Isnin, Mac 12, 2012

Pendakwah perlu ikhlas berdakwah

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

MENYEBARKAN ajaran Islam bukanlah semudah yang disangka. Selain memerlukan penguasaan ilmu pengetahuan duniawi dan ukhrawi yang tinggi, keyakinan diri serta peribadi mulia perlu disertakan dalam diri seseorang pendakwah.

Segala cabaran perlu dilalui dengan hati terbuka dan ikhlas dalam melaksanakan usaha dakwah, terutamanya kepada golongan yang belum mendapat hidayah dan menentang satu-satunya agama yang diredai oleh Allah itu.

Oleh itu, tugas sebagai pendakwah masyarakat Orang Asli adalah satu cabaran yang sukar kerana ia menguji kesabaran serta semangat pendakwah dalam menghadapi segala kerenah setiap lapisan masyarakat yang ingin menerima dakwah.

Tindakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyediakan penggerak masyarakat Orang Asli di perkampungan Orang Asli merupakan usaha pintar dalam menyebarkan ajaran Islam di kawasan pendalaman yang kurang dimasuki orang ramai.

Penggerak merupakan wakil daie yang ditempatkan oleh Jakim di perkampungan Orang Asli untuk membimbing golongan itu agar membimbing masyarakat Orang mengenali dan menghayati agama Islam.

Walaupun bilangan Orang Asli tidak begitu besar dibandingkan dengan penduduk bandar, namun mereka juga merupakan penyumbang kepada negara serta mempunyai hak sama rata untuk didakwah ke arah jalan yang benar iaitu agama Islam.

Menjadi tanggungjawab bagi penggerak yang telah diamanahkan untuk merealisasikan misi asal menyebarkan agama Islam kepada saudara-saudara Muslim dan mengukuhkan tunjang keimanan sesama Islam.

Orang Asli mempunyai potensi besar untuk memeluk agama Islam. Ini kerana kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai pegangan agama yang jelas dan hanya mengamalkan kepercayaan turun-temurun nenek moyang mereka.

Peluang itu tidak harus disia-siakan dan perlu diambil segera oleh semua pihak dan jabatan agama supaya ajaran Islam dapat dikembangkan seluruh pelosok negara dan dapat dinikmati bersama dengan masyarakat pendalaman.

Ketua Pegawai Perhubungan, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Mohammad Noor Abdul Rahman berkata, penggerak harus ikhlas meneruskan usaha dan menyingkirkan sikap berputus asa sepanjang melaksanakan tanggungjawab berdakwah.

Ini kerana, tanggungjawab menyebarkan agama Islam dan memastikan penghayatan ajaran dan gaya hidupnya kekal diamalkan dalam diri masyarakat Orang Asli terletak di tangan penggerak yang telah diamanahkan itu.

"Berdakwah bukanlah kerja mudah kerana ia melibatkan kepercayaan dan pegangan seseorang. Lebih-lebih lagi yang diamalkan sejak turun-temurun. Oleh itu dakwah yang berkesan memakan masa yang lama dan usaha yang berterusan dalam menarik perhatian dan membuka keinginan golongan sasar.

"Di samping dibantu oleh organisasi lain, penggerak memegang amanah untuk menyebarkan dakwah Islam di kawasan yang telah ditempatkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Jelajah Silaturrahim Orang Asli Seluruh Malaysia anjuran Yadim, baru-baru ini.

Sebanyak 25 buah perkampungan Orang Asli terpilih di seluruh negeri Semenanjung Malaysia dilawati oleh anggota kumpulan Yadim tersebut.

Antara pengisian pada program jelajah tersebut adalah penyampaian sumbangan berupa keperluan isi rumah, penyediaan burger panas Yadim, ceramah agama, persembahan karaoke, mendapatkan maklum balas keadaan Orang Asli dan pendaftaran sahabat Yadim.

Mohammad Noor berkata, dakwah yang berkesan memerlukan strategi yang teratur dan terancang.

"Dakwah tidak boleh disampaikan dengan cara paksa. Pendekatan berbentuk santai dan bersahaja harus dilakukan bagi menarik minat golongan bukan Islam dengan ajaran Islam selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam," katanya.

Bagaimanapun tambahnya, misi dakwah tidak hanya boleh disandarkan oleh penggerak sahaja. Kerjasama semua pihak penting dalam menjayakan usaha menyebarkan agama Islam.

"Walaupun terdapat badan yang ditubuhkan untuk menjalankan dakwah kepada masyarakat Orang Asli, namun ia tidak mungkin akan dapat mencapai sasaran jika tidak dibantu pelbagai pihak.

"Berbagai-bagai cara boleh dilakukan dalam usaha menyebarkan dakwah Islam mengikut kemampuan individu atau sesuatu pihak tersebut. Ia tidak memerlukan peruntukan wang ringgit yang banyak, tetapi dengan kaedah pemantauan berterusan mungkin lebih berkesan," jelasnya.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts