Top Ad 728x90

Jangkitan Rotavirus melanda Perak dipercayai berpunca dari air

IPOH: Bilangan pesakit yang dipercayai terkena jangkitan Rotavirus yang disebabkan Acute Gastroenteritis (AGE) dikesan semakin meningkat di dua daerah iaitu Hilir Perak dan Batang Padang apabila sebanyak 142 kes baru dilaporkan sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata berdasarkan laporan harian Jabatan Kesihatan Negeri, sebanyak 94 kes dikesan di Daerah Hilir Perak dan 48 kes di Daerah Batang Padang sehingga semalam.

Katanya, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes AGE terkumpul sejak dua minggu lalu meningkat kepada 1, 730 kes dan 956 kes bagi dua daerah berkenaan.

“Berdasarkan laporan itu, lapan pesakit adalah kanak-kanak dan orang dewasa yang dimasukkan ke Hospital Hilir Perak, manakala enam lagi dimasukkan ke hospital berasingan di Daerah Batang Padang.

“Bagaimanapun, setakat ini tiada kes kematian dilaporkan dan keadaan masih lagi terkawal," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu panik dengan situasi itu kerana kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk membendung wabak itu.
“Kita berharap keputusan sampel air yang sudah diambil untuk dianalisis yang akan diketahui esok (hari ini) memberi petunjuk kepada penyelesaian masalah itu.

“Setakat ini, tiada bukti mengatakan berlaku pencemaran air yang serius sehingga boleh menimbulkan wabak AGE kerana kajian masih lagi dijalankan. Jadi, orang ramai tidak perlu bimbang dan seharusnya lebih mementingkan penjagaan kebersihan diri serta keluarga masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut meminta rakyat di negeri ini tidak panik dengan kes AGE kerana kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Kesihatan serta beberapa agensi lain berkaitan sudah mengambil tindakan segera, termasuk menjalankan ujian ke atas sumber bekalan air bagi mengenal pasti penyebaran penyakit itu.

“Dalam situasi sekarang, penduduk terutama di dua daerah berkaitan dinasihatkan menjaga kebersihan, selain memastikan air dimasak sebelum digunakan untuk penyediaan minuman atau makanan,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, keputusan awal mengenai punca kejadian jangkitan AGE yang berlaku di kawasan Batang Padang dan Hilir Perak di Perak dijangka diketahui hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berusaha keras untuk mengenal pasti punca kejadian dengan sepasukan anggota diarahkan ke lokasi kejadian bagi mengambil kira-kira 1,000 liter contoh air dari 24 kawasan yang dikenal pasti bagi dianalisis dan dikaji.

"Setakat ini keadaan terkawal dan tidak ada kes baru yang dilaporkan," katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90