Top Ad 728x90

,

Seremban Jadi Bandar Raya Sebelum Hujung Tahun 2012

SEREMBAN: Seremban akan diisytiharkan sebagai bandar raya ke-12 di negara ini sebelum hujung tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, kabinet telah meluluskan perkara ini dalam pertemuan terakhirnya dan kini hanya perlu menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz sebelum pengisytiharan dibuat.

"Saya berasa bangga untuk mengumumkan bahawa permohonan kerajaan negeri untuk menggabungkan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) telah diluluskan. Seremban kini memenuhi semua kriteria untuk diiktiraf sebagai bandar raya," katanya.

Beberapa bandar raya lain di negara ini adalah Kuala Lumpur, Ipoh, Kuching Utara dan Selatan, Johor Baru, Kota Kinabalu, Shah Alam, Melaka, Alor Star, Miri, Petaling Jaya and Kuala Terengganu.

Chor berkata untuk mendapat status bandar raya, kerajaan negeri perlu memperoleh pendapatan lebih daripada RM100 juta dan jumlah penduduk melebihi 500,000.

"Kerajaan negeri telah melepasi setiap peringkat untuk mendapat status bandar raya termasuk memiliki bilangan penjawat awam secukupnya untuk berkhidmat kepada penduduk di situ," katanya di sini malam Isnin.

Bilangan penduduk di Seremban dan Nilai meningkat secara mendadak selepas pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, kawasan perindustrian dan penempatan baru serta hub pendidikan di Nilai, Bandar Enstek dan terbaru, Bandar Sri Sendayan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dalam temu bual terdahulu berkata, kerajaan negeri tidak akan tergesa-gesa untuk mengisytiharkan Seremban sebagai bandar raya.

"Kita perlu memastikan kemudahan asas dan awam berada dalam keadaan baik selain memastikan hasrat melihat sebuah bandar raya selamat dapat dicapai," katanya.

Kerajaan negeri telah menghantar permohonan untuk menggabungkan MPS dan MPN pada 2008.

Mohamad berkata, kerajaan negeri telah memenuhi lebih daripada 20 syarat sebelum ia boleh diluluskan sebagai bandar raya tetapi menunggu kelulusan kabinet berhubung penggabungan itu.

- MSTAR

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90