Top Ad 728x90

Siaran Langsung Upacara Pertabalan SPB Yang di-Pertuan Agong Pada Rabu Di TV1 & TV3

Upacara pertabalan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah selaku Yang di-Pertuan Agong yang ke-14 pada Rabu sudah pastinya akan mencatat sejarah sebagai peristiwa bersejarah yang paling tinggi ditonton oleh orang ramai menerusi kaca televisyen.

Upacara itu akan disiarkan secara langsung oleh RTM1 dan juga TV3 bermula dari jam 9 pagi.

Yang lebih menjadikan upacara itu unik ialah ia hanya berlaku sekali setiap lima tahun dan apa yang menjadikannya lebih istimewa ialah Tuanku Abdul Halim bakal ditabalkan untuk kali yang kedua selaku Yang di-Pertuan Agong.

Sejak sistem ketua negara ini diperkenalkan pada tahun 1957, inilah kali pertama, seorang sultan ditabalkan untuk kali yang kedua dalam sejarah negara ini.

Kali pertama Seri Paduka Tuanku Abdul Halim ditabalkan ialah pada tahun 1970 dan berkhidmat selama lima tahun sehingga 1975 selaku Yang di-Pertuan Agong yang kelima.

Esok (Rabu) Seri Paduka akan ditabalkan selaku Yang di-Pertuan Agong yang ke-14.

Upacara pertabalan kali ini juga bakal menyaksikannya berlangsung di Istana Negara yang baru dan adalah dijangkakan seramai 780 tetamu negara termasuk Raja-Raja Melayu akan menghadirinya.

Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mencatat sejarah ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua pada Rabu.

Belum pernah dalam sejarah negara, Sultan atau Raja yang sama dilantik semula sebagai Ketua Negara sejak sistem giliran memegang jawatan di kalangan sembilan Sultan dan Raja dipraktikkan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.

Tuanku Abdul Halim pertama kali ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada 1970 semasa berusia 42 tahun, dan kini empat dekad kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada usia 84.

Malah yang menambah keunikan pertabalan kali ini ialah Perdana Menterinya Datuk Seri Najib Tun Razak, di mana semasa Tuanku Abdul Halim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima, perdana menteri pada masa itu adalah ayahanda Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussain, yang merupakan perdana menteri kedua negara.

Selain itu, pertabalan Seri Paduka turut melakar sejarah apabila upacara pertabalan kali ini diadakan buat pertama kalinya di Istana Negara yang baru di Jalan Duta.

Acara pertabalan yang akan menandakan secara rasminya Tuanku Abdul Halim memegang tampuk pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada Rabu akan diadakan dengan penuh adat istiadat dan tradisi beraja di negara ini.

Tradisi beraja dan upacara pertabalan itu, yang mungkin hanya disaksikan dalam tempoh lima tahun akan diadakan di Balairong Seri, Istana Negara pada pukul 10 pagi esok dan disiar secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Mengikut aturcara raptai penuh yang diadakan di Istana Negara semalam, istiadat pertabalan itu akan dimulakan dengan tiupan nafiri dan paluan nobat lagu "Raja Berangkat" daripada Kumpulan Nobat Kedah yang mengiringi keberangkatan masuk Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong Hajah Haminah ke Balairong Seri.

Istiadat itu akan dihadiri Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri, Menteri-menteri kabinet, Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri, kerabat diraja Seri Paduka, wakil negara asing serta tetamu kehormat dari dalam dan luar negara.

Aturcara istiadat akan bermula dengan barisan Diraja masuk ke Balairong Seri didahului oleh pemangku Datuk Maharaja Lela Azwan Effendy Zairakithnaini berserta panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama.

Cogan Alam dan Cogan Agama, kedua-duanya tongkat perak yang merupakan sebahagian alat kebesaran Diraja yang menjadi lambang kebesaran Kerajaan Malaysia.

