Top Ad 728x90

Kedai Ikan Rakyat - Ikan murah tanpa orang tengah


DALAM suasana ekonomi dunia ketika ini yang baru pulih daripada kemerosotan, pergerakan pasaran secara relatifnya akan menunjukkan peningkatan harga barang yang mendadak terutamanya barang keperluan harian.

Kenaikan harga-harga barang keperluan harian yang semakin tidak menentu juga sering memberi tekanan kepada rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Ketika ini, saban hari harga barang keperluan dapur semakin meningkat dan tidak menentu, walaupun telah wujud kawalan harga bahan makanan tersebut oleh kerajaan.

Jika diimbas kembali awal tahun 2000, dengan nilai wang RM100 cukup untuk kita membeli barang keperluan harian di pasar tani berbakul-bakul.

Namun berbeza kini, kadang-kadang tidak sampai separuh isi bakul yang dijinjing, wang RM100 yang dibawa sudah kehabisan.

Atas kesedaran dan rasa tanggungjawab bagi membantu golongan berpendapatan rendah meneruskan kelangsungan hidup seorang anak jati kelahiran Sekinchan, Selangor Datuk Jamal Md. Yunos memperkenalkan konsep Kedai Ikan Rakyat 1 Malaysia (KIR1M) di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Konsep perniagaan menongkah arus yang dilakukan usahawan muda itu ternyata satu cubaan berani bagi membantu golongan berpendapatan rendah mendapat keperluan hidup dengan keuntungan minimum.

Sehubungan itu, idea beraninya mendapat sambutan positif oleh golongan berpendapatan rendah apabila sambutan jualan yang diterima di KIR1M sangat menggalakkan.

Seorang pelanggan KIR1M, Amy Shafina Mohd. Yusof, 36, yang pertama kali berkunjung ke kedai tersebut berpuas hati dengan harga barangan yang dijual di KIR1M terutama ikan.

"Kedai ini kelihatan bersih. Harga ikan yang dijual jauh lebih murah dan berpatutan dari pasar raya besar dan pasar ikan yang ada di Kuala Lumpur.

"Malah, ikan yang dijual di sini pelbagai jenis dan banyak pilihan selain segar-segar semuanya," kata pekerja swasta dari Keramat itu.

Tambahnya lagi, layanan yang diberikan kakitangan kedai juga mesra dan pelanggan yang membeli ikan boleh meminta bantuan kakitangan yang ada untuk membersihkan ikan dan memotongnya seperti yang dikehendaki.

"Saya nampak pihak pengurusan kedai memang mementingkan kebersihan kerana terdapat petugas khas melakukan kerja-kerja pembersihan.

"Lantai di kawasan ikan sentiasa kelihatan bersih dan tidak basah. Begitu juga dengan sekitar kawasan dalam kedai. Barang-barang disusun rapi," katanya.

Kedai pilihan kini

Seorang pekerja swasta, Mohd. Yusri Mohd. Jainuri, 27, melahirkan rasa bangga dengan penubuhan kedai runcit harga patut yang diasaskan oleh anak jadi Selangor itu.

"Harga barangan di sini terbukti jauh lebih murah daripada harga barang di pasar raya yang ada di sekitar Lembah Klang," kata Yusri yang menjadikan KIR1M sebagai kedai utama kunjungannnya setiap masa untuk mendapatkan barangan runcit dengan harga murah.

Lebih menarik lagi, kata Yusri, semua jenis barangan daripada ikan, sayur, bawang dan barang runcit lain dalam keadaan segar dan 40 peratus lebih murah dari harga pasaran.

Sementara itu, Pemilik dan Pengasas Syarikat Restoran Sekinchan Ikan Bakar (RSIB), Jamal memberitahu, tujuan KIR1M diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah untuk berbelanja tanpa berasa terbeban memandangkan harga ikan dan barang runcit semakin mahal hari ini.

Menurutnya, kesemua ikan yang dijual di sini diambil terus daripada nelayan dan pengusaha pertama tanpa melalui orang tengah bagi mengurangkan nilai harga.

Dengan itu, pengurusan dapat menjual ikan dan barang runcit di KIR1M pada harga yang lebih murah daripada pasaran semasa.

"Ia merupakan salah satu faktor kami mampu menjualnya pada harga yang murah.

"Selain menjual ikan, kami juga menjual produk-produk runcit lain seperti buah-buahan, sayur-sayuran, ayam, daging dan barangan kering yang diambil terus daripada pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS)," katanya.

Katanya, di KIR1M terdapat tujuh jenis ikan terpilih dengan gelaran ikan rakyat. Tujuh jenis ikan itu dijual pada harga 40 peratus lebih rendah daripada harga pasaran antaranya ikan kembung, selar, selayang, cencaru dan pelaling. Bagaaimanapun secara keseluruhannya terdapat lebih 30 jenis ikan lain yang dijual segar di situ.

"Idea bagi menubuhkan kedai rakyat seperti sekarang ini tercetus apabila Perdana Menteri menyarankan penubuhan konsep Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

"Dengan itu, saya menyahut saranan tersebut dengan menterjemahkan maksud Perdana Menteri itu dengan menubuhkan KIR1M," katanya.

2,000 pengunjung sehari

Sebelum membuka kedai ini dakwanya, beberapa kajian telah dilakukan selama enam bulan bagi mengetahui harga semasa ikan dan barangan runcit serta perjalanan urusan jual beli.

"Kami lihat harga ikan di pasar basah sangat mahal kerana wujudnya orang tengah.

"Justeru, kami dapatkan ikan terus daripada nelayan dan pembekal serta menjualnya pada harga yang lebih murah berbanding di pasar.

"Barangan runcit seperti bawang dan kentang kami import dari India dan Pakistan. Begitu juga barangan lain diperoleh dari pembekal utama walaupun terpaksa mengimport dari luar," ujar Jamal yang bercadang membuka 30 cawangan KIR1M lagi di seluruh Malaysia.

Katanya, mereka mempunyai tanda aras untuk memastikan harga kami lebih rendah.

"Kami cuba pastikan harga ikan dan barangan runcit yang dijual lebih murah daripada pasar raya utama negara ini.

"Selain itu, pasar basah yang kami jadikan tanda aras ialah pasar borong Selayang, pasar borong Selangor, pasar Pudu dan pasar Sentul," kata Jamal yang kini menerima kunjungan 2,000 orang pengunjung ke kedainya setiap hari.

- KOSMO!

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90