Akademi KRU Bakal Lahirkan Pekerja Hiburan Terlatih



CYBERJAYA: Penubuhan Akademi KRU yang bakal beroperasi bermula 2 Julai depan dijangka dapat memenuhi tenaga kerja dalam industri kreatif di negara ini menjelang 2015.

Presiden Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU, Norman Abdul Halim berkata, kewujudan akademi itu bakal memberikan dimensi baru kepada ekosistem industri media dan hiburan negara dengan menyediakan keperluan tenaga kerja yang terlatih, berkaliber dan kreatif.

"Industri media dan hiburan tempatan kini sedang rancak berkembang pada peringkat tempatan dan bergerak ke arah penerokaan pasaran global.

"Kewujudan akademi ini adalah bagi memenuhi bukan sahaja keperluan syarikat kami tetapi juga untuk majikan-majikan lain dalam industri kreatif di Malaysia," ujarnya.

Norman ditemui selepas majlis pelancaran Akademi KRU yang disempurnakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, Isnin.

Dalam pada itu, Norman berkata, buat permulaan pihaknya bakal memperkenalkan tiga program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang memenuhi sepenuhnya keperluan Kementerian Sumber Manusia iaitu Kemahiran Kesan Khas Visual, Animasi 3D dan Animasi 2D.

Tambah Norman, pihak akademi bakal menyediakan perisian komputer yang terkini untuk menghasilkan kandungan kreatif bertaraf antarabangsa.

"Kursus selama enam bulan itu akan dilakukan secara praktikal bagi memberikan pendedahan sebenar kepada penuntut dalam bidang animasi dan kreatif.

"Kesemua kursus juga direka khas oleh pakar-pakar industri berteraskan konsep latihan sejajar dengan perkembangan semasa," katanya.

Tambah Norman, buat permulaan pihaknya akan mengambil hanya 30 ke 60 orang penuntut dan pengambilan akan dibuka sebanyak empat kali setahun dan kelas akan diadakan di K-Workers Development di sini.

"Untuk sesi seterusnya kita akan menambah bilangan penuntut dan merancang untuk membuka kursus ini kepada pelajar asing.

"Kursus sijil kemahiran ini juga dibuka kepada semua tanpa kelayakan minimum malah pemegang ijazah boleh memohon," katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir begitu kagum dengan perkembangan KRU yang aktif membangunkan industri hiburan negara.

Beliau berkata, pendekatan yang digunakan oleh akademi tersebut adalah menarik kerana ia lebih menekankan aspek praktikal berbanding teori.

"Penekanan terhadap praktikal dalam penguasaan sesuatu ilmu adalah satu perkara yang baik dan ia lebih memberikan impak kepada penuntut terutamanya dalam industri kreatif," ujarnya.

Pada majlis sama, Norman turut memperkenalkan enam panel penasihat yang terdiri daripada pakar dari dalam dan luar negara.

Antaranya adalah Presiden Motion Pictures Association Asia Pasifik, Michael C. Ellis, Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Datin Paduka Shuhaimi Baba, Ketua Pegawai Operasi Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar dan Naib Presiden Perniagaan Melayu ASTRO, Khairul Anwar Salleh.

Selain penasihat, penuntut akan mendapat bimbingan daripada lebih lapan orang tenaga pengajar yang berpengalaman dan berkaliber.

Individu yang berminat untuk mengikuti kursus yang ditawarkan boleh memohon secara dalam talian melalui www.kruacademy.com sebelum 30 Jun 2012.

- MSTAR

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran