RAHSIA LULUS TEMUDUGA KERJA

Kepada calon yang akan menghadiri temuduga kerja, boleh mendapatkan Panduan Lulus Temuduga Kerja di :
http://www.kerja-kerajaan.com/index.php?ref=my


Produk makanan pokok gaharu

on Thursday, May 24, 2012


GAHARU dikenali di seluruh dunia dengan pelbagai panggilan seperti chen xiang di China, jin-ko di Jepun dan oud di negara Arab.

Selain digunakan secara meluas dalam industri pembuatan produk wangian, tidak ramai yang mengetahui bahawa pokok gaharu mempunyai pelbagai kelebihan lain, malah mampu dikomersialkan.

Menurut Pengurus Besar Gaharu Technologies Sdn. Bhd., Nicklaus Ho, daun-daun pokok gaharu boleh dijadikan produk teh hijau dan mempunyai keistimewaan lebih berbanding teh biasa kerana baunya yang wangi dan menyegarkan selain rasanya yang lazat.

"Teh gaharu yang harum secara tradisinya dikatakan mampu mengubati pelbagai jenis penyakit seperti gout, kencing manis dan darah tinggi.

"Gaharu juga membantu peredaran darah dan menguatkan hati serta sistem saraf dalam badan," katanya kepada peserta rombongan Kembara Cuti-cuti 1Malaysia (KCC1M) 2012 - Jom Terokai Perak, Gopeng, Perak yang mengunjungi ladang berkenaan baru-baru ini.

Nicklaus memberitahu, teh gaharu diminati ramai kerana ia juga dipercayai mempunyai ejen antipenuaan dan membantu seseorang mendapatkan tidur yang lena.

"Teh gaharu dihasilkan dengan menggunakan 100 peratus daun pokok gaharu, tiada bahan pengawet, tiada perasa tiruan, bebas kafein secara semula jadi dan tiada pewarna," jelasnya.

Selain itu, minyak kayu gaharu pula dijadikan sebagai bahan mentah untuk menghasilkan kosmetik kecantikan, manakala akar-akar gaharu pula digunakan dalam industri ubat-ubatan.

Berdasarkan sejarah, gaharu digunakan sejak 2,000 tahun lalu di negara Asia Barat, China dan Jepun.

"Di beberapa negara lain seperti di Arab Saudi, ia merupakan bahan berharga yang digunakan dalam bidang keagamaan serta menjadi persembahan kepada raja-raja sempena majlis-majlis tertentu," katanya.

Ladang skala besar

Tambah Nicklaus, Ladang Gaharu Tea Valley Gopeng menghasilkan 80 peratus daripada hasil pengeluaran kayu gaharu negara ini. Pembangunannya mendapat pengiktirafan kerajaan Malaysia melalui Jabatan Pertanian dan Perhutanan.

"Ladang gaharu di sini mula diusahakan sejak 20 tahun lalu melalui sokongan Envirotech Management Sdn. Bhd. (EMBS) yang telah memacu kejayaan Gaharu Technologies Sdn. Bhd. pada hari ini.

"EMBS mempunyai kepakaran dalam membangunkan ladang berskala besar dan skil pengurusan, manakala Gaharu Technologies Sdn. Bhd. mempunyai makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk meningkatkan kualiti pokok gaharu yang ditanam," katanya.

Justeru, sebahagian pokok gaharu di Gaharu Tea Valley sudah berusia sekitar 20 tahun dan menjadi tarikan ramai pengunjung terutamanya dalam kalangan kaum Cina.

"Orang Cina percaya dengan memeluk pokok gaharu, ia akan membawa tuah kepada si pemeluk. Mereka percaya bahawa bau wangi pokok gaharu adalah bau dari syurga dan akan membawa mereka lebih dekat kepada tuhan.

"Orang Islam juga menggunakan wangian minyak atar yang dihasilkan menggunakan minyak daripada kayu gaharu untuk beribadat," ujarnya.

Jika dahulu, minyak gaharu hanya digunakan oleh maharaja dan keluarga bangsawan, tetapi kini ia mampu dimiliki dan digunakan semua orang.

"Di dalam perubatan Islam juga, kayu gaharu dikatakan mampu mengubati banyak penyakit seperti sakit kerongkong, demam campak, penyakit kuning dan sebagainya," katanya yang banyak membuat rujukan.

