A400M : Gergasi udara TUDM


SEMASA Kementerian Pertahanan (Kementah) mengumumkan pembelian pesawat pengangkut Airbus A400M kira-kira enam tahun lalu, ada kalangan pemikir pertahanan tempatan beranggapan cadangan tersebut kurang bernas.

Alasannya, perolehan pesawat yang menelan kos berbilion ringgit itu ada risikonya kerana tempoh untuk menyiapkan pesawat dijangka memakan masa bertahun-tahun.

Ketika itu, Airbus melalui cabang firma pertahanannya, Airbus Military masih belum menghasilkan pesawat hakiki dan cuma mempamerkan visual komputer pesawat kepada negara bakal pembeli.

Namun, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak melihat ia sebagai perolehan serampang dua mata.

Dimeterai pada Pameran Antarabangsa Udara dan Maritim Langkawi 2005 (LIMA 05), pembelian empat pesawat pengangkut bernilai RM2.8 bilion itu merupakan keputusan bijak kerajaan.

Selain bagi menggandakan keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seperti yang dirancang, Najib sudah membayangkan bahawa perolehan tersebut menguntungkan industri hiliran tempatan khususnya teknologi mega aeroangkasa.

Ini kerana banyak syarikat tempatan yang berkelayakan bakal menerima limpahan ekonomi berganda seperti mengeluarkan bahagian tertentu pesawat. Walaupun hanya komponen kecil, ia akan digunakan di peringkat global.

Sebanyak 184 buah pesawat telah dipesan, antaranya Jerman dengan pesanan 60 buah pesawat, Perancis (50), Sepanyol (27), Britain (20) dan Turki (10).

Pengangkut

A400M diilhamkan pada tahun 1982 bagi Program Pesawat Pengangkut Masa Hadapan (FIMA) melibatkan tiga gergasi aeroangkasa Barat iaitu Aérospatiale, British Aerospace (BAe), Lockheed and Messerschmitt-Bölkow-Blohm (MBB).

Mengikut perancangan, pesawat yang dihasilkan dalam kategori sederhana nanti hendaklah lebih besar daripada Hercules C-130 tetapi lebih kecil berbanding pesawat Boeing C-17.

Malangnya, Lockheed menarik diri tujuh tahun kemudian sebelum disertai firma Alenia dan CASA dari Itali.

Hanya pada tahun 2003, pelan global pembangunan A400M dimeterai lapan negara Eropah iaitu Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol, Britain, Turki, Belgium dan Luxemborg. Itali bagaimanapun menarik diri kemudian.

Pembelian A400M menyaksikan Malaysia menjadi negara tunggal Asia menyertai program pesawat pengangkut global itu manakala Afrika Selatan pula mewakili benuanya.

Pesawat A400M yang pertama siap dibina pada Jun 2008 sebelum melakukan penerbangan sulung pada 11 Disember 2009. Kini, sebanyak lima model pesawat ujian telah dihasilkan.

Ia direka bagi operasi di kawasan pendaratan tidak tersedia, boleh menggabungkan keupayaan logistik dan taktikalnya untuk membawa beban hingga 30 tan metrik sejauh 2,450 batu nautika.

Menurut penganalisis pertahanan, Muhammad Fuad Mat Nor, TUDM sememangnya memerlukan pesawat pengangkut berkeupayaan tinggi sesuai dengan peranan pelbagai misi yang perlu dilaksanakan dan bukan terhad kepada tugas ketenteraan.

Katanya, A400M dijana empat enjin turboprop (berkipas) yang kosnya lebih ekonomi sesuai dengan angkatan udara kecil seperti TUDM berbanding pesawat jenis sama sedia ada menggunakan enjin jet.

“Bagaimanapun dengan saiz lebih besar berbanding C-130 Hercules, ia meningkatkan kemampuan TUDM sebanyak dua kali ganda.

“Misalnya, misi membawa pulang 3,482 pelajar dan rakyat Malaysia dari Mesir ke Jeddah, Arab Saudi pada Februari tahun lalu selama 11 hari menggunakan tiga pesawat C-130 menjadi lebih pantas dengan sebuah A400M sahaja,” ujarnya.

Ruang kargonya yang luas dengan kapasiti membawa beban sehingga 37 tan membolehkan A400M berfungsi sebagai hospital udara untuk diterbangkan ke mana-mana kawasan bencana di dunia.

- KOSMO!

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.