21 projek baru NKEA


PETALING JAYA 28 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 21 projek baru di bawah tujuh Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang dijangka mampu melonjakkan Pendapatan Negara Kasar (GNI) sebanyak RM4.59 bilion menjelang 2020.

Menurut Perdana Menteri, kesemua projek melibatkan pelaburan RM20.46 bilion itu akan mewujudkan sebanyak 39,9218 peluang pekerjaan baru dalam tempoh tersebut selari dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Bagi NKEA Pertanian, katanya, ia melibatkan pelaburan bernilai RM456.69 juta dan RM367.58 juta GNI serta mewujudkan 2,539 peluang pekerjaan bagi menambah baik jaringan keselamatan makanan negara.

Katanya, NKEA Perkhidmatan Perniagaan pula menyaksikan pelaburan sebanyak RM2.4 bilion dan RM1.41 bilion GNI di samping mewujudkan 10,909 peluang pekerjaan dalam bidang pembuatan dan pembaikan kapal, kejuruteraan reka cipta, pusat maklumat serta pusat perkhidmatan global.

“Bagaimanapun, perjalanan yang masih jauh harus ditempuhi untuk kita nyatakan bahawa misi telah selesai dengan jayanya walaupun pelbagai usaha telah dijalankan oleh sektor swasta dan kerajaan dalam usaha mentransformasi negara," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada majlis pengumuman pencapaian ETP di sini hari ini.

Turut hadir, beberapa menteri kabinet, ketua serta wakil syarikat tempatan serta luar negara yang menjadi rakan kongsi pelaburan ETP negara.

Najib menambah, NKEA Pemborongan dan Peruncitan pula melibatkan pelaburan berjumlah RM466.8 juta yang menyumbang kepada RM1.1 bilion nilai GNI dan mencipta 16,363 peluang pekerjaan.

Menurut beliau, NKEA Penjagaan Kesihatan menyaksikan pelaburan RM107.14 juta dengan RM238.06 juta GNI dan menyediakan 3,735 peluang pekerjaan dalam tempoh lapan tahun akan datang.

Bagi NKEA Pendidikan, kata Perdana Menteri, ia melibatkan pelaburan RM535.58 juta dan menyumbang RM146.39 juta dalam GNI serta mewujudkan 660 peluang pekerjaan dalam tempoh itu.

Kata beliau, NKEA Elektrikal dan Elektronik pula menyaksikan pelaburan RM4 bilion dan 1,000 peluang pekerjaan dengan 400 daripadanya merupakan pekerjaan berkemahiran tinggi.

Menurut Najib, NKEA Greater KL pula melibatkan pelaburan RM12.5 bilion termasuk pembinaan Bandar Antarabangsa Sepang dengan RM1.34 bilion GNI dan menyediakan 4,712 peluang pekerjaan.

“Dengan keadaan ekonomi global yang masih tidak menentu, inilah masanya untuk kita mengorak langkah lebih pantas menuju destinasi impian dengan memberi fokus tidak berbelah bahagi terhadap enjin-enjin pertumbuhan ekonomi negara supaya kita dapat berdaya saing di peringkat antarabangsa," katanya.

- UTUSAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.