Top Ad 728x90

,

Kad Diskaun Mahasiswa Akan Diperkenal Sebelum Jun 2012

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memperkenalkan kad diskaun kepada mahasiswa di semua institusi pengajian tinggi (IPT) sebelum bulan Jun tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kad itu bertujuan meringankan beban mahasiswa akibat kenaikan harga barang.

Beliau berkata kementerian kini berbincang dengan pedagang besar yang terlibat dalam perniagaan seperti kedai buku, barangan sukan dan syarikat pengangkutan bagi membolehkan mahasiswa menikmati diskaun apabila membeli-belah.

"Kementerian menyasarkan sekurang-kurangnya 10 pedagang dan kini terdapat tujuh pedagang yang terlibat. Kementerian sedang mempercepatkan proses perbincangan dengan pedagang lain dan kita yakin boleh selesai dalam tempoh terdekat.

"KPDNKK turut bekerjasama dengan Bank Rakyat untuk mengeluarkan kad diskaun pelajar yang kini dalam proses mereka bentuk," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Pengguna Siswa Kebangsaan, yang disertai lebih 400 penuntut 122 IPT awam dan swasta di seluruh negara, di Universiti Kebangsaan Malaysia, Khamis.

Beliau juga berkata KPDNKK menyasarkan semua IPT akan memiliki kafetaria yang menyertai program penjualan makanan Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) pada akhir tahun ini.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam sekali lagi menyarankan kementerian itu memberi fokus bagi memastikan semua IPT mempunyai MR1M dan produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dijual di koperasi bagi mengurangkan beban mahasiswa.

Ismail Sabri berkata KPDNKK dan Kementerian Pengajian Tinggi sentiasa berbincang untuk menjayakan kedua-dua program itu.

"Keutamaan akan diberi kepada kesemua 22 IPT Awam di seluruh negara. IPT Swasta akan dibincangkan juga berikutan terdapat beberapa prosedur yang perlu diikuti. Ini merupakan Indeks Prestasi Utama (KPI) saya kepada semua pegawai," katanya.

Setakat ini, terdapat 143 kafetaria di 40 IPT yang menyertai program MR1M dan lima IPT menjual produk KR1M.

"Kerajaan sentiasa mengambil inisiatif untuk dilaksanakan di IPT bagi meringankan beban siswa, terutama dalam membekalkan barang keperluan dengan harga yang murah, berkualiti dan berada dalam kemampuan para siswa," katanya.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90