanggan korporat yang melanggan skim pemajakan, mereka antara lain akan menikmati penjimatan dari segi perbelanjaan modal yang rendah bagi pemilikan kenderaan kerana tidak perlu membuat bayaran pendahuluan yang tinggi berbanding sewa beli serta bebas dari menanggung kos penyelenggaraan.

Mereka juga tidak perlu bimbang mengenai nilai jualan semula kerana bila tamat tempoh pajakan atau bila mereka ingin menggantikan kenderaan dengan yang baru, kenderaan lama akan dikembalikan kepada DRB-HICOM Leasing, jelasnya.

Katanya, DRB-HICOM Leasing turut menyediakan pakej tambahan seperti, khidmat selepas pajakan, pusat khidmat pelanggan 24 jam, perkhidmatan tunda kenderaan di seluruh Malaysia, kemudahan pengambilan dan penghantaran kenderaan dan program penggantian kenderaan.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90