75 peratus dapat kerja selepas 6 bulan

Kajian Pengesahan Graduan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mendapati 75 peratus graduan memperoleh pekerjaan enam bulan selepas menamatkan pengajian, seperti disasarkan pada 2010.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata jumlah itu termasuk graduan yang menunggu penempatan, mengikuti latihan dan menyambung pengajian dalam enam bulan selepas tamat pengajian.

Katanya, kumpulan sasar kementerian termasuk pelajar dalam tempoh pengajian sehingga menduduki peperiksaan akhir, menamatkan kursus dan graduan masih dalam sistem pengajian tinggi bagi tempoh enam bulan selepas menduduki peperiksaan akhir atau selepas konvokesyen.

“KPT memilih pendekatan ini bagi memastikan graduan mempunyai kebolehan tinggi, bermutu dan ada nilai tambah dari segi kemahiran insaniah serta memenuhi kehendak pasaran bagi memperoleh pekerjaan bersesuaian.

“Kerajaan turut memperuntukkan RM75 juta tahun ini bagi pelaksanaan program berkaitan kebolehpasaran dan kebolehdapatan kerja graduan untuk kumpulan sasar ini,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Pelancaran Inisiatif Pembangunan Modal Insan.

Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KPT, Datuk Omar Abd Rahman.

MoU di antara KPT dan Might-Meteor Advanced Manufacturing (MMAM) Sdn Bhd itu dimeterai sempena majlis pelancaran Seminar Pemantapan Program Kebolehdapatan Kerja Graduan dan Program ‘Siri Pemimpin’.

Khaled berkata, berbanding 2007, keupayaan graduan mendapat kerja meningkat tahun lalu dalam semua kategori iaitu 77.4 peratus di Universiti Penyelidikan, Universiti Komprehensif (72.2 peratus) dan 74.2 peratus bagi Universiti Berfokus.

Katanya, kerjasama antara KPT-MMAM membuktikan komitmen kerajaan menangani isu kebolehpasaran graduan dalam bidang teknologi tinggi menerusi perkongsian berkesan antara sektor awam dan swasta bagi menambah baik kemahiran bakat tempatan supaya memenuhi keperluan industri.

Program ‘Siri Pemimpin’ bertujuan meningkatkan kemahiran graduan sebagai pakar industri berteknologi tinggi pada masa depan dengan menyasarkan pembangunan kepakaran yang khusus dalam teknologi elektrik dan elektronik, teknologi hijau serta industri minyak dan gas.

- BERITA HARIAN 75 peratus dapat kerja selepas 6 bulan

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran