Top Ad 728x90

Perlu bijak kendali pinjaman peribadi


PADA tahun 2003, Abdul telah memohon pembiayaan peribadi dari sebuah institusi kewangan. Pembayaran balik hutang itu secara berkala pada setiap bulan itu berlanjutan sehingga tujuh tahun.

Bagaimanapun empat tahun kemudian, Abdul mengalami kesempitan wang yang memaksa dirinya memohon satu lagi pinjaman baharu dari institusi kewangan yang sama.

Satu daripada terma dan syarat pinjaman bulan ini mewajibkan dana yang dipinjam diguna bagi melunaskan hutang lama. Ia dikenali sebagai pinjaman bertindih dalam kalangan institusi kewangan.

Tetapi ansuran bulanan yang perlu dibayar bagi pinjaman terbaharunya lebih tinggi kerana Abdul perlu memohon jumlah yang lebih besar bagi melangsaikan pinjaman lama dan masa pembayaran balik bagi hutang yang baharu adalah selama sedekad.

Dari satu sudut, Abdul mendapat dana bagi menyelesaikan masalah kewangannya, tetapi dari satu aspek yang lain, dia dibelenggu beban hutang yang baharu untuk selama 10 tahun.

Tawar kemudahan

Menurut pakar rujuk kewangan, Ng Lai Wai, terdapat beberapa sebab orang ramai memohon pinjaman.

"Ada yang memohon pinjaman untuk membeli rumah, kereta dan memulakan perniagaan. Biasanya mereka terpaksa membuat pinjaman kerana tidak mempunyai dana untuk pembelian," kata beliau.

Menurut beliau, kini terdapat banyak institusi kewangan yang menawarkan kemudahan pinjaman peribadi tanpa penjamin atau cagaran.

"Pemohon hanya perlu menyertakan dokumen yang diperlukan dan hanya menunggu kelulusan. Kadangkala kelulusan datang dengan cepat, tidak sampai tujuh hari bekerja dari tarikh permohonan," kata Lai Wai.

Menurut beliau, pinjaman peribadi adalah pinjaman yang tidak bercagar iaitu peminjam tidak perlu meletakkan apa-apa sekuriti atau cagaran bagi menjamin pembayaran balik pinjaman itu.

"Disebabkan tiada jaminan atau cagaran terlibat, kadar faedah pinjaman agak tinggi jika dibandingkan dengan pinjaman bercagar contohnya yang menggunakan rumah sebagai cagaran.

"Kadar faedah yang agak tinggi disebabkan tiada jaminan pada pinjaman dalam bentuk aset. Sebab itulah kadar faedah pinjaman peribadi agak tinggi," kata beliau.

Kalau si peminjam memiliki rumah, dia boleh mencari alternatif dalam bentuk pinjaman yang menawarkan kadar faedah yang rendah seperti pinjaman ekuiti rumah.

Tetapi opsyen pinjaman ini memerlukan peminjam meletakkan rumah atau hartanah yang lain sebagai cagaran. Menurut Lai Wai, tidak kira sama ada pinjaman yang dibuat itu bercorak peribadi atau di sebaliknya, ia digunakan untuk membiayai perbelanjaan yang agak besar.

Peminjam akan diberi dana sekali gus bersetuju membayar balik amaun bulanan pada kadar yang ditetapkan sehingga hutang itu dilunaskan.

"Bayaran bulanan adalah bayaran balik jumlah prinsipal (jumlah hutang yang dipohon) dan jumlah faedah," jelas beliau.

Pembiayaan peribadi mungkin satu-satunya opsyen bagi peminjam yang tidak mempunyai rumah, hartanah atau aset lain yang boleh digunakan sebagai sekuriti atau jaminan.

Bagi lai Wai, pinjaman peribadi adalah satu alternatif yang bijak bagi membantu perbelanjaan jika dibandingkan kad kredit yang mengenakan faedah yang amat tinggi.

Pinjaman peribadi juga boleh digunakan bagi penyusunan semula hutang jika faedahnya lebih rendah berbanding faedah kad kredit.

Rampas harta

"Bagaimanapun, jika anda mempunyai skor (rekod) kredit yang agak rendah, mungkin sukar untuk dapat pinjaman peribadi yang faedahnya rendah melainkan ada ahli keluarga atau orang lain yang sanggup menjadi penjamin jika anda gagal membayar hutang tersebut.

"Dalam situasi ini, si penjamin akan membuat bayaran jika anda gagal melunaskan bayaran bulanan, oleh itu faedah yang dikenakan bagi pinjaman boleh dirundingkan bergantung kepada budi bicara institusi kewangan yang terlibat, " kata beliau.

Jika gagal membuat bayaran, pemberi pinjaman juga berhak merampas harta yang dicagarkan.

Memandangkan pinjaman adalah satu komitmen, si peminjam perlulah berhati-hati dalam membuat keputusan.

Lai Wai juga menasihatkan si peminjam agar memilih institusi kewangan yang dirasakan betul-betul dapat membantu.

"Bukan senang pilih pemberi pinjaman yang betul. Kita tidak hanya melihat kadar faedah yang rendah. Pada masa yang sama, pinjaman yang mengenakan kadar faedah rendah selalunya mengenakan tempoh bayaran yang agak panjang.

"Bila pilih institusi kewangan, lihat juga sama ada ia teguh, fleksibel tentang skim bayaran bulanan dan kadar faedah yang dikenakan," kata Ng.

Tambah beliau, sebelum seseorang itu membuat pinjaman memang ada baiknya dia membuat penilaian terhadap kebaikan dan keburukan pinjaman terlebih dahulu.

Dengan meminjam wang, membolehkan seseorang mempunyai dana dan mencapai objektif.

"Tetapi harus diingat setiap pinjaman perlu dibayar balik beserta kadar faedah.

"Mungkin bagi sesetengah peminjam, terdapat persepsi bahawa institusi kewangan boleh menyelesaikan masalah bersangkutan. Itulah sebabnya walaupun ramai peminjam agak sukar membuat pinjaman, namun mereka masih meneruskan niat itu.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90