Buah kiwi kaya nutrisi



WALAUPUN kecil dari segi saiznya, buah kiwi mampu membekalkan cedokan harian yang lazat dengan khasiat kesihatan yang luar biasa.

Pakar Nutrisi Pusat Perubatan Subang Jaya, Ho Wan Mi memberitahu, buah kiwi mengandungi dua kali ganda lebih banyak kandungan vitamin C berbanding buah oren dan lima kali ganda khasiat daripada epal.

“Buah kiwi diakui mengandungi lebih banyak nutrien penting berbanding 27 jenis buah-buahan popular. Ia dibuktikan oleh kajian yang dilaksanakan oleh Universiti Rutgers, Amerika Syarikat sekali gus dinobatkan sebagai perangsang kesihatan terulung.

“Kandungan vitamin C yang tinggi berupaya mempertingkat sistem daya tahan secara semula jadi serta menyumbang kepada pembentukan kolagen selain fungsi normal tulang, rawan, gusi, kulit dan salur darah.

“Ia juga membantu dalam penyerapan zat besi dan kalsium untuk menjaga kesihatan gigi serta gusi selain mampu mencegah simptom selesema,” jelas Wan Mi ketika ditemui Kosmo! sewaktu pelancaran musim buah kiwi Zespri di Kuala Gandah, Lanchang, Pahang baru-baru ini.

Kiwi Zespri sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan pencinta kiwi memandangkan ia antara jenama utama buah itu di peringkat antarabangsa.

Menurut satu kajian yang dipapar dalam The American Journal of Clinical Nutrition, ia mengesahkan kandungan vitamin C dalam buah kiwi Zespri emas adalah lima kali ganda biowujud daripada vitamin C dalam makanan kesihatan tambahan.

Malah, kedua-dua buah kiwi hijau dan emas mengandungi vitamin E dan folat yang boleh membantu pembentukan sel darah merah serta mencegah anemia.

Tambah Wan Mi, buah kiwi merupakan sumber pemakanan serat yang bagus. Diet yang mengandungi banyak serat dapat mengurangkan paras kolesterol yang tinggi dan mengurangkan risiko serangan serta sakit jantung.

“Berbekalkan sumber kandungan serat yang unggul, buah kiwi Zespri membantu melancarkan perjalanan usus dan menyediakan persekitaran gastrousus yang sihat untuk menggalakkan pertumbuhan bakteria baik dalam perut,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, kajian yang diterbitkan The Journal of Agriculture & Food Chemistry pada tahun 2012 menunjukkan buah kiwi hijau mengandungi enzim protease (aktinidin) yang boleh membantu pencernaan di dalam usus kecil.

Ia juga dapat mengurangkan rasa kembung selepas menikmati juadah yang kaya dengan lemak dan daging.

Kiwi dari New Zealand

Menyorot lebih lanjut tentang kiwi Zespri ia adalah antara hasil pertanian terpenting di New Zealand.

Bahkan, Zespri merupakan peneraju pasaran buah kiwi apabila menguasai 30 peratus daripada jumlah perdagangan antarabangsa.

Gabungan pelbagai rasa dan kandungan nutrien yang tinggi menyebabkan pengambilan buah kiwi secara konsisten setiap hari boleh menjadikan anda lebih sihat serta ceria. Dianggap sebagai jaguh nutrisi, buah kiwi Zespri boleh didapati dalam dua warna jenis iaitu hijau dan emas.

Buah kiwi hijau boleh diperoleh di pasaran bermula bulan Mei hingga hujung tahun, manakala buah kiwi emas dari bulan Mei hingga Oktober.

Kedua-dua buah kiwi sama ada hijau atau emas, padat dengan nutrien bermanfaat dalam memberikan perlindungan semula jadi.

- KOSMO!

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.