Top Ad 728x90

,

Majalah 'IMAN' yang perlu anda miliki

Sesuatu yang diwarisi seharusnya tidak dibiarkan hilang begitu saja sedangkan ia sangat berharga. Apatah lagi keimanan, yang merupakan satu rahmat besar daripada Allah SWT.

Jika hanya diperturunkan dari ibu bapa, iman seorang muslim mudah goyah jika didatangi ujian dan cabaran dalam hidupnya.

Sesungguhnya iman diwarisi mudah hilang. Mengapa ini berlaku dan bagaimana pula keimanan dapat diperkukuhkan?

Ini dibincangkan oleh Pensyarah di Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd Arip Kasmo dalam keluaran sulung majalah IMAN.

Majalah terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. ini kini sudah pun berada di pasaran. Ia berharga RM7 senaskhah.

Kehadiran majalah IMAN bukan sekadar menambah bahan bacaan yang boleh dibawa pulang. Kandungannya penuh panduan, bimbingan dan info agama yang sangat sesuai dibaca seisi keluarga.

Didatangkan dalam kualiti kertas yang lebih baik dan reka letak menarik, majalah agama berkonsep bacaan santai berpanduan ini turut menampilkan kolumnis yang terdiri daripada tokoh dan penceramah agama, motivator serta ahli akademik.

Antaranya, Datuk Abu Hassan Din al-hafiz, Prof. Dr. Muhaya Muhamad, Muhammad Kazim Elias al-hafiz, Prof. Madya Dr. Mat Rofa Ismail, Lim Jooi Soon dan lain-lain.

Jangan ketinggalan membaca pesanan Abu Hassan tentang syukur yang bukan setakat di bibir, atau memikirkan sama ada organ berfikir itu otak atau jantung, tulisan Dr. Mat Rofa dan mengenali alasan-alasan yang selalu diberikan untuk tidak berdakwah dari saudara pendakwah, Lim Jooi Soon.

Abu Hassan contohnya membincangkan pelbagai nikmat yang dikurniakan Allah seperti anggota badan yang sihat, iman dan Islam, malah kesusahan yang mengingatkan kita kembali kepada-Nya dan sebagainya.

Bagaimanapun, kita sering lupa untuk bersyukur, dan bersyukur pula bukan hanya dengan mengucapkan alhamdulillah sahaja. Ada tiga cara bersyukur dibincangkan beliau.

Pensyarah di Institut Penyelidikan Matematik, Universiti Putra Malaysia, Dr. Mat Rofa Ismail pula membawa kisah perubahan sikap dan berfikir pesakit pemindahan jantung, dan mengaitkannya dengan ayat 46 surah al-Hajj.

Benarkah tanggapan para saintis bahawa aktiviti berfikir hanya dilakukan oleh otak saja? Mungkinkah qulub la ya'qilun biha atau jantung hati juga berfikir seperti yang disebut dalam al-Quran?

Bahan menarik

Saudara Muslim, Lim Jooi Soon pula menjawab segala alasan yang sering diberikan kerana tidak mahu berdakwah. Antaranya, tidak cukup ilmu, sendiri pun banyak dosa macam mana nak berdakwah, dakwah kepada orang Islam dulu, dakwah sensitif dan lain-lain.

Jika alasan yang diberikan tidak ada masa, Jooi Soon menjawab: "Orang yang memberi alasan ini saya nak bawa pergi ke kubur! Orang yang tidak ada masa adalah yang telah mati…".

Semua bahan menarik ini boleh ditatap dalam keluaran sulung IMAN. Selain itu, terdapat artikel-artikel yang membincangkan keretakan iman, dalam kolum Bincang Iman, dan solat yang kosong dan berjiwa, dalam kolum Syok Solat, serta keistimewaan beribadat malam menerusi kolum Sembang Iman.

Kolum-kolum lain seperti Takafur, Roh, Baitullah, Keluarga Di Syurga, Bajet, Sirah, Tanya Bila Musykil, Kenali Nabi, Nur Islam, Usrah dan Salam membawa pelbagai pesanan ringkas dan info yang amat bermanfaat.

Contohnya mengenai sifat-sifat negatif yang membawa kemusnahan, cara bersahabat, pesanan Imam Basri dan doa-doa surah al-Baqarah.

IMAN juga bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Bahagian Medianya, dengan menyiarkan bahan-bahan menarik yang pernah ke udara di Radio Salam fm menerusi rancangan Motivasi Pagi dan Kuliah Subuh.

Tiga bahan menyentuh hati orang beriman yang gementar apabila dibacakan al-Quran, kisah rahsia bersuami buruk dan pesanan apabila membaca al-Quran, dipilih untuk memenuhi kolum Salam ini.

Dengan kandungan yang sarat ilmu, peringatan dan panduan, keluaran sulung majalah IMAN ini tidak harus dilepaskan.

Jika masih tercari-cari bahan bacaan ringkas yang disampaikan dalam bahasa mudah untuk memuhasabah diri, majalah IMAN perlu anda miliki.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90