Nicklaus menjelaskan, pokok gaharu merupakan spesies pokok terancam dan sebab itulah penebangan pokok tersebut dalam hutan semula jadi adalah dilarang dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Oleh yang demikian, untuk tujuan komersial, ia perlu ditanam. Mereka yang berminat juga boleh menanam pokok ini di rumah masing-masing sebagai hobi kerana pokok gaharu mudah tumbuh di negara yang beriklim panas atau tropika," katanya.

Kedai runcit gaharu

Sejak Gaharu Technologies Sdn. Bhd. dibangunkan pada tahun 2008 untuk tujuan komersial, pelbagai produk makanan baharu menggunakan daun dan kayu gaharu sebagai bahan mentah dihasilkan.

Selain dibeli di ladang berkenaan, ia juga dijual secara dalam talian di laman webnya iaitu www.gaharu.com.my.

"Produk-produk yang dihasilkan di sini antaranya ialah teh gaharu, minyak gaharu, sup gaharu, cip kayu gaharu, biskut gaharu dan nougat.

"Kesemua produk ini mempunyai kebaikan semula jadi kayu gaharu dan amat baik untuk kesihatan sekiranya diamalkan dalam pemakanan seharian," ujarnya.

Nicklaus memberitahu, produk-produk berkenaan dijamin selamat dan enak kerana pokok-pokok gaharu di situ ditanam secara organik.

"Kami tidak menggunakan bahan kimia sebagai baja, sebaliknya menggunakan baja kompos daripada cacing tanah yang dapat menyuburkan tanah secara semula jadi.

"Sebanyak 19 peratus daripada hasil kayu gaharu juga dieksport ke negara-negara Asia Barat, Taiwan, Jepun, Hong Kong dan Korea. Kami juga sedang dalam perancangan untuk menembusi pasaran China," katanya.

Lawatan ke ladang

Keindahan panorama yang hijau dan menyejukkan merupakan pengalaman tidak boleh dilepaskan setiap kali berkunjung ke Gaharu Tea Valley Gopeng itu yang berkeluasan 120 hektar dan mempunyai kira-kira 200,000 batang pokok gaharu.

Menurut jurucakap Jabatan Pemasarannya, Rohana Mat Zaini, Gaharu Tea Valley kini menerima kunjungan ratusan pelancong setiap hujung minggu. Mereka datang bukan sahaja untuk menikmati hidangan berkhasiat berasaskan gaharu, malah untuk menikmati pemandangan indah ladang berkenaan.

"Ladang ini dibuka setiap hari untuk lawatan. Pengunjung berpeluang membeli produk-produk makanan dan aiskrim yang antara lain menggunakan gaharu sebagai salah satu bahan utamanya.

"Ada juga pengunjung yang datang kerana mahu memeluk batang pokok ibu gaharu iaitu pokok gaharu tertua di sini kerana dipercayai mampu membawa tuah kepada mereka," katanya.

Bercerita lanjut, Rohana meminta supaya pengunjung yang datang tidak merosakkan batang pokok gaharu dengan menoreh nama atau perkataan pada batang pokok gaharu.

"Pengunjung yang berbuat demikian sekiranya ditangkap boleh didenda sehingga RM10,000. Kami amat mementingkan pemeliharaan pokok-pokok gaharu di sini kerana ia amat bernilai tinggi," katanya.

Menurut Ronana, cip kayu gaharu mampu dijual pada harga RM25,000 sekilogram dan harganya meningkat kira-kira 30 peratus setiap tahun.

"Daun teh gaharu boleh dituai bagi pokok-pokok yang sudah mencapai umur tiga tahun, manakala cip kayu gaharu yang terdapat dalam batang pokok gaharu boleh dituai apabila pokok mencapai umur matang iaitu lapan tahun," katanya.

Tambah Rohana, sebelum dikomersialkan, sampel-sampel daun gaharu berkenaan dihantar ke makmal Universiti Sains Malaysia (USM) untuk penyelidikan dan memastikan khasiatnya.

"Keputusan menunjukkan ia memberikan reaksi hampir sama dengan kesan ubat dalam pil kencing manis," jelasnya.

- KOSMO!
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© MY ADHA - SUMBER MAKLUMAT & JAWATAN KOSONG TERKINI | Hakcipta Terpelihara 2008 - 2014
D.I.Y Themes ByBelajar SEO