Kutipan cukai di Brazil terbaik

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN

APAKAH hukuman yang bakal diterima jika ada individu yang cuba mengelak daripada membayar cukai di negara ini? Pastinya, mereka bakal menerima surat amaran atau berdepan tindakan undang-undang atau mungkin hukuman penjara.

Namun, masih banyak pihak yang masih terlepas daripada tindakan undang-undang.

Di Brazil, lain pula halnya, perkara seperti itu tidak akan berlaku. Anda kena berwaspada kerana ada pihak berkuasa yang akan mencari anda sampai ke lubang cacing.

Seandainya anda didapati cuba mengelak membayar cukai, sekumpulan ejen lengkap bersenjata akan datang mengetuk pintu rumah anda dan ia sekali gus mengundang ketakutan kepada sesiapa saja yang cuba menggelak membayar cukai.

Malah, pasukan itu turut menggunakan helikopter untuk terbang ke seluruh negara bagi mengesan mereka yang 'culas' menunaikan tanggungjawab kepada negara.

Namun, ejen tersebut bukan polis. Sebaliknya daripada agensi pemungut cukai.

Perkhidmatan Hasil Persekutuan atau dalam bahasa latin Receita Federal do Brasil (RFB), dikenali di seluruh dunia sebagai satu-satunya agensi pemungut cukai yang menggunakan taktik kreatif dan 'ganas'.

Atas usahanya, badan itu menjadi kunci utama kepada prospek ekonomi Brazil pada tahun ini.

Presiden Dilma Rousseff mengharapkan keberanian anggota agensi pemungut cukai itu akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran bajet yang telah ditetapkan, walaupun negara itu berdepan keadaan ekonomi yang sedikit goyah.

RFB menguruskan semua hasil Persekutuan termasuk cukai (cukai pendapatan, cukai hasil industri, cukai dagangan antarabangsa, cukai kredit dan cukai insurans).

Ia turut menguruskan sumbangan ekonomi kepada negara (bayaran sumbangan berdasarkan aktiviti ekonomi) dan sumbangan keselamatan sosial (sumbangan yang patut dibayar kepada pesara, orang kurang upaya dan orang miskin).

Pegawai paling tinggi di RFB adalah Secretário da Receita Federal yang dilantik Menteri Kewangan dengan persetujuan Presiden.

Dari 1994 hingga 2001, agensi itu diterajui Everardo Maciel yang bertanggungjawab memperkenalkan teknologi dan prosedur pentadbiran baru, yang menyaksikan peningkatan kutipan hasil dan menambah kredibiliti kepada badan itu.

Maciel yang kini dilantik sebagai konsultan RFB, merupakan antara pemimpin yang suaranya sangat dihormati di Brazil apabila membicarakan mengenai hal berkaitan cukai.

RFB menggunakan 'singa' sebagai lambang rasminya dan mengejar individu yang cuba mengelak membayar cukai melalui kaedah yang boleh dikatakan keterlaluan.

Pelbagai taktik digunakan, antaranya membawa senjata ketika mengadakan operasi dan meletakkan meter pada tong arak di kalangan penjual arak bagi memastikan individu dan syarikat terbabit mengisytihar serta membayar cukai perniagaan mereka kepada kerajaan.

Operasi terbaru agensi itu menggunakan nama seperti 'harimau kumbang hitam' dan 'delta' yang biasanya dikaitkan dengan pasukan khas tentera.

Agensi itu turut menggunakan helikopter bagi mengukur luas dan nilai kediaman jutawan bagi memastikan mereka membayar cukai secara konsisten.

Satu daripada rahsia kejayaan RFB adalah kesediaan agensi itu mengenepikan status sosial dan hubungan politik dalam negara yang biasanya memberi golongan elit perlindungan daripada dakwaan mahkamah.

Rousseff sendiri pernah disiasat pada 2009, ketika beliau memegang jawatan menteri dalam kerajaan terdahulu, kerana menurutnya berlaku satu kesilapan berkenaan pemulangan cukainya.

Namun, kaedah yang digunakan agensi tersebut turut mengundang rungutan di kalangan penduduk di negara itu.

Mereka berpendapat kemudahan infrastruktur, pendidikan dan perkhidmatan lain di Brazil tidak setimpal dengan cukai yang mereka sumbangkan.

Namun, ada juga yang memuji tindakan itu kerana ia meletakkan negara itu dalam sejarah pungutan cukai tersendiri di kalangan negara Amerika Latin.

Sehingga kini, prestasi RFB boleh dipuji. Dalam tiga bulan pertama tahun ini, kerajaan Brazil berjaya memungut sehingga lebih satu pertiga daripada sasaran cukai yang ditetapkan.

Hasil cukai juga meningkat lebih tujuh peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Sikap ejen yang mencatatkan rekod bersih ketika menjalankan tugas wajar dipuji. Tidak banyak kes rasuah dicatatkan, berbeza dengan kes melibatkan polis dan juga institusi-institusi penguatkuasa lain di negara itu.

Malah kerajaan Chile, Tanzania dan China mengambil langkah menghantar pegawai mereka mengunjungi Brazil bagi mengkaji apa yang membuatkan agensi itu cukup efektif.

Ketika beberapa negara Amerika Latin seperti Mexico dan Paraguay kehilangan separuh hasil cukai berpotensi disebabkan pengelakan pembayaran dan juga kurang penguatkuasaan, Brazil pula mencatatkan anggaran hanya sekitar 16 peratus, menurut Institut Perancangan Cukai Brazil, sebuah badan swasta di negara itu.

Walaupun kadarnya masih tinggi jika dibandingkan dengan beberapa negara Eropah utara, namun pakar berkata, ia jauh lebih baik jika dibandingkan dengan negara-negara membangun yang berada pada tahap yang sama.

- UTUSAN Kutipan cukai di Brazil terbaik

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.