Tuanku Abdul Halim, 84, akan berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong iaitu muskat (seperti kot hitam labuh) yang bersulam emas serta berseluar panjang bersulam di kaki dengan bertengkolok "Dendam Tak Sudah".

Seri Paduka juga akan memakai Pending Diraja, diperbuat daripada emas bertatahkan permata delima dengan lambang Kerajaan Persekutuan tertera di tengah-tengahnya bersama-sama tali bengkung yang diperbuat daripada kain sakhlat bertekat benang emas berbunga-bunga.

Di pinggang Seri Paduka, akan tersemat Keris Pendek Diraja yang hulunya diperbuat daripada mata keris lama dengan bersarung gading bertatahkan emas.

Tuanku Hajah Haminah pula akan memakai perhiasan Raja Permaisuri Agong iaitu Gendik Diraja, pakaian ulu (kepala) dan Kalung Diraja, kedua-duanya diperbuat daripada emas putih bertatah berlian yang mengenakan persalinan baju panjang sedondon, Gandik Diraja (tiara) dan Kalung Diraja, kemudiannya bersemayam di Singgahsana untuk Istiadat Pertabalan. Istiadat pertabalan dimulakan dengan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Awang Kechik Abdul Rahman membawa masuk senaskhah Al-Quran, manakala Keris Panjang Diraja yang juga merupakan Keris Kerajaan, Surat Pengisytiharan dan Warkah Ikrar dibawa oleh pegawai-pegawai Istana Negara, dengan iringan paluan nobat lagu "Menjunjung Duli".

Nashkah Al-Quran, yang merupakan lambang kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara, kemudiannya disembahkan kepada Seri Paduka oleh pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela.

Baginda lalu mencium Al-Quran dan meletakkannya di atas rehal yang terletak di atas meja tengah di antara Seri Paduka berdua.

Istiadat diteruskan dengan pembacaan surat pengisytiharan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang ditulis jawi di atas kulit kambing.

Pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela kemudiannya mempersembahkan Keris Kerajaan yang merupakan alat kebesaran utama negara kepada Seri Paduka Baginda.

Yang di-Pertuan Agong yang menerima keris berkenaan akan menghunus, mengucup dan menyarungkan semula keris itu, tanda kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka, dan kemudian meletakkannya di atas meja di hadapan nashkah Al-Quran.

Ini diikuti titah ikrar Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan pemerintahan seadil-adilnya bagi Malaysia, mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara serta memelihara dengan sempurna agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman.

Sebaik sahaja selesai warkah ikrar dilafazkan, nafiri ditiup dan lagu nobat "Raja Bertabal" dimainkan, diikuti laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali oleh pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela diikuti para hadirin di dalam Balairong Seri.

Serentak itu, tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan dan lagu "Negaraku" dimainkan oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia, diketuai Left Sabri Abdullah.

Perdana Menteri kemudiannya sekali lagi menghadap sebagai mewakili kerajaan dan rakyat mempersembahkan Ucapan Tahniah dan Taat Setia atas pertabalan baginda, diikuti dengan Tuanku Abdul Halim menyampaikan Titah Diraja.

Pegawai Agama Istana Negara Datuk Abd Aziz Che Yacob kemudian membacakan doa selamat.

Sebelum selesai istiadat pertabalan, pahar berisi Al-Quran dibawa turun dari Singgahsana oleh pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela sebelum menyembahkan bahawa Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14 selamat disempurnakan.

Seterusnya, Balairong Seri bergema sekali lagi dengan tiupan nafiri dan paluan nobat lagu "Raja Berangkat" sebagai adat mengiringi Seri Paduka berdua meninggalkan majlis dengan didahului pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja dan panglima-panglima yang membawa alat-alat Kebesaran Diraja.

Tuanku Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja kali ke-226 pada 14 Okt 2011 bagi menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahannya pada 12 Disember 2011.

Pada tanggal 13 Disember 2011, sempena Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja kali ke-227, Tuanku Abdul Halim dengan rasminya diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi memerintah negara buat kali yang kedua.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90