Selasa, Mac 27, 2012

Lebih 24,000 ahli KWSP daftar tunai haji

KUALA LUMPUR 26 Mac - Lebih 24,000 ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengambil peluang mendaftar giliran mengerjakan haji setelah agensi itu menyediakan kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP sejak 3 Januari lalu.

Menurut Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar, kemudahan itu bertujuan membantu ahli KWSP beragama Islam, terutama mereka yang berpendapatan rendah menunaikan tuntutan agama dengan membuat pendaftaran awal.

Beliau berkata, ahli KWSP perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM1,300 di dalam Akaun 1 KWSP untuk layak mendaftar giliran bagi mengerjakan haji di Tabung Haji tanpa melibatkan pengeluaran simpanan KWSP.

"Pelaksanaan kemudahan ini menarik minat ahli dan sambutan yang ditunjukkan juga sangat memberangsangkan," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Tambah Nik Affendi, ahli KWSP yang berhasrat untuk membuat pendaftaran haji mestilah merupakan warga Malaysia dan beragama Islam.

Katanya, mereka juga mestilah belum mencapai umur 55 tahun dan mempunyai akaun simpanan di Tabung Haji manakala bagi ahli yang tidak mempunyai akaun simpanan pula boleh membuka akaun tersebut dengan deposit minimum sebanyak RM2.

"Ahli KWSP yang ingin membuat pendaftaran perlu mengemukakan MyKad dan penyata KWSP terkini sebagai pengesahan mereka mempunyai minimum RM1,300 dalam Akaun 1.

"Selain itu, ahli KWSP yang telah mendaftar untuk mengerjakan haji di bawah prosedur Tabung Haji sebelum ini boleh membuat penukaran kepada kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP tanpa melibatkan pertukaran tarikh giliran haji yang telah ditetapkan," ujarnya.

Nik Affendi menambah, pendaftaran bagi kemudahan itu boleh dibuat di semua kaunter Tabung Haji, cawangan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat), dan Bank Islam Malaysia Berhad seluruh negara serta diproses mengikut prosedur yang ditetapkan.

Ahli KWSP juga boleh melayari laman web www.kwsp.gov.my atau laman web Tabung Haji di www.tabunghaji.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pendaftaran haji tersebut.

Sebagai pilihan ahli KWSP juga boleh menghubungi Pusat Panggilan KWSP 03-89226000 atau Pusat Panggilan TH 03-62071919.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts