Sabtu, April 07, 2012

MSAM 2012 di Sabah tawar hadiah bernilai RM250,000


Permodalan Nasional Berhad. (PNB) yang menganjurkan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2012 di Sabah, menawarkan hadiah utama bernilai RM250,000.

Hadiah utama itu berupa sebuah kereta Ford Fiesta 1.6L Sport oleh Sime Darby Bhd., Toyota Hilux 2.5G sumbangan UMW Holdings dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) menyumbang MyVi 1.5 Extreme.

Dengan tema 'Pelaburan Untuk 1Malaysia', MSAM kali ke-13 tahun ini diadakan selama sembilan hari, bermula 20 April ini di Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Sabah.

Acara tahunan PNB itu bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan penutup oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hadiah-hadiah utama yang bakal ditawarkan kepada para pengunjung MSAM itu tidak termasuk 15 buah motosikal dan 35 buah basikal daripada Malaysia Industrial Development Finance Bhd. (MIDF).

I&P Group pula menawarkan komputer riba dan gajet manakala CCM Bhd. pula menawarkan produk farmaseutikal dan kesihatan.

Hadiah-hadiah menarik dan lumayan untuk dimenangi kepada para pengunjung melalui kuiz e-peraduan utama MSAM.

Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, PNB telah menambah baik beberapa program sedia ada, di samping memperkenalkan program-program baharu dan menjenamakan semula Program MSAM bagi menarik penyertaan pengunjung.

''Sasaran awal kita untuk menarik 200,000 pengunjung tetapi kami berharap jumlah pengunjung lebih tinggi yang pernah dicatatkan di Kuala Terengganu seramai 255,000 orang,'' katanya pada sidang akhbar pada majlis MSAM 2012, Jalinan Rakan Korporat di sini hari ini.

Ditanya jumlah tajaan keseluruhan, Hamad Kama Piah berkata: ''Terlalu banyak''.

Dalam pada itu, beliau berkata, acara tahunan itu hanya belum singgah di Perlis dan Selangor.

Beliau turut membayangkan acara pendidikan pelaburan itu akan tetap diteruskan walaupun ia sudah mengelilingi semua negeri.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts