Bijirin elak hidap kanser



PERTAMA, ilmu mengenainya ada tetapi kita tiada inisiatif untuk bertindak mengubah sikap ke arah pengambilan makanan yang lebih sihat.

Kedua, apabila usia mencecah 35 tahun ke atas, agak terlewat untuk mengubah keseluruhan diet yang menjadi kebiasaan kerana amalan itu sudah mengalir di dalam diri. Ia boleh dikawal, tetapi untuk berubah 100 peratus, mungkin sulit.

Ketiga, ramai hanya akan ‘tersentak’ dan berubah selepas menghidap penyakit berbahaya akibat amalan pemakanan yang selama ini kurang menyihatkan.

Bunyi ketiga-tiga kenyataan di atas agak keras, tetapi itulah realiti sebenar yang menjadi kebiasaan masyarakat kita. Sering bersikap sambil lewa, acuh tidak acuh, ‘lantaklah’ dan menangguhkan perkara baik sudah sebati di dalam diri.

Hal ini didedahkan Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Dr Tee E Siong ketika berbicara mengenai kebaikan pengambilan makanan berasaskan bijian penuh sempena kerjasama pihaknya dengan bijirin sarapan Nestle (Nestle Breakfast Cereals) yang melancarkan buku panduan bertajuk Keajaiban Bijian Penuh (Wonders of Whole Grain).

Katanya, tidak mahu semua perkara demikian berterusan, keluarga terutama ibu bapa adalah individu penting yang perlu memperkenalkan dan memberi makanan penuh berkhasiat kepada anak-anak sejak usia mereka masih muda.

“Seawal usia dua tahun ke atas, ibu bapa sudah boleh memperkenalkan mereka kepada semua makanan sihat yang ada di dunia, tetapi mesti pastikan diri sendiri juga melakukan perkara sama.

“Ibu bapa harus memberi khasiat pemakanan mencukupi kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Ini kerana peluang yang ada untuk berbuat demikian adalah singkat iaitu ketika mereka sedang membesar. Malah, keperluan ini sangat tinggi untuk perkembangan fizikal dan emosi mereka.

“Jangan tunggu sehingga anak-anak sudah membiasakan diri dengan tabiat pemakanan yang tidak sihat, baru ibu bapa ingin mengubahnya. Pada waktu itu, ia sudah terlambat,” katanya.

Dengan mengambil makanan mengandungi bijian penuh misalnya, ia bagus untuk kesihatan tubuh badan bagi menjamin kehidupan yang lebih produktif.

Bijian penuh mengekalkan semua bahagian bijirin asli iaitu bran, endosperm dan germ. Ia mengandungi pelbagai vitamin, mineral, fitokimia (bahan kimia tumbuhan) dan serat berbanding bijirin yang sudah diproses.

Antara contoh makanan yang mengandungi bijian penuh adalah jagung, oat, beras perang, barli, tepung, bijirin dan kekacang.

Bijian penuh juga mengekalkan semua tiga bahagian bijian serta sumber serat, karbohidrat, protein, vitamin B, zat besi, zink, kalsium, selenium dan magnesium yang baik.

Ia juga kaya dengan antioksidan dan bahan tumbuhan semula jadi yang membantu mengekalkan kesihatan baik selain bebas kolesterol, rendah lemak serta lemak tepu dan secara semula jadi tanpa lemak trans.

Beberapa kebaikannya termasuk membantu menangani berat badan dan mengawal kegemukan. Pengambilannya juga membantu mengurangkan risiko penyakit kencing manis jenis 2, melindungi daripada kanser kolon, strok dan penyakit jantung, mengekalkan pergerakan usus serta mengurangkan kolesterol dan tekanan darah.

Kajian penyelidikan yang dibentangkan pada Persidangan Pemakanan Eropah kali ke-11 di Madrid, juga menunjukkan individu yang makan lebih banyak bijian penuh pada umumnya lebih sihat termasuk memiliki indeks jisim tubuh (BMI) rendah, kurang lemak di bahagian abdomen dan pengurangan berat badan.

Memakan sekurang-kurangnya tiga hidangan bijian penuh (48 gram) setiap hari pula dikaitkan dengan pengurangan sebanyak 20 hingga 40 peratus risiko dalam menghidap penyakit jantung dan kencing manis.

“Pada peringkat permulaan memang ia sukar dilakukan kerana kita tidak biasa dengan rasanya yang kurang sedap. Jadi, lakukannya secara perlahan-lahan agar badan anda tidak ‘terperanjat’.

“Ibu hamil atau yang sedang menyusukan anak juga boleh mengambil makanan bijian penuh, malah ia lebih menyihatkan. Tiada sebarang bahan yang keluar daripada bijian penuh itu membahayakan bayi dalam kandungan ataupun diri ibu itu sendiri,” kata Dr Tee.

Terdapat banyak produk bijirin di pasaran kini yang mengandungi bijian penuh, tetapi apa yang perlu diketahui pengguna adalah bijirin diperbuat dengan bijian penuh tidak bererti hanya bijian penuh digunakan.

Ini kerana ia mungkin dicampur dengan tepung biasa, gula dan pelbagai lagi campuran bahan lain.

Bijian penuh kini menjadi tumpuan kerana ia memberikan kebaikan pemakanan yang tinggi berbanding bijian bertapis. Pengguna bukan saja harus sedar mengenai kebaikan bijian penuh, malah mereka juga perlu tahu jumlah sebenar kandungan bijian penuh dalam bijirin atau makanan mereka.

“Lazimnya, kebanyakan jenama yang terdapat di pasaran mengatakan ada bijian penuh dalam makanan mereka, tetapi hanya segelintir yang mempunyai kandungan bijian penuh yang tinggi untuk khasiat sepenuhnya.

“Sebab itulah pengguna perlu berhati-hati. Baca dan fahami label makanan atau dikenali juga sebagai Panel Maklumat Makanan (PMP) yang disediakan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, pelancaran buku panduan ini satu langkah positif bagi memberi kesedaran dan menggalakkan orang ramai meningkatkan pengambilan bijian penuh.

Platform berkenaan dapat digunakan untuk berkongsi maklumat mengenai jenis makanan yang mengandungi bijian penuh dan banyak memberi manfaat kepada kesihatan.

Harapannya, dengan membantu orang awam memahami diet seimbang dan selamat, kerjasama ini juga dapat menyokong usaha kerajaan dalam mempromosikan gaya hidup yang lebih sihat.

Menerusi buku panduan berkenaan, orang ramai juga boleh mempelajari resipi baru yang boleh dipelbagaikan ketika menyediakan hidangan berasaskan bijian penuh sebagai bahan utama.

Antara menu yang boleh dicuba adalah beras perang bersama serai, mufin oatmeal, roti mil penuh berperisa pisang, biskut bijirin gandum dengan aprikot dan minuman smoothie pisang dengan mangga.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu, Pengurus Perniagaan Bijirin Sarapan Nestle, Nirmalah Thurai dan pakar nutrisi, Fatimah Salim.

Untuk memuat turun buku panduan dan mengetahui maklumat lanjut mengenainya, layari www.nutriweb.org.my atau www.nestle.com.my.

- HARIAN METRO

1 comment... add one now

armouris armouris 05 June, 2012
terjumpa info ni, pasal kanser payudara… sharing is caring :) - Pengesanan Awal Kanser Payudara

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.