MAFTA berkuat kuasa 1 Januari 2013

KUALA LUMPUR 22 Mei - Pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas antara Malaysia dan Australia (MAFTA) yang ditandatangani hari ini akan berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Januari tahun depan.

Pemeteraian MAFTA itu membolehkan pengeksport tempatan mengeksport semua barangan tanpa cukai ke Australia.

Pengeksport Australia pula menikmati pengurangan hampir 99 peratus tarif barangan menjelang tahun 2020.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, di bawah perjanjian itu, Malaysia akan membenarkan pemilikan sehingga 100 peratus dalam pendidikan tinggi swasta menjelang 2015.

Australia juga ditawarkan penguasaan sehingga 100 peratus dalam pegangan asing dalam telekomunikasi namun bergantung kepada jenis-jenis lesen.

Menurut beliau, bagi lesen penyediaan perkhidmatan rangkaian (NSP) dan penyediaan kemudahan rangkaian (NFP), Australia dibenarkan menguasai sehingga 70 peratus.

Dalam sektor kewangan pula, Australia dibenarkan memiliki pegangan ekuiti sehingga 70 peratus dalam syarikat insurans dan bank-bank pelaburan, 100 peratus pegangan dalam syarikat nasihat pelaburan dan 70 peratus bagi nasihat kewangan korporat dan syarikat perancangan kewangan.

Sebaliknya, Australia pula membenarkan penyertaan Malaysia dalam perkhidmatan hospital dan perkhidmatan sokongan hospital.

Negara itu turut membenarkan Malaysia mewujudkan perkhidmatan perubatan pelengkap dan tradisional, termasuk urutan Melayu, homeopati, Ayurveda dan perubatan tradisional Cina, katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan butiran MAFTA sebelum menandatangani perjanjian itu di sini hari ini.

Pada majlis itu, Mustapa mewakili Malaysia dan Australia pula diwakili oleh Dr. Craig Emerson.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Malaysia dan Australia memulakan rundingan pada Mei 2005 tetapi tertangguh pada 2006 bagi membolehkan kedua-dua negara memberi fokus kepada perjanjian perdagangan bebas (FTA) ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA).

Rundingan semula antara Malaysia dan Australia bersambung semula pada Ogos 2009 selepas AANZFTA selesai.

Selepas 11 kali rundingan, MAFTA berjaya dimuktamadkan pada 30 Mac lalu.

Australia adalah negara keenam yang menandatangani FTA dengan Malaysia selepas Jepun, Pakistan, New Zealand, Chile dan India.

- UTUSAN MAFTA berkuat kuasa 1 Januari 2013

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.