Top Ad 728x90

COOP1M tawar harga barang lebih murah di Sabah dan Sarawak

KOTA KINABALU: Penduduk Sabah dan Sarawak akan menikmati harga barang Coop 1Malaysia (COOP1M) yang sama seperti ditawarkan di Semenanjung, malah mungkin lebih murah dalam usaha berterusan kerajaan meringankan beban penduduk kedua-dua negeri ini berikutan kenaikan harga barang keperluan dan kos sara hidup.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata COOP1M diwujudkan menerusi pelantikan beberapa koperasi utama di Sabah dan Sarawak sebagai pusat pengedaran barang yang dikeluarkan.

Selain mengedar kepada peruncit biasa dan kedai koperasi kecil di seluruh negeri, pusat pengedaran terbabit turut menjual terus barangan COOP1M di pasar raya serta kedai koperasi milik masing-masing dengan harga 30 peratus hingga 40 peratus lebih murah berbanding barang berjenama terkenal.

“Di mana-mana kita pergi, kita jumpa pemimpin Sabah dan Sarawak yang membangkitkan isu harga barang yang mahal di kedua-dua negeri itu berbanding di Semenanjung.

“Sebab itu, kita wujudkan Coop 1Malaysia bagi menangani masalah ini dan saya ingin umumkan harga barang Coop 1Malaysia adalah seragam di seluruh negara,” katanya kepada media selepas merasmikan pusat pengedaran dan pasar raya Koperasi Perkhidmatan Awam Sabah (KHIDMAT) Berhad, di Kolombong, dekat sini, semalam.

Katanya, di Sabah, pusat pengedaran barang COOP1M dilakukan menerusi pelantikan tiga koperasi utama di ibu negeri, Tawau dan Lahad Datu serta empat pengedar kecil di Putatan, Keningau, Kota Belud dan Tawau sebagai pengedar produk berjenama COOP1M di negeri ini.

Beliau berkata, pada masa ini, sebanyak 38 produk COOP1M diedarkan di negeri itu dengan sebahagian besar dipasarkan di koperasi terbabit sejak awal Februari lalu.

Ismail Sabri berkata, pihaknya juga mengambil keputusan mengembangkan program pengedaran barangan COOP1M di Sabah dan Sarawak bagi meringankan beban pengguna selepas kedua-dua negeri belum memiliki Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang menjual barang berjenama 1Malaysia seperti yang ada di Semenanjung.

“Kualiti dan harga barang COOP1M tiada bezanya dengan barang 1Malaysia yang dijual di kedai KR1M di Semenanjung. Kita mengambil keputusan mengedarkan produk COOP1M bagi mempercepatkan kemasukan barang lebih murah untuk meringankan beban pengguna di Sabah dan Sarawak,” katanya.

- BERITA MINGGU

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90