Top Ad 728x90

Panggilan Temuduga Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) KPLSPM Ambilan Jun 2012

by
Semakan Keputusan Panggilan Temuduga  bagi  Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian (PISMP) Ambilan Jun 2012 untuk Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh dibuat di : http://apps.moe.gov.my/kplspm/kplspmjun2012/temuduga/login.cfm

Bahagian Pendidikan Guru
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA (KPM)
http://www.moe.gov.my

Bank Negara tawar Biasiswa Kijang Emas

by

PELAJAR cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011, Wardah Shafiqah Mohammad Fadil, 18, menerima hadiah hari lahir istimewa tahun ini apabila tersenarai sebagai penerima Anugerah Biasiswa Kijang Emas, Bank Negara Malaysia (BNM) untuk melanjutkan pengajian ke universiti, di Bilik Kijang Emas, BNM, Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Beliau yang dilahirkan pada 25 April 1994 adalah seorang daripada lima penerima biasiswa berprestij yang disampaikan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Wardah Shafiqah yang bercita-cita menjadi pakar Geofizik berhasrat melanjutkan pengajian di luar negara terutama universiti ternama di Amerika Syarikat dan kemudian mahu mempraktikkan kepakarannya dalam industri gas, cari gali minyak atau pensyarah.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fatimah, Johor Bahru itu berkata, selepas memperoleh 9A+ dan 1A dalam SPM tahun lalu, beliau memohon antara tujuh hingga lapan biasiswa daripada pelbagai agensi dan memutuskan untuk menerima tawaran Biasiswa Kijang Emas, BNM.

“Saya gembira menerima Biasiswa Kijang Emas dan menganggapnya sebagai hadiah ulang tahun Ke-18,” katanya yang turut menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Tronoh, Perak.

Empat lagi penerima biasiswa ialah bekas pelajar SMK Convent, Teluk Intan, Perak, Turga Ganapathy; Kwong Kien Yi (SMK Clifford, Kuala Lumpur); Adnan Zikri Jaafar (SMK Agama Persekutuan, Labu, Negeri, Sembilan); dan Pavithran a/l Maniam (SMK Damansara Utama, Petaling Jaya).
Seramai 2,900 pelajar cemerlang SPM memohon biasiswa itu tahun ini dan daripada jumlah berkenaan 24 orang disenarai pendek sebelum memuktamadkan lima penerima yang turut membuat penilaian pembabitan mereka dalam kokurikulum meliputi sukan.

Sehingga kini, seramai 39 pelajar cemerlang menerima anugerah biasiswa berkenaan masing-masing tiga pelajar pada 2005, 2006 dan 2011, lima pelajar (2007, 2009, 2010 dan tahun ini) serta 10 pelajar pada 2008.

Wardah Shafiqah, adalah anak kedua daripada empat beradik kepada pasangan Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, Dr Mohammad Fadil Abdul Wahab, 46, dan bekas akauntan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Nora Asimah Sabran, 46.

Mengenai rahsia kejayaannya, beliau mengamalkan pembelajaran lewat malam sambil mendengar muzik sebagai halwa telinga, selain mengikuti jadual belajar ditetapkan serta membuat kerja rumah di sekolah berasrama penuh iaitu waktu petang dan malam.

“Bagaimanapun, setiap pelajar mempunyai cara tersendiri untuk belajar dan ini terpulang kepada keserasian diri masing-masing,” katanya yang masih terkilan kerana gagal memperoleh A+ subjek Bahasa Malaysia untuk membolehkannya merangkul semua A+ dalam peperiksaan itu.

Dalam pada itu, Adnan Zikri yang memperoleh 11A+ berhasrat melanjutkan pengajian dalam Pengajian Islam dan Arab di Universiti Oxford, United Kingdom (UK) untuk memudahkannya membuat kajian Islam di Timur dan Barat.

Turga yang memperoleh 9A+ mahu mengikuti pengajian dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar pula pada awalnya terkejut dengan tawaran Biasiswa Kijang Emas yang mirip jata Kelantan serta tidak menyangka ia dianugerahkan BNM.

- BERITA HARIAN
 

Tayang Rakaman Video Demonstrasi Bersih 3.0 - Najib

by
Rakaman video demonstrasi Bersih 3.0 akan disiarkan untuk tontonan umum bagi memberi peluang kepada rakyat membuat penilaian terhadap insiden yang berlaku di ibu negara Sabtu lalu. Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata langkah berkenaan bagi mengelak insiden itu dieksploitasi oleh pihak tertentu yang cuba mempengaruhi pendapat awam terutama berhubung kekecohan yang berlaku di perhimpunan tersebut. "Rakyat menuntut kepada ketelusan, jadi kita akan tunjukkan rakaman bagi membolehkan mereka membuat penilaian terhadap apa yang berlaku pada hari tersebut. "Penting bagi polis untuk paparkan apa sebenarnya berlaku. Polis tidak akan tutup ada apa-apa termasuk jika ada salah laku yang dilakukan oleh anggota polis sendiri," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Kuala Lumpur, Ahad malam. Dalam pada itu Najib yang juga Presiden Umno turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan liar sebahagian peserta demonstrasi Bersih 3.0 termasuk serangan ke atas anggota polis. "Mungkin bukan semua tapi kesudahannya adalah satu keadaan yang sedikit sebanyak mencalar imej negara...polis menjadi mangsa, telah dipukul dan sebagainya," katanya. Malah Najib turut memberi jaminan bahawa polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung sebarang tindakan keterlaluan terhadap orang awam termasuk pengamal media yang turut tercedera. "Saya prihatin untung nasib wartawan yang jalankan tugas. Kena siasat, tak boleh semberono... mesti siasatan adil dan objektif. "Peguam Negara kena buat keputusan berdasarkan fakta dan bukan emosi dari cerita tersebar sebab ia tak betul sama sekali," katanya. Bagaimanapun ketika ditanya sama ada demonstrasi itu akan menimbulkan keraguan untuk membubarkan Parlimen seterusnya melewatkan Pilihan Raya Umum ke-13, Najib berkata "Saya tak ragu-ragu. Saya tak tahu, kita tengoklah." - MSTAR

Anwar Nafi Beri Isyarat Hasut Penyokong Rempuh Polis

by
Ketua Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin menafikan bahawa beliau bertukar isyarat dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali untuk menghasut penyokong Bersih 3.0 supaya merempuh halangan polis di sekitar Dataran Merdeka, Sabtu lalu.

Anwar berkata, isyarat tangan yang ditunjukkan ke arah ahli Parlimen Gombak itu adalah bermaksud untuk berbincang dengan polis.

Azmin kemudiannya memberitahu, beliau mengangkat ibu jarinya kepada Anwar sebagai isyarat bahawa dia telah berbincang dengan polis untuk membenarkan penyokong memasuki Dataran Merdeka.

Menurutnya, beliau melihat Anwar memberi isyarat kepadanya untuk berunding dengan polis dan beliau membalas isyarat tersebut untuk menyatakan bahawa beliau telah berunding.

"Saya bertemu dengan polis di hadapan halangan polis. Saya telah memberi isyarat kepada Anwar bahawa saya telah berbincang polis dan bukannya menghasut penyokong untuk merempuh masuk ke Dataran Merdeka.

"Namun, seorang anggota polis memberitahu saya bahawa dia belum mendapat sebarang arahan. Selepas itu, saya arahkan semua penyokong supaya duduk dan bertenang," katanya pada sidang media di Petaling Jaya.

Azmin turut menyifatkan dakwaan tersebut sebagai satu propaganda yang sengaja dicetuskan Umno untuk menutupi keganasan dilakukan pihak polis.

"Saya tidak mengeluarkan arahan 'masuk, masuk Dataran Merdeka' kepada penyokong sebelum halangan polis dirempuh. Itu tidak benar," katanya.

Beliau juga menafikan bahawa memberikan isyarat kepada seorang lelaki India berkemeja-T berwarna kuning yang didakwa sebagai ahli PKR, Negeri Sembilan supaya mengalihkan besi penghadang dan meluru ke Dataran Merdeka, diikuti penyokong lain.

"Saya tidak berkomunikasi dengan lelaki tersebut. Saya tidak ingat dengan siapa saya bercakap tetapi segala isyarat adalah berkaitan rundingan dengan polis," katanya.

Sementara itu, Anwar berkata pihaknya akan melakukan siasatan sekiranya lelaki tersebut adalah ahli PKR dan bertindak melampaui keputusan parti.

Malah, terdahulu, katanya, beliau mengarahkan semua penyokong supaya bergerak ke kanan iaitu ke arah Jalan Tuanku Abdul Rahman.

"Saya merayu kepada penyokong supaya bergerak ke kanan, bukan ke kiri iaitu Dataran Merdeka tetapi mereka enggan dan bertindak sebaliknya," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mempertahankan tindakan penyokong yang merempuh masuk ke Dataran Merdeka kerana menganggap ia bukanlah satu jenayah besar.

Pada Isnin, satu video yang dimuat turun di laman sosial You Tube merakamkan Anwar menunjukkan isyarat ke Dataran Merdeka dan kemudiannya membuat isyarat baru dengan kedua-dua tangan kepada Azmin.

- MSTAR

PAS Nafi Unit Amal Rempuh Polis

by

PAS pada Isnin menafikan laporan media yang mendakwa Unit Amal parti itu telah merempuh anggota polis di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada Perhimpunan Bersih 3.0 dengan menggunakan slogan 'Duduk Bantah' Sabtu lalu.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hasan Tantawi menyifatkan laporan tersebut berniat jahat dan sengaja cuba menjatuhkan reputasi Unit Amal PAS yang bertugas untuk menjaga keselamatan peserta himpunan serta mengelakkan daripada perkara yang tidak diingini.

"Unit amal bukan skuad penggempur. Saya kecewa dengan laporan media yang memperlihatkan Unit Amal PAS seperti perusuh dengan menayangkan gambar mereka merempuh benteng yang dibuat anggota polis.

"Mereka bukan merempuh, mereka hanya cuba meloloskan diri, supaya penyokong perhimpunan tidak bertembung dengan anggota polis," tegasnya pada sidang media di Ibu Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur.

Beliau turut mempersoalkan tindakan polis membuat benteng di KLCC kerana menurutnya tindakan tersebut tidak perlu kerana ia bukan kawasan larangan seperti yang termaktub dalam perintah mahkamah yang dikeluarkan Jumaat lalu.

"Mengapa polis tetap membuat halangan di Jalan Ampang? Itu bukan kawasan larangan.

"Ini jelas menunjukkan polis berniat untuk memukul anggota Unit Amal yang selama ini mempunyai trek rekod yang cemerlang,” katanya.

Dewan Pemuda turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai video untuk memuat naik di laman YouTube, ataupun menyerahkannya kepada sayap parti itu supaya dapat dijadikan bukti.

"Dewan Pemuda meminta agar wira-wira rakyat tampil mengemukakan rakaman mereka, supaya pihak kami daripada Juham (Jabatan undang-undang dan hak asasi manusia) dapat mengkaji dan menelititi video berkenaan supaya tindakan perundangan dapat diambil," ujarnya.

Tambah beliau, PAS menyertai Bersih kerana menyokong 84 NGO yang menuntut pilihan raya adil dan bersih, dan sekiranya kerajaan masih lagi tidak melaksanakan lapan tuntutan Bersih, pihaknya tidak teragak-agak untuk menyokong Bersih 4.0.

"Sekiranya tuntutan itu tidak dilayan lagi, kami tidak teragak-agak untuk menyokong Bersih 4.0,” katanya.

Nasruddin turut mendesak agar satu suruhanjaya khas ditubuhkan bagi menyiasat secara telus dan adil terhadap apa yang berlaku dalam Perhimpunan Bersih 3.0.

"Kami mendesak satu suruhanjaya khas ditubuhkan agar satu penyiasatan rapi telus dan professional dilakukan. Kami menolak sebarang tindakan ganas dan provokasi yang sengaja dicetuskan untuk memberi imej yang buruk kepada Bersih 3.0.

"Saya kira pihak polis patut memberi peluang kepada rakyat berhimpun secara aman tanpa menggunakan senjata. Polis sepatutnya menjaga keamanan rakyat bukannya membelasah rakyat," katanya.

Sabtu lalu, Pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan meriam air di Dataran Merdeka, Masjid Jamek, hadapa Sogo bagi menyuraikan peserta demonstrasi yang cuba memasuki kawasan Dataran Merdeka.

- MSTAR
 

Nik Aziz Mengaku Beri Wang Peribadi Kepada Peserta Bersih 3.0

by
KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui memberi sumbangan peribadi berbentuk wang kepada mereka yang menyertai perhimpunan badan bukan kerajaan (NGO) yang disokong pembangkang di Kuala Lumpur, semalam.

Nik Abdul Aziz, yang tidak menyertai perhimpunan itu, berkata tindakannya itu bukan satu kesalahan kerana ia merupakan satu bentuk bantuan yang perlu dihulurkan.

"Salah apa bagi duit untuk dia (peserta) bayar minyak (kereta). Dia tinggalkan rumah perlukan minyak kereta dan hotel lagi.

"Hak orang lain saya tidak tahu tetapi saya beri duit poket saya sendiri yang merupakan mereka yang tinggal dalam kawasan saya. Mintak RM20 saya bagi banyak itu," katanya kepada pemberita di kediaman rasminya di JKR 10 di sini, Ahad.

Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian ketika mengulas dakwaan bahawa parti pembangkang memberikan sumbangan wang kepada peserta perhimpunan itu seperti duit poket termasuk menyediakan penginapan, pengangkutan dan makan minum selama berada di ibu negara.

Ketika ditanya adakah PAS turut memberikan sumbangan yang sama kepada penyokong parti itu, Nik Abdul Aziz berkata perkara itu tidak diketahuinya.

"Wallahualam (jika berlaku perkara itu)," katanya ringkas.

Beliau juga menafikan dakwaan penyokong PAS telah bertindak ganas dalam perhimpunan itu dan menyalahkan pihak lain yang memulakan tindakan tersebut sehingga memukul beberapa anggota media dan polis yang bertugas.

"Saya tak hadir (pada perhimpunan haram itu) sebab uzur. Dari laporan yang saya terima mereka jadi begitu kerana ada sebab. Tak kan keluar rumah nak tinggal anak bini sanggup buat macam itu.

"Orang PAS dididik berakhlak dan berdisiplin. Mesti ada sebab mereka jadi berang dan saya yakin orang PAS tak buat perkara itu," katanya yang melahirkan rasa dukacita terhadap insiden tersebut.

Beliau berkata terpulang kepada pihak berkenaan untuk menyiasat perkara itu.

- BERNAMA

SEJARAH PEGAWAI TADBIR DAN DIPLOMATIK - PTD

by

Untuk mendapatkan Panduan Lengkap Peperiksaan Online SPA bagi Jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik - PTD Gred M41, sila dapatkan di: http://jvsecurepay.com/affiliates/ptd/28


SEJARAH PEGAWAI TADBIR DAN DIPLOMATIK - PTD

Sejarah dan Latarbelakang

Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) merupakan perkhidmatan awam terawal dan ‘premier’ yang telah bermula sejak zaman penjajahan British lagi iaitu pada 1904. Secara ringkasnya bolehlah dikatakan bahawa asal usul perkhidmatan ini adalah lanjutan dari Malayan Civil Services sebelum ditukar kepada Malaysian Home and Foreign Services (MHFS) pada 1966. Pada 1971, nama Malayan Home and Foreign Services(MHFS) ini telah ditukarkan sekali lagi kepada Perkhidmatan Tadbir Diplomatik (PTD) sehinggalah ke hari ini.

Perkhidmatan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) telah terlibat dalam setiap peringkat pembangunan negara, sejak sebelum merdeka sehinggalah ke hari ini. Ia bermula dengan peringkat pengukuhan struktur pentadbiran negara (1950an sehingga lewat 1960an) dan peringkat perlaksanaan program pembangunan infrastruktur sosial, ekonomi dan perindustrian (1970an).

Pada 1960an dan 1970an juga perkhidmatan awam merupakan engine of growth kepada negara sebelum dipindahkan kepada sektor swasta, dan diteruskan pada era 1980an sehingga sekarang dengan peranan untuk bertindak sebagai pemacu dan pemandu kepada kemajuan negara. Bagi kebanyakan orang, tugas utama bagi penjawat dalam perkhidmatan ini sudah pasti, tidak lain dan tidak bukan, iaitu sebagai diplomat di mana-mana kedutaan ataupun pejabat pesuruhjaya tinggi di negara-negara asing.

Kebanyakan dari pemohon-pemohon juga sewaktu sesi temuduga apabila ditanyakan tentang bidang tugas PTD, pasti akan menjawab bidang tugas PTD ialah sebagai diplomat, bertugas dengan Wisma Putra, dan sentiasa ke luar negeri. Ini merupakan suatu tanggapan cetek dan terlalu sempit sedangkan bidang tugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik adalah amat luas. Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik sebenarnya mengisi pelbagai peringkat jawatan.

Sebenarnya, perkhidmatan ini mempunyai bidang pengkhususannya yang tersendiri, iaitu :
- Hubungan Antarabangsa dan Luar Negeri,
- Keselamatan dan Pertahanan Negara,
- Pengurusan Teknologi Maklumat dan Komunikasi,
- Pentadbiran dan Pembangunan Wilayah / Tanah / Daerah / Tempatan,
- Perancangan dan Pentadbiran Sosial/Infrastruktur,
- Pengurusan Sumber Manusia dan Organisasi,
- Pengurusan Sumber Ekonomi
- Pengurusan Sumber Kewangan.

Kesemua bidang pengkhususan ini membolehkan penjawat dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik ditempatkan di Kementerian-Kementerian, Jabatan-Jabatan Persekutuan, Pejabat-Pejabat Setiausaha Kerajaaan Negeri, Pentadbiran Kerajaan Tempatan dan terdapat juga yang ditempat dan dipinjamkan ke badan-badan berkanun dan badan-badan antarabangsa. Perkhidmatan ini memegang kepimpinan utama di semua kementerian dan di pelbagai jabatan persekutuan serta sebahagian pentadbiran negeri sebagai Ketua Setiausaha, Timbalan Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Duta, dan juga Pegawai Daerah.

Sumber : www.ptdportal.com

Panduan Memasuki Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD)

Untuk mendapatkan Panduan Lengkap Peperiksaan Online SPA bagi Jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik - PTD Gred M41, sila dapatkan di: http://jvsecurepay.com/affiliates/ptd/28


Polis Sahkah Tiada Kematian Bersih 3.0

by
Polis mengesahkan bahawa tiada kematian yang berlaku semasa perhimpunan yang dianjurkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan disokong pembangkang semalam manakala mereka yang mengalami kecederaan dan dirawat di hospital berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata kematian seorang anggota polis Sarjan Zaini Nawawi, 53, di Jalan Bukit Bintang semalam tidak ada kena mengena dengan perhimpunan itu.

Beliau berkata Sarjan Zaini Nawawi, 53, yang merupakan anggota MPV Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi meninggal dunia kerana mengalami sesak nafas ketika menjalankan tugas rondaan biasa di kawasan Bukit Bintang.

"Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan Sg Kantan, Kajang," katanya.

Beliau berkata keadaan di Dataran Merdeka kini adalah terkawal dan pihak polis sentiasa memantau keadaan bagi memastikan kejadian semalam tidak berulang.

Mohmad Salleh berkata sebanyak 57 laporan polis berhubung perhimpunan itu diterima setakat ini termasuk lapan laporan berkaitan kecederaan anggota polis, dan sembilan laporan mengenai kerosakan kenderaan pasukan.

"Dalam menyuraikan perhimpunan itu, seramai 13 anggota polis mengalami kecederaan. Sebelas daripadanya dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan UKM manakala dua lagi masih menerima rawatan di HKL," katanya.

Mohmad Salleh berkata polis juga menahan 512 orang bagi mententeramkan keadaan dan mereka terdiri daripada 482 lelaki dan 30 wanita, dengan lima daripadanya adalah kanak-kanak berumur antara sembilan dan 15 tahun.

Kesemua mereka telah dibebaskan selepas diambil keterangan, katanya.

- BERNAMA

Elak serangan jantung

by
Rashid yang berusia lewat 30-an sentiasa sibuk dengan tugasnya sebagai ketua pegawai eksekutif di sebuah syarikat. Terlalu sibuk hinggakan tidak mempunyai masa untuk menjaga kesihatan diri.

Pada suatu pagi, sewaktu Rashid hendak ke pejabat, dia mengalami rasa sakit dada yang amat sangat. Rasa sakit itu menyebabkan dia sukar bernafas dan tiba-tiba pitam.

Apabila Rashid pulih dan sedar semula, dia mendapati dirinya berada di hospital. Apakah yang telah berlaku?

"Rashid, anda telah mengalami serangan

jantung . Saya dapati serangan jantung berpunca daripada tabiat merokok anda," terang doktor.

Kisah Rashid adalah lazim bagi kebanyakan penghidap sakit jantung tetapi belum lagi didiagnosis. Orang seperti Rashid menjalani kehidupan harian tanpa menyedari bahawa mereka sedang menghidap penyakit ini.

Kebanyakan pesakit mungkin dengan secara tiba-tiba diserang dengan gejala-gejala terkejut seperti sesak nafas, sakit dada atau debaran jantung.

Biasanya selepas ini berlaku, barulah mereka bergegas berjumpa doktor dan diberitahu apa yang mereka alami sebenarnya gejala-gejala sakit jantung.

Orang mudaSejak akhir-akhir ini, kebanyakan kes jantung turut menyerang orang muda hingga menyebabkan kematian mengejut.

Misalnya, kita pernah dikejutkan dengan kematian pelakon popular pada Januari tahun lalu, Mohd. Faisal Yusup yang baru berusia 33 tahun. Beliau dipercayai diserang sakit jantung membuatkan orang ramai terfikir, betapa jahatnya penyakit jantung .

Pendek kata, sakit jantung kini tidak lagi berperangai ala-ala gadis sunti yang malu-malu seperti mana pernah dipertontonkan dahulu.

Ia bukan lagi penyakit pak cik, mak cik. Bukan juga ia menyerang orang kaya sahaja. Sila buang tanggapan anda bahawa ia jarang-jarang membunuh seperti tabiatnya sebelum ini.

Penyakit ini semakin rakus menyerang golongan muda.

MeningkatPakar Perunding Kardiologi, Dr. Azmee Ghazi memberitahu, rata-rata masyarakat termasuk golongan muda mempunyai gaya hidup yang tidak baik termasuk merokok.

Pesakit tidak tahu bahawa mereka menghidap sakit jantung sehinggalah pemeriksaan dibuat.

Ada juga pesakit menganggap sakit dada sebagai penyakit biasa kerana menganggap tidak mungkin diserang sakit jantung sebab umur masih muda.

Justeru, Dr. Azmee menasihatkan orang ramai supaya menjalani gaya hidup sihat, berhenti merokok dan segera membuat pemeriksaan di bahagian kecemasan hospital jika tiba-tiba mengalami sakit dada.

Menurut statistik Kementerian Kesihatan, tidak bersenam dan gagal mengamalkan gaya hidup sihat dipercayai menjadi faktor bilangan penghidap penyakit jantung yang baru mencecah sehingga 38,000 orang setiap tahun.

Jumlah tersebut menjadikan penyakit jantung sebagai penyumbang kematian terbesar di hospital-hospital kerajaan iaitu 7,597 kematian atau sebanyak 16.54 peratus daripada keseluruhan 45,936 jumlah kematian yang dicatatkan pada 2008.

Di Malaysia terdapat seramai 141 orang menghidap penyakit jantung koronari bagi setiap 100,000 orang setiap tahun iaitu bersamaan 38,000 kes baru setiap tahun.

