Melabur dalam simpanan tetap atau unit amanah?

Simpanan dan pelaburan, walaupun kadangkala digunakan dalam konteks yang sama, adalah aktiviti berbeza dari segi perancangan kewangan.

Simpanan bermakna meletakkan tunai dalam sesuatu yang sangat cair, seperti akaun simpanan atau akaun deposit tetap. Sebaliknya, pelaburan bermakna menggunakan tunai untuk membeli aset, yang anda harap boleh meraih pulangan yang berpatutan dalam tempoh tertentu dengan mengambil risiko yang boleh diterima.

Simpanan dan pelaburan berbeza dari segi risiko. Anda boleh menanggung sedikit kerugian atas pelaburan, tetapi simpanan anda adalah untuk dimanfaatkan dalam tempoh masa terdekat dan tidak seharusnya menimbulkan sebarang risiko.

Berapa banyak harus disimpan dan berapa banyak untuk dilaburkan? Simpanan perlu sentiasa diutamakan. Anggap simpanan sebagai asas pelan kewangan anda.

Sebelum melakukan apa-apa, anda perlu menyimpan untuk membina tabung kecemasan. Sebagai panduan, dana kecemasan anda seharusnya meliputi perbelanjaan peribadi untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.

Dengan cara itu, seandainya anda diberhentikan kerja, anda ada wang untuk menampung keperluan hidup selama enam bulan sehingga anda kembali berdikari.

Seterusnya, anda mungkin mahu memperuntukkan sejumlah simpanan untuk memenuhi sebarang matlamat kewangan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Ini mungkin termasuk wang pendahuluan untuk membeli rumah atau tabung mendirikan rumah tangga. Sebarang jumlah wang yang anda perlu dalam tempoh lima tahun akan datang seharusnya diambil daripada simpanan anda.

Ini kerana pasaran pelaburan mungkin turun naik dalam jangka pendek. Melabur dalam tempoh masa kurang daripada lima tahun mungkin menimbulkan risiko dan kegusaran kerana turun naik pasaran. Setelah anda mencapai matlamat simpanan asas yang saya terangkan di atas, anda boleh mempertimbangkan soal pelaburan.

Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, melabur melibatkan risiko yang lebih tinggi daripada simpanan, tetapi ia juga berpotensi menghasilkan pulangan lebih tinggi. Anda perlu tanya kepada diri sendiri sama ada anda sudah bersedia untuk melabur? Pertama sekali, pelajari tentang pilihan pelaburan yang ada.

Adakah anda fasih tentang selok-belok pelaburan saham atau anda rasa lebih baik menyerahkan tugas itu kepada pengurus profesional. Anda mungkin perlu meluangkan sedikit masa untuk memahami cara kelas aset berbeza bergerak dalam keadaan pasaran berbeza, serta caj jualan dan jumlah pelaburan yang diperlukan untuk bermula.

Kedua, luangkan masa untuk memahami kecenderungan pelaburan anda? Adakah kerugian nilai pelaburan sebanyak 10 peratus akan menyebabkan anda tidak dapat tidur lena? Jika ya, anda mungkin tidak sanggup menerima risiko yang tinggi. Cari produk pelaburan yang sesuai dengan profil risiko anda.

Jangan laburkan sesuatu di luar bidang kefahaman anda. Jika anda kurang selesa, tanya soalan sehingga anda mengenali pelaburan yang anda buat. Jika sesuatu pelaburan kelihatan terlalu hebat, kemungkinan besar ada udang di sebalik batu! Tidak ada pelan pelaburan yang boleh menjadikan anda cepat kaya.

- UTUSAN Melabur dalam simpanan tetap atau unit amanah?

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.