Top Ad 728x90

,

Bank Rakyat umum Dividen 2011 sebanyak 20 peratus


KUALA LUMPUR 26 Mac - Kira-kira 926,578 ahli Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) bakal menikmati pembayaran dividen sebanyak 20 peratus bagi tahun kewangan 2011.

Pemberian dividen yang tinggi itu hasil daripada perniagaan Bank Rakyat yang telah mencapai keuntungan bersih tertinggi sebanyak RM2 bilion, rekod terbaik dan tertinggi sejak penubuhannya.

Agihan dividen sebanyak 20 peratus merupakan gabungan daripada dividen tunai sebanyak 15 peratus dan juga pemberian dividen bonus saham lima peratus.

Dividen tunai membabitkan peruntukan sebanyak RM330 juta, manakala dividen bonus berjumlah RM105.5 juta.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemberian dividen lebih tinggi pada tahun ini kerana bank koperasi itu berjaya meningkatkan prestasi kewangannya.

Keuntungan RM2 bilion itu merupakan kenaikan sebanyak hampir 50 peratus, berbanding keuntungan RM1.34 bilion pada tahun 2010.

Keuntungan sebelum cukai dan zakat pula sebanyak RM2.02 bilion, naik 17.6 peratus berbanding RM1.72 bilion.

''Rekod keuntungan ini hasil fokus Bank Rakyat terhadap pertumbuhan aktiviti pembiayaan, di samping peningkatan kualiti aset walaupun berhadapan dengan cabaran dalam industri perbankan tempatan,'' katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman prestasi kewangan itu.

Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim dan Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Dr, Syed Jalaludin Syed Salim.

Ismail Sabri berkata, Bank Rakyat akan terus mengekalkan momentum pertumbuhan pada tahun ini untuk merekodkan keuntungan sebanyak RM2.1 bilion, meskipun dalam keadaan ekonomi global yang tertekan.

''Kami tidak mempunyai masalah untuk meningkatkan keuntungan melalui strategi-strategi yang disusun,'' tambah beliau.

Katanya, dalam jangka pendek ini, pembiayaan peribadi akan terus menjadi sumbangan penting, sebelum Bank Rakyat mengurangkan tumpuan kepada segmen tersebut dengan menumpukan pembiayaan komersial.

''Sudah sampai masanya, Bank Rakyat menumpukan pembiayaan komersial kerana tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada pembiayaan peribadi,'' ujarnya.

Pada pengumuman itu, Ismail Sabri berkata, Bank Rakyat merekodkan jumlah pendapatan kasar bertambah sebanyak 13.3 peratus kepada RM5.5 bilion dan pendapatan bersih selepas agihan keuntungan kepada pendeposit bertambah kepada RM3.24 bilion.

Pendapatan dari sumber pembiayaan juga meningkat kepada RM4.46 bilion, yang mana sejumlah RM4.07 bilion disumbangkan oleh perbankan konsumer dan perbankan komersial RM385.2 juta.

Jumlah aset Bank Rakyat juga melonjak sebanyak 17.1 peratus atau RM10.57 bilion kepada RM72.48 bilion pada tahun 2011, selaras dengan pertambahan kukuh deposit sepanjang tahun.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90