Top Ad 728x90

,

Mukmin perlu bantu saudara hidup susah

Oleh Amran Zakaria

SIFAT orang mukmin itu dikenal melalui pancaran jiwanya yang sentiasa membantu saudaranya yang memerlukan. Hatinya akan resah apabila adanya kes terlepas pandang akan bantuan yang sepatutnya dihulurkan.

Sekurang-kurangnya bantuan berkenaan dapat meringankan bebanan dan cabaran kehidupan. Prinsip ini menjadi tunjang pentadbiran Khalifah Islam yang sedaya upaya menghilangkan kesusahan rakyat dengan menyumbangkan keperluan hidupnya.

Rasulullah SAW bersabda, “Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai Allah ialah menggembirakan hati orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar.”

Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredaannya di dalam hatinya pada hari kiamat.

“Sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya (ketika melalui pada hari kiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu,” (Hadis Riwayat Ibnu Abi Dunya)
Rasulullah SAW bukan saja mempamerkan peranan dan tanggungjawab sebagai pemimpin, bahkan baginda amat memahami keperluan orang miskin secara praktikal. Sifat Baginda yang sentiasa menggembirakan hati umat Islam, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan ketika itu.

Pekanya Baginda terhadap penderitaan orang miskin ini ialah antara lain kerana Rasulullah SAW sendiri hidup di dalam keadaan miskin. Begitu juga dengan sahabat Baginda yang terbukti mencontohi Nabi dalam apa jua tindakan dan amalannya.

Setiap bantuan dan pertolongan yang diberikan ikhlas kerana Allah, tidak menjadi sia-sia kerana jaminan daripada Allah SWT bahawa Dia akan membalas dengan balasan lebih baik sama ada di dunia atau pun di hari akhirat.

Allah berfirman bermaksud, “Hai orang beriman, sukakah kamu (bila) aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada api neraka? (Yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu.

“Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya; Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai dan memasukkan (kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam Syurga ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar. (Surah Ash-shaff, ayat 10-12)

Kehadiran sahabat banyak memberi manfaat kepada saudara yang lain, menggembirakan hati orang Islam, membantu menghilangkan kesusahan, menunaikan keperluan hidupnya dan memberi makan orang yang lapar, menunaikan hajatnya dan sentiasa bersabar mendepani cabaran kehidupan.

Saidina Uthman bin Affan diceritakan banyak bersedekah hartanya untuk masyarakat Islam, khususnya untuk orang miskin ketika berlaku kegawatan pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar As Siddiq.

Ketika itu Madinah mengalami kesusahan akibat kemarau berpanjangan. Tumbuh-tumbuhan dan haiwan banyak yang mati. Masyarakat Madinah berdepan masalah kelaparan kerana kekurangan bekalan makanan.

Pada masa berlakunya kegawatan itu, datang rombongan kafilah dari negeri Syam membawa barang dagangan yang sebahagian besar berupa makanan. Antara barangan yang dibawa untuk disedekahkan ialah gandum, minyak dan kismis yang dibawa oleh 1,000 unta dan diagihkan kepada orang Islam yang miskin ketika krisis ekonomi melanda Madinah.

Rupanya barang dagangan itu kepunyaan tokoh perniagaan yang terkemuka, Usman bin Affan. Peniaga Madinah berebut membelinya dengan maksud akan dijual kembali kepada masyarakat yang memang sangat memerlukannya. Mereka menawar barang dagangan itu dengan harga tiga kali ganda daripada harga pembeliannya.

Tawaran yang sangat menguntungkan itu ditolak oleh Usman bin Affan sebaliknya beliau bersedia menginfakkan hartanya pada jalan Allah kerana yakin akan keuntungan yang bakal diperolehnya nanti.

Usman Affan dengan penuh yakin menyatakan, “Allah menjanjikan kepadaku keuntungan tidak kurang daripada 700 kali ganda, tidakkah kalian ingat janji Allah itu dalam al-Quran?” lalu beliau membacakan firman Allah bermaksud: “Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya pada jalan Allah, tidak ubahnya sebutir biji yang tumbuh menjadi tujuh tangkai. Pada masing-masing tangkai terdapat 100 butir biji.” (Surah al-Baqarah, ayat 261).

Begitulah mulianya sifat yang ditunjukkan oleh sahabat Rasulullah SAW yang mengutamakan kepentingan saudaranya melebihi kepentingan diri. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Barangsiapa yang mengusahakan keperluan saudaranya, pasti Allah akan mengusahakan keperluannya’. (Riwayat Imam Ahmad).

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90