"Laporan Kementerian Kesihatan pada 2009 menunjukkan 1/4 kematian di hospital kerajaan disebabkan penyakit jantung dan strok. Ini membuktikan bahawa statistik ini semakin meningkat," jelas Dr. Azmee ketika ditemui di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.

Pemeriksaan kesihatan

Terdapat beberapa simptom jika seseorang itu diserang sakit jantung antaranya rasa tidak selesa pada dada.

Pesakit seolah-olah merasakan ada sesuatu yang menekan.

Simptom serangan jantung ini berbeza antara lelaki dan wanita.

"Lazimnya, lelaki akan mengalami simptom yang biasa seperti sakit dada. Berbeza pula wanita, mereka akan berasa letih dan tidak dapat tidur malam. Mereka juga tidak akan berasa sedap badan," katanya.

Dr. Azmee menasihatkan, agar mereka yang mempunyai simptom-simptom tersebut supaya tidak membiarkan sehingga ke peringkat yang serius.

"Hampir sebahagian besar pesakit tidak mengendahkan simptom-simptom tersebut dengan alasan ia tidak serius. Apa yang perlu, jika anda mengalami simptom tadi, lakukan pemeriksaan kesihatan segera," jelasnya.

Ini kerana, sikap ambil mudah tersebut merugikan kerana rawatan yang diberikan bergantung kepada tahap serius penyakit yang dihidapi.

Membezakan

Kebanyakan pesakit sukar membezakan sakit dada biasa dan serangan jantung.

Apakah perbezaannya dan bagaimana pula untuk menentukannya?

Dr. Azmee menjelaskan , seseorang itu dikatakan mendapat serangan jantung apabila otot jantungnya tidak mendapat bekalan darah yang mencukupi disebabkan oleh arteri koronari menjadi sempit.

"Ia juga boleh terjadi apabila bekalan tersebut terputus sama sekali mengakibatkan sebahagian daripada otot itu telah mati atau mengalami nekrosis dan gagal berfungsi,'' ujarnya.

Ini terjadi apabila berlakunya pengumpulan sejenis lemak atau plak yang melekat pada dinding saluran darah yang lama-kelamaan menyempit atau menyekat pengaliran darah ke jantung .

Apabila ini berlaku, serangan awal jantung bermula.

Sakit jantung biasanya terasa amat mencengkam dan menyucuk di bahagian dada terutamanya di tengah-tengah dan sebelah kiri dada.

Dr. Azmee memberitahu, kebanyakan mereka yang mendapat serangan jantung tidak merasakan yang mereka sedang mengalami masalah tersebut dan sekadar menganggapnya sebagai kesakitan yang tidak berbahaya.

"Jika ada faktor-faktor risiko seperti kencing manis, darah tinggi atau tahap kolesterol tinggi, kemungkinan sakit jantung adalah lebih tinggi.

"Justeru, walau apa pun kesakitan dada yang anda alami, ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Menunggu terlalu lama sebelum mendapatkan rawatan boleh menyebabkan kematian dan kerosakan yang kekal pada jantung yang boleh menjejaskan kualiti hidup anda," katanya.

Bagi penghidap darah tinggi, kencing manis dan kolestrol tinggi, beliau menasihatkan mereka supaya makan ubat dan berjumpa doktor secara teratur.

"Kita juga perlu mendidik orang muda supaya mengamalkan gaya hidup sihat untuk mencegah serangan jantung," ujarnya.

- MINGGUAN MALAYSIA

Harimau Malaya baham Sri Lanka 6-0

by

HATRIK Ahmad Hazwan Bakri, dua ledakan Wan Zack Haikal Wan Nor dan satu gol Azamuddin Akil memastikan skuad kebangsaan mencatat kemenangan penuh bergaya membelasah Sri Lanka 6-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Lebih bermakna, ia kemenangan pertama untuk aksi berstatus A selepas tujuh perlawanan - seri bertemu Singapura, India dan Filipina serta tewas kepada Taiwan, Singapura, Australia dan India, dengan kali terakhir ia dicapai ketika menewaskan Taiwan 2-1 di Bukit Jalil, 29 Jun tahun lalu.
Namun jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal enggan dibuai keyakinan kerana baginya banyak lagi yang perlu dipertingkatkan sebelum tiga lagi aksi persahabatan menyusul - bertemu Filipina pada 1 Jun serta Singapura, 8 dan 12 Jun ini.
“Secara keseluruhan, kita beraksi baik tetapi perlu dipertingkatkan lagi dari segi rentak dan tempo permainan serta kombinasi pemain. Apa pun kemenangan ini penting untuk meningkatkan semula keyakinan pasukan.

“Memang pada 20 minit pertama, kita gagal beraksi agresif sebaliknya Sri Lanka cara permainannya mengejutkan. Tapi dua gol pada babak pertama memberi mereka tekanan dan gol ketiga mematahkan semangat mereka.

“Kita pula berjaya mengekalkan momentum dan terus menambah gol biarpun selepas saya melakukan beberapa pertukaran. Perkembangan sihat apabila pemain muda mampu beri cabaran kepada pemain senior,” kata Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan.

Skuad kebangsaan mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi dua jaringan Wan Zack pada minit ke-24 dan 26 sebelum gol ketiga dan keempat menyusul hasil sumbangan Hazwan pada minit ke-71 dan 81. Azamuddin menjadikan kedudukan 5-0 pada minit ke-84 sebelum Hazwan melengkapkan hatrik menerusi tandukan pada minit ke-90.

- BERITA MINGGU
 

Ambiga isytihar BERSIH 3.0 berjaya, 300,000 hadir

by

Gabungan menuntut pilihan raya bersih dan adil (BERSIH) berkata perhimpunan mereka berjaya dan mendakwa 300,000 rakyat Malaysia turun menyertai BERSIH 3.0 menuntut reformasi pilihan raya.

"Dalam erti kata tersebut, ia adalah satu kejayaan," kata pengerusi bersama BERSIH, Datuk S Ambiga dalam sidang media selepas perhimpunan tersebut.

"Suasana yang hebat dan bilangan yang ada di situ - ia amat besar."

 "Kami merasakan bahawa ia adalah satu kejayaan kerana terdapat sokongan yang begitu banyak untuk tujuan ini dan segala-galanya berjalan dengan baik (sehinggakan) kami memberi arahan supaya bersurai dengan cepat, pada jam 2.30 petang, kerana semasa kita sampai ke Dataran (Merdeka), amat sukar bagi orang ramai untuk duduk," kata Ambiga.

"Bagi orang yang hadir, mereka berkelakuan baik bagi sejumlah seramai itu," katanya

Beliau melahirkan rasa kesal atas kekecohan yang berlaku selepas
sebahagian daripada penghalang yang menutup Dataran Merdeka dirempuh, dan berkata ia "amat menyedihkan".

Beliau juga memandang berat laporan bahawa penyokong dan anggota polis yang bertugas cedera dalam kekecohan tersebut, dan menegaskan bahawa jawatankuasa pemandu akan bekerjasama sepenuhnya dengan polis dalam menjalankan siasatan mereka.
  
Bagaimanapun, kerana beliau tidak ada fakta yang tepat mengenai kejadian itu, maka Ambiga berkata, BERSIH akan memanggil satu sidang akhbar minggu depan berhubung butir-butir lanjut mengenainya.

- MALAYSIAKINI

2 Juta Rakyat Malaysia Berisiko Hidap Diabetes

by
Dianggarkan kira-kira dua juta rakyat Malaysia berisiko menghidap diabetes namun tidak menyedarinya kerana tidak membuat pemeriksaan kesihatan, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk RosnahAbdul Rashid Sirlin.

Katanya, anggaran itu melibatkan individu dewasa yang masih belum menjalani ujian saringan kesihatan secara tetap dan berkala.

"Hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati pesakit diabetes meningkat setiap tahun. Pada 2006 terdapat 1.5 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes dan keputusan awal NHMS pada 2011 terdapat tiga juta menghidap diabetes," katanya ketika berucap merasmikan Kempen Kesedaran Diabetes, di Butterworth.

Katanya, peningkatan yang tinggi itu menjadikan Malaysia antara negara tertinggi berhadapan masalah tersebut di Asia dan dunia.

Sehubungan itu, beliau meminta golongan yang berusia 20 tahun ke atas menjalani ujian saringan kesihatan bagi membolehkan langkah pencegahan diambil.

Diabetes antara penyakit berbahaya di kebanyakan negara dan sehingga kini terdapat 500 juta penghidap diabetes di dunia, membunuh empat juta pesakit setiap tahun dan membabitkan perbelanjaan rawatan US$378 setahun, katanya.

Rosnah berkata, amalan cara hidup yang tidak sihat seperti perokok tegar, kegagalan penjagaan makanan seimbang dan tidak bersukan merupakan faktor penyebab diabetes.

"Kementerian mendapati bahawa 6.2 juta rakyat negara ini kini mengalami lebihan kolestrol, 2.5 juta menghidapi obesiti dan 5.8 juta berhadapan tekanan jiwa," katanya

- BERNAMA

Fasha Sandha & Jejai bergelar Suami Isteri

by


Aktres sensasi Nur Fasha Sandha Hassan, 28, (Fasha) sah bergelar isteri kepada usahawan Rizal Ashram Ramli, 36, (Jejai) di Hotel Crowne Plaza Mutiara , Kuala Lumpur pada malam Jumaat.

Pasangan itu dinikahkan oleh bapa kandung Fasha iaitu Hassan Umbichi Moideen kira-kira pada pukul 9.45 malam bersaksikan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Sahirman Ahmad.

Rizal Ashram melafazkan nikah sebanyak dua kali.

Majlis itu dihadiri kira-kira 250 tetamu yang terdiri daripada bapa Jejai iaitu bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib, ibu kandung Fasha Hatijah Tehman dan bapa tirinya, Mohd Faisal, kaum keluarga, teman-teman rapat, rakan artis dan wakil media.

Fasha menerima mas kahwin sebanyak RM8888.88 tetapi enggan mendedahkan jumlah wang hantaran kepada umum.

Mengulas mengenai pemilihan jumlah tersebut sebagai mas kahwin, Fasha berkata angka lapan adalah kegemaran suaminya.

"Lapan adalah nombor kegemaran Jejai," katanya.

Diusik mengenai jumlah tersebut sehingga memaksa Jejai melakukan akad nikah sebanyak dua kali, lelaki itu mengakui kesukaran menyebut angka berkenaan.

"Saya juga terfikir akan kesukaran untuk menyebut angka itu selepas kami menetapkan jumlah mas kahwin.

"Namun ketika praktis nikah, saya boleh sebut angka itu dengan lancar," katanya.

Fasha menerima tujuh dulang hantaran daripada pengantin lelaki yang berupa beg tangan berjenama Louis Vuitton, senaskhah Al-Quran dan sejadah, sebentuk cincin, coklat, Samsung Galaxy Note, mas kahwin dan tepak sireh.

Sebagai balasan, Jejai pula menerima sembilan dulang hantaran iaitu sejadah, tepak sireh, sepasang kasut Salvatore Ferragamo, tali leher dan tali pinggang Louis Vuitton, sebuah buku motivasi, set penjagaan lelaki Dolce & Gabbana, coklat dan sebentuk cincin daripada pengantin perempuan.

Pada majlis berkenaan, Fasha tampil anggun mengenakan busana berona putih ungu rekaan Riezman Ruzaini dan dirias juru solek terkenal Saidatul Nisa.

Beberapa rakan artis turut menyerikan majlis seperti Maria Farida, Tomok, Didie Alias, Faradhiya, Nor Aliah Lee, Rebecca Nur Al Islam dan Nadia Mustafar.

Majlis diacarakan oleh penyampai radio popular Linda Onn.

Pemenang enam kali trofi Anugerah Bintang Popular Berita Harian itu mengenali Jejai sejak tujuh tahun lepas.

Hubungan mereka menjadi intim kira-kira empat tahun lalu selepas Jejai bercerai dengan bekas isterinya yang juga pelakon Nora Danish.

Ini merupakan perkahwinan pertama buat Fasha dan yang kedua buat Jejai.

Hasil perkahwinan Jejai dengan Nora Danish selama dua tahun, mereka dikurniakan seorang anak, Putra Rayqal Ramli, 3.

- MSTAR

Percutian Romantik di Sibu Island Resort

by

SESEKALI percutian yang sunyi dan tanpa gangguan amat didambakan oleh sesiapa sahaja yang sudah jenuh meredah kesibukan dan hiruk-pikuk kota. Lebih-lebih lagi sekiranya berpeluang untuk menghirup udara segar yang jarang dinikmati di tengah-tengah hutan konkrit.

Rancanglah percutian dan berkunjunglah ke Sibu Island Resort yang terletak 13 kilometer perjalanan menaiki bot dari jeti Tanjung Leman, Mersing, Johor.

Sebelum itu, jangan biarkan perut terlalu kosong atau terlalu kenyang sebelum menaiki feri dari Mersing kerana bimbang nanti kalau ada yang mudah berasa tidak selesa dan mabuk laut dalam perjalanan selama kira-kira 30 minit itu.

Selain barangan cenderamata, Jeti Tanjung Leman menawarkan pelbagai gerai makanan dan juga sebuah restoran makanan segera yang boleh dikunjungi untuk mngealas perut sementara menanti waktu menaiki feri.

Sejurus tiba di jeti Sibu Island Resort, kedatangan pengunjung pasti disapa kakitangannya yang mesra dan peramah. Sambil mengheret beg ke kaunter pendaftaran penginapan, mata pasti tertancap ke arah hamparan pasir pantai yang putih dan padang rumput luas namun diredupkan landskap pokok yang ditanam rapi.

Rusa dan merak

Rusa dan burung merak pula kelihatan bebas bergerak, sama ada bersendiri atau dalam kumpulannya. Ibarat sudah terbiasa dengan kehadiran manusia, haiwan-haiwan ternakan ini tidak pula lari ketakutan biarpun didekati kumpulan tetamu yang ingin bergambar.

Menurut Pengurus Residen Sibu Island Resort, Ab. Latiff Sahat, pengunjung boleh memberi makanan kepada haiwan-haiwan itu secara terus di atas tapak tangan. Makanan kegemaran haiwan tersebut seperti roti boleh dibeli di kedai cenderamata yang turut disediakan berdekatan.

"Haiwan-haiwan ini sekiranya didekati dengan mesra, ia tidak akan lari sebaliknya akan mendekati tetamu yang ingin memberikan mereka makanan tanpa rasa takut," katanya.

Ab. Latiff memberitahu, Sibu Island Resort telah mengalami pengubahsuaian besar-besaran sejak dua tahun lalu membabitkan kesemua 121 unit bilik penginapan, ruang legar dan persekitaran resort yang kesemuanya menelan kos sebanyak RM26 juta.

"Kami turut membaik pulih kawasan pesisiran pantai dan membina loji penyahgaraman air laut. Justeru, air bersih yang digunakan di sini termasuk air minuman adalah diproses sendiri melalui loji ini.

"Pengubahsuaian penuh dan persekitaran yang ditawarkan menjadikan Sibu Island Resort ini destinasi percutian yang cukup eksklusif di negara ini. Ia ibarat mengikuti percutian ke pulau persendirian yang tenang dan mendamaikan," katanya mengenai pulau percutian seluas 26 hektar itu.

Tidak dinafikan, pengubahsuaian yang dilakukan telah berjaya membentuk imej baharu Sibu Island Resort yang kelihatan mewah tetapi berpatutan untuk dikunjungi. Lebih istimewa, Sibu Island Resort menawarkan pelbagai pakej penginapan mengikut bajet percutian masing-masing.

Menurut Ab. Latiff, tetamu boleh memilih menginapan di bilik Superior dan Deluxe ataupun ke unit suite Serindit, Layang-Layang, Honeymoon atau Raja Udang bergantung kepada jumlah tetamu dan bajet masing-masing.

"Semua bilik penginapan mempunyai keistimewaan masing-masing. Sebahagian bilik penginapan dibina menghadap pantai, manakala sebahagian lagi menghadap persekitaran resort. Setiap satunya menerima sentuhan rekaan berasaskan kayu yang berciri moden.

"Bagi mereka yang memilih untuk berbulan madu di sini, Honeymoon Suites sudah semestinya menawarkan pemandangan terbaik malah bilik dihias dengan elemen romantik sebelum menerima ketibaan tetamu," katanya.

Sukan lasak

Sekiranya sudah puas menikmati keindahan alam semula jadi atau merehatkan diri di bawah selimut yang selesa, pilihan aktiviti sukan ekstrem yang disediakan pasti dapat memenuhi jadual percutian bersama keluarga dan teman-teman.

Menurut Ab. Latiff, Sibu Island Resort menawarkan pelbagai kemudahan sukan lasak bertaraf dunia antaranya aktiviti terbang keluang (flying fox), memanah dan memanjat menara setinggi 24 meter yang menjadi tarikan dan pilihan ramai tetamu yang datang berkunjung.

"Sekiranya lebih meminati aktiviti snorkeling, pulau-pulau berhampiran menawarkan lokasi menarik untuk tujuan tersebut. Kemudahan dan perkhidmatan berkaitan snorkeling turut disediakan pihak resort.

"Selain itu, mereka yang datang berkumpulan boleh mencuba aktiviti berkayak, perahu layar, Banana Boat dan pelampung terbang Flying Fish yang pasti mendebarkan dan mencabar terutama bagi mereka yang pertama kali mencubanya," katanya.

Tambah Ab. Latiff, selain aktiviti membabitkan pantai, Sibu Island Resort turut mempunyai hamparan hutan di bahagian belakangnya yang sedia menanti si penggemar aktiviti treking.

"Melalui aktiviti ini yang akan ditemani jurupandu, pengunjung berpeluang mengenali pelbagai tumbuhan hutan dan spesies burung.

"Kaki pancing pula boleh membawa alat pancing masing-masing atau menyewa peralatan di kedai berkaitan," jelasnya.

Sesudah puas mencuba pelbagai aktiviti ekstrem, tubuh yang letih amat sesuai dibawa ke Holistic Spa. Pusat yang dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap hari itu memanjakan tetamunya dengan pelbagai rawatan seperti urutan tradisional Sibu, urutan Swedish, urutan bahu, leher dan belakang dan skrub badan herba.

Sup tulang rawan

Dalam pada itu, keperluan menjamu selera tidak sesekali diabaikan pihak resort. Di Lumba Lumba Coffee House yang mampu memuatkan 100 tetamu pada satu-satu masa, selera tetamunya disambut dengan kelazatan hidangan ala carte dan bufet daripada menu-menu Asia dan antarabangsa.

Selain Lumba Lumba yang dibuka seawal pukul 7 pagi hingga 11.30 malam setiap hari, Suji Lounge pula mampu memuatkan 30 orang tetamu dengan rangkaian menu makanan dan minuman yang khusus.

Menurut Sous Chef Kanan, Budi Ali, hidangan istimewa yang disediakan di kafe berkenaan ialah sup tulang rawan yang menjadi menu signatur. Ia bagaimanapun, hanya disediakan pada hari-hari tertentu.

"Sup tulang rawan boleh dinikmati di sini pada hari-hari perayaan utama, istimewa buat mereka yang memilih untuk meraikannya di resort ini.

"Selain sup tulang rawan, hidangan istimewa yang digemari oleh tetamu ialah udang goreng tepung yang mempunyai rasa istimewa yang tidak akan ditemui di tempat lain," jelasnya.

Keistimewaan menu lazim berkenaan terletak pada keenakan salutan tepungnya yang garing dan memiliki rasa seumpama salutan tepung ayam goreng di rangkaian restoran makanan segera popular.

Selain itu katanya, hidangan barbeku yang diadakan pada malam-malam tertentu amat digemari lebih-lebih lagi apabila para tetamu dihiburkan dengan persembahan band live yang dibawakan khas dari Filipina.

"Kumpulan ini juga akan menghiburkan para tetamu yang mengikuti aktiviti kem unggun api yang lazimnya bermula selepas makan malam berakhir," terangnya.

- KOSMO!

Lahar punca lurah terbentuk di Marikh

by

WASHINGTON - Aliran lahar telah menyebabkan lurah-lurah terbentuk di planet Marikh, kata beberapa saintis Amerika Syarikat menerusi jurnal Science kelmarin.

Menurut jurnal itu, lahar tersebut meninggalkan kesan lingkaran seperti yang dapat dilihat di beberapa bahagian di Bumi termasuk di Pulau Besar, Hawaii.

Teori bahawa lahar mencorakkan landskap Marikh dibuat berdasarkan analisis di kawasan Athabasca Valles di tengah planet berkenaan.

Ketua penulis artikel itu, Andrew Ryan dari Universiti Negeri Arizona membuat kesimpulan tersebut berdasarkan analisis yang dilakukan ke atas lebih 100 imej Athabasca Valles beresolusi tinggi.

Imej itu dirakamkan sebuah satelit milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

Beliau berkata, lebar lingkaran yang dilihat di kawasan bergunung berapi, Elysium di Marikh adalah antara lima hingga 30 meter dan tidak mungkin lurah berkenaan terhasil oleh ais atau proses berkaitan dengan air.

"Ia lebih besar daripada lingkaran lurah lahar yang terdapat di Bumi.

"Lingkaran itu hanya dapat dikesan dengan menggunakan imej beresolusi tinggi yang dirakamkan satelit NASA," kata Ryan.

Setakat ini, Ryan dan seorang saintis lain, Philip Christensen telah menemui lebih 200 lingkaran lahar di Marikh dan mereka percaya terdapat banyak lagi lingkaran di planet tersebut.

- AFP

Tuala wanita kitar semula

by

SEBELUM tuala wanita tercipta, sebahagian besar wanita menggunakan lipatan kain ketika haid sebagai satu-satunya alternatif. Kain tersebut kemudiannya dibasuh dan digunakan semula.

Bagaimanapun, pada hari ini mungkin tiada anak gadis mahupun wanita yang selesa atau mahu meneruskan tradisi tersebut.

Sebaliknya, tuala wanita pakai buang menjadi pilihan kerana ia lebih mudah diurus.

Ketika ramai wanita memilih menggunakan tuala wanita pakai buang, Qhatijah Mohd. Said, 34, tidak kisah menjadi kelompok minoriti. Beliau bukan sahaja menggunakan cara lama setiap kali haid, malah menghasilkan sendiri tuala wanita yang diperbuat daripada kain sejak dua tahun lalu.

Anak kelahiran Taman Melawati, Kuala Lumpur yang lebih mesra dengan panggilan Qaty mula berjinak-jinak menjahit tuala wanita ketika hamil anak ketiga.

Meskipun tidak memiliki kemahiran asas menjahit, Qaty tekad belajar sendiri. "Mula-mula saya menjahit secara manual kerana tidak arif menggunakan mesin. Tidak lama selepas itu, barulah saya gunakan mesin jahit milik ibu yang sudah berusia 30 tahun.

"Apabila seronok buat tuala wanita, saya berikan kepada rakan-rakan dan menjualnya secara suka-suka sehinggalah kini ia menjadi satu perniagaan," katanya yang sebelum ini membeli tuala wanita kitar semula dari Amerika Syarikat secara talian.

Segala-galanya bermula lima tahun lalu ketika Qaty mahu mencari informasi mengenai kain lampin untuk anaknya. Secara kebetulan, dia menemui produk tuala wanita kitar semula yang belum dijual di negara ini.

Harga bagi setiap satu tuala wanita yang dibelinya secara talian mencecah antara RM40 hingga RM50. Bagaimanapun, apabila produk tersebut sudah berada dalam pasaran Malaysia, harganya mencecah antara RM60 hingga RM70 untuk satu tuala wanita.

Kalis air

Menyedari harganya yang agak mahal, Qaty bereksperimen menjahit tuala wanita itu sendiri. Tuala wanita kitar semulanya menggunakan fabrik batik dan kapas.

Selain fabrik batik dan kapas, Qaty menggunakan fabrik bamboo velour dan bamboo fleece yang mempunyai daya resapan dan menakung cecair air. Di AS, tuala wanita guna semula banyak menggunakan kain flanel.

Qaty lebih gemar menggunakan kain batik dan kapas kerana corak dan warnanya yang lembut kerana beliau percaya ia mampu meningkatkan keyakinan diri si pemakai meskipun ia tidak dapat di lihat oleh khalayak.

"Tuala wanita ini dilapisi lapisan kalis air yang mempunyai aliran udara yang baik, tidak panas dan tidak berkuap," jelas Qaty yang menamakan tuala wanita buatannya Bisky Bosky.

Diperbuat daripada fabrik yang bercorak dan warna yang ceria, Qaty punya alasan yang tersendiri.

"Wanita sukakan kecantikan. Jadi, kita berikan kelainan pada tuala wanita supaya mereka mempunyai pilihan untuk memakainya," jelas Qaty.

Menyentuh tentang penggunaan tuala wanita Bisky Bosky, ia sama seperti tuala wanita sedia ada, cuma ia perlu direndam dan dibasuh dengan sabun. Beliau juga berkongsi tip supaya pengguna tidak menggunakan bahan pelembut pakaian bagi memastikan tuala wanita kitar semula ini tahan lama.

"Ia juga tidak perlu diberus, memadai menyental dan menonyoh dengan tangan," katanya.

Menjawab persoalan kemungkinan tuala wanita yang dipakai ini boleh menerbitkan bau yang kurang menyenangkan, Qaty mempunyai jawapan. "Ia boleh disimpan di dalam beg yang dikhaskan," jelasnya.

Berbanding tuala wanita biasa, tuala wanita dan pelapik seluar dalam Bisky Bosky boleh bertahan sehingga lima tahun bergantung kepada cara penggunaannya.

Ia juga mempunyai butang bagi mengelakkan tuala wanita itu beralih posisi ketika dipakai.

Menurutnya, pada masa ini pasaran produknya belum meluas dan masih dalam proses mendidik orang ramai tentang kelebihannya.

"Tuala wanita ini juga bebas daripada bahan kimia yang lazimnya digunakan dalam penghasilan tuala wanita pakai buang di pasaran," kata wanita yang menitikberatkan soal kesihatan dan alam sekitar itu.

Idea bagus

Menyasarkan kepada golongan wanita muda, tuala wanita Bisky Bosky bukan sahaja boleh digunakan ketika haid sahaja, malah wanita dalam pantang dan mereka yang mengalami masalah kawalan kencing juga boleh memanfaatkannya.

Qaty tidak menafikan masih ada pihak yang ragu-ragu dengan tuala wanita kitar semula yang dihasilkannya.

"Ada yang setuju kerana menganggap ia idea yang bagus selain menjimatkan dan ada pula yang tidak boleh menerima konsep ini kerana malas membasuhnya.

"Bahkan, ada yang kurang yakin sejauh mana tuala wanita ini mampu menampung darah haid kerana bentuk fizikalnya yang nipis berbanding tuala wanita biasa," ujar ibu kepada tiga anak ini.

Namun, di sebalik pelbagai pandangan negatif yang diterima, beliau tidak menang tangan untuk menjahit permintaan tuala wanita kitar semula itu.

Menurut Qaty, 80 peratus tuala wanita itu dijual di pasar lambak The Curve, Petaling Jaya pada setiap hujung minggu.

Qaty mengambil masa selama 15 minit untuk menghasilkan sekeping tuala wanita. Dalam sehari dia mampu menjahit sekitar 50 keping tuala wanita.

Pengawal Kewangan di sebuah syarikat swasta itu melakukan kerja-kerja menjahit pada sebelah malam bermula dari pukul 12 tengah malam hingga pukul 5 pagi.

Dalam sebulan, Qaty mampu menjual sebanyak 1,000 keping tuala wanita kepada para pelanggannya yang terdiri daripada kanak-kanak seawal usia lima tahun, remaja, wanita dewasa dan golongan orang kelainan upaya (OKU).

Mahal? Jangan khuatir, Qaty turut menawarkan bayaran secara ansuran bulanan bagi memudahkan pengguna.

Sejak diperkenalkan dua tahun lalu, setakat ini produk Bisky Bosky belum menerima kritikan negatif.

Sementara itu, dianggarkan 60 peratus kaum wanita menghadapi kesukaran untuk menumpukan perhatian kepada tugas harian semasa haid kerana mereka khuatir kebocoran pada tuala wanita.

Kebocoran ini lazimnya berlaku di bahagian tepi tuala wanita pada waktu siang dan di bahagian belakang pada waktu malam.

Cegah kebocoran

Bagi mengatasi masalah tersebut, produk terbaharu Kotex yang dilengkapi komponen ProActive Guards, melindungi wanita daripada kemungkinan kebocoran pada tuala wanita. ProActive Guards merupakan penghadang pintar yang diletakkan di bahagian tepi dan belakang tuala wanita.

"Penghadang ini akan naik secara automatik apabila terkena cecair, sekali gus mengikut bentuk badan wanita dan membentuk sekatan pelindung untuk memberi perlindungan muktamad terhadap kebocoran," kata Pengurus Pemasaran Penjagaan Feminin Kimberly-Clark Malaysia, Edlyn Khoo.

Selama ini, golongan wanita menggunakan tuala wanita yang lebih besar dan panjang untuk cuba menangani masalah kebocoran, malangnya tuala wanita sebegini tidak dapat memberi perlindungan.

Kotex dengan ProActive Guards Technology merupakan tuala wanita yang pertama di dunia yang dilengkapi penghadang di bahagian tepi dan belakang tuala wanita.

Di samping teknologi ProActive Guards, tuala wanita ini juga dilengkapi Rapid Absorb Funnels iaitu boleh menyerap cecair sewaktu aliran berat atau mengejut, sekali gus mengunci cecair ini dengan selamat dan menghalang kebocoran.

- KOSMO!
 

ABN tawar 100 saluran TV lebih murah

by


ASIAN Broadcasting Network (M) Sdn Bhd (ABN), bakal menyertai pasaran televisyen berbayar tempatan dengan menawarkan perkhidmatan televisyen kabelnya pada harga mampu milik menerusi pengenalan pakej asas yang ditawarkan sehingga 30 peratus lebih murah berbanding stesen televisyen berbayar sedia ada.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Sreedhar Subramaniam, perkhidmatan televisyen kabel digital ABN itu yang akan dilancarkan Jun ini, bakal menawarkan 100 saluran pilihan, dengan memperkenalkan sekurang-kurangnya 50 saluran dalam pakej asas ABN.

Beliau berkata, dalam fasa pertama pelancarannya, perkhidmatan itu akan ditawarkan di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang sebelum ia diperluaskan ke seluruh negara menjelang pertengahan tahun depan.

Katanya, sistem televisyen kabel ABN berkeupayaan menyalurkan lebih 1,000 saluran merangkumi kandungan pendidikan, maklumat serta hiburan interaktif berkualiti tinggi tanpa sebarang gangguan perkhidmatan.

“Pakej langganan ABN akan diperkenalkan Jun ini secara berperingkat, dan kami menyasarkan menarik 1.2 juta pelanggan menjelang pertengahan tahun depan.

“Dalam fasa pertama, kami menyasarkan menyediakan perkhidmatan kepada sekurang-kurangnya 25 peratus kediaman atau kira-kira 300,000 kediaman pada harga langganan yang sangat berpatutan,” katanya pada taklimat media di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Naib Presiden Kanan Pemasarannya, Michael Chan.
Sreedhar menjelaskan, pihaknya masih belum boleh mengumumkan pakej yang akan ditawarkan kepada pelanggan, kerana syarikat itu masih dalam peringkat akhir memuktamadkan perbincangan dengan beberapa penyedia kandungan.

Selain harga pakej yang sangat rendah, katanya syarikat itu juga akan menawarkan lebih banyak saluran berbeza daripada yang ditawarkan stesen televisyen berbayar lain sebagai strateginya meraih penguasaan pasaran televisyen berbayar tempatan.

Sreedhar berkata, ABN akan melabur kira-kira RM2 bilion dalam tempoh 10 tahun termasuk bagi pembangunan rangkaian kabel, infrastruktur, kos operasi serta kandungan program televisyen kabel itu bagi mengukuhkan jenamanya.

Katanya, semua data ABN akan disalurkan menerusi kabel gentian optik milik pengendali rangkaian kabel gentian optik utama tempatan termasuk Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Fibrecomm Network (M) Sdn Bhd.

Mengenai pelan pengembangan syarikat, beliau berkata, ABN juga akan memperluaskan perkhidmatannya meliputi penyediaan perkhidmatan internet dan suara yang akan diperkenalkan selepas beberapa bulan perkhidmatan televisyen dilancarkan.

Sebelum ini dilaporkan ABN melantik Fibrecomm sebagai penyedia perkhidmatan rangkaian utamanya yang pertama bagi menyambungkan kabel optik serat muktamad ke kediaman di negara ini.

Berdasarkan perjanjian itu, Fibrecomm akan menyediakan ABN dengan sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi dan Kemudahan Lokasi Bersama bagi menempatkan peralatan rangkaian ABN.

Perkongsian itu akan mempercepatkan pelancaran televisyen, jalur lebar berkelajuan tinggi, suara dan perkhidmatan multimedia lain ABN kepada pelanggannya tanpa sebarang gangguan, dengan menggunakan rangkaian utama sedia ada Fibrecomm yang menggunakan kapasiti kelajuan jalur lebar tinggi.

- BERITA HARIAN
 

Graduan Pendidikan IPTA Akan Diserap Sekolah Mulai Mei 2012

by
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kementerian Pelajaran telah membuat beberapa ketetapan dan penyelarasan bagi memastikan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi Awam yang belum ditempatkan dapat diserap di sekolah-sekolah mulai Mei ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata seramai 29 daripada 4,859 graduan pendidikan yang berjaya dalam temuduga berfasa yang diadakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) telah diberi penempatan di Pusat Anak Permata Negara sejak 8 April lepas.

"Baki seramai 4,830 graduan pula akan diberi penempatan secara berfasa dengan penempatan Fasa Satu akan dilaksanakan pada 23 Mei ini dengan melibatkan 4,671 graduan. "Daripada jumlah itu, seramai 4,116 graduan akan ditempatkan di Sekolah Menengah, 439 akan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan, 98 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 18 di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Muhyiddin berkata baki 159 orang graduan pula akan ditempatkan di Sekolah Menengah dalam Penempatan Fasa Dua pada Julai ini. Muhyiddin berkata kesemua graduan yang berjaya itu merupakan antara 5,510 graduan IPTA yang mendapat panggilan temuduga daripada SPP mulai Januari lepas. Daripada jumlah itu, SPP terpaksa menolak 32 graduan kerana gagal mengemukakan dokumen lengkap, sementara 557 calon dianggap menolak tawaran temuduga apabila tidak hadir temuduga, katanya.

Beliau berkata kesemua mereka merupakan graduan daripada Universiti Utara Malaysia (90 orang), Universiti Sains Malaysia (368), Universiti Teknologi Malaysia (185), Universiti Perguruan Sultan Idris (3,017).

Universiti Putra Malaysia (482), Universiti Malaya (308), Universiti Sains Islam Malaysia (54), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (105), Universiti Kebangsaan Malaysia (330), Universiti Teknologi Mara (132), Universiti Islam Antarabangsa (53) dan Universiti Malaysia Sabah (214).

Muhyiddin juga berkata kementerian telah melantik seramai 2,397 graduan IPTA daripada 5,510 graduan tersebut sebagai guru interim bagi memenuhi keperluan guru di Sekolah Menengah.

"Berikutan penempatan ini, perkhidmatan guru interim tersebut akan ditamatkan.

Walau bagaimanapun, guru interim yang berjaya temuduga akan ditempatkan dan dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS)pada 23 Mei ini berdasarkan keperluan pengisian mengikut opsyen pengajaran di Sekolah Menengah, Sekolah Kebangsaan, SJKC dan SJKT," katanya.

Muhyiddin berkata bagi 2,484 graduan J-QAF Institut Pendidikan Guru yang akan menamatkan pengajian pada Jun ini, mereka akan melalui temuduga pelantikan sebagai PPPS oleh SPP terlebih dahulu sebelum penempatan diuruskan.

Timbalan Perdana Menteri berkata urusan temuduga dan pengambilan graduan dari institusi pengajian tinggi swasta tidak dapat dijalankan pada masa ini kerana kementerian memberi keutamaan kepada graduan IPTA yang mana pengambilan mereka mengikuti bidang pendidikan yang telah dianjurkan oleh kementerian itu lebih awal kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

"Graduan IPG pula diberi keutamaan disebabkan latihan mereka dalam bidang pendidikan adalah tajaan Kementerian Pelajaran," katanya.

Para graduan boleh melayari laman web www.spp.gov.my bagi mengetahui sama ada mereka berjaya atau tidak. Keputusan penempatan akan diumumkan kementerian sedikit masa lagi.

- BERNAMA

SPR Tidak Ubah Sempadan Tapi Perbetulkan Lokaliti - SPR

by
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak pernah melakukan perubahan terhadap sempadan kawasan pilihan raya, tetapi hanya membetulkan lokaliti pemilih yang tersalah letak sebelum ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR menyedari kedudukan beberapa lokaliti yang tersalah letak di dalam bahagian pilihan raya hanya selepas penggunaan Sistem EGIS (Sistem Maklumat Geografi Pemilih) pada 2004.

"Oleh kerana kedudukan lokaliti berkenaan telah tersalah letak maka selaras peruntukan undang-undang, SPR perlu membetulkan kedudukan lokaliti tersebut di dalam bahagian pilihan raya yang sepatutnya pemilih di dalam lokaliti berkenaan didaftarkan," katanya.

Beliau menjawab dakwaan bahawa SPR telah sengaja membetulkan sempadan kawasan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen tanpa kelulusan Parlimen bertujuan meramaikan pengundi di satu-satu kawasan bagi membolehkan Barisan Nasional beroleh kemenangan pada pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Jawapan itu terkandung di dalam buku yang dikeluarkan SPR bertajuk 'Fakta Sebenar Di sebalik Dakwaan dan Fitnah Terhadap SPR' dan diedarkan kepada media bagi menjawab 12 dakwaan pihak tertentu. Untuk rekod, lokaliti bermaksud unit yang paling kecil yang terdapat dalam daerah mengundi dan ia mempunyai sejumlah pemilih dan alamat masing-masing.

Abdul Aziz berkata berkata langkah membetulkan lokaliti itu membabitkan 19,342 pemilih di seluruh negara. "Pemilih-pemilih mengikut lokaliti-lokaliti berkenaan perlu ditempatkan di dalam kawasan pilihan raya yang sebenarnya seperti yang wujud di lapangan," katanya.

Beliau berkata selepas pembetulan dilakukan, SPR memaklumkan secara rasmi melalui surat pemberitahuan yang dialamatkan kepada semua pemimpin parti politik di dalam bahagian-bahagian pilihan raya yang berkenaan.

"Kita beranggapan parti-parti politik melalui pemimpin-pemimpin mereka di peringkat daerah mengundi dan DUN menyedari tindakan SPR tersebut dan seterusnya memaklumkan kepada pemilih-pemilih yang terlibat di kawasan masing-masing," katanya. Bagaimanapun kata Abdul Aziz, ramai pemilih memaklumkan kepada SPR mereka tidak tahu berlaku pembetulan lokaliti.

"Jadi untuk PRU-13,SPR akan menulis surat pemberitahuan perkara tersebut kepada semua pemilih yang terlibat di semua kawasan yang berkenaan di seluruh negara," katanya.

Abdul Aziz berkata perubahan sempadan kawasan atau bahagian pilihan raya hanya dapat dilakukan apabila tiba masanya mengikut peruntukan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, dan SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dengan perkara itu.

SPR turut menyangkal dakwaan bahawa kawasan mengundi Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah dipindahkan secara tidak sah, sebaliknya nama beliau juga terbabit dalam proses pembetulan lokaliti.

Abdul Aziz berkata SPR telah memberi penjelasan terperinci berhubung perkara itu, namun isu tersebut terus diputar belit untuk mengelirukan orang ramai yang tidak faham tentang isu pembetulan kedudukan lokaliti.

Apa berlaku sebenarnya ialah SPR hanya membuat pembetulan kedudukan lokaliti yang telah tersalah letak di dalam kawasan pilihan raya yang mana proses itu dijalankan mengikut Peruntukan sub peraturan 25(3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih 2002), katanya.

- BERNAMA

130 Saluran ASTRO untuk semua pelanggan dari 27 April - 6 Mei 2012

by

Mulai 27 April sehingga 6 Mei 2012 selama 10 hari, semua 130 saluran ASTRO (kecuali ASTRO First) boleh ditonton oleh semua pelanggan tanpa mengira pakej yang mereka ambil. Ini termasuklah Pakej Filem, Sukan, Indo Pek, Dinasti, Maharaja, Pakej Mini dan Metro.
Saluran ini dibuka untuk tontonan semua pelanggan ASTRO sebagai  menghargai para pelanggannya yang memilih ASTRO sebagai pemenang PUTRA Best Brand Award 2012 baru-baru ini.
http://www.astro.com.my/
 
 
 

Soal Jawab Mengenai Jawatan Kosong di KEMAS

by
1. Bilakah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan membuat iklan jawatan kosong di KEMAS?

 KEMAS akan membuat iklan apabila terdapat keperluan untuk mengisi jawatan-jawatan berstatus KONTRAK.

 Bagi jawatan berstatus TETAP, kekosongan ini akan di isi oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Tuan/Puan boleh rujuk ke laman web SPA di www.spa.gov.my dan mengisi borang SPA8i secara online. Jawatan tetap adalah seperti yang tertera pada borang SPA8i berdasarkan kelayakan pendidikan. Tiada spesifikasi untuk KEMAS kerana penempatan adalah ditentukan berdasarkan keperluan Kementerian/Jabatan sekiranya berjaya di dalam proses temuduga tersebut.

 Iklan-iklan jawatan kosong berstatus kontrak ini akan disiarkan di akhbar-akhbar utama berbahasa Malaysia pada hujung minggu (Mingguan Malaysia bagi Semenanjung Malaysia dan Borneo Post bagi Sabah dan Sarawak). Pengumuman mengenai kekosongan jawatan ini akan diwar-warkan di laman web KEMAS di www.kemas.gov.my; dan di laman sosial Facebook KEMAS di www.facebook.com/jabatankemajuankemas



2. Apakah jawatan-jawatan berstatus kontrak tersebut?

 i) Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S17 (Penyelia)

 ii) Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Gred S27 (Pemaju Masyrakat Tabika)

 iii) Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Gred S27 (Pemaju Masyarakat Taska)

 iv) Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S17 (Pemaju Masyarakat Pelbagai Jurusan)

 Bagi jawatan (i) tajuk iklan adalah Iklan Jawatan Kosong Bagi Mengisi Kekosongan Pembantu Pembangunan Masyarakat (Penyelia) Gred S17

 Bagi jawatan (ii) hingga (iii) tajuk iklan adalah Tawaran Bagi Mengikuti Kursus Pendidikan Awal Kanak-kanak Tabika/Taska Bagi Lepasan Diploma

 Bagi jawatan (iv) tajuk iklan adalah Iklan Jawatan Kosong Bagi Mengisi Kekosongan Pembantu Pembangunan Masyarakat (Pemaju Masyarakat Pelbagai Jurusan) Gred S17



3. Apakah jenis borang tersebut?

 KEMAS 1 Pin. 2005



4. Bagaimana untuk mendapatkan borang tersebut?

 Borang-borang boleh didapati di semua pejabat KEMAS Negeri & Daerah berdekatan dengan tempat tinggal tuan/puan.

 Selain itu, tuan/puan boleh mendapatkan borang tersebut dengan memuat turun dari laman web KEMAS di www.kemas.gov.my



5. Adakah dikenakan sebarang bayaran?

 TIADA SEBARANG BAYARAN DIKENAKAN.



6. Apakah dokumen-dokumen yang perlu disertakan?

 Borang yang telah lengkap di isi hendaklah disertakan dengan 2 keping gambar terkini, salinan kad pengenalan yang telah disahkan, salinan surat beranak yang telah disahkan, salinan sijil-sijil keputusan peperiksaan yang telah disahkan, salinan sijil-sijil aktiviti yang telah disahkan.



7. Siapakah yang boleh mengesahkan salinan dokumen-dokumen tersebut?

 Ketua Kampung, Pegawai-pegawai Kerajaan Kumpulan Professional (Gred 41 dan ke atas).



8. Di mana saya perlu menghantar borang yang telah siap di isi?

 Tuan/Puan perlu menghantar borang yang telah siap di isi yang disertakan dengan dokumen-dokumen (rujuk soalan 5) yang diperlukan ke Pejabat KEMAS NEGERI yang berhampiran dengan tempat tinggal tuan/puan.



9. Berapa lama tempoh sah laku permohonan?

 Enam (06) bulan dari tarikh tutup permohonan. Sekiranya tuan/puan tidak menerima sebarang panggilan dalam tempoh enam (06) bulan dari tarikh tutup, permohonan tuan/puan adalah di anggap tidak berjaya.



10. Adakah bukti pos boleh diguna pakai sebagai bukti penerimaan dokumen/borang?

 Bukti pos bukan bukti penerimaan dokumen/borang.



11. Adakah cara lain untuk saya mengisi borang kekosongan jawatan di KEMAS?

 Ketika ini pihak KEMAS masih menggunapakai borang yang di isi secara manual.


http://www.facebook.com/jabatankemajuankemas



Keistimewaan amalan hari Jumaat

by
Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

HARI Jumaat mempunyai banyak keistimewaan yang seharusnya dimanfaatkan dengan melaksanakan amalan hasanah. Ibnu Katsir dalam kitabnya Tafsir Ibnu Katsir mengatakan Jumaat bermaksud berhimpun.

Pada hari Jumaat kaum muslimin dihimpunkan di masjid untuk mendengar khutbah dan mendirikan solat Jumaat dua rakaat.
Hari Jumaat cukup istimewa kerana Allah telah mengatakan tawaran hebat iaitu ganjaran pahala besar terhadap amal ibadah dan amalan hasanah yang dilakukan. Disebabkan besarnya pahala dijanjikan Allah, maka rugilah sesiapa yang mengabaikan kehadiran hari Jumaat tanpa amalan salih dan kebajikan.
Kita sering membaca laporan media yang cukup mengguris hati apabila adanya segelintir anak muda tanpa rasa malu dan segan merempit pada waktu khutbah Jumaat dibacakan dan semasa jemaah menunaikan solat Jumaat.

Malah ada yang mengambil peluang berlumba motosikal selepas saja selesai menunaikan solat. Ini suatu gambaran negatif dan mempamerkan kurang hormat kepada hari Jumaat yang mulia itu. Ada juga yang sengaja mengambil peluang pada hari Jumaat melaksanakan aktiviti luar seperti berkelah hingga mengabaikan solat Jumaat.

Jumaat sebagai penghulu segala hari adalah hari pengampunan yang Allah berikan kepada hamba-Nya. Anas berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak meninggalkan seorangpun dalam kalangan orang Islam pada hari Jumaat, melainkan ia pasti diberi-Nya pengampunan.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Jadi, kita sewajarnya memanfaatkan hari Jumaat untuk memperbanyakkan bacaan istighfar memohon keampunan. Rasulullah SAW juga ada memberitahu bahawa pada hari Jumaat ada satu waktu yang begitu eksklusif untuk berdoa kerana amat mustajab.

Abu Hurairah mengatakan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pada hari Jumaat itu ada satu saat yang mana sekiranya berkebetulan dalam solat seseorang hamba, lalu dia bermohon kepada Allah, pasti akan diberikan apa yang dimintanya sambil Rasulullah SAW mengisyaratkan dengan tangan Baginda bagi menggambarkan betapa sekejapnya saat itu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita seharusnya berusaha mencari waktu yang dikatakan mustajab berdoa pada hari Jumaat. Meskipun tidak dinyatakan waktu yang tepat, kita tidak wajar memandang remeh ruang dan peluang untuk berdoa.

Seperkara lagi pesanan Rasulullah SAW berkaitan keistimewaan hari Jumaat ialah tawaran Allah menggandakan pahala terhadap sesiapa saja yang melakukan amalan soleh, begitu juga perbuatan mungkar dan dosa, turut digandakan kiraan dosanya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya pada hari Jumaat seluruh makhluk termasuklah jin dan manusia akan berasa gementar, dan pada hari itu juga dilipat gandakan kebajikan dan kejahatan, dan hari yang mana akan berlakunya kiamat.” (Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah)

Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan dilipatgandakan pahala yang dilakukan pada hari Jumaat.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Antara amal ibadah yang sangat dianjurkan pada hari Jumaat ialah membanyakkan bacaan selawat dan menggandakan kerja kebajikan untuk manfaat masyarakat.

Biasanya pada hari Jumaat ada kalangan masyarakat kita mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan. Ini satu kegiatan yang sangat bernilai tinggi dalam Islam kerana selain memelihara kebersihan tanah perkuburan, aktiviti itu mampu mengeratkan ukhuwah.

Sebagai menghormati hari Jumaat yang mulia, sewajarlah kita beramal sebaik yang terdaya untuk memperoleh ganjaran pahala di sisi Allah selain menjadikannya landasan membina masyarakat bersatu padu menerusi kerja kebajikan serta amalan hasanah.

- BERITA HARIAN

Generasi muda berita RTM

by

 BARISAN penyampai muda dan baharu penyampai berita RTM (dari kiri) Syah Hairizal, Farhatul, Fathil, Hanim, Shahril, Hazel, Kamal dan Athikah

SELAMA ini penonton setia saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) sudah mengetahui mengenai peranan saluran media elektronik tersebut yang membawa mesej kerajaan dan menyampaikan maklumat, misalnya menerusi rancangan berita yang disiarkan setiap hari.

Biarpun terpaksa bersaing dengan stesen televisyen swasta untuk menarik perhatian penonton, namun RTM tidak pernah ketinggalan untuk melakukan beberapa perubahan bagi meningkatkan lagi mutu rancangan yang disiarkan.

Contohnya pada tahun 2009, stesen berkenaan telah melakukan penstrukturan apabila TV1 dijadikan saluran berita beroperasi selama 24 jam sehari serta dimuatkan dengan program berita, dokumentari, bual bicara dan majalah, manakala TV2 sebagai saluran hiburan yang membuatkan program berbentuk hiburan atau muzikal drama.

Ketua Penyampai Berita TV RTM, Fathil Hidayat Ghazali berkata, buat masa ini program berita RTM terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Berita Nasional, Berita Wilayah dan Berita Semasa.

"Untuk program Berita Nasional, ia akan disiarkan pada pukul 7 pagi, 1 tengah hari, 8 malam dan 12.30 tengah malam, manakala Berita Wilayah akan disiarkan selama sejam setiap hari pada pukul 5 petang.

"Menariknya tentang Berita Wilayah ini, ia lebih fokus kepada berita-berita di Sabah dan Sarawak dan lintas langsung akan dibuat dari studio mini di kedua-dua negeri tersebut. Selain itu, ada juga lintas langsung dari sebuah negeri di Semenanjung mengikut giliran pada setiap hari," ujarnya.

Tambahnya, Berita Semasa pula akan disiarkan sebanyak tujuh kali sehari iaitu pada pukul 9 pagi, 10 pagi, 11 pagi, 12 tengah hari, 3 petang, 4 petang dan 10 malam selama lima minit.

Mengenai kerjaya sebagai penyampai berita pula, Fathil menceritakan, bagi sesiapa yang baru ditugaskan sebagai penyampai berita RTM, mereka akan ditugaskan untuk menjadi penyampai Berita Semasa terlebih dahulu.

"Setelah diberi tugas sebagai penyampai Berita Semasa dalam tempoh yang ditetapkan, kemudian barulah mereka akan diserapkan untuk Berita Wilayah. Bagi program Berita Nasional pula, tugas penyampai biasanya diberikan kepada mereka yang lebih berpengalaman," jelasnya.

Lebih menarik lagi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, program berita di RTM sebenarnya telah menampilkan ramai penyampai berita yang terdiri daripada generasi muda yang sangat berbakat.

Malah, ada antara penyampai yang bakat mereka dikesan menerusi program realiti Penyampai Ikon RTM 2009 yang pernah dianjurkan sebelum ini dalam usaha untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang penyiaran.

Antara penyampai berita RTM pada masa ini yang merupakan finalis program tersebut adalah seperti Shahril Sarapudin, Hazel Desmond, Athikah Mohd. Naim dan Kamal Firmanshah Kamaluddin.

Menurut Shahril Sarapudin yang kini bertugas sebagai penyampai Berita Nasional, dia sendiri tidak menyangka akan menjadi seorang penyampai memandangkan bidang pengajiannya di universiti sebelum ini adalah pengurusan bank.

"Sebenarnya saya merupakan penyampai berita paling muda di RTM dan sangat berbangga kerana sudah diberikan tanggungjawab untuk menjadi penyampai Berita Nasional, meskipun tidak mempunyai pengalaman yang luas.

"Saya memulakan kerjaya di RTM pada tahun 2010 dan bermula sebagai penyampai Berita Wilayah. Namun, saya selepas tiga bulan, terus saya diserapkan pula untuk menjadi penyampai Berita Nasional, " ujar pemuda berusia 22 tahun itu.

Sementara itu, menjadi penyampai berita bukan Melayu di RTM yang menyampaikan berita berbahasa Melayu, Hazel Desmond menganggap ia bukanlah satu masalah yang besar buat dirinya apabila ditugaskan menjadi penyampai Berita Nasional.

Tekanan kuat

Sebagai seorang gadis berketurunan Iban, proses menguasai penggunaan bahasa Melayu dirasakan sesuatu yang cukup mencabar dan dengan bantuan rakan-rakan serta kerap membaca buku, telah banyak membantu dirinya untuk bertutur dengan fasih.

"Saya menganggap ini adalah satu penghargaan yang cukup besar apabila ditugaskan untuk menjadi penyampai Berita Nasional. Tidak dinafikan tekanan yang dirasa agak kuat, tetapi peluang diperoleh haruslah digunakan sebaik-baiknya," ujarnya.

Bagi Athikah Mohd. Naim pula, tanggungjawabnya sebagai seorang penyampai Berita Wilayah sememangnya cukup menarik dan cara penyampaiannya juga agak berbeza berbanding Berita Nasional dan Berita Semasa.

"Boleh dikatakan gaya penyampaian untuk Berita Wilayah agak lebih santai, cuma ia memerlukan penghayatan yang lebih mendalam supaya sesuatu maklumat yang disampaikan itu dapat diterima penonton.

"Pada mulanya, memang perasaan saya agak gementar juga apabila diberi tanggungjawab ini. Namun, disebabkan minat yang cukup mendalam, saya mencabar diri sendiri bagi memenuhi cita-cita untuk menjadi seorang penyampai berita," ujarnya.

Athikah mengakui mempunyai keinginan yang besar untuk tampil menjadi penyampai Berita Nasional. Bagaimanapun, buat masa ini dia merasakan lebih selesa sebagai seorang penyampai Berita Wilayah.

Kamal Firmanshah Kamaluddin dalam pada itu berkata, dia melalui perjalanan yang agak sukar dan mencabar untuk menjadi seorang penyampai berita.

Ujarnya, masalah paling utama yang dihadapi dan kerap menghantui jejaka kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ialah sebutan slanga Sabahnya yang susah untuk diatasi ketika mula-mula bergelar penyampai berita dahulu.

"Dengan kesukaran yang terpaksa dihadapi itu menyebabkan saya perlu berusaha dengan lebih keras untuk memperbaiki slanga saya. Kini, saya bersyukur apabila masalah tersebut akhirnya sudah dapat diatasi terutamanya dengan bantuan rakan-rakan," ujarnya.

Bidan terjun

Berbeza dengan keempat-empat orang penyampai berita yang dilahirkan menerusi Penyampai Ikon RTM 2009, pembabitan Syah Hairizal Kamalul Arifin pula adalah sebagai bidang terjun.

Dia memulakan kerjayanya di RTM sejak tahun 2001 sebagai seorang penyampai pengacara rancangan Infopsikik (TV2) dan wartawan untuk rancangan Titik Sentuhan (TV1).

"Kerjaya saya sebagai seorang penyampai berita bermula pada tahun 2008 apabila seorang penyampai Berita Semasa telah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Sepatutnya penyampai tersebut perlu menyampai berita pada pukul 3 pagi.

"Sedangkan semasa penerbit mendapat tahu tentang kejadian kemalangan itu, masa yang ada tinggal lima minit sahaja lagi sebelum Berita Semasa disiarkan. Akhirnya, saya telah dipilih oleh penerbit kerana sudah kesuntukan masa untuk mencari pengganti," jelasnya.

Mengenai perasaannya apabila diberikan tanggungjawab memikul tugasan yang telah diberikan, katanya: "Tidak dapat dibayangkan perasaan saya ketika itu kerana tiada sebarang persediaan yang dilakukan, apatah lagi ia disiarkan secara langsung dan tempoh lima minit dirasakan cukup lama. Namun, selepas itu saya terus ditawarkan untuk menjadi penyampai berita."

Sementara itu, penyampai Berita Wilayah, Farhatul Aishati Othman atau Farah memberitahu, dia berminat untuk menjadi seorang penyampai kerana menggemari dua orang penyampai berita senior RTM iaitu Farid Ismeth Amir dan Harjit Singh Hullon.

Ujarnya, selepas menamatkan pengajian peringkat Diploma Pemasaran di Kolej Multimedia pada tahun 2009, dia terus ditawarkan untuk menjadi pengacara di RTM menerusi rancangan Panorama yang disiarkan di saluran TV1.

"Memandangkan saya tiada sebarang pengalaman dalam bidang pekerjaan, akhirnya saya bersetuju untuk berkhidmat dengan RTM sebagai pengacara. Namun, minat saya yang mendalam untuk menjadi penyampai berita tetap ada.

"Tidak lama kemudian saya telah dipindahkan ke bilik berita TV RTM dan diberi tanggungjawab untuk menjadi penyampai Berita Semasa. Biasanya saya akan ke udara pada pukul 3 atau 4 pagi, tetapi tidak kisah kerana menjadi penyampai berita merupakan impian saya," ujarnya.

- KOSMO!

Testosteron pengaruh kualiti hidup lelaki

by

Oleh SUHANA VERU

WAJAH Andrew Ooi Kuan Jin kelihatan lebih tua berbanding usianya yang sebenar iaitu 45 tahun. Namun, lelaki yang mempunyai dua anak itu pada awalnya enggan mengambil pusing dengan kata-kata tersebut yang sering dilontarkan orang di sekelilingnya.

Bagaimanapun, jauh di sudut hati lelaki berkenaan sememangnya wujud perasaan gusar dengan keadaan fizikalnya.

Beberapa tahun memendam perasaan akhirnya semua terjawab pada bulan November lalu apabila beliau berkunjung ke Singapura.

Di Kota Singa, beliau turut ditegur mengenai perkara yang sama. Tidak tahan dengan kritikan rakan-rakan pada waktu itu, akhirnya beliau meluahkan masalahnya yang mengalami simptom mudah marah, letih dan sukar untuk tidur.

Secara kebetulan, seorang rakan yang menetap di Singapura pernah berdepan dengan simptom tersebut dan telah didiagnosis mempunyai masalah kekurangan hormon testosteron.

Justeru, dia mencadangkan supaya Andrew menjalani pemeriksaan tahap testosteron kerana dikhuatiri menghadapi masalah yang sama.

Tahap testosteron merosot

Atas nasihat rakannya itu, Andrew pulang ke Malaysia dan membuat keputusan untuk menjalani pemeriksaan di salah sebuah hospital di ibu negara.

Selepas menjalani pemeriksaan, doktor mendapati tahap hormon testosteronnya berada di bawah paras 12 normal (paras normal antara 12 hingga 40) dan dinasihatkan mengambil ubat-ubatan untuk menangani masalah berkenaan.

Testosteron merupakan hormon seks yang penting kepada golongan lelaki kerana ia bertanggungjawab kepada pembentukan perwatakan lelaki seperti perkembangan genital, kalenjar prostat, otot-otot, pertumbuhan bulu badan seperti janggut dan bulu pada bahagian badan yang lain.

Bagaimanapun, penuaan menyebabkan kemerosotan progresif paras testosteron yang lazimnya dihidapi oleh lelaki yang berusia 40-an.

Untuk mengetahui paras hormon, seseorang itu boleh melakukan ujian darah.

Beliau yang ditemui pada majlis pelancaran produk terbaharu syarikat antarabangsa farmaseutikal, Orient Europharma di ibu negara baru-baru ini menceritakan akibat masalah tersebut, beliau berasa mudah marah terutamanya terhadap anak lelakinya yang baru berusia 10 tahun.

Kemarahan itu timbul disebabkan soalan-soalan diajukan oleh anaknya yang dianggap tidak masuk akal.

“Namun, selepas memarahinya, saya rasa menyesal dengan perbuatan itu kerana perasaan itu dialami sejak kebelakangan ini sahaja,”ujarnya.

Selain itu, beliau juga mengakui tidak dapat tidur sehingga pukul 3 pagi selain berasa cepat letih.

Pada mulanya, anak jati Pulau Pinang itu beranggapan masalah tersebut disebabkan tekanan kerja, tetapi selepas menemui doktor barulah beliau sedar tentang punca masalahnya itu.

Begitupun, beliau mengakui tidak berhadapan masalah dengan hubungan seksual cuma mengalami masalah penat, lemah dan mudah marah.

Bagaimanapun, kini beliau menggunakan sejenis ubat sapu untuk menangani masalah kekurangan hormon testosteron.

Beliau mengakui dengan menggunakan ubat sapu itu, beliau melihat perubahan kepada dirinya yang tidak mudah marah dan bertenaga. Namun, keberkesanan ubat berkenaan mengambil masa untuk mengembalikan tahap hormon kepada normal.

Sementara itu, Pakar perunding dan Ketua Unit Urologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Zulkifli Md. Zainuddin memberitahu, masih ramai golongan lelaki tidak sedar dengan masalah itu.

Menurutnya, kekurangan hormon testosteron lazimnya berlalu dalam kalangan lelaki yang berusia lebih 30 tahun disebabkan usia semakin lanjut.

Bagaimanapun, ia kerap berlaku dan kurang dikenal pasti selain tidak dirawat.

Mengulas lanjut mengenai masalah berkenaan, beliau memberitahu, simptom awal penyakit itu biasanya lesu, kurang nafsu, angin berubah dan pengurangan jisim otot.

Selain itu, individu yang mempunyai masalah tersebut juga akan mengalami peningkatan lemak badan dan kemurungan.

Menyentuh mengenai rawatan, beliau memberitahu, terapi penggantian testosteron (TRT) merupakan opsyen yang paling efektif bagi simptom masalah itu.

Menurutnya, TRT mampu mengembalikan fungsi seks, mengelakkan penyakit osteoporosis, meminimumkan risiko patah tulang dan meningkatkan fungsi otot.

Namun demikian, golongan lelaki juga perlu mengubah corak kehidupan mereka dengan mengamalkan pemakanan seimbang, bersenam, berhenti merokok dan mengelakkan diri daripada mengambil minuman beralkohol.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, kekurangan hormon testosteron boleh dirawat dengan pengambilan ubat-ubatan.

“Untuk itu, bagi individu yang mengalami gejala-gejala sedemikian mereka perlu segera berjumpa dengan doktor untuk memeriksa tahap hormon testosteron,”ujarnya.

Ketika ditanya sama ada ada masalah itu boleh membawa maut beliau berkata, ia hanya akan menjejaskan kualiti kehidupan individu itu.

- KOSMO!

Telefon pintar Walkman NWZ-Z1000

by

SYARIKAT peralatan elektronik terkenal, Sony memperkenalkan produk telefon pintar terkini untuk siri Walkman sempena Konvensyen Sony 2012 di ibu negara baru-baru ini.

Model NWZ-Z1000 yang merupakan peranti Walkman pertama dipacu sistem operasi Android itu hadir bersama fungsi audio berkualiti serta dilengkapi inovasi sistem bunyi Sony terbaik.

Ia merangkumi lima teknologi bunyi yang benar-benar hebat iaitu Clear Audio, S-Master MX, Clear Base, Clear Audio dan Digital Sound Enhancement Engine (DSEE).

Kelebihan tersebut dilihat bakal memberi peluang kepada pengguna yang obses dengan muzik untuk menikmati pengalaman itu secara mobiliti dan lebih intuitif.

Daripada segi paparan, ia disempurnakan bersama skrin sentuh responsif bersaiz 4.3 inci untuk kemudahan mengakses aplikasi hiburan selain kapasiti memori binaan dalam 32 gigabit (GB).

Bagi memastikan pengguna dapat menikmati operasi telefon pintar itu dengan lebih lancar pula, model berkenaan disokong oleh pemproses Tegra dua teras.

Keunikan lainnya, ia turut tersedia bersama aplikasi DLNA untuk disambungkan terus kepada peranti televisyen bagi menyokong pelbagai permainan multimedia.

Walkman NWZ-Z1000 telah pun berada di pasaran dan boleh didapati di cawangan-cawangan Sony Store dan Sony Centre terpilih. Maklumat lanjut mengenainya sila layari laman www.sony.com.my

- UTUSAN
 

Perlu bijak kendali pinjaman peribadi

by

PADA tahun 2003, Abdul telah memohon pembiayaan peribadi dari sebuah institusi kewangan. Pembayaran balik hutang itu secara berkala pada setiap bulan itu berlanjutan sehingga tujuh tahun.

Bagaimanapun empat tahun kemudian, Abdul mengalami kesempitan wang yang memaksa dirinya memohon satu lagi pinjaman baharu dari institusi kewangan yang sama.

Satu daripada terma dan syarat pinjaman bulan ini mewajibkan dana yang dipinjam diguna bagi melunaskan hutang lama. Ia dikenali sebagai pinjaman bertindih dalam kalangan institusi kewangan.

Tetapi ansuran bulanan yang perlu dibayar bagi pinjaman terbaharunya lebih tinggi kerana Abdul perlu memohon jumlah yang lebih besar bagi melangsaikan pinjaman lama dan masa pembayaran balik bagi hutang yang baharu adalah selama sedekad.

Dari satu sudut, Abdul mendapat dana bagi menyelesaikan masalah kewangannya, tetapi dari satu aspek yang lain, dia dibelenggu beban hutang yang baharu untuk selama 10 tahun.

Tawar kemudahan

Menurut pakar rujuk kewangan, Ng Lai Wai, terdapat beberapa sebab orang ramai memohon pinjaman.

"Ada yang memohon pinjaman untuk membeli rumah, kereta dan memulakan perniagaan. Biasanya mereka terpaksa membuat pinjaman kerana tidak mempunyai dana untuk pembelian," kata beliau.

Menurut beliau, kini terdapat banyak institusi kewangan yang menawarkan kemudahan pinjaman peribadi tanpa penjamin atau cagaran.

"Pemohon hanya perlu menyertakan dokumen yang diperlukan dan hanya menunggu kelulusan. Kadangkala kelulusan datang dengan cepat, tidak sampai tujuh hari bekerja dari tarikh permohonan," kata Lai Wai.

Menurut beliau, pinjaman peribadi adalah pinjaman yang tidak bercagar iaitu peminjam tidak perlu meletakkan apa-apa sekuriti atau cagaran bagi menjamin pembayaran balik pinjaman itu.

"Disebabkan tiada jaminan atau cagaran terlibat, kadar faedah pinjaman agak tinggi jika dibandingkan dengan pinjaman bercagar contohnya yang menggunakan rumah sebagai cagaran.

"Kadar faedah yang agak tinggi disebabkan tiada jaminan pada pinjaman dalam bentuk aset. Sebab itulah kadar faedah pinjaman peribadi agak tinggi," kata beliau.

Kalau si peminjam memiliki rumah, dia boleh mencari alternatif dalam bentuk pinjaman yang menawarkan kadar faedah yang rendah seperti pinjaman ekuiti rumah.

Tetapi opsyen pinjaman ini memerlukan peminjam meletakkan rumah atau hartanah yang lain sebagai cagaran. Menurut Lai Wai, tidak kira sama ada pinjaman yang dibuat itu bercorak peribadi atau di sebaliknya, ia digunakan untuk membiayai perbelanjaan yang agak besar.

Peminjam akan diberi dana sekali gus bersetuju membayar balik amaun bulanan pada kadar yang ditetapkan sehingga hutang itu dilunaskan.

"Bayaran bulanan adalah bayaran balik jumlah prinsipal (jumlah hutang yang dipohon) dan jumlah faedah," jelas beliau.

Pembiayaan peribadi mungkin satu-satunya opsyen bagi peminjam yang tidak mempunyai rumah, hartanah atau aset lain yang boleh digunakan sebagai sekuriti atau jaminan.

Bagi lai Wai, pinjaman peribadi adalah satu alternatif yang bijak bagi membantu perbelanjaan jika dibandingkan kad kredit yang mengenakan faedah yang amat tinggi.

Pinjaman peribadi juga boleh digunakan bagi penyusunan semula hutang jika faedahnya lebih rendah berbanding faedah kad kredit.

Rampas harta

"Bagaimanapun, jika anda mempunyai skor (rekod) kredit yang agak rendah, mungkin sukar untuk dapat pinjaman peribadi yang faedahnya rendah melainkan ada ahli keluarga atau orang lain yang sanggup menjadi penjamin jika anda gagal membayar hutang tersebut.

"Dalam situasi ini, si penjamin akan membuat bayaran jika anda gagal melunaskan bayaran bulanan, oleh itu faedah yang dikenakan bagi pinjaman boleh dirundingkan bergantung kepada budi bicara institusi kewangan yang terlibat, " kata beliau.

Jika gagal membuat bayaran, pemberi pinjaman juga berhak merampas harta yang dicagarkan.

Memandangkan pinjaman adalah satu komitmen, si peminjam perlulah berhati-hati dalam membuat keputusan.

Lai Wai juga menasihatkan si peminjam agar memilih institusi kewangan yang dirasakan betul-betul dapat membantu.

"Bukan senang pilih pemberi pinjaman yang betul. Kita tidak hanya melihat kadar faedah yang rendah. Pada masa yang sama, pinjaman yang mengenakan kadar faedah rendah selalunya mengenakan tempoh bayaran yang agak panjang.

"Bila pilih institusi kewangan, lihat juga sama ada ia teguh, fleksibel tentang skim bayaran bulanan dan kadar faedah yang dikenakan," kata Ng.

Tambah beliau, sebelum seseorang itu membuat pinjaman memang ada baiknya dia membuat penilaian terhadap kebaikan dan keburukan pinjaman terlebih dahulu.

Dengan meminjam wang, membolehkan seseorang mempunyai dana dan mencapai objektif.

"Tetapi harus diingat setiap pinjaman perlu dibayar balik beserta kadar faedah.

"Mungkin bagi sesetengah peminjam, terdapat persepsi bahawa institusi kewangan boleh menyelesaikan masalah bersangkutan. Itulah sebabnya walaupun ramai peminjam agak sukar membuat pinjaman, namun mereka masih meneruskan niat itu.

- BERNAMA